Kisah Seram Copy Paste
Sabtu, 24 Disember 2022
Add Comment
Pintu rumahnya dibuka lalu Lucy pun melangkah masuk. Lambat sedikit dia pulang kerja, jam pun sudah pukul 11 malam. Penat, segera pergi mandi untuk segarkan badan yang sudah melekit itu.
Dia kembali segar, dia pun melakukan hobinya. Apa lagi, menghadap dunia maya kepada dunia cerita-cerita seram. Lucy suka baca cerita seram yang ada di media sosial itu.
Pergi ke ruang tamu, duduk di sofa dan buka laptop. Bukan main seronok dia bila membuka sebuah laman blog ini apabila melihat ada kemaskini cerita seram terbaru. Blog kegemarannya kerana ceritanya sangat padu.
“Wah!!! Bestnya cerita ni!” Dia berkata sendiri setelah membaca sedikit cerita itu. Dan tanpa membuang-buang waktu, dia terus melakukan sesuatu yang tidak wajar.
Lucy melakukan ‘copy and paste’ mana-mana cerita yang ditulis di dalam blog masuk ke dalam grup Facebook miliknya tanpa persetujuan. Hal itu seharusnya tak berlaku namun Lucy tidak mempedulikannya.
Tiba-tiba ada satu kelibat ni lalu tepi Lucy menuju ke dapur. Lucy agak terkejut kerana dalam keadaan dia sedang lagut menghadap laptop, muncul drastik begitu. Nasib baik tak ada lemah jantung.
“Kau ni Maya, buat aku terkejut aje!” Lucy menggeleng sambil memandang kawan serumahnya berjalan menuju ke dapur tanpa berkata sepatah pun.
Kemudian Lucy menyambung semula aktivitinya itu sehingga lewat malam. Dia pun mula menguap dan rasa mengantuk. Akan tetapi, andrenalin dalam badannya mengalir laju sebaik sahaja kedengaran gelas terjatuh di dapur.
Eh Lucy! Kau ni penakut jugak ye?! Dia berkata kepada dirinya sendiri. Perlahan-lahan dia bangun dan melangkah pergi ke dapur untuk meninjaunya.
Sementara itu, hujan turun bersama guruh di langit menambahkan lagi rasa tidak sedap hati Lucy. Seolah-olah ada sesuatu petanda yang tidak baik sedang berlaku. Adakah dia sedang berhalusinasi? Dia tertanya-tanya sendiri.
Dia sedikit cuak, lalu dia terus menekan punat suis lampu untuk melihat ada atau tidak gelas yang pecah itu. Namun, tiada apa-apa yang terjadi di ruang itu. Mungkin apa yang dia dengar hanyalah dalam fikirannya sahaja.
Boleh jadi dia agak penat atau juga terlalu banyak membaca cerita-cerita seram. Hujan terus lebat. Dia pun menutup suis lampu dan ketika kilat menyambar, terpantul cahaya dalam kegelapan di dapur itu. Lucy tergamam!
Dia melihat ada lembaga hitam bermata merah sedang menatapnya. Lucy dihambat ketakutan yang tidak pernah dirasakan selama ini ketika membaca cerita-cerita seram, ini adalah apa yang dilihatnya. Seluruh tubuhnya meremang. Dia terus pengsan di situ.
***
Selama ini Lucy sungguh tidak pernah nampak hantu. Dia hanya membaca, dan dia tak pernah takut. Tapi kali ini dia takut sangat sampai pengsan. Benda itu ada di hadapan matanya.
Dia membuka kelopak matanya dan menyedari dirinya berada di tempat lain. Dia tak tahu apa sebenarnya yang sudah berlaku. Apa yang dia ingat dia nampak sesuatu yang menakutkan.
“Maya! Kenapa dengan aku?” Soal Lucy setelah nampak Maya ada di birai katilnya.
“Aku nampak kau pengsan kat dapur, sebab tu aku call kecemasan,” Maya mengelus-elus tangan Lucy.
“Aku nampak sesuatu dalam rumah kita.” Lucy terus buka cerita sebab dia nak meluahkan tentang apa yang dia lihat.
“Kau nak mula merepeklah tu. Aku tahulah yang kau suka membaca cerita seram, tapi jangan sampai mempengaruhi akal dan fikiran kau Lucy,” nasihat Maya yang tidak mahu Lucy terus berkhayal lagi.
“Tak Maya… masa tu aku nampak kau pergi dapur, lepas tu aku dengar gelas pecah. Aku pergi tak ada pun, masa tu aku nampak benda tu.” Beritahu Lucy.
“Nampak aku? Aku kan kerja syif malam. Kan aku dah kata, kau ni penat agaknya sampai nampak yang bukan-bukan.” beritahu Maya membetulkan keadaan. Maya tiada di rumah.
“Habis tu yang aku nampak tu apa Maya? Tolonglah jelaskan pada aku.” Lucy sudah tidak tenteram. Jiwanya mula kacau.
“Lucy, bertenang… berehatlah. Aku keluar dulu ya.” Maya minta diri.
Setelah Maya keluar dari bilik itu, perasan Lucy sangat tidak keruan. Dia rasa sangat ketakutan. Perubahan emosinya jadi tidak stabil. Entah kenapa bayang-bayang hitam itu selalu muncul dalam kepalanya.
Seluruh tubuhnya dirasakan menggigil, dia rasa takut teramat sangat seolah-olah kematian sedang memburunya. Perubahan mood yang sangat ketara. Di katil hospital, dia rasa dirinya sedang diperhatikan.
Saat dia sedang tidur, ada yang menarik selimutnya, bahkan ada yang menyentuh pancainderanya. Oleh kerana dia sering meracau, akibatnya dia masih dalam tahanan wad dan dirujuk oleh pakar psikiatri.
***
Di rumah, Maya sedang menulis cerita seram di dalam blog. Ia tentang kisah seseorang yang suka copy paste sedang menerima rawatan di rumah sakit jiwa.
“Kau ni Lucy, suka sangat curi cerita dalam blog kemudian paste dalam grup kau. Kau patut tahu ada penulis menambah pendapatan dengan menulis di blog, contohnya macam aku. Maaf Lucy, aku dah hilang sabar,” ucap Maya sambil menusuk jarum pada gambar Lucy setelah tadinya dia membaca mantra.
Penulis: Rashid Salim
TAMAT
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Kisah Seram Copy Paste"
Catat Ulasan