Misteri Pantai Teluk Mayat, Dungun


Zaman kanak-kanak, saya juga meminati aktiviti berkelah dan memancing. Kali ni saya nak berkongsi satu cerita tentang satu teluk kat tempat saya, namanya orang panggil Pantai Teluk Mayat, bersebelahan Taman Rekreasi Pantai Teluk Gadong, Dungun Terengganu. Itulah buat pertama kali saya ingin menjejakkan kaki ke sana setelah diajak kawan.

Ianya terletak di sebalik bukit Teluk Gadong itu. Dahulu nak pergi ke sana boleh menaiki tangga mahupun jambatan tetapi sekarang semuanya dah tak wujud kerana ia rosak teruk gara-gara musibah. 

Walau bagaimanapun masih lagi boleh ke sana cuma kena susah payah sikit dengan memanjat bukit tersebut. Saya yakin kini pondok-pondok dan surau di dalam hutan tu semua dah usang, buruk tak terjaga kerana ia tidak lagi dibuka.

Masa lalu, kawasan tersebut memang meriah, tambah lagi ia dekat dengan UiTM Dungun. Ramai orang bersantai dan ia menjadi tumpuan pengunjung. Tetapi sekarang tidak lagi, suasana itu seolah-olah direntap oleh peredaran zaman dan perubahan persekitaran. 

Mungkin juga ketidakstabilan politik turut mengakibatkan tempat berkenaan tidak lagi membangun dan nampak tidak terurus. Tempat tersebut tidak lagi seindah dulu. Sungguh merugikan dan kecantikan dan keindahannya seolah-olah telah diragut.

Baiklah, kenapa diberikan nama teluk mayat? Dahulu jika terdapat kes orang mati lemas di laut, biasanya mayat mereka ditemui terdampar di situ maka melekatlah namanya begitu sehingga ke hari ini. 

Dan lagi satu, di situ terdapat juga gua kecil yang dipanggil Gua Kelawar. Selain itu, saya pun tak pasti apa lagi nama samaran lainnya untuk gua tersebut. Biasalah, lain orang lain gelaran diberikannya.

Saya dan beberapa orang rakan pergi ke sana untuk bersuka ria semata-mata. Pada tengah hari itu tidak ramai pengunjung. Kira-kira seronoklah juga tak ada nak rasa segan dan terganggu. Keadaan sunyi.

Cuma sewaktu dalam perjalanan menuruti laluan berbatu yang dibina, saya rasa seperti sedang diperhatikan sahaja. Ketika itu saya dah mura rasa tak sedap hati tetapi saya cuba abaikan.

Saat hampir hendak tiba, kami mesti menuruni tangga batu. Di bawahnya pula terdapat sebuah pondok. Saya nampak sosok seseorang sedang duduk di situ tetapi dalam sekilas pandang sahaja kemudian lenyap ghaib. Saya anggap sahaja ia hanya khayalan atau mainan mata atau juga perasaan saya seorang sahaja.

Kami pun apa lagi, letak bakul dan hamparkan tikar. Masing-masing sedang siapkan joran. Ada yang pergi mengutip kayu. Itu adalah persiapan untuk membakar ikan, yakni hasil pancingan. 

Selepas tu, saya pulak tertoleh muka gua, ternampak lagi kelibat yang sama, ia juga sekilas pandang. Terus saya rasa tak sedap hati dah. Jantung saya dah berdebar-debar. Kelibat siapa itu? Erm, entahlah saya cuba abaikan sekali lagi.

Tidak semena-mena salah seorang kawan saya ajak masuk gua. Saya dah mula cuak. Ada apa dalam tu? Tak pernah pulak saya masuk. Apa salahnya ramai-ramai pergi masuk tengok apa yang ada, kan? Fikir saya. 

Tapi itulah, buat apalah nak masuk ke situ. Untuk cari penyakit atau apa? Tapi iyalah, kami budak-budak lagi masa tu, perasaan ingin tahu sangat tinggi meskipun saya sebenarnya cuak untuk ikut ajakan mereka.

Perlahan-perlahan saya menurut langkah mereka. Gua itu tirus, semakin ke dalam, ruangnya menjadi semakin sempit sehinggahlah saya dikejutkan dengan kelawar yang terbang keluar dari gua. 

Mereka yakni kelawar tersebut rasa tergganggu agaknya. Suasana gelap. Sampai ke penghujung, tak ada apa pun. Biasa je. Hanya pasir dan bebatu. Itu aje pun. Kiranya tak ada la istimewa sangat.

Saya dan yang lain-lainnya keluar semula. Tiba-tiba, ada yang menyeru namaku dari arah gua. Rashid... diulang beberapa kali. Seriau saya rasa. Terus cepat-cepat saya lari mendapatkan kawan-kawan tanpa saya menceritakan apa yang terjadi. Rasa nak balik serta merta!

Saya diamkan sahaja sambil memerhatikan mereka memancing dan beraktiviti. Saya jadi tak keruan. Rasa nak balik sahaja. Jiwa dan perasaan saya semua rasa tak tenteram. 

Seolah-olah saya masih diperhatikan sahaja. Memang perasaan itu sangat menebal. Saya ditegur kawan bertanyakan tentang kenapa dengan saya, tapi saya jawab tak ada apa-apa.

Sampai ke petang membawa perasaan tu padahal tak ada apa-apa pun. Tapi punya kalut sampai saya jadi resah begitu. Tak senang duduk saya sebenarnya duk tengok-tengok sekeliling. Masa tu la saya  ternampak ada benda laju melintas depan mata. 

Apabila sudah tiba senja, kami semua nak bertolak balik. Seriau jadinya. Saya tanyalah kat kawan, ada nampak tak benda terbang? Diorang pun jawab yang mereka semua tak nampak cuma saya seorang saja yang nampak.

Tak pasal-pasal saya dituduh sengaja cari pasal. Lepas tu saya diam je la. Dalam perjalanan nak balik tu… kaki saya macam kena pegang. Tak dapat bergerak. Ketika itu saya nak jerit pun tak dapat. Saya dah cuak. Takut sangat. 

Adakah kaki saya sebenarnya dah krem? Ah! Rupa-rupanya, bila saya tengok ada tangan hantu sedang pegang kaki saya! Saya pun apa lagi, cuba jerit kuat-kuat! Tapi tak dapat. Lepas tu tiba-tiba je longgar balik, terus saya lari dapatkan mereka yang ada dekat depan tu.

Termengah-mengah saya lari sekuat hati. Tanpa sedar saya dah tinggalkan diorang. Lepas tu mereka tanya kenapa saya lari macam kena kejar hantu? Memang saya kena kejar hantu pun. Diorang apa tahu! 

Sampai dekat basikal, saya capai dan kayuh laju-laju balik rumah. Memang tak bercakap apa-apa dah dengan diorang. Diam je sejak balik rumah. Kayuh basikal laju-laju pun macam tak ada makna, macam berat je.

Saya ingat semuanya dah settle sampai situ, tapi rupa-rupanya sampai rumah benda tu ikut. Saya tak tahu apa benda sebenarnya. Nak dipendekkan cerita, saya pun dibawa berjumpa dengan orang bijak pandai, orang tu berkomunikasi dengan 'benda' tu la kut suruh balik tempat asalnya. 

Huh! Selamat saya… benda apa la agaknya yang mengikut? Itulah pengalaman saya semasa budak-budak. Saya jadi serik nak pergi tempat-tempat gitu. Tapi bila besar ni tak terasa pulak nak pergi lagi, kut benda yang sama ada duk tunggu lagi dekat situ. 

Manalah tahu, kan? Walaupun dah lama ianya berlalu, namun benda tu boleh hidup beratus tahun malah lebih lama dari manusia. Ish! Seriau pulak saya rasa setelah terimbas masa lalu….

Sekian….

Penulis: Rashid Salim

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Misteri Pantai Teluk Mayat, Dungun"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK