“Tolong Hantar Kami...” Bekas Pemandu Bas Kongsi Pengalaman Misteri


Pak Muzir yang sebelum ini pernah berkongsi pengalaman seramnya sebagai pemandu van jenazah telah memperkenalkan kepada saya akan sahabatnya iaitu Wan Husin. Seperti Pak Muzir, Wan Husin turut ada pengalaman misteri yang tersendiri.

Saya berkesempatan mendengar perkongsiannya. Jadi saya berkongsi dengan korang mengenai apa yang Wan Husin ceritakan. Untuk makluman, Wan Husin merupakan seorang bekas (pesara) pemandu bas. Bukan bas ekspres tetapi bas biasa.

Orang kita biasa panggil bas lompat kut kalau tak silap. Katanya, ia sebuah kisah lama yang ingin dikongsikan yang pernah terjadi dalam hidupnya sebagai seorang pemandu bas. Dipendekkan cerita...

Pada suatu hari itu, seperti biasa di terminal bas, dia akan memulakan perjalanan di daerah itu seawal 6:30 pagi selepas Subuh. Dia akan bertolak selepas enjin dipanaskan. Pada ketika itu orang memang naik bas.

Selepas semua penumpang dah naik termasuklah budak-budak sekolah, dia pun memulakan perjalanan. Semasa sedang bergerak, orang yang sedia menunggu di perhentian bas akan tahan bas untuk dinaiki.

Jadi... Wan Husin akan berhenti. Dan, apabila ada penumpang yang sampai ke destinasi, loceng akan dibunyikan oleh penumpang menandakan yang mereka nak turun.

Penumpang silih berganti turun dan naik, itulah menjadi rutin Wan Husin sebagai pemandu bas. Kemudian ketika dia melalui kawasan berbukit, tiba-tiba loceng berbunyi. Wan Husin pun bagi isyarat berhenti ke tepi.

Dalam hatinya, siapa pulak yang nak berhenti kat tengah-tengah kawasan begini? Setahu Wan Husin mana ada rumah di sini? Dia pun lihat cermin pandang belakang tak ada sesiapa pun yang bangun dari duduk masing-masing.

Konduktor bas ketika itu pun suruh jalan sebab tak ada sesiapa pun yang turun dan meminta mereka jangan main tekan loceng. Siapa tahu, ada yang gatal tangan main tekan. Wan Husin pun teruskan perjalanan.

Ketika dia mula masuk semula ke lorong jalan raya itu, dia memandang ke cermin sisi bas, dia dapati ada kelibat orang tepi jalan itu sedang masuk ke dalam hutan tempat dia berhenti bas sebenar tadi. Ketika dia berhenti tak ada sesiapa pun yang turun.

Dia pun cuba abaikan sahaja dan rasa itu cuma perasaannya sahaja. Kemudian hari berikutnya, sekali lagi loceng bas berbunyi di tempat yang sama. Kali ini orang dalam bas tak ramai pun, Wan Husin perhati lagi cermin pandang belakang.

Konduktor bas tu pelik, tak ada orang yang turun. Tak ada siapa pun yang tekan loceng. Dia pun mintak Wan Husin jalan. Setiba ke terminal bas, konduktor bas tanya Wan Husin, apa yang berlaku?

Wan Husin kata dia pun pelik. Mereka rasa ada yang tumpang bas mereka tu. Hari seterusnya, waktu perjalanan balik, loceng berbunyi lagi buat kali ketiga, Wan Husin tak berhenti. Loceng bunyi kerap. Penumpang lain pelik. Loceng rosak ke?

Loceng ditekan-tekan gara-gara Wan Husin tidak mahu berhenti. Kemudian loceng pun sepi. Tidak berapa jauh dari awal-awal loceng dibunyikan, tiba-tiba enjin bas mati sendiri. Ketika itu hari matahari jatuh, suasana redup di kawasan hutan tersebut.

Bas tersadai tepi jalan dan terpaksa menunggu bantuan bas lain yang datang. Ketika sedang menunggu, Wan Husin terdengar-dengar suara orang seperti sedang marah-marah tidak jauh darinya. Dia ingatkan dia sahaja yang dengar, rupa-rupanya, konduktor bas pun dengar juga.

Kedengaran seperti orang bergaduh, tak tahu punca datangnya dari mana. Tidak berapa lama kemudian bunyi itu sepi. Bas bantuan pun tiba, penumpang dipindahkan.

Kena panggil mekanik untuk datang tengok ada apa masalah dengan enjin bas tersebut. Tengah-tengah hutan ini memang menyeramkan. Kenderaan pun bukan banyak yang lalu lalang.

Tak lama kemudian mekanik datang, mekanik tu check tengok tak ada apa masalah. Enjin semua okey. Wan Husin hairan. Banyak kali dia cuba hidupkan tapi tak boleh. Konduktor bas pun turut pening kepala.

Ketika mereka nak memulakan perjalanan, Wan Husin terkejut beruk, saat dia melihat belakang melalui cermin pandang belakang, tempat duduk sudah penuh dengan penumpang bahkan ada yang berdiri, padat. Bila dia menoleh, kosong tak ada sesiapa. Dia tengok lagi cermin, ada!

Konduktor bas tu hairan, tanya Wan Husin kenapa? Tetapi Wan Husin tak berkutik, diam seribu bahasa. Kemudian dia terdengar suara. "Tolong hantar kami..."

Jadi begitulah perkongsian pengalaman Wan Husin mendapat penumpang misteri. Yang dia gambarkan, penumpang itu orangnya seperti manusia biasa, tetapi terlalu segak, ada lelaki dan ada perempuan. Ada pelbagai peringkat usia.

Katanya lagi, ia seperti sebuah rombongan. Tapi Wan Husin tak tahu ia rombongan apa. Wan Husin kata, sepanjang perjalananan dia hidu bau harum dan bau itu turut dihidu oleh konduktor bas juga. Cuma konduktor bas tak nampak kelibatnya kecuali Wan Husin.

Cuma dia rasa bernasib baik, sebab tak ditimpa malang gara-gara telah melakukan provokasi dengan tidak memberhentikan basnya sewaktu loceng dibunyikan sebelum bas itu enjin tiba-tiba mati sendiri.

Wan Husin memberitahu pada hari itu dia diminta untuk pergi ke suatu tempat. Dia hanya menurut sahaja suara yang memancunya. Dia membawa ke semua mereka ke sebuah lata yang agak jauh juga. Selepas itu, mereka semua turun.

Dia menceritakan apa yang dilihatnya kepada konduktor basnya, mula-mula tak percaya, tapi dia kata, bau harum itu sudah cukup membuktikan yang benda itu ada di dalam bas. Dan selepas kejadian itu. Bunyi loceng bas tidak lagi kedengaran di laluan tersebut.

Apakah menurut korang yang tumpang bas Wan Husin itu adalah makhluk ghaib atau apa? Baiklah... sehingga kita berjumpa lagi di entri yang akan datang, Insya-Allah... teruskan membaca kisah-kisah menarik dalam blog ini...

Sekian. Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "“Tolong Hantar Kami...” Bekas Pemandu Bas Kongsi Pengalaman Misteri"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK