Abang Polis Kena Usik Di SJR
Khamis, 23 September 2021
Add Comment
Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 90an di mana kerap terjadinya kes kecurian kereta. Pihak polis juga telah mengadakan SJR, iaitu sekatan jalan raya di beberapa kawasan terpencil bagi mengesan penjenayah.
Pada lewat pagi, di suatu tempat yang sunyi. Anggota polis sedang melakukan tugasnya, menanti kenderaan melewati sekatan berkenaan. Ada yang telah menerima saman gara-gara tiada lesen memandu dan beberapa kesalahan lain.
Jalan raya semakin sunyi. Jelas kedengaran suara unggas-unggas di hutan kiri dan kanan. Cengkerik pula semakin nyaring berlagu.
Hari semakin dingin, mereka masih setia menjalan tugas pada jam terakhir. Kenderaan yang melewati jalan berkenaan pula semakin berkurangan dan boleh dikira dengan jari.
Lebih kurang empat pagi, tiba-tiba ada sebuah kereta Proton Saga lama warna merah menghampiri. Polis bertanya kepada pemandu, nak pergi mana? Pemandu tersebut pun berkata bahawa dia hendak pulang ke rumah.
Polis tersebut pun berasa pelik melihat orang yang berada di bahagian tempat duduk belakang, ada dua orang sedang tundukkan kepala, semuanya lelaki. Polis tu tanya lagi, "Yang belakang tu kenapa tunduk je?"
"Mana ada sesiapa encik, saya sorang je." Kata pemandu itu. Apabila pemandu beritahu begitu, seorang lagi polis pun datang tengok, memang tak ada sesiapa pun. Hanya polis yang bernama Hafiz sahaja yang nampak.
Curiga dengan keadaaan itu, mereka meminta kereta itu ke tepi untuk membuat pemeriksaan lanjut. Lelaki itu bertanya, "Kenapa encik?" Polis meminta lesen dan sebagainya. Lelaki itu memberikan kerjasama yang baik.
Hafiz membaca nama lelaki itu, nama Razak yang tertera pada lesen memandu. Setelah segalanya lengkap akhirnya mereka berpuas hati dan membiarkannya untuk pergi.
Sebaik kereta itu hendak bergerak, sekali lagi Hafiz memandang ke arah kereta itu, dia nampak lagi kelibat dua orang lelaki berada di belakang.
Hafiz memberitahu kepada rakan setugas, dan mereka merasakan aura yang sama walaupun tak dapat melihatnya. Tapi biasalah, berada di kawasan yang sunyi. Kiri dan kanan ada hutan pulak tu. Begitulah dah jadi tugas.
Walaupun mereka dibekalkan dengan senjata api, tetapi nak lawan dengan makhluk halus bukan boleh tembak dengan pistol. Ia mesti dilawan dengan keberanian. Itulah bekalan mereka. Hafiz bukan takut. Kalau dia takut, dia tak jadi polis.
Tidak berapa lama selepas itu, kereta yang sama muncul lagi dari arah yang sama. Hafiz dan anggota setugas yang lain berasa hairan. "Eh encik, bukan ke encik dah balik sana ke tadi?" tegur salah seorang rakan Hafiz tapi Hafiz cepat-cepat tarik tangan rakannya itu.
Mereka nampak dengan jelas wajah lelaki itu pucat lesi melalui tingkap yang terbuka. Ia tidak seperti awal-awal tadi. Kepalanya terlihat ada kesan luka dan berdarah.
Pemandu tersebut diam sahaja. Mereka yang ada di situ melihat pemandu berkenaan memandu perlahan. Hafiz rasa ada sesuatu yang pelik telah berlaku. Jadi... dia pun membiarkan sahaja pemandu itu melewati sekatan jalan sekali lagi.
Rakannya bertanya kepada Hafiz, kenapa biarkan dia pergi? Hafiz tak menjawab dan mereka pun menyelesaikan tugasan sekatan di situ dan berundur. Pelik betul, bagaimana mungkin jalan itu boleh dilewati lagi kalau sudah ke depan?
Selepas mereka pulang ke balai, Hafiz pun mendapat tahu bahawa jalan berkenaan sering terjadi kemalangan maut.
Kereta yang mereka jumpa pada malam itu adalah penampakkan yang pernah terlibat dalam kemalangan ngeri. Razak dan dua rakannya terbunuh beberapa bulan sebelum itu. Kematian mereka telah pun direkodkan sebelum ini.
Sekian. - Rashid Salim.
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Abang Polis Kena Usik Di SJR"
Catat Ulasan