Kejadian seram! Bercinta dengan orang yang telah meninggal dunia


Jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah Azza Wa Jalla, malah ada yang bertemu jodohnya melalui media sosial. Berkenalan dan kemudiannya mendirikan rumah tangga. Media sosial juga menjadi medium perkenalan dan silaturahim bagi menghubungkan seseorang dengan seseorang yang lain melalui jaringan ini.

Tidak ketinggalan Arif (bukan nama sebenar) yang berkenalan dengan gadis bernama Linda menerusi Facebook. Arif memberitahu Linda memiliki raut wajah yang cantik berdasarkan daripada gambar profil yang dipamerkan.

"Kami saling berkongsi cerita di messenger. Berborak dan berkenalan selama beberapa bulan. Linda memang seorang yang peramah," kata Arif memujinya.

Arif juga menanam hasrat agar dapat bertemu jodoh di dunia maya memandangkan dirinya juga sudah lama bujang. Kawan pula sudah ramai yang berumah tangga.

Kadang dia terfikir juga, sampai bilakah dia mesti hidup berseorangan begini dengan menguruskan semua benda seorang diri? Jadi, dia ingin berhubungan lebih serius dengan Linda.

"Saya sebenarnya jatuh hati dengan Linda. Cara dia sembang dengan saya, saya rasa sungguh terhibur. Kalau dia tak online... saya mula rasa rindu, rindu terhadap dia," ujarnya.

Arif berkata bahawa dia ingin bertemu dengan Linda. Dia mahu Linda membuktikan kejujurannya. Lalu Linda berkata dia telah berlaku jujur dan tidak pernah menipu apa-apa.

"Kadang saya ni serik juga, bukan apa, risau sebab Facebook kan banyak yang suka buat fake account atau akaun palsu. Bukan nak curiga cuma inginkan kepastian," Arif ingin Linda ikhlas serta berlaku jujur terhadapnya.

Menceritakan kekecewaan dalam percintaan yang lalu membuatkan dia lebih berhati-hati. Namun dengan Linda, dia masih menaruh kepercayaan cuma dia inginkan kepastian sahaja.

Selepas beberapa bulan berkenalan, Arif ingin Linda berkongsi nombor telefon, namun Linda berdalih bahawa dia tidak mahu bercakap. Jadi Arif pun mula rasa curiga.

"Bila dia memberikan alasan maka saya pun menaruh syak, saya rasa tertipu. Lalu saya menduga mungkin saya dipermainkan agaknya. Manalah tahu kut-kut orang menyamar nak kenakan saya,"

Selepas itu Arif berkata yang dia ingin bertemu pula dengan Linda bagi membuktikan bahawa Linda benar-benar wujud. Lantas Linda menjawab yang dia memang wujud.

"Kalau dia wujud, kenapa tak nak bagi nombor telefon, kan? Saya dah minta banyak kali tapi dia tak nak bagi. Jadi saya minta la dia nak berjumpa walaupun dia kata dia tinggal jauh. Saya cakap saya sanggup datang,"

Kemudian Arif berkata bahawa Linda memberitahunya dia tinggal jauh, tapi kalau nak... Linda boleh datang jumpa Arif. Jadi Arif pun memaklumkan yang dia bersetuju.

"Cuma saya peliknya dia nak jumpa saya pada waktu malam, dia sendiri yang nak datang." Arif sudah mula rasa tercabar kerana seorang perempuan mahu bertemu dengannya pada waktu malam.

Pada mulanya Arif tidak berfikiran negatif dan dia pun bersetuju. Dia pun memberikan alamat rumahnya supaya Linda dapat datang bertemu dengannya. Linda beritahunya pada tengah malam dia akan datang.

"Saya tunggu punya tunggu, dia tak juga datang. Saya dah tunggu depan rumah sampai jam dua pagi. Saya dah mula bosan dan rasa tertipu terus masuk dalam rumah," Lantas Arif pun masuk di dalam rumahnya.

Tetapi selepas dia masuk dalam rumah dia lihat langsir di dalam biliknya terselak. Dia pun ambil peluang jengah ke depan rumah kalau-kalau Linda datang, tapi hampa.

Bengang dengan keadaan itu, dia pun mesej Linda dan mengatakan bahawa Linda seorang penipu. Dia benar-benar marah. Selama beberapa hari, dia tidak menerima maklum balas daripada Linda.

"Saya mesej dia tapi dia tak reply, saya nak je block dia namun masih fikir positif lagi mungkin dia ada sebab tak dapat datang. Jadi saya bagi peluang untuk dia jelaskan," Arif masih mengharap.

Arif akhirnya dihambat kekecewaan yang teruk, dia mengharapkan ketulusan tapi dibalas dengan penipuan. Jadi dia mengambil keputusan untuk block sahaja akaun Facebook Linda, tetapi tiba-tiba dia terkejut.

"Waktu saya nak block, tiba-tiba dia reply kenapa nak block? Saya pun tersentak, macam mana dia tahu yang saya nak block FB dia? Saya jadi menggelabah sendiri." Arif kecut perut bila menerima maklum balas begitu.

"Dia kata yang dia memang datang rumah saya pada malam tu. Dia beritahu saya pakai baju apa, saya buat apa dalam rumah pada malam tersebut. Semua dia cakap tu adalah betul belaka," Arif terperanjat.


Sambung Arif lagi, "Linda kata dia dah lama mati..." setelah itu Arif bingung, macam mana orang mati boleh guna Facebook? Dia ingin selidik, dan apabila dia godek semula profil Linda, dia mendapati bahawa ia tidak lagi wujud.

Arif memaklumkan selepas kejadian itu, Linda tidak menghubunginya lagi melalui messenger. Malah akaun FB Linda juga tidak ada. Dia pun tidak tahu di mana Linda pergi. 


Arif mencari gambar Linda yang disave dalam galeri telefonnya, tetapi malangnya tidak ada lagi. Dia berasa pelik dan aneh. Ketika itu barulah Arif percaya bahawa Linda memang benar-benar wujud dalam ghaib.

Tapi persoalannya... siapakah Linda yang sebenar-sebenarnya? Ia kekal menjadi misteri sehingga ke hari ini...

Cerita asal: Ujang
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Kejadian seram! Bercinta dengan orang yang telah meninggal dunia"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK