Penunggu Rumah Sewa - 1


Aku dengan keluarga aku telah berpindah ke rumah sewa baru. Rumah sewa sebelum ini tuan dia nak bagi anak dia duduk pula. Aku tak boleh buat apa jadi nak tak nak memang kena pindah jugak. Mujurlah dapat rumah sewa ini. Cuma agak jauh dari tempat kerja aku. Bukan sahaja jauh dengan tempat kerja aku, jauh jugalah dengan hendak hantar anak-anak ke sekolah.

Tapi tak apa, kenalah berkorban sedikit. Isteri aku pun tak merungut, takkan aku nak kena merungut panjang, kan? Dapat rumah harga sewanya lebih murah dari sebelum ini pun dah cukup baik. Cuma rumah ini tidaklah cukup besar, namun bolehlah kami empat beranak berlindung.

Ketika baru-baru pindah memang agak penat jugalah disebabkan kena punggah segala barang-barang. Semua itu mesti disusun dan dikemaskan semula. Biasalah, menjadi hal yang normal apabila sudah berpindah. Hari berganti hari, isteri aku pun mula memberitahu dia ada terdengar ada orang mandi tengah-tengah malam di bilik air.

Aku tak ambil berat sangat hal begitu dan aku beritahu itu mungkin perasaan dia sahaja. Bukan apa, awal-awal pindah, tiada apa-apa kejadian pelik pun berlaku. Anak-anak aku okey. Cuma isteri aku sahaja melalut yang bukan-bukan. Dia ada beritahu aku juga yang dia bermimpikan makhluk pelik, hantu dan jembalang, macam-macam hal betul.

Selepas itu, katanya lagi terdengar pula orang mencuci pinggan mangkuk di dapur. Sehinggakan aku sudah mula naik rimas dengan sikap dan perangai isteri aku sendiri yang sudah tidak keruan itu. Puas aku menasihatinya agar tidak ikutkan perasaan. Semua itu akan memporak-perandakan hidup.

Selama ini pun di rumah sewa sebelum ini elok sahaja tiada apa-apa kejadian. Semuanya baik-baik belaka. Isteri aku kadang naik angin dengan aku. Dia melenting kat aku, dan katanya aku ni tak percayakan dia. Macam mana aku nak percaya benda-benda tahyul? Itu semua mainan perasaan. Kalau asyik duk ikut dan duk layan perasaan, makin menjadi-jadilah ia.

Pada suatu malam, aku duduk di beranda bertemankan sebatang rokok. Anak-anak aku semua sudah tidur. Kerja aku hari ini syif siang, jadi aku boleh pulang rehat. Kerja jadi pengawal keselamatan ini siapa cakap tak penat? Penat juga tau. Aku melontarkan renungan mataku pada pohon ara di hadapan rumah sewa ini.

Kadang aku terfikir juga, kenapa tuan rumah ini tanam pokok besar gedabak sehingga terlindung rumah? Iyalah, rumah ini seolah-olah berpagar pohon-pohon, barangkali kalau posmen nak cari rumah pun boleh tak jumpa apatah lagi rider-rider grabfood.

Saat fikiran aku menerawang, aku terasa pipi aku ditampar mulus oleh angin sepoi-sepoi bahasa yang datang entah dari mana. Namun, bulu-bulu roma secara tiba-tiba merinding yang aku tidak tahu kenapa. Puting rokok yang aku kepit di antara celah jari itu aku lontarkan ke tanah. Terlihatlah percikan bara dari putung itu.

Kemudian aku merasakan keadaan hening, begitu hening seolah-olah tiada suara apa pun yang kedengaran. Ia begitu sunyi, seperti cengkerik membisu, angin pula membeku. Sorotan mata aku terpaku pada pohon ara di hadapan rumah. Aku tidak tahu kenapa aku lagut memerhatikannya sembari tangan mula menggigil.

Lalu aku beristighfar. Andai aku turut, mungkin aku akan hanyut akan sesuatu yang akan membawa aku ke dalam perasaan yang bukan-bukan. Memikirkan sesuatu yang tiada menjadi ada. Aku menidakkan perasaan aku sendiri. Lalu aku berpaling lantas bingkas bangun dari dudukku untuk masuk ke dalam rumah bersama kemelut perasaan yang tiba-tiba gundah.

Sebenarnya, aku menafikan apa yang aku lihat tadi. Apa yang mata aku nampak. Semua itu membuatkan aku cuba lari dari sesuatu yang aku kira akan memburukkan lagi keadaan. Kalau aku yang tidak kuat, aku risau isteri dan anak aku sendiri tidak akan betah tinggal di rumah sewa ini.

Aku telah menyaksikan beberapa sosok tanpa wajah berjubah putih di bawah pohon ara itu. Mereka berdiri menatap ke arahku seolah-olah menantikan sesuatu. Sungguh aku tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.

Syahmi : Pengawal Keselamatan.
Karya: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Penunggu Rumah Sewa - 1"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK