Gangguan Di Bengkel Kusyen
Selasa, 21 September 2021
2 Comments
Kejadian kisah seram ni berlaku pada 2009 ketika Zainuri buat kerja waktu malam. Dia ni buat kerja sambilan di bengkel kusyen kawannya bernama Arman. Siang dia dah kerja kedai bengkel kusyen tempat lain. Kawannya meminta tolong dia sebab kawannya si Arman ni banyak dapat job.
Jadi, Arman berbagi tugas itu. Tambah pula si Zainuri ini nak cari duit lebih. Arman pula kadang-kadang pun ikut bantu sekali. Cuma pada malam itu Arman ada hal lain. Pada hari itu ada sofa yang baru masuk untuk dibaikpulih.
Perniagaan Arman adalah bengkel kusyen. Pelbagai benda yang berasaskan kusyen dia buat termasuklah kusyen kereta dan motor. Sofa pun dia ambil juga. Kalau nak dekat raya, maka adalah yang hantar sofa untuk direpair.
Peniagaan Arman semakin lama semakin maju, maka tak menang tangan dia nak buat kerja, oleh itu dia meminta bantuan Zainuri. Di samping itu dia pun mengupah juga beberapa orang pekerja sebagai pembantu sahaja.
Kerja-kerja ini memerlukan kemahiran yang tinggi. Dipendekkan cerita. Pada malam tersebut, dalam pukul 11 malam, keadaan hening. Zainuri berhenti menjahit sekejap. Dia menguap beberapa kali. Entah mengapa dia rasa mengantuk.
Tiba-tiba, dia terdengar sesuatu di bahagian depan seperti sofa kena tarik, memang jelas dia dengar bunyi sofa beralih. Dia ingatkan Arman yang datang, dia pun tegur, "Kau ke Man?" Tanya Zainuri sambil jengul-jengul kepala.
Dia yang berada di mesin jahit itu pun segera bangun. Dia berasa hairan kerana pertanyaan dia tak berjawab langsung. Kemudian dia melangkah pergi ke hadapan. Dia pun jengul kepala keluar intai-intai kut ada sesiapa.
Tak ada sesiapa pun. Dan dia pun memerhatikan sofa yang baru sampai pada petang tadi, sofa itu memang beralih tempat. Sofa jenis kayu jati warna merah. Dia terfikir juga, siapa yang alihkan sofa berkenaan? Pelik rasanya.
"Man?" Dia panggil. "Kau nak main-main ke?" Soal Zainuri lagi. Masa dia tercari-cari kelibat akan sesiapa dekat luar itu, tiba-tiba...
Dia terdengar ada benda yang jatuh di lantai. Segera dia menoleh ke belakang dan memerhati di dinding kut apa-apa yang tersangkut dinding bengkel itu ada yang jatuh. Tapi tak ada. Kemudian terus dia terdengar mesin jahitnya berbunyi.
Meremang habis bulu romanya. Bunyi itu seolah-olah ada orang sedang menjahit. Dia tenyeh-tenyeh matanya, dia seperti nampak sosok gelap di atas kerusi tempat dia menjahit. Ia sekilas pandang kemudian hilang.
Bunyi mesin jahit itu sepi. Yang hadir pula ada bau yang sangat busuk. Zainuri rasa bau itu sangat-sangat meloyakan. Dia pun segera melangkah keluar dari bengkel itu. Dia rasa ada sesuatu yang tak kena.
Dia pun terus menelefon Arman dan lebih kurang hampir jam 12 tengah malam maka Arman pun datang. Zainuri pun memaklumkan akan apa yang terjadi namun Arman tak mempercayainya dan beranggapan itu karut.
Dan pada esok malam, Arman menemani Zainuri membuat kerja. Apa yang Zainuri katakan itu tidak berlaku. Ini membuatkan Arman berkata bahawa Zainuri berhalusinasi. Hal tersebut telah membuatkan Zainuri bengang dan tak datang kerja pada hari berikutnya.
Arman pun tanpa mengambil peduli, dia membiarkan seketika perasaan marah Zainuri. Dia menyelesaikan dahulu kerja-kerja tersebut. Jadi dia meminta bantuan kawannya lagi seorang, Adli. Pun begitu juga. Adli diganggu.
Jadi Adli pun bercerita dengan Zainuri hal yang sama, Arman pula mula curiga. Apa yang tak kena? Adli memberitahu ternampak kelibat perempuan yang mengerikan di dalam tandas sewaktu dia hendak membuang air kecil. Rambutnya mengurai, kukunya panjang. Mata lebam-lebam dan ternampak banyak kesan tompok-tompok darah.
Arman betul-betul nak minta tolong dengan mereka, sebab kerja perlu dibereskan tapi mereka bimbang. Kali ini buat bersama. Tapi mereka kata bengkel Arman ni ada yang tak kena. Arman pun mengeluh.
Seterusnya, Arman pun nak selesaikan sofa kayu jati warna merah itu. Selepas dibuka pembalut kusyen. Dia terkejut ada sesuatu yang terjatuh dari celah sofa itu. Eh? Arman lihat ia botol kecil sahaja. Dia yang tak tahu menahu terus pegang dan membukanya.
Dia hidu apa yang ada di dalamnya. Tidak semena-mena, dia pun rebah pengsan. Zainuri yang kebetulan pada pagi itu pergi ke bengkel, nampak Arman dah terbaring di lantai. Dia nampak botol yang berada di tangan.
Sekilas pandang dia nampak ada sosok perempuan sedang menindih tubuh Arman. Sosok yang mengerikan kemudian hilang. Disebabkan hal itu, Zainuri yakin botol itu adalah minyak dagu. Zainuri hubungi Adli minta bantuan.
Seterusnya membawa Arman pergi jumpa pak ustaz. Cuma begitulah, keadaan agak sulit sedikit kerana Arman membuka minyak dagu itu. Hal itu merenyahkan berbanding kalau dia hanya pegang. Mungkin minyak itu sudah terkena pada tubuh badannya.
Namun, Arman dapat disembuhkan. Alhamdulillah. Cuma Arman tidak mahu memanjang cerita berkenaan sofa merah kayu jati itu. Kemungkinan besar tuan sofa itu tidak tahu berkenaan minyak tersebut.
Zainuri pun meminta maaf kerana awal-awal tak selidik dahulu keadaan sofa berkenaan. Kalau tidak, semua itu takkan berlaku. Apa boleh buat, keadaan telah pun terjadi. Bukan waktu untuk saling salah menyalahkan.
Sekian. - Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
Selalunya benda tu suka mengacau saja nk tgk manusia takut ke tak
BalasPadamAda betulnya juga...
Padam