“Dah Nak Balik Ke? Masih Awal Lagi...” Misteri Jelmaan 'Sulur Bidar' Tegur Kaki Pancing


Kali terakhir Aidil dilihat oleh penduduk kampung adalah ketika memancing pada waktu petang di sungai sebelum dilaporkan hilang. Sehingga ke hari ini Aidil tidak pernah lagi ditemui.

Walau bagaimanapun, di tempat Aidil memancing, hanya ada sepasang selipar dan kelengkapan memancing serta motosikalnya sahaja tetapi kelibat Aidil tiada di situ.

Semenjak itu, pelbagai spekulasi timbul dan ada yang mendakwa bahawa Aidil telah diculik. Tidak pasti sama ada diculik oleh manusia atau bunian. Tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa Aidil telah diculik.

Hal ini menjadi tanda tanya. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menjejaki Aidil termasuklah memanggil bomoh dan pawang serta ustaz namun semuanya gagal. Pasukan bomba juga dikerahkan untuk menyelam bagi mencari Aidil.

Usaha itu dilakukan kerana ada kemungkinan Aidil terjun ke dalam sungai dan lemas. Itu merupakan andaian yang belum dpaat dipastikan. Namun ada kemungkinan ia boleh terjadi. Akan tetapi jasad Aidil tidak ditemui.

Beberapa bulan selepas itu, penduduk kampung dikejutkan dengan sesuatu yang timbul ke permukaan sungai. Mereka tidak pasti buih apakah itu. Daun-daun yang berada pada dasar sungai timbul bersama.

Air sungai di tempat berkenaan menjadi keruh. Apa yang menjadi pelik, buih itu bergerak perlahan-lahan. Dari gelombang yang kecil terus menjadi besar.

Keadaan itu berlarutan sehingga beberapa puluh minit dan kemudian hilang. Apa yang dilihat oleh orang kampung menjadi bualan. Ada sesetengah pendapat mengatakan itu adalah Sulur Bidar.

Kehilangan Aidil masih menjadi misteri, dan apa yang dikatakan Sulur Bidar itu seringkali muncul di tempat Aidil didakwa hilang serta beberapa tempat lagi di sungai berkenaan.

Hal itu mencjadi cakap-cakap orang sama ada percaya ataupun tidak. Ada yang beranggapan itu hanyalah gas semata-mata dan bukannya makhluk misteri yang mereka katakan. Mustahil sama sekali.

Itu adalah menurut kepercayaan masing-masing kerana ia masih menjadi misteri sehingga ke hari ini. Bulan berganti bulan, akhirnya sudah setahun berita kehilangan Aidil tidak menemui jawapan.

Ia seperti sudah dilupakan. Keluarga Aidil hanya mampu berdoa agar Aidil ditemukan biarpun ada yang membuat andaian. Sekiaranya benar apa yang dikatakan tentang Sulur Bidar itu, mungkin itulah yang telah mengambil anak mereka.

Namun, ia belum membuktikan apa-apa biarpun semenjak kehilangan Aidil, Sulur Bidar itu kerap muncul. Dan pada suatu malam....

Sekumpulan remaja pergi memancing di kawasan tersebut. Mereka adalah pemancing dari luar yang datang ke situ. Mereka dengar di kawasan itu banyak ikan.

Mereka sebenarnya tak tahu di tempat yang mereka memancing itu merupakan tempat yang sama Aidil hilang. Tak pernah ada lagi orang kampung berani pergi memancing di situ sejak peristiwa itu.

Sekitar jam 10 malam, mereka pun memancing ikan. Suasana malam yang begitu tenang disimbah pula cahaya bulan. Kelima-lima remaja berkenaan pun tidak banyak bercakap. Masing-masing tenggelam dalam perasaan dan fokus pada pancingan.

Tiba-tiba... salah seorang daripada mereka terdengar suara misteri yang entah datang dari mana memanggil namanya. "Rahim...."

Yang empat orang lagi ini tak perasan kawannya yang sorang ini dah bangun pergi ke arah suara yang sedang memanggilnya itu seolah-olah terhipnosis dengan panggilan tersebut.

Kemudian yang seorang menoleh, tengok Rahim tak ada. Baru dia memanggil dan mencari kawannya yang seorang itu. "Rahim!" Keempat mereka tiba-tiba terdengar air berkocak kuat seperti sesuatu terjun dalam suangi.

Bila mereka suluh, mereka dapati Rahim mandi. "Wei Rahim! Kau buat apa tu?" Tanya kawan mereka. Rahim pun macam bingung. Kawan-kawannya pun suruh dia naik.

Rahim tak banyak cakap. Dia seperti bingung sendiri dan rasa seperti terpukau sahaja. Kawannya pun tanya, kenapa kau terjun sungai? Rahim diam tak cakap apa-apa. Keadaan itu membuatkan mereka rasa tak sedap hati dan berkemas nak pulang.

Ketika itulah mereka ditegur oleh seorang lelaki yang datang dari mana, "Dah nak balik ke? Masih awal lagi..."

"Ye bang, kami nak balik." Jawab mereka lalu melihat lelaki itu terus terjun ke dalam sungai. Terperanjatlah jadinya. Terus mereka pergi tengok, kut lelaki itu nak bunuh diri. Suluh punya suluh langsung tak timbul apa-apa.

Panik dengan keadaan tersebut, mereka pun menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya, mereka nampak lagi lelaki itu di belakang. Perasaan cuak mula menular dan mereka segera bergegas masuk ke dalam kereta.

Setelah mereka dah berada jauh, mereka perasan sesuatu, "Rahim mana Rahim?" Tanya mereka. Perasaan cuak masih membelenggu. Biarpun begitu, mereka kena berani dah berpatah semula. Mereka kena lawan perasaan tersebut.

Kali ini mereka hubungi telefon bimbit Rahim malangnya tak dapat. Setelah sampai ke tempat tadi, mereka memanggil-manggil nama Rahim. Kebetulan ada penduduk kampung yang lalu di situ bertanya apa yang berlaku.

Mereka pun memaklumkan bahawa Rahim hilang. Maka kecohlah hal Rahim pula yang hilang sedangkan mereka sendiri yang panggil Rahim naik ke tebing semasa Rahim sudah terjun ke dalam sungai.

Kemudian mereka berempat diberitahu bahawa tahun lalu ada orang bernama Aidil telah hilang di tempat berkenaan. Gambar pun ditunjukkan. Lantas mereka pun memberitahu, pada malam kejadian dalam samar-samar, mereka rasa lelaki itu yang tegur mereka.

Maka bertambah misteri, kes kejadian orang hilang di sungai berkenaan. Kali ini lelaki bernama Rahim pula menjadi mangsa. Adakah ia berkaitan dengan misteri Sulur Bidar berkenaan?

Walau bagaimanapun, selepas tujuah hari, mayat Rahim akhirnya ditemui oleh Maarof tukang jala. Ketika itu dilihat Sulur Bidar muncul.

Maarof yang waktu itu melempar jala merasakan ada sesuatu yang tersangkut. Dia terpaksa tarik dengan kuat, dan alangkah terkejutnya itu adalah mayat seorang lelaki yang telah kembung.

Kawan Rahim membuat spekulasi, pada malam kejadian, yang mereka panggil naik ke tebing adalah bukan Rahim yang sebenarnya. Rahim mungkin sudah terjun lebih awal dari itu dan sudah dilemaskan.

Dan orang yang menegur mereka pada malam tersebut mungkin jelmaan Aidil. Itu hanya anggapan mereka sahaja kerana rupa jelmaan tersebut sama. Sekian.

Oleh: Rashid Salim

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "“Dah Nak Balik Ke? Masih Awal Lagi...” Misteri Jelmaan 'Sulur Bidar' Tegur Kaki Pancing"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK