Penunggu Tiang Elektrik
Jumaat, 13 Januari 2023
1 Comment
Apa yang dilihat belum tentu nyata...
Ketika sedang berkarya, saya pun melihat jam sudah jam 11:15 pm. Tiba-tiba, perut pula terasa lapar. Teringin nak makan burger pulak. Saya harap gerai burger di depan jalan sana tak tutup lagi. Harap-haraplah.
Saat ini anak-anak dan isteri saya sudah pun tidur, jadi saya mencapai kunci motor yang disangkut itu untuk keluar pergi membeli burger. Kemudian, bila dah dapat apa yang saya nak, saya pun balik semula.
Laluan di simpang masuk ke lorong rumah saya ni agak gelap sikit, tapi sampai kat depan rumah ni dah ada lampu jalan kerana baru-baru ini pihak TNB telah memasang tiang lampu berkenaan. Jadi teranglah jadinya kalau nak dibandingkan sebelumnya.
Tiba-tiba... saya terkejut setelah saya ternampak ada seorang budak sedang mencangkung situ, bawah tiang lampu itu. Ia membelakangi saya. Sosok tubuh dari belakang seakan-akan anak saya yang berumur 6 tahun.
Pada awalnya saya berfikir bahawa itu mungkin anak saya. Adakah dia sleep walking? Mengigau? Saya sudah fikir macam-macam sebab tengok budak itu mengenakan pakaian yang sama dengan anak saya.
Saya pun menegurnya dengan memanggil nama anak saya tetapi tidak berjawab. Seterusnya saya pun pergi parkir motor kat rumah sambil memanggil lagi, namun hasilnya tetap sama. Kemudian saya melangkah mendekatinya.
Tidak semena-mena langkah ini terhenti sebaik sahaja telinga terdengar ada sesuatu berlari di dalam semak. Seriau tiba-tiba rasa bulu roma. Lepas tu, terdengar pula bunyi 'benda' berlari di belakang, saya pun terus menoleh laju!
Saya ternampak seekor babi yang begitu besar sedang berlari dengan bergitu laju pergi menjauh dari jalan itu. Saya punya terkejut sampai meremang bulu roma, ingat apalah tadi. Masa saya menoleh semula ke arah budak tersebut, kelibat itu dah hilang. Meliar mata mencari, tapi tak ada.
Saya pun apa lagi, jadi menggelabah dan terus masuk rumah. Badan saya sampai berkeringat. Liang-liang roma pun dah berpeluh. Saya rasa ada sesuatu yang tak beres ni.
Untuk memastikan anak saya okey ke tak, saya pun tengok mereka, mereka sedang nyenyak tidur... Manakala saya... Saya dihantui oleh kelibat yang entah datang dari mana...
***
Ini pula bahagian seterusnya pada hari berikut...
Suatu malam lebih kurang jam 11 malam begitu saya makan burger, di tempat yang sama saya nampak 'budak misteri' tu. Budak yang ghaib tiba-tiba saat ada sesuatu yang melintas di belakang saat.
Saja saya nak bagi dia jealous yang saya ada burger. Bukan nak tunjuk berani tapi sebab dia menakut-nakutkan saya pada malam itu. Mana tidaknnya, hilang begitu sahaja.
Cuma itulah, tak adalah pula terasa aura seram tu, macam biasa sahaja. Sesekali ada motosikal lalu di jalan ini. Kawasan rumah saya ni sebelum ini gelap, seperti yang saya katakan sebelum ini, lalaun ini baru sahaja ada lampu jalan, itu pun tak sepenuhnya.
Kemudian keadaan kembali sunyi. Namun saya setia ditemani bunyi unggas dan cengkerik yang sentiasa berlagu di sepanjang malam. Itulah musik alam ciptaan Tuhan.
Mulut saya pula terus mengunyah burger yang sedap, maklumlah perut tengah lapar. Tiba-tiba, macam hari tu, kedengaran sesuatu dalam semak. Ia persis seperti itu. Di hadapan rumah saya ini ada sungai, jadinya kadang terdengar juga air berkocak.
Hah!!! Saya dah mula cuak. Risau kaki pendek itu sahaja, maksud saya babi kerana kawasan rumah saya ni memang banyak babi. Tidak lama selepas itu bunyi itu pun sepi.
Sisa-sisa burger di tangan saya habiskan. Mata saya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Rasanya saya tak nampak apa-apa pun. Bahkan 'budak' yang saya jumpa sebelum ini juga tak kelihatan. Dia tak memunculkan diri.
Saya turut malas nak teruskan aktiviti yang sia-sia konon nak mencarinya, buat apa, kan? Kalau datang betul-betul, saya pula yang cabut lari. Saya bukan seorang paranormal.
Jadi, tanpa membuang-buang waktu, saya pun nak masuk ke dalam rumah dan sewaktu pintu dibuka, alangkah terperanjatnya saya, anak saya tercegat depan pintu, betul-betul depan muka saya! Lalu dia tanpa muka terkejut terus ajak saya temankan dia ke tandas.
Anak saya ni pun sekian hal, dah nak besar pun takut lagi. Masih nak berteman lagi, desis sayalah sendiri. Padahal baru umur 6 tahun, biasalah tu. Saya melepaskan keluhan. Tak apalah, saya pergi temankan.
Ketika anak saya masuk ke tandas, tiba-tiba sahaja halwa telinga ini menangkap panggilan telefon saya berbunyi. Maka, saya pun segera pergi ke bilik untuk melihat siapakah yang menelefon saya tapi rupa-rupanya tak ada sesiapa pun yang menghubungi saya pada masa itu.
Gara-gara ingin menjawab panggilan tersebut, saya terlupa yang saya tertinggal anak saya di tandas sorang-sorang. Risau nanti dia menangis ketakutan, melihat saya tidak ada di situ.
Lalu, saya jadi bingung dan terkejut kerana mata ini menoleh pada sekujur tubuh yang sedang berbaring lena. Saya nampak anak saya sebenarnya sedang nyenyak tidur.
YA ALLAH!!! Masa tu jugalah bulu roma saya merinding. Sama ada betul ke tidak adalah sama banyak! Saya berfikir anak saya itu penakut, rupanya saya telah ditakuti dan disakat sedemikian rupa.
Tanpa banyak fikir, saya beranikan diri pergi ke tandas, nak juga pergi tengok 'benda' yang saya temankan itu ada ke tidak di situ. Perlahan-lahan saya melangkah, meskipun saya rasa seram sejuk dan tengkuk merinding.
Iyalah, bukan apa, saya pun manusia biasa yang punya perasaan cuak tatkala berhadapan dengan situasi seperti itu. Jantung pun berdetak kencang sahaja. Ia berlaku tanpa saya duga sama sekali. Saya dengar dengar jelas air paip mengalir.
Setibanya dekat pintu tandas yang suis lampunya tidak ditutup itu, saya pun menjengulkan kepala untuk mengintai. Saya ingin melihat apa yang ada di situ. Saya terus melihat pada paip, ternyata paip memang tidak ditutup dan kelibat itu juga tiada.
Telah ada sesuatu yang telah buka paip itu. Kelibat 'budak' itu tiada. Dan yang paling malang buat saya adalah 'dia' telah menyerupai anak saya. Sungguh mendebarkan saya...
Oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
Ada lagi cerita seram? Boleh kongsikan kepada penulis?
BalasPadam