Setelah Dia Datang - Bab 2


Kamelia datang bertemu dengan Amar di kebun getah tempat Amar berkerja. Dia mencari Amar di situ kerana ingin memberitahu sesuatu. Dia rasa tak sedap hati. Perasaannya tak menentu sangat.

“Amar, aku rasa tak sedap hatilah.”

“Kenapa muka nampak pucat saja ni? Tak tidur ke malam tadi?” Tegur Amar setelah melihat raut wajah Kamelia yang nampak kusut itu.

“Memang aku tak cukup tidur, ini pasal mak aku…hurm.” balas Kamelia dan di hujung bicaranya mengeluh kecil.

“Bukan ke semuanya dah tak ada, dah buang?” Amar faham akan apa yang cuba disampaikan oleh Kamelia. Dari riak wajah Kamelia yang penuh kebimbangan itu dia nampak jelas.

“Tapi bila tengah malam saja mak aku berjalan sambil tidur, dia keluar rumah sampai masuk ke kebun getah tu.” Kamelia memang risau.

“Kau kena redha Kamelia… sebab itu adalah ujian.” Jelas Amar. Namun bagi Kamelia lain pula tanggapannya.

“Aku tak rasa itu dari apa yang berlaku Amar.” Begitulah bagi Kamelia. Dia mencurigai sesuatu.

“Maksud kau?” Amar angkat keningnya.

“Ya Amar, memang saka keturunan nenek moyang aku tu yang dibuang, tapi ada benda lain yang datang mengacau sekarang ni. Siapa nak datang tolong?” Kamelia membutirkan bicara keresahannya. Memang dia agak terganggu.

“Bukan ke kita patut berbalik pada jalan-Nya? Kamelia… aku dah tolong kau carikan ustaz untuk buang saka tu supaya mak kau tak terus menderita,” Amar tahu keadaan ibu Kamelia bagaimana tetapi sekurang-kurangnya ia tak seteruk sebelum ini.

“Tentang itu aku tak lupa Amar, aku selalu berdoa. Tapi boleh tak kau panggil ustaz tu lagi?” Kamelia berharap sekali lagi pada Amar.

Dia tahu dia banyak menyusahkan Amar tapi kali ini dia benar-benar meminta pertolongan Amar supaya dapat membantu ikhtiarkan sesuatu. Dia buntu. Dia pun baru sahaja dibuang kerja sebab jaga mak dia di rumah.

Memanglah bila ingat balik memang sakit hati, tapi nak buat macam mana, lebih baik jaga mak di rumah daripada berhadapan dengan bos miang.

“Baiklah, kau sabar dulu, kalau aku dapat hubungi semula ustaz tu, nanti aku minta dia datang.”

“Kau cepat-cepatlah Amar, aku tak tahan berterusan begini. Benda tu kadang rasa macam dekat dengan aku.” Luah Kamelia. Amar nampak jelas ketakutan di wajah Kamelia kali ini.

“Kamelia, kau tenang. Aku ada untuk kau. Apa-apa pun aku akan usaha dapatkan balik nombor ustaz tu.” Amar berjanji.

Mendengar Amar berkata begitu, Kamelia berasa sedikit lega. Ia seperti sebuah harapan. Kalau tidak dia tak mahu berterusan begini. Sampai bila dia kena hadap perkara itu semua.

***

Mak Ton selesai membeli barang-barang dapur di kedai runcit Zali. Lalu Zali pun bertanya kepada Mak Ton, lagipun alang-alang Mak Ton sudah ada di situ, dia pun ambil peluang ingin tahu perkembangan.

“Apa cerita dengan anak kamu tu Ton? Nak ke kamu bermenantukan cucu Nek Jah anak Si Salmah tu?” soal Zali yang berada di kaunter.

Telinga Mak Ton seperti dicucuk-cucuk sahaja dengan soalan berbisa seperti itu. Sakit pula hatinya bila Zali bertanya begitu. Dia pun menoleh dan menjegilkan biji matanya. Dia pun kembali semula ke dalam menghadap Zali.

“Kau ni kenapa? Aku tak inginlah bermenantukan Kamelia tu. Lagipun kau takkan tak tahu Nek Jah dulu tu macam mana? Aku tak naklah keturunan aku ada bela saka.” Marah Mak Ton tatkala dikaitkan dengan keluarga Nek Jah.

“Takkanlah kau Ton tak tahu yang Si Salmah tu dah buang saka yang diwariskan kepadanya. Dia mana pernah berubat orang. Yang berubat orang Nek Jah tu je… Salmah tu ha, jadi rupa itu, tak betul sampai sekarang.” Ujar Zali.

“Padan ler jadi gitu. Tapi kau yakin ke saka dia dah tak ada? Aku langsung tak percaya. Saka dia pasti ada lagi. Ah! Ada ke tidak ke aku tak peduli.” Balas Mak Ton yang dia malas nak kisah ada ke tak ada ke, yang penting dia tak akan terima Kamelia jadi menantunya. Tidak sama sekali.

“Cuma bila orang ada bela saka ni, memang jadi begitulah. Tapi bila orang terima saka, rasanya memang nampak macam tak betul. Ini macam dah kekal tak betulnya ni, kasihan juga pada Salmah tu.” Zali menggeleng.

“Sudahlah, aku nak balik.” Mak Ton berpaling dan mengatur langkah. Dalam masa yang sama ada orang menghampiri Zali.

“Amboi! Saya dekat belakang tu terdengar bukan main lagi abang kasihankan Salmah tu ya? Pergilah abang jaga dia!” bebel Peah yang berasa cemburu dengan suaminya.

“Eh… awak, janganlah sampai cemburu begitu… abang sayang awak sorang sahajalah. Lagipun takkan awak tak tahu Salmah tu macam mana.”

“Yalah, memanglah dia tak siuman, tapi jangan abang pun jadi tak siuman jugak sudahlah.” Peah mengingatkan suaminya supaya jangan sesekali lupa diri.

“Apa pula cakap macam tu. Abang sentiasa sayang Peah. Dalam hati abang ni ada Peah sorang je. Abang nak keluar kejap, awak jaga kedai.”

“Abang nak pergi mana tu?” Peah ingin tahu.

“Adalah urusan orang, tak payahlah nak masuk campur.” Zali malas nak beritahu, lagipun Peah bukannya tak tahu. Seperti biasa pergi ke destinasi yang sering dikunjungi jikalau sudah tertekan begini.

***

Mak Ton sampai rumah lihat ada seseorang berada di anak tangga sedang duduk di situ. Dia kenal susuk perempuan itu. Anak perempuannya ada datang. Terkejut juga dia nampak Aisyah tiba-tiba muncul. Ada apa agaknya.

“Eh Ecah… bila sampai?” Tegur Mak Ton.

“Baru je mak…” Aisyah bersalam cium tangan dan cium pipi ibunya seperti kebiasaan apabila bertemu.

“Laki kau mana?”

“Tak ikut mak, katanya banyak urusan yang perlu diselesaikan. Jadi saya balik sorang sahajalah.” Beritahu Aisyah.

“Ni dengan beg semua ni… kira kau nak cuti kat kampung ke apa ni Ecah?” Mak Ton ingin tahu sebab dia nampak ada beg di beranda rumahnya itu.

“Iyalah mak, Ecah nak cuti kat kampung ni… bolehlah Ecah tengok-tengokkan mak, tengokkan ayah tu.” Ucap Aisyah mengukir senyuman.

“Habis tu, suami kau macam mana?” Mak Ton bertanya sebab berasa agak curiga sedikit. Bukan sangsi dengan anak sendiri tetapi ada yang tak kena sebenarnya.

“Itu mak jangan risaulah, dia tak dah izinkan saya untuk tinggal dekat kampung ni sementara.”

“Mak ni bukan apa Ecah. Mak cuma risau kut hubungan kamu berdua ada masalah je. Cuba kau beritahu mak, apa sebenarnya yang berlaku?” Mak Ton berasa ada sesuatu yang tak kena dengan Aisyah.

“Ish mak ni, jangan fikir yang bukan-bukanlah mak. Kalau mak tak percaya, mak boleh call Abang Kadir tanya dia.” Aisyah cuba menyakinkan ibunya.

“Yalah, marilah masuk.”

“Ayah mana mak, Amar?”

“Ayah kau nanti baliklah tu, dia pergi ngopilah tu kut dan adik kamu si Amar tu, mak pening sekarang ni.” jawab Mak Ton.

Aisyah dan Mak Ton masuk ke dalam rumah. Aisyah pun terus pasang telinga bila ibunya mula nak buka cerita mengenai Amar.

“Kenapa dengan Amar mak?”

“Haih… bukan kamu tak tahu, dia tu kan tergila-gilakan Kamelia… sampai sekarang sibuk dengan budak tu je.” Beritahu Mak Ton sambil duduk di kusyen. Aisyah pun dah tak tahu nak cakap apa.

“Mak tetap nak halang ke?” Tanya Aisyah pada Mak Ton.

“Mak kamu tetap tak suka pada si Kamelia tu, Ecah,” Aisyah terus berpaling pada suara yang datang dari arah pintu rumah. Ternyata ayahnya sudah balik.

“Ya abang, saya tetap tak suka. Sampai bila-bila pun saya tak suka.” Mak Ton bangun dan terus pergi ke dapur bawa barang-barang yang dibelinya bawa masuk ke situ.

Aisyah terus pergi bersalam dengan Pak Din, ayahnya turut bertanya soalan yang sama di mana suami Aisyah, namun alasan yang sama turut diberikan.

Penulis: Rashid Salim
Novel : Setelah Dia Datang
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Setelah Dia Datang - Bab 2"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK