Kisah Misteri: Ghaib Dari Terengganu
Rabu, 1 September 2021
Add Comment
Anas dan Mawi merupakan penjawat awam. Mereka berdua ini ditugaskan untuk menyelesaikan kerja mereka di Terengganu. Kebetulan pula di tempat tersebut Anas ni ada kenal seorang kenalan melalui medsos, nama Azman.
Selesai kerja mereka, Anas yang selama ini hanya berkawan dengan Azman melalui dunia maya sahaja mengambil keputusan untuk bertemu buat kali pertama. Mawi pun bersetuju. Biar ramai kawan, jangan ramai musuh.
Iyalah, ambil ruang sebelum balik ke Kuala Lumpur. Anas dan Mawi pun hendak pergi bertemu dengan Azman di sebuah kampung. Anas yang memandu kereta diberikan lokasi melalui Google maps. Cuma lokasi itu hanya sampai di suatu kawasan sahaja kerana telefonnya tiada signal.
Mawi bertanya kepada Anas, “Kenapa tak call kawan kau tu?” Anas pun beritahu yang dia dah call tapi tak dapat. Kemudian Mawi pun cuba call pula nombor telefon yang diberikan oleh Anas pun tak dapat juga.
Mereka cuba juga mencari lokasi rumah Azman kerana mereka dah jauh masuk ke dalam. Memang tak dapat coverage. Susah untuk mereka hubungi Azman. Sebelum ini pun Azman ada beritahu bahawa kawasan rumahnya liputan kurang.
Mereka dah pun hampir Maghrib. Mawi pun berkata lagi, “Kau nak pergi jumpa juga ke kawan kau tu? Rumah dia pun tak tahu kat mana, nak contact dia pun tak dapat. Better kita patah balik ajelah…” Saran Mawi.
Belum sempat Anas menjawab, tiba-tiba enjin keretanya tersedut-sedut. Anas rasa keretanya bermasalah pula di kawasan yang gelap. Mereka perhatikan ia dekat dengan kawasan kebun getah. Anas pun keluar dari kereta, Mawi pun ikut keluar juga selepas mereka parkir ke tepi. Enjin pun mati.
Dia buka bonet depan kereta tu, lihat-lihat dah berasap. Ish!!! Anas mengumam geram. Padahal keretanya itu baru sahaja lepas servis, takkan bermasalah pulak? Geram rasanya. Kawasan tersebut sunyi sangat. Tak ada langsung kenderaan lain yang lalu lalang.
Mungkin juga waktu Maghrib, kemudian Mawi berkata lagi kepada Anas, kawasan tu tak ada langsung rumah orang. Ke salah masuk lorong? Mawi agak curiga namun Anas berkata jalan yang dilalui itu rasanya dah betul cuma line telefon tak ada.
Kadang-kadang rasa menyesal pun ada juga, sebab nak pergi berjumpa dengan orang yang tak pernah jumpa. Tak sangka pula sukar sehingga begini rupa sekali. Timbul masalah pula. Nak beritahu Azman, call pun tak dapat. Hantar Whatsapp pun tak bluetick pun. Sudah tentu mesejnya itu tak sampai.
“Macam mana ni Nas?” Soal Mawi yang berada di tepi Anas. Sempat dia cucuh rokok. Resah jadinya bila melewati keadaan tersebut. Dengan siapakah mereka ingin meminta bantuan?
“Aku pun tak tahu ni.” Anas mengusap kepalanya. Dia pun turut gelisah. Dia sendiri tak tahu nak berbuat apa lagi. Dia tak jangka perkara ini akan berlaku.
Tidak semena-mena malam yang kian gelap itu kedengaran suara tangisan, ia seperti di dalam kebun getah itu. Suara yang agak menyeramnya.
“Eh Nas, tu suara pontianak ke?”
“Ish! Tu suara musang ler, kau ni tak pernah dengar suara musang ke? Memang macam tu la suara dia.”
“Macam suara hantu je tu Nas,” kata Mawi.
“Eh taklah. Kau ni suka sangat fikir yang bukan-bukan. Lebih baik kita cari cara bagaimana nak settle masalah ni,” ujar Anas dia pun hulur tangan minta rokok sebatang dengan Mawi. Buat meredakan keadaan.
“Nak cari cara macam mana Nas, tak ada siapa pun kat sini. Coverage pun tak ada kat kawasan ni,” Mawi merungut sambil melihat signal pada skrin telefon bimbitnya yang tiada.
Bunyi suara musang tadi sudah sepi. Yang kuat sekarang adalah suara cengkerik berlagu riang bergema di dada malam.
Sekarang sudah pukul 8 malam tiada seorang pun yang lalu di jalan itu untuk dia minta pertolongan. Sangat pelik. Takkan tak ada sebuah pun kenderaan? Sedang dia menanti sesiapa yang lalu, tiba-tiba dia terdengar enjin motosikal dari jauh dia dengar tapi tak nampak pun.
Rupa-rupanya motosikal itu tak berlampu. Anas pun lambai-lambai tangan sambil pegang telefon agar penungang motosikal itu nampak cahaya dari skrin telefon bimbitnya itu. Sebaik sahaja motosikal itu hampir tiba dekatnya.
Akhirnya penunggang motosikal itu pun berhenti dan bertanya, “Kenapa encik?” Anas pun memberitahu yang kereta mereka ada masalah.
“Bengkel ada tak dekat-dekat sini?” Tanya Anas dan lelaki itu berkata bengkel tak ada dalam ini, tapi dekat simpang masuk luar sana ada bengkel.
“Kami ni pergi rumah kawan, Azman…”
“Ooo… Azman….” Jawab lelaki itu. “Rumah dia tu ha depan tu sikit je, ada lorong. Marilah saya tumpangkan,” lega rasanya bila beritahu rumah yang Azman tak jauh pun. Lelaki itu sudi tumpangkan mereka.
Satu motor naik bertiga. Memang tak jauh, masuk je lorong, nampak sebuah rumah, di situ lelaki itu tinggalkan Anas dan Mawi. Selepas mengucapkan terima kasih, lelaki yang bawa motosikal Yamaha Cup tak berlampu itu pun berlalu.
“Eh Nas, betul ke ni rumah kawan kau tu?” Soal Mawi melihat sebuah rumah tiang tinggi tapi bergelap langsung tak ada cahaya lampu. “Gelap takde lampu pun…” sambungnya.
Anas memerhati keadaan rumah itu, nampak dekat bumbung itu seperti cahaya dari liuk-liuk lilin atau mungkin pelita.
“Assalamualaikum…” Anas memberi salam tetapi tiada berjawab. Tidak lama selepas itu tingkap pun terbuka nampak sosok seperti seorang lelaki berdiri di tingkap rumah dan bertanya siapa.
Anas pun memberitahu dirinya adalah Anas dan mencari Azman, adakah itu Azman? Mendengar pertanyaan tersebut terus dipelawa masuk. Sewaktu Anas dan Mawi melangkah, jelas kedengaran bunyi papan setelah dipijak.
Keadaan rumah seperti rumah yang usang. Kasihan betul Anas rasakan. Tak sangka betul begini keadaan tempat tinggal Azman.
“Kenapa gelap?” Tanya Mawi.
“Entahlah, tiba-tiba elektrik tak ada.” Balas Azman.
Mereka berdua duduk di ruang tamu. Rumah itu kosong, langsung tak ada perabut. Yang ada hanya tikar mengkuang dekat tiang seri. Langsir rumah pun tak ada.
“Duduklah…” Pelawa Azman yang berpakaian lusuh. Sementara itu Azman pun ambil pelita ayan yang disangkut di dinding itu untuk dibawa turun ke dapur.
Hanya satu sahaja pelita ayan di dalam ruamh itu. Setelah Azman bawa turun ke dapur, maka di ruang tamu akan gelap. Anas dan Mawi duduk bersila di atas tikar mengkuang itu. Mereka pun penasaran sebenarnya, apa yang Azman nak buat di dapur itu?
“Eh, kawan kau nak buat apa tu?”
“Mungkin nak buatkan air kut…”
Tiba-tiba seluruhnya bergelap. Tiada langsung cahaya dari pelita itu seolah-olah dipadamkan. Anas dan Mawi cuba tenang, tapi perasaan itu terhakis sebaik sahaja terhidu bau yang sangat busuk.
Mawi terus tegur, “Nas, bau apa ni Nas busuk giler!” Bau itu semakin menusuk rongga. Hampir nak termuntah jadinya.
Menyedari ada yang tidak kena, Anas dan Mawi mengambil keputusan untuk turun keluar dari rumah tersebut. Tiba-tiba lantai yang dipijak mereka itu rapuh menyebabkan mereka berdua jatuh ke bawah.
Sakitnya bukan kepalang. Mereka pun terus cuba berlari keluar dari tempat itu tapi tak jumpa jalan. Mereka rasa dah lari jauh dari rumah itu. Tapi selalu berjumpa di tempat yang sama.
Anas dan Mawi lelah. Mereka terperangkap di situ sampai penat. Akhirnya terduduk dan termanggu. Dia cuba kawal perasaan. Sudah tak tahu berapa lama mereka ada di situ kerana yang peliknya angka pada telefon bimbit mereka hanya menunjukkan jam 8 sahaja.
Entah bagaimana mana mereka rasa pening dan pitam di situ. Keesokannya, mereka sedar kembali dan mendapati rumah yang ada di hadapan mereka adalah sebuah rumah buruk dan usang. Tak ada sesiapa pun tinggal di situ. Bersemak samun sekali. Malah tak ada lorong pun yang menghala masuk ke situ.
Mereka nak cari jalan keluar di dalam keadaan redup tersebut. Mereka redah sahaja semak-semak itu dan terdengar bunyi aliran sungai.
“Kat mana kita ni Nas?”
“Aku tak tahu,” balas Anas dan terus melangkah. Badan masih terasa sakit akibat terjatuh.
Tiba-tiba dia ternampak keadaan yang pernah dilihat sebelum ini. Dia tenyeh-tenyeh matanya sendiri. Betul ke apa yang dilihatnya ini? Mawi pun turut terkejut.
“Eh Nas, ni Air Terjun Kancing, kan?”
“Tu yang aku pelik,” Anas rasa ragu-ragu sehinggalah dia melihat ada papan tanda tertera perkataan Air Terjun Kancing, Selayang.
“Bukan ke kereta kita mati kat Terengganu?” Soal Mawi lagi yang masih kebingungan.
Dia rasa pelik dan cuba kembali ke tempat tadi dan rumah yang dicari-cari tu tak nampak. Tergaru-garu kepala. Selepas itu dia pun melihat telefon bimbitnya.
Anas dan Mawi berpandangan sesama sendiri selepas menyelidiki telefon masing-masing. Terpinga-pinga jadinya. Seolah-olah tidak percaya.
Namun dia tetap syukur, baru 3 hari. Bagaimana jikalau ia adalah tiga tahun? Sedangkan dia merasakan seperti sekejap sahaja.
Azman call mencari mereka. Lantas Anas memberitahu sesuatu yang membuatkan Azman rasa tak percaya. Anas menyatakan bahawa mereka muncul di Selayang setelah dibawa masuk oleh seseorang ke dalam kebun getah.
Lelaki yang ditemui mereka mirip dengan Azman. Tidak semena-mena, Azman pun ketawa membuatkan Anas bingung. Anas beritahu Mawi yang Azman gelakannya.
Azman tak percaya langsung dan menganggap bahawa Anas seorang yang tidak jujur. Apa boleh buat. Dia memang dah berjanji nak pergi jumpa Azman, tetapi hal lain yang berlaku. Manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan.
Peristiwa tersebut hanya Anas dan Mawi sahaja yang lalui, sukar untuk dibuktikan kerana pada hari kejadian dia berada di Terengganu. Dan memang kereta mereka tersadai di tepi kebun getah itu setelah mereka pergi mengambilnya semula.
Kali ini mereka pergi dengan ditemani dua orang rakan lagi untuk melihat adakah rumah itu wujud, ternyata rumah itu tiada di situ. Cuma…
“Nas…” Panggil Mawi.
Anas dan Mawi berpandangan sesama sendiri setelah melihat di atas tanah merah becak. Ya… ada kesan tayar motosikal.
Dan, di situ sebenarnya ada coverage, tetapi pada hari kejadian coverage tiba-tiba tiada. Ia sangat mencurigakan. Lagi menyakitkan hati, kereta mereka elok sahaja, tak ada apa-apa masalah pun. Enjin berada dalam keadaan baik sahaja.
TAMAT
Karya: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Kisah Misteri: Ghaib Dari Terengganu"
Catat Ulasan