Kejadian seram diganggu makhluk aneh ketika berteduh di pondok buruk
Ahad, 1 Ogos 2021
Add Comment
Malam kelmarin saya ada bersembang dengan seorang kawan melalui perbualan telefon. Lama juga tak jumpa dengan dia ni. Kalau tak silap saya kali terakhir jumpa dia adalah tahun 2007 atau 2008 begitulah kalau tak silap. Memang lama gila kami tak bersua.
Lama juga kami lost contact. Dia ni saya kenal melalui mIRC. Dulu-dulu situlah platform orang cari kawan dan tambah kenalan. Chatting. Tempat orang berborak tak nampak muka.
Sesiapa yang pernah menggunakannya pasti tahu apa itu IRC. Semenjak kenal sampai sekarang jadi kawan. Sama-sama kerja di Giant Sungei Wang dulu. Sama-sama karok jamban. Banyak juga nostalgia tercipta dengan dia ni.
Terlanjur cerita, saya kenalkan, namanya Khairul, tapi saya biasa panggil dia Fiz. Fiz Khairul la senang. Dia ni orang Perak. Berjumpa di KL. Sama-sama kerja di Giant, itupun kami sekejap je kerja di situ.
Lama terpisah, jumpa balik di dunia Facebook. Macam mana terjumpa, takdir. Dapat balik nombor contactnya. Jadi kami berhubung semula. Akhirnya dia pun dapat tahu saya ni aktif menulis cerita seram setelah melihat dari profil FB saya.
Saya ni punyalah tak tahu perkembangan dia, akhirnya godek-godek FB dia, nampak dia pernah terlibat dengan paranormal. Bila dah tahu kisah-kisah begitu, saya ni suka mencelah, minta dia cerita pengalaman seramnya.
Saya tanya dia, Fiz... kau takkan tak ada pengalaman seram sepanjang hidup kau? Iyalah, kita memang kenal masa tu sahaja, tapi tak pernah berkongsi cerita hal-hal begini. Lantas dia pun kata ada cerita seram yang pernah dilalui.
Jadi saya minta dia kongsikan dan sebelum itu saya meminta keizinan dia untuk saya kongsikan di dalam blog bersama pembaca. Jadi dia bersetuju dan izinkan. Kalau dia tak setuju, memang saya tak tulis. Risau juga kan hasil cerita orang tak boleh buat main-main.
Menurut Fiz, cerita tersebut berlaku sekitar tahun 2003 dan ketika itu dia masih menuntut di sebuah institut pengajian di Perak. Pada kejadian tersebut merupakan cuti sambutan Aidilfitri.
Ceritanya bergini, pada Hari Raya Aidilfitri tu, Fiz pergi beraya rumah kawan-kawan kolej dia. Biasalah bila cuti, mereka akan balik kampung masing-masing. Jadi ada beberapa orang yang ada dekat akan konvoi sama pergi ke rumah kawan-kawna yang lain.
Fiz ni membonceng dengan kawan karib dia, namanya Fendi. Mereka berdua pergi beraya di rumah member seorang demi seorang, jadi lepas beraya, member tu pula akan ikut sekali. Maka bertambah ahli konvoi.
Lepas beraya apa semua, tiba pula rumah kawan mereka yang terakhir. Rumah kawan dia ni paling jauh. Hari pun sebenarnya dah lewat. Bila mereka tiba pun senja sebenarnya.
Jadi ahli konvoi raya mereka adalah 12 orang. Jadi bila rumah yang terakhir tu, mereka bersiap nak balik. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Jadi kawan Fiz yang di rumah tu cakap minta tunggu sekejap sampai hujan reda.
Hujan nampaknya tidak reda kecuali hanya renyai-renyai sahaja. Mereka mengambil keputusan untuk bergerak juga. Jadi mereka pun bertolak pergi., namun pada malam tersebut mereka dapat info.
Info yang mereka dapat bahawa pada malam itu pihak polis ada melakukan SJR besar-besaran. Oleh kerana di antara mereka ada yang tak punya lesen memandu, bahkan ada yang tamat cukai jalan, terpaksalah lari dari SJR.
Sebagai alternatifnya, mereka 12 orang ini kena ambil laluan dalam, melalui jalan di Tanjung Belanja. Jadi mereka masuk dari situ yang laluannya sangat-sangatlah gelap.
Fiz beritahu, laluan itu gelap tiada lampu jalan. Katanya lagi, sebelah kanan laluan tersebut banyak pokok-pokok getah manakala di sebelah kirinya pula adalah Sungai Perak. Jalan di situ pula adalah berliku-liku.
Dia memaklumkan, sepanjang mereka melalui jalan itu, boleh dikira hanya beberapa buah kenderaan sahaja yang mereka temui dari arah bertentangan. Itu pun perbezaan masa sangat ketara antara satu kenderaan dengan kenderaan yang lain. Jauh.
Apabila kenderaan itu melewati mereka, pasti memberikan lampu yang tinggi. Mungkin untuk mengelakkan sesuatu yang tak diingini. Menurut Fiz, biasalah mereka kalau menunggang motosikal ramai-ramai macam tu, ada yang beriringi.
Mereka tidaklah menunggang laju, masing-masing bawa dengan penuh berhati-hati. Tidak berapa lami kemudian, Fiz mula perasan, kiri dan kanan seperti ada cahaya lampu. Dia pun menoleh ke sebelah pohon-pohon getah.
Dia mendapati nampak cahaya lampu seperti ada penempatan rumah-rumah penduduk sedangkan situ adalah hutan. Dia menoleh pula sebelah kiri, pun begitu, dia nampak dari seberang sungai Perak, di sebelah sana pun nampak lampu-lampu macam rumah-rumah orang.
Fiz mula terfikir, rasanya sebelah sana hutan semua. Di saat itu dia mula ragu-ragu. Perasaan tidak sedap hatinya mula muncul. Dia tidak menegur Fendi yang sedang menunggang.
Sepanjang laluan itu, memang dia nampak cahaya itu dan tidak lama kemudian hilang. Keadaan kembali gelap. Namun, tidak berapa jauh di hadapan mereka, terlihat cahaya terang benderang.
Ia jalan selekoh dan sebelah kanan ada sebuah lori tanah tersadai manalaka di sebelah kiri ada tiang lampu. Di situlah Fiz tengok baru ada cahaya lampu jalan.
Setelah penat konvoi, mereka ambil keputusan untuk rehat sebentar di warung situ. Mereka tiba di situ pun sekitar jam 11:30 malam. Mereka parkir di kawasan rumput yang agak berbecak-becak sebab hujan. Seterusnya mereka semua masuk dalam warung tersebut.
Datang seorang makcik ambil pesan, ada yang pesan mi goreng, ada yang pesan nasi goreng. Fiz pula katanya tak makan. Dia dan Fendi hanya minum sahaja. Sementara itu makcik tu sempat tanya, mereka semua ni dari mana.
Lantas, kawan Fiz beritahu dari beraya. Makcik tu pesan, hati-hati lalu jalan sini. Jalan ni gelap, jauh pulak tu. Lepas tu mereka katalah, terpaksa makcik... polis buat roadblock... sambil berseloroh.
Fiz pula perhati dua orang lelaki, dari tadi memang kaku menonton macam tak endahpun kehadiran mereka di warung itu. Dua orang lelaki itu terpaku menonton televisyen. Apa yang Fiz perasan....
Fendi pun cuit tangan Fiz, dia minta Fiz jangan fikir bukan-bukan. Fendi tahu yang Fiz ni sebenarnya merasakan sesuatu. Tapi Fendi tak mahu Fiz buat andaian dan jangan percaya hal yang bukan-bukan.
Fendi berkata, sini memang kedai. Jangan nak karut. Fiz pula perhatikan lelaki yang jaga kaunter. Lelaki berkopiah dan berbaju pagoda senyum kepada Fiz. Fendi kata mana ada apa-apa. Mereka semua ni orang. Fiz cuba sedapkan hati sendiri.
Kemudian, terdengarlah sudip dan kuali berlaga-laga di dapur. Selepas itu hidangan mereka pun sampai. Lantas mereka menikmatinya. Kawan-kawan Fiz semua berborak bersantai bersuka ria macam tak ada apa-apa. Mereka releks sahaja.
Dah habis minuman dalam gelas, mereka sambung minum air mineral yang mereka bawa tu sambil merokok. Bersepah meja makan tu semua diorang lepak.
Sudah habis lepak, barulah mereka nak gerak. Bila waktu nak bayar, terkejutlah sebab murah sangat. Pakcik berkopiah tu kata, tak apalah, rezeki katanya. Jadi mereka bayarlah dengan harga yang murah tersebut.
Sebaik sahaja mereka semua dah mula tunggang motosikal masing-masing. Baru je jarak dalam 20 meter macam tu, Fiz toleh ke belakang. Seluruh kedai tu gelap gelita seolah-olah tak ada apa-apa langsung persiapan untuk tutup kedai. Macam off serta merta.
Dalam perjalanan tu, Fiz terhidu bau busuk. Tengah terhidu tu tiba-tiba hujan mula turun. Di hadapan mereka ada pondok. Cepat-cepat mereka berteduh di situ. Memang mereka bergelap.
Kemudian, bau itu menusuk rongga Fiz lagi. Bau itu entah dari mana. Dia tak tahan lantas Fiz menegur akan bau itu. Kawan-kawan dia yang lain berpendapat itu mungkin bau dari getah. Tapi Fiz tak percaya.
Fendi pula diam tak cakap apa-apa. Dia baring sahaja. Fiz kejutkan Fendi sebab dia nak beritahu yang dia dengar bunyi hujan pada atap zink tu pelik sangat, macam bunyi cakar.
Kemudian, dia panggil kawan dia yang ada depan dia sorang tu, namanya Zam. Tapi Zam tak menoleh. Dia nampak Zam macam gigil-gigil dah. Tak lama selepas tu masing-masing diam.
Fiz kata dia nampak Zam terus baring duk rapat-rapat dengan yang lain. Fendi pula buat tak layan, terbungkam. Bila hujan lama sangat, ada tidur kat pondok tu. Masa Fiz nak ikut baring, dia nampak macam ada benda putih duduk kat motor mereka.
Cepat-cepat dia baring sebelah Fendi. Memang Fiz susah nak lelap, tetapi kerana agak penak dia terlelap sekejap tapi tiba-tiba, badannya rasa berat, bila dia buka mata, Allahu`Akbar! Besar! Benda tu sungguh besar ada atas dadanya.
Fiz nampak tanduk, Fiz juga nampak kuku-kuku runcing panjang menari-nari jari-jemari depan mukanya. Dia rasa macam ada cecair yang menitis ke mukanya. Dia rasa itu liur benda tu. Fiz langsung tak dapat bergerak.
Allahu`Akbar! Dia cuba teriak, tetapi suaranya tak terkeluar. Dia cuba kejutkan Fendi dekat sebelah, pun tak dapat. Dia nak bertempik beritahu kawan-kawan yang lain, tidak berdaya. Akhirnya dia baca ayat suci berulang-ulang. Minta Allah usir benda tu dari dadanya.
Tiba-tiba ia ghaib. Fiz rasa lelah. Dia rasa takut dan mula baring rapat-rapat dengan Fendi juga dengan kawan-kawan yang lain.
Apabila tiba siang, awal-awal Fiz ajak Fendi gerak. Namun yang lain rasa lapar dan mencadangkan agar bersarapan pagi dulu. Mereka ingin kembali semula ke gerai yang mereka pergi malam tadi.
Nak tak nak, Fiz menurut sahaja. Bila sampai, alangkah terkejutnya mereka, gerai yang mereka makan semalam tu sebenarnya gerai usang buruk. Tiang eletrik yang ada depan gerai tu memang ada tapi lampunya dah rosak pecah.
Mereka bersangka-sangka, tu bukan kedai semalam, masing-masing menafikan. Fiz kata, tu memang kedai yang mereka berhenti malam tadi. Mereka tak percaya. Fiz cakap, ni kesan tayar yang menunjukkan mereka berhenti di situ.
Selain dari itu, Fiz memberitahu mereka bahawa lori tanah yang tersadar di tepi jalan itu cukup membukti bahawa mereka ada di situ malam tadi.
Mereka tetap tak percaya. Fiz menambah lagi, untuk membuktikan bahawa mereka berhenti di situ pada malam itu adalah terdapat botol mineral, kotak-kotak rokok, tisu-tisu yang ditinggalkan di atas meja yang berhabuk.
Pinggan dan gelas yang sudah berhabuk memang ada atas meja tu. Atap gerai tu memang roboh. Kedai itu memang rosak teruk. Jadi itulah yang menguatkan bahawa mereka berada di situ. Terdiam kawan-kawan Fiz.
Cuma, selepas itu mereka jadi kalut, apa sebenarnya yang mereka telah makan? Itu sudah masuk dalam perut. Mereka memang tak tahu apa-apa lagi. Zam ada beritahu Fiz yang masa panggil dia tu, dia tak menoleh sebab dia takut, masa tu Zam dah nampak yang Fiz tengah bercakap dengan orang lain yang Zam tak kenal.
Begitulah serba sedikit perkongsian yang Fiz sampaikan kepada saya tentang pengalamannya dahulu. Saya tanya dia, benda apa sebenarnya yang duduk di atas dadanya itu, Fiz sendiri pun tak pasti, tapi sosok tersebut amat mengerikan.
Biasalah bila duduk di kawasan mereka, macam-macamlah mereka boleh merupa. Tapi Fiz ada beritahu saya, yang pada malam itu, bukan setakat bau busuk, malah ada kawan-kawan dia cakap ada di antara mereka yang terhidu bau wangi.
Jadi saya pun buat kesimpulan, ada dua anasir di situ, anasir jahat sengaja nak menakut-nakutkan manusia, dan ada benda yang baik. Maksud saya, ada jin Islam, dan ada Jin kafir. Mungkinlah... itu cuma spekulasi saya sahaja.
Kalau pasal gerai tu... mungkin juga mata sudah digaburi, dan Fiz pula sudah diberikan tanda-tanda. Kalau mereka tak berhenti, tak jadi macam tu. Menurut Fiz lagi, selang sehari selepas balik dair situ, kawan dia yang makan mi goreng tu meracau. Bercakap dalam bahasa yang tak difahami.
Bila panggil ustaz baru lega. Ustaz tu pesan kalau dah ada tanda pelik-pelik, jangan berhenti dekat tempat yang tak ada orang. Ustaz tu beritahu, mana ada kedai di situ, tambah lagi tengah malam. Jalan tu jarang orang lalu.
Lepas balik tu ada yang demam ada yang sampai sakit-sakit badan. Yang meracau suma seorang sahaja. Saya tanya Fiz, dia tak ada apa-apa ke? Dia kata, ada... dadanya ada kesan lebam. Mungkin kena hempap dengan benda tu kut.
Saya tanya dia, demam tak? Dia kata demam, tiga hari. Oh, demam juga.... Mahu tak terkejut, nampak benda mengerikan depan muka, sesiapa pun kecut perut, tapi tak tahulah bagi mereka yang kuat semangat.
Sekian...
Cerita asal: Fiz Khairul
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Kejadian seram diganggu makhluk aneh ketika berteduh di pondok buruk"
Catat Ulasan