Misteri Rumah Sewa RM300


Semalam saya dapat satu perkongsian kisah seram dari sahabat saya iaitu Abie. Katanya ia adalah sebuah kisah yang terjadi kepada adik iparnya. Saya tanya, tak apa ke kongsi dengan pembaca? Dia kata boleh, tapi jangan mention nama tempat sekian-sekian.

Baiklah saya faham demi menjaga nama baik. Abie sudi bercerita pun dah kira bertuah, sekurang-kurangnya dapatlah kita menelusuri sebuah kejadian yang berlaku pada orang lain agar dijadikan iktibar dan pengajaran,

Jadi saya cuma tulis untuk menyampaikan kepada anda kisah berkenaan. Semoga kisah ini sampai dan anda faham. Ia tentang Emy (bukan nama sebenar) adik ipar Abie sendiri. Saya pun tanyalah Emy tak marah ke cerita? Katanya okey, Kak Yan? (Isterinya) Okey.

Jadi kalau semua orang, maka tak ada halangan lagi untuk saya berkongsi dengan anda semua kisah akan tersebut yang berlaku di Melaka sekitar tahun 2007. Emy orang Perak, dapat tawaran kerja di Melaka, sebuah pasaraya sebagai kerani.

Emy adalah adik Kak yan. Faham setakat ni? Kalau faham saya teruskan. Cerita ini adalah dari Abie sendiri, saya cuma sampaikan kembali kepada anda. Baiklah...

Seterusnya Emy pergi ke Melaka cari rumah sewa. Malangnya rumah sewa di sana harganya mahal. Buat sementara dia dengan kawannya lagi dua orang menyewa bilik sahaja. Mereka sama-sama dapat kerja di sebuah pasaraya tersebut.

Cuma sebelum mula kerja, mereka harap dapatlah rumah sewa yang lebih murah. Mungkin belum rezeki mereka. Walau bagaimanapun mereka tak berputus asa, cari rumah yang lebih mampu untuk dibayar.

Harga sewa sekitar bandar Melaka ketika itu pada kadar RM400 - RM600 begitu. Jadi... mereka pula baru nak mula kerja, rasanya harga tu kira mahal. Hanya sementara waktu sewa bilik sahaja.

Dipendekkan cerita, penat mencari rumah sewa sampai terbawa mimpi. Pada suatu malam Emy ni bermimpi dan dalam mimpinya di nampak sebuah rumah tapi jauh dari bandar.

Dalam mimpinya itu ada seorang pakcik telah memberinya sewa rumah tersebut pada harga RM300. Kemudian pada tengah malamnya dia terjaga sebab rasa wajahnya seperti diraup oleh seseorang.

Bila dia bangun tak ada sesiapa dan keesokannya dia dengan kawan-kawannya pun cari rumah di luar kawasan bandar. Ronda punya ronda dengan kereta kawannya, dia seperti kenal jalan yang dilalui itu. Eh? Kehairanan.

Dia rasa itu adalah jalan yang sama seperti yang berada dalam mimpinya pada malam tadi. Seterusnya dia masuklah di lorong itu, dia pun jumpa rumah tersebut, sama sebagaimana dalam mimpinya. Yang paling membuatnya bertambah terkejut adalah dia terjumpa pakcik itu di alam nyata.

Apa yang berada di dalam mimpinya malam tadi adalah sama. Emy tak tahu ia takdir atau apa, sehinggalah dia mendapat rumah sewa tersebut pada harga yang serupa seperti mimpinya iaitu RM300 juga.

Setelah selesai berurusan, serahan kunci pun dibuat, maka Emy dengan senang hati balik ke bilik sewa untuk siap-siap angkut mana-mana barang terlebih dahulu. Jadi mereka berdua kemas dulu, yang sorang lagi belum ikut.

Jadi Emy dengan kawannya pergi ke rumah sewa itu untuk kemas-kemas apa yang patut. Lepas dah lewat, mereka rasa penat pula. Kalau diikutkan mereka tak nak tidur di situ pada malam tu, tapi gara-gara penat maka mereka tertidur.

Pada tengah malam, tiba-tiba Emy ni terdengar seperti ada orang berjalan di ruang tamu. Derap kaki tu sangat jelas mundar-mandir. Emy rasa pelik, tapi dia buat tak tahu lagi masa tu sebab dia ingat itu cuma mainan perasaan sahaja.

Bunyi itu pun senyap. Dan esoknya mereka kembali semula ke bilik ambil semua sekali barang-barang yang lain jadi mereka bertiga pindah ke rumah itu kerana mereka akan mula berkerja di pasaraya. Mereka rasa lega sebab dah dapat rumah.

Seminggu kemudian, selepas Emy sudah mula bekerja, dia telah mula didatangi mimpi aneh. Dia rasa tak selesa gara-gara sering bermimpi tentang dirinya yang selalu mengemop lantai rumah berkenaan yang ada kesan darah.

Dikatakan setiap malam dia mimpikan benda yang sama. Hal itu berlarutan. Dia tak pula menceritakan perkara tersebut kepada kawan-kawannya. Dia memendam sendiri tetapi lama kelamaan memakan diri.

Sehinggalah suatu malam, dia termimpi lagi hal yang pelik. Dia mengemop kesan-kesan darah yang berada di lantai rumah. Dia teruskan mengemop sehingga sampai ke bilik mandi.

Setibanya di bilik mandi berkenaan, dia dapati ada sekujur tubuh tergantung. Lehernya perempuan terjerut dengan tali. Pakaian perempuan tersebut serba merah. Wajahnya pucat lesi, lidahnya terjelir keluar, manakala bebola matanya pula terjegil.

Emy amat-amat berasa takut melihat keadaan mayat tersebut. Dia berlari-lari sekuat hati meninggalkan mayat yang tergantung di bilik mandi menuju ke kamarnya. Dia kunci pintu rapat-rapat. Semasa berada di dalam bilik tersebut, tiba-tiba pintu bergegar seperti ada orang hendak melanggar masuk.

Emy panik di sebalik pintu itu. Dia cemas tak tahu nak berbuat apa sehinggalah dia rasa tubuhnya kaku. Dia cuba bergerak. Dia mula terjaga dari lena dalam keadaan badannya tidak dapat bergerak seolah-olah ditindih sesuatu.

Sedaya upaya dia cuba bergerak dan akhirnya barulah dia berjaya. Lelah dirasakan. Dia bangun dalam keadaan takut-takut, dan rupa-rupanya pada waktu itu baru pukul tiga pagi. Dia terdengar lagi seperti orang berjalan di luar biliknya. Selepas itu senyap.

Dia tak berani keluar bilik dan keliru sendiri. Dia tak tahu apakah itu mimpi atau realiti. Emy terus berbaring semula di katilnya dalam ketakutan. Hal itu berlarutan sehingga kawan serumah Emy mula menegur akan perubahan diri Emy.

Mana tidaknya, setelah masuk bulan ketiga badan Emy sudah susut, selera makan pula kurang. Emy tak cerita apa yang dia lalui di rumah itu. Dia pendam sendiri dan dihambat kemurungan. Emy seorang yang chubby tetapi jadi kurus. Muka cengkung.

Bukan sekadar itu, Emy pula menjadi seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Perubahan yang ketara itu membuatkan kawan serumahnya mula bimbang. Disebabkan itu mereka menyarankan agar Emy pulang ke kampung.

Setelah pulang ke kampung, orang tua Emy tidak menaruh apa-apa syak kecuali beranggapan bahawa Emy mungkin putus cinta gara-gara itu sering berkurung di dalam bilik. Mereka juga anggap Emy memerlukan masa.

Hakikatnya Emy apabila diajak makan, Emy tidak keluar makan sehinggalah keadaan Emy semakin memburuk. Pada hari berikutnya Kak Yan berasa tidak sedap hati. Dia yang berada di KL rasa hatinya tidak tenteram.

Entah kenapa Kak Yan rasa nak balik kampung. Bila dia balik kampung, dia rasa pelik kenapalah adiknya si Emy tak keluar-keluar dari bilik? Bila ditanya ibunya, dijawab si Emy sejak balik dari Melaka memang begitu.

Kak Yan rasa ini sikap yang berlainan. Jadi dia rasa nak pergi jenguk juga adik dia dalam bilik. Dia ketuk pintu minta nak masuk. Tapi Emy tak nak buka pintu. Kak Yan paksa juga buka, akhirnya Emy membuka pintu biliknya.

Kak Yan nampak Emy berkelubung, nampak macam nak sorok-sorok wajahnya. Kak Yan pun tanya, kau kenapa Emy? Emy tak jawab apa-apa. Emy hanya diamkan dia sahaja. Kak Yan pun terus selak kelubung di kepala Emy...

Alangkah terkejutnya Kak Yan bila mendapati wajah Emy cengkung dah mata nampak lebam-lebam dah ke dalam. Wajah Emy pula dah penuh dengan jerawat, bernanah. Hampir tak kenal Kak Yan pada Emy yang ada di hadapannya.

Tubuh jangan cakap lagi dah, memang kurus. Kak Yan mahu tunjuk pada orang tuanya tapi Emy tak nak. Emy enggan. Dia membatu tubuhnya dan tak bercakap. Kak Yan rasa pelik, kenapa Emy tak bercakap.

Emy? Kenapa kau tak nak bercakap? Kak Yan tanya dan berkali-kali dia desak. Akhirnya Emy tunjukkan lidahnya yang mengecut, hilang separuh di tepi belah kiri. Patutlah Emy susah nak makan, nak bercakap pun payah.

Ya Allah! Kak Yan rasa sebak melihat keadaan Emy sedemikian rupa. Adiknya berubah dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Dia mula risau lalu minta Emy jangan berdegil. Kak Yan bawa Emy pergi ke hospital.

Bila pergi hospital, doktor pun tak tahu sakit apa, hanya bagi ubat jerawat sahaja dan berkenaan lidah tu doktor tak dapat nak kesan apa-apa. Bila Kak Yan tanya Emy sakit apa, doktor memang tak dapat berikan jawapan pasti.

Sebak rasa Kak Yan melihat Emy jadi begitu. Abang Emy pun tak perasan juga sebab Emy berkurung dalam bilik. Bila Kak Yan balik baru tahu keadaan Emy.

Cuma ada cerita dari Fuad, Abang kepada Emy ni. Dia kata pernah nampak benda putih dekat luar tingkap bilik Emy masa dia balik lepak tengah malam dekat kedai. Tapi nampak sekilas je dan benda tu hilang.

Selepas itu ada sekali lagi Fuad pernah nampak kelibat seseorang seperti pocong bertengek atas busut anai-anai tidak jauh dari rumah. Fuad bercerita pada Kak Yan. Kak Yan dah rasa pelik dah ni. Dia menaruh syak, kalau doktor pun tak tahu sakit apa, mesti ada sesuatu yang tak kena.

Hal tersebut dikuatkan lagi dengan anak jiran yang berusia enam tahun. Bila ayah Kak Yan ni nak ke belakang rumah. Tiba-tiba anak jiran tegur, "Atuk! jangan pergi situ, bahaya," katanya. Jadi Ayah Kak Yan ni tanyalah kenapa, lantas anak jiran tu beritahu selalu nampak pocong ada di kawasan berkenaan.

Tergamamlah si Ayah Kak Yan ni bila dengar budak kecil cakap begitu. Iyalah budak ni pada dasarnya jujur dan tak mereka-reka cerita. Lagipun anak jiran tu menunjukkan riak wajah takut.

Jadi, sudah beberapa orang mendakwa telah melihat kelibat tersebut. Pada sebelah malamnya pula mereka sekeluarga berbincang untuk merawat Emy secara perubatan tradisional.

Kak Yana pada malam itu pernah ternampak kelibat pocong di tangga rumah, disebabkan itu dia percaya apa yang diberitahu oleh Fuad, ayahnya serta anak jirannya itu kemungkinan besar ada kaitan dengan apa yang terjadi terhadap Emy.

Untuk membuktikan telahan itu, maka keluarga Kak Yan bawa Emy pergi ikhtiar berubat dengan seseorang. Setelah itu diberitahu ada yang mengikut Emy. Mereka terkejut dan bertanya apa yang ikut? Jawab perawat itu...

Maka perawat itu memaklumkan ada 'saka' yang sentiasa ikut Emy dan katanya lagi ia dari jauh. Bila sebut begitu, Kak Yan tanya dari mana, perawat itu beritahu dari Melaka. Jadi memang benarlah Emy adiknya itu balik dari Melaka dan benda tu ikut dari sana sampai ke Perak.

Seterusnya Kak Yan minta perawat itu merawat Emy. Semasa proses rawatan dilakukan, Emy kelihatan tidak bermaya. Seluruh tenaganya sudah lemah. Memang Emy terpaksa dipapah untuk bawa berjumpa perawat itu.

Sampai termuntah-muntah Emy, keluar darah. Kesihatan Emy memang terjejas teruk. Kak Yan pun tak sangka adiknya boleh jadi sebegitu dan dia tak sangka benda itu menjadi penyebab adiknya merana.

Kata perawat itu, kemungkinan besar ada orang sengaja melepaskan 'belaan' ini untuk ikut Emy. Atau mungkin untuk mengganggu Emy. Namun semua itu hanya telahan yang tidak dapat dipastikan sama ada itu perbuatan tuan rumah yang Emy sewa itu atau pun tidak.

Selepas Emy menerima rawatan, keadaan Emy pun bertambah baik, lidahnya yang kecut itu dah kembali pulih. Alhamdulillah. Emy dapat makan dan minum seperti sedia kala. Kulit wajahnya yang berjerawat dan bernanah mula mengecut. Cuma berat badannya ambil masa untuk seimbang semula.

Selepas itu, kawan mereka yang tinggal di rumah sewa di Melaka itu pun memberitahu Emy yang mereka telah pindah dari situ. Kata mereka pernah ternampak kelibat perempuan berpakaian serba merah berada dalam rumah berkeadaan yang mengerikan.

Emy pula membuat keputusan untuk tidak lagi kembali ke sana... terlalu menakutkan kerana ia sangat mengganggu emosinya sehingga terjadi sebegitu. Dia tertanya-tanya juga apa sebenarnya erti mimpi perempuan ngeri yang mati menggantungkan diri itu? Namun...

Ia menjadi misteri...

Sekian...

Cerita asal: Ramlee Rahman (Abie)
Ditulis oleh: Rashid Salim

Baca juga kisah seram yang pernah dikongsikan oleh Ramlee Rahman (Abie) iaitu :
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Misteri Rumah Sewa RM300"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK