Setelah Dia Datang - Bab 1


Perlahan-lahan kakinya melangkah naik meniti anak tangga kayu. Dia baru pulang selepas menemui seseorang. Pulangnya dia dengan perasaan yang sangat bahagia. Kebahagiaan yang dirasakan itu adalah dari kibaran cinta.

Perasaan yang dirasakan bersama dengan insan yang tersayang, iaitu Kamelia. Wanita itu, satu-satunya gadis yang dicintainya. Rasa cinta sangat mendalam sehinggakan dia sendiri sukar menahannya.

“Eh Amar, mak tak sukalah kau berkawan dengan budak Kamelia tu. Berapa kali mak dah cakap, jangan berjumpa dengan dia lagi!” Larang Mak Ton dengan menjegilkan biji matanya.

Langkah Amar terhenti. Amar rasa sangat tidak berpuas hati apabila kebebasannya disekat, tetapi dia tak tahu nak berbuat apa. Dia serba salah. Namun, yang melarang itu pula adalah ibunya. Ini yang menjadikan dirinya bertambah tertekan.

Perasaan bahagia yang dirasakan itu hancur berkecai begitu sahaja setelah hal ini dipersoalkan. Inilah yang membuatkan dia rasa kurang selesa. Setiap kali balik, ada sahaja yang tak kena.

“Mak, sekalipun mak tak suka dia, tapi Amar tetap nak berkawan dengan dia mak. Lagipun Kamelia tak bersalah.” Amar merasakan bahawa Kamelia tidak berdosa di atas apa yang pernah terjadi.

“Itu mak tak peduli. Mak nak kau jangan berjumpa dengan dia lagi, faham?” Mak Ton tetap bertegas. Tapi dia juga tahu bahawa Amar pun degil orangnya. Sudah banyak kali dia melarang, namun Amar masih berjumpa juga.

“Mak ni...” Amar terus melangkah keluar sedangkan dia baru sahaja balik tapi maknya dah membebel.

“Tu nak pergi mana pulak tu?” Mak Ton memerhati Amar turun dari tangga kayu dan melangkah ke arah motor.

“Saya nak keluar kejap mak.” Jawab Amar nadanya seperti merajuk sambil memakai helmet.

“Kau jangan nak pergi jumpa dia lagi. Ingat Amar. Mata-mata orang kampung ni semua ni pun mata-mata mak jugak tau!” Mak Ton mengingatkan Amar.

Amar terus menghidupkan enjin motosikalnya dan terus pergi membawa hatinya yang lara.

“Awak ni Ton, sudah-sudahlah larang Amar berkawan dengan si Kamelia tu...” Pak Din yang berada berdekatan tiang rumah sambil berdiri di situ pun bersuara.

“Jadi abang sukalah anak kita tu berkawan dengan anak orang gila?” Mak Ton berang sangat kerana anak terunanya jatuh cinta pada Kamelia.

“Kamu ni Ton... Yang sakit tu cuma mak dia... Bukannya dia...” Pak Din menggeleng.

“Bang... apa abang lupa ke yang mak dia tu jadi gila sebab ambil ilmu dari Nek Jah bang...?” Mak Ton ingatkan Pak Din akan kisah Nek Jah bomoh terkenal yang merawat orang sakit.

Satu kampung tahu Nek Jah bela saka dan susah nak mati, selepas saka diwariskan pada mak Kamelia, barulah Nek Jah mati. Tapi, yang jadi masalahnya, mak Kamelia tak dapat kawal jiwanya. Ada sesuatu yang tak kena dan mengganggu.

“Yang lepas tu lepaslah Ton. Lagipun saka tu kan dah dibuang.” Pak Din redakan keadaan.

“Tapi semua orang kenal bang siapa Kamelia, dia tu cucu Nek Jah bomoh terkenal.” Sebut Mak Ton yang masih tak puas hati.

“Itu cuma nama je, lagipun selama Nek Jah hidup dan jadi bomoh tak ada pun kan saka dia duk kaca orang kampung ni, kan? Awak tengok ada ke?” Pak Din ingin tahu apa jawapan yang akan diberikan Mak Ton.

“Dah namanya saka bang, kacau ke tidak tetap benda tu tak betul!” Bidas Mak Ton lalu masuk ke dalam rumah.

Pak Din menggeleng melihat gelagat Mak Ton yang begitu berkeras hati. Kalau itu katanya, maka itulah yang diharapkannya. Memang susah nak dibawa berbincang langsung.

***

Kamelia memasak bubur untuk ibunya. Ibunya ada di anjung termenung sahaja. Dulu ada ustaz datang merawat ibunya, ustaz itu pernah berpesan agar ibunya itu amalkan baca Al-Quran. Tapi bila ibunya jadi begini, semua jadi sulit.

Kamelia pernah juga tanya, masih ada lagi ke benda-benda itu semua. Namun jawabnya tiada selepas dah buang. Cuma itulah, kesan agaknya. Kamelia tak minta jadi begini, dia sendiri tak menyangka sama sekali.

Selepas masak bubur, dia masukkan ke dalam mangkuk dan dinginkan sedikit supaya mudah untuk ibunya makan. Usai itu, dia mengorak langkah pergi kepada ibunya.

“Mak… makan mak… Lia suapkan bubur untuk mak…” Kamelia tidak mahu ibunya kelaparan. Dia pun menyuapkan bubur itu kepada ibunya.

Ibunya tak bercakap apa-apa, memang banyak diam sahaja. Tetapi kalau dia ternampak sesuatu, dia akan beritahu. Itulah yang kadang-kadang membuatkan Kamelia rasa seriau.

Selama tinggal di rumah pusaka Nek Jah ini pun pernah juga Kamelia dengar bunyi-bunyi aneh sebelum saka itu dibuang, memang rasa takut. Dia cuba abaikan, tetapi begitulah, selagi tak nampak di hadapan mata, masih boleh bertahan lagi.

Lagi pula, rumah pusaka Nek Jah ini selalu dikunjungi orang luar untuk datang berubat. Cuma kini tidak lagi. Kamelia tidak sempat mewarisinya. Walau bagaimanapun, gelaran cucu bomoh itu tetap melekat kepadanya juga. Itu tidak boleh dinafikan.

“Makan lagi mak, tinggal sikit aje lagi ni…” Pujuk Kamelia supaya ibunya menghabiskan bubur yang masih tersisa di dalam mangkuk tetapi ibunya sudah tidak mahu.

“Kalau mak dah kenyang tak apalah, nah minum air ni…” Kamelia memberikan pula ibunya minum. Tapi Kamelia yang tolong pegang gelas itu kerana tangan ibunya agak menggeletar.

Kemelia tenung wajah ibunya, terasa sayu hatinya melihat keadaan ibunya jadi begini. Dia sabar dalam menjaga ibunya. Dia tak berhenti berdoa agar ibunya pulih. Semoga ada keajaiban yang berlaku.

“Marilah masuk, hari dah senja ni mak…” Kamelia membawa ibunya masuk ke dalam.

***

Hasan dan Budi sibuk berhibur dengan gitar di kala hari sudah menjelang senja, menghabiskan sisa-sisa lagu berdekatan dengan rimbunan buluh madu. Di situlah tempat mereka sering lepak.

“Boring pulak nyanyi lagu ni…” kata Hasan kemudian meletakkan gitar di tepinya. Rasa malas pula nak teruskan nyanyian.

“Mana aku tahu, kau yang nak nyanyi sangat lagu tu.” Budi main baling-baling batu kecil sambil mencangkung menghadap Hasan.

“Eh Budi, aku nak tanya kau sesuatulah, kau tak rasa pelik kenapa Amar tu tergila-gilakan sangat pada Kamelia tu, padahal dia tu dah tahu yang Kamelia tu ada saka?” Hasan tak agak langsung terus melucur bicara.

“Kau ni main cakap aje, kan. Saka tu kan dah dibuang. Mana ada lagi.” Budi yakin dengan apa yang ustaz tu beritahu.

“Kalau betul tak ada saka, macam mana mak dia tu boleh kekal gila? Tu mesti tak bagi makan la tu.”

“Merepeklah kau ni Hasan.” Budi bangun dari bercangkung.

“Kau ni macam tak faham-faham kan apa yang aku cakap? Sudah tentulah Si Amar telah diguna-gunakan oleh si Kamelia. Kau tengok sendirilah Amar tu nampak macam tak keruan. Kalau sehari tak pergi jumpa dengan Kamelia, jadi tak aman hidupnya. Kita pun dia tak peduli, tau,” Hasan mahu menyakinkan Budi tentang apa yang berlaku. Dia ingin Budi buka mata seluas-luasnya.

“Tapi Hasan…”

“Tak ada tapi-tapi dah… memang dah betul dah tu.”

“Belum tentu betul. Kau ada bukti ke? Atau kau sekadar main serkap jarang je macam orang kampung yang lain. Amar tu kawan kita tau. Kita janganlah main tuduh-tuduh dia macam tu.”

“Mungkin juga kau dan aku nak sama-sama siasat benda ni?” Hasan tahu Budi masih kurang pasti.

“Tak mahulah aku. Macam tak ada kerja pula nak jadi penyiasat bagai. Tadi cakap dah betul. Ini nak ajak aku pergi siasat pula. Mana satu kau ni?” Budi tak suka Hasan berbasa-basi.

“Dah tu tadi kata nak bukti. Aku nak pergi tunjukkan kau buktilah ni.” Hasan tak kisah kalau Budi tak nak. Dia cuba yakinkan Budi sahaja bahawa keluarga itu masih memiliki saka keturunan nenek moyang.
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Setelah Dia Datang - Bab 1"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK