Misteri Nota 'Left'


Pada malam itu, ketika Anita sedang mencuci pinggan mangkuk di dapurnya, tiba-tiba pintu belakang diketuk. Dia hanya mendengar ketukan sahaja tanpa suara. Biasanya... kalau anak saudaranya yang datang pasti akan memberikan salam terlebih dahulu.

Sementara itu Anita memulas tombol paip mematikan alirannya. Dia pun bertanyakan, “Siapa tu?” Tetapi tidak menyahut. Ketukan pintu masih kedengaran dan Anita tidak berhasrat untuk membukanya memandangkan pertanyaannya tidak berjawab.

Dia pun mengintai dari tingkap naco di depan singkinya kut ada nampak sesiapa yang melintas tapi tidak kelihatan apa-apa melainkan daun pohon pisang sahaja melambai-lambai seperti ditiup angin malam.

Ketukan itu sepi. Dia pun bergerak ke belakang pintu itu dan menanti kut ada terdengar lagi ketukan itu. Tiada. Dia pun menghela nafas. Suaminya tiada di rumah pergi mengeteh dengan kawan-kawan. Dua orang anak perempuannya sudah tidur.

Waktu beginilah Anita ada masa untuk kemas ruang dapur. Bila anak-anak sudah tidur, maka dia punya waktu untuk buat itu dan ini. Kalau tidak, dia terpaksa melayan karenah anak sahaja.

“Siapa pulak la yang datang rumah aku ni? Lina ke? Tapia ku panggil tak menyahut?” Bebel Anita sendiri. Dia pun buat tak layan sahaja dan terus pergi meluru ke ruang tamu.

Setibanya dia dekat sofa hendak kemas segala apa yang bersepah atas meja, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Dia pun mencapainya berdekatan televisyen, ternyata itu panggilan dari suaminya, “Sayang… abang balik lewat sikit ya, kereta buat hal, kawan abang tengah tengokkan enjin kereta ni ha…” Ujarnya.

Ketika itu sempat Anita menjengah jam di dinding saat suaminya berkata begitu, dah pukul 11:45 malam. Kenapa tak tinggalkan aje dulu kereta tu dulu, esok baru repair? Fikir Anita. Dia mengumam risau kut apa-apa yang terjadi pada suaminya.

Rumahnya tidak berpagar, berjiran dengan kakaknya. Kawasan rumah itu banyak je rumah-rumah yang lain. Di hadapan rumahnya itu ada lampu jalan, tapi yang peliknya pada malam itu lampu jalan tersebut tidak berfungi. Dia lihat dari pintu slinding doornya yang dikuak sedikit, keadaan di luar gelap gelita sahaja.

Tiba-tiba dia terperanjat terdengar ada benda jatuh di luar rumahnya itu. Rasanya seperti rak kasut terbalik. Tersentak Anita jadinya. Dia pun membuka lampur luar. Dan memang betul jelas kelihatan rak kasut plastik itu tumbang. Seolah-olah dirempuh sesuatu.

Eh? … Terkejut dia terdengar suara kucing mengeow kuat, “Meow!!!” Dan terus lari laju hilang dalam gelap. Seolah-olah kucing itu terserempak sesuatu lalu merempuh rak tersebut, atau mungkin juga ada sesuatu yang lain merempuh rak yang berada di tepi dinding dekat pintu masuk.

Kemudian dia terpandang sekeping kertas yang ada dekat bawah pintunya, yang di sorong masuk dari luar, tulisan yang dicat berwarna merah dituliskan perkataan, ‘LEFT’. Anita jadi bingung dan takut-takut untuk mengambilnya.

Saat dia memandang kertas itu, dia dikejutkan lagi dengan ketukan pintu di dapurnya. Semakin lama sekain kuat. Dia mula ketakutan dan terus menghubungi suaminya. Malangnya tidak dapat. Dia semakin gelisah. Lalu menghubungi kakaknya, “Kak!”

“Kenapa Nita?”

“Kak, ada pencuri nak pecah masuk rumah aku kak!” Beritahu Anita menggelabah. Tak senang duduk jadinya. Berdebar-debar dia ketika ini.

Tidak lama kemudian, kakak dan abang iparnya pun datang. Barulah Anita rasa sedikit lega dan berani. Sewaktu mereka tiba, mereka nampak rak kasut berantakan. Anita menunjukkan kertas tersebut kepada mereka. Kemudian Anita memberitahu pula pintu belakang diketuk-ketuk.

“Laki kau mana Nita?” Tanya Anisah kakaknya.

“Latif belum balik kak, dari tadi lagi. Aku call dia tak dapat-dapat.” Jawab Anita yang berkerut resah. Sementara itu Zarul laki Anisah ni intai-intai ke belakang, dia pun panggil Anita dan Anisah.

Mereka berdua pun pergi. Anita terkejut ada cat merah tertulis di dinding belakang itu dengan perkataan yang sama, LEFT. Bingung Anita, apa semua itu?

“Apa benda ni Nita? Aku tengok ni bukan nak mencuri ni, tapi macam ugutan je. Aku rasa lebih baik kau buat report polis.” Saran Anisah.

“Ye, lebih baik kau buat report. Benda ni jangan main-main Nita, sebab tadi aku baru tengok video viral benda yang sama, orang jumpa mayat tak ada kepala dan kat dada mayat tu ditores dengan perkataan LEFT.” Beritahu Zarul untuk mengingatkan Anita agar lebih berwaspada.

Bertambah takut Anita bila dengar hal seperti itu. Tak tahu pula dia ada kes viral kes bunuh. Dia bertambah risau suaminya pula belum pulang lagi. Dia nak pergi buat laporan polis pada malam itu juga. Ini melibatkan soal keselamatan.

Akhirnya dia menelefon polis untuk datang ke rumahnya, tidak lama kemudian pihak polis datang dan memeriksa keadaan tersebut dan menyiasat akan kehadiran orang ke rumahnya.

Anita menyerahkan kertas yang bertulis perkataan tersebut, kes itu memang disiasat polis kerana berhubung dengan penemuan mayat tanpa kepala yang ada tertulis berkataan LEFT. Tapi yang lagi merisaukan sekarang sudah pukul 3 pagi, suaminya masih belum pulang.

Memang Anita tak dapat lena langsung. Keesokkannya, dia membuat keputusan mencari suaminya. Dia dan kakaknya bersama Zarul akhirnya terjumpa kereta Latif di tepi jalan. Tapi orangnya tak ada.

Sangat mendebarkan kerana di tempat duduk belakang kereta itu ada sekeping kertas bercat merah bertulis LEFT. Dada Anita berombak kencang. Kereta yang tersadai tepi jalan bersama bonet yang terbuka, tidak ada orang.

Penasaran dengan keadaan tersebut, sekali lagi Anita terpaksa berhubung dengan polis memaklumkan perkara tersebut. Suaminya hilang dan sekiranya suaminya tidak ditemui selama 24 jam maka laporan akan dibuat.

Tidak lama kemudian pihak polis menerima makluman dari orang ramai menemui mayat tanpa kepala tergantung di pohon dalam keadaan kaki ke atas berdekatan dengan sungai. Sungai itu pula tidak jauh dari rumah Anita.

Anita menangis teresak-esak dan mengenal pasti bahawa itu adalah mayat Latif. Tapi kepala Latif tak ada. Dia bagaikan hilang pertimbangan melihat keadaan itu. Perasaannya berkecamuk.

Anita tidak keruan, dia ditenangkan oleh Anisah, “Sabar Nita, sabar.”

“Kenapa semua ni berlaku?!!!” Bentak Anita.

“Sabar Nita…” Itu sahajalah yang dapat Anisah ucapkan. Anak-anak yang masih kecil telah kehilangan ayah tercinta dalam keadaan sedemikian rupa. Anita berharap pihak berkuasa dapat memberkas pelakunya yang kejam itu!

Saat dia kemurungan dilanda keadaan tersebut. Kes masih disiasat, kepala Latif perlu dicari, kalau tidak mayat Latif tidak sempurna. Sementara itu mayat latif disimpan di rumah mayat.

***

“Nita… cuba kau beritahu akak, apa sebenarnya yang terjadi?” Anisah ingin Anita berterus terang.

“Aku tak tahu kak,” jawab Anita dan terus memekup wajahnya. Dia menangis di atas sofa.

“Dah seminggu kak, anak-anak aku menangis tak henti bila malam. Katanya nampak kepala melayang-layang dalam rumah ni.”

“Pihak polis pun dah kawal rumah kau ni Nita… mereka tak berani datang kacau.”

“Tapi perasaan aku dah hancur kak. Aku hidup dalam ketakutan.” Anita melahirkan kegusaran. Memang dia tak pernah aman. Mayat suaminya masih tanpa kepala.

“Aku rasa pembunuh tu simpan dendam.” Zarul membuat spekulasi. “Polis masih tak dapat petunjuk ke siapa yang melakukannya, Nita?” Soal Zarul lagi.

“Aku tak tahu bang. Aku dah beritahu semua apa yang polis nak tahu. Memang aku tak tahu siapa suspeknya,”

“Tapi apa sebenarnya LEFT tu?”

“Aku tak tahu bang.” Balas Anita bergenang air mata.

“Cuba kau ingat balik Nita…” Zarul ingin Anita ingat apa kaitan memo itu. Mesti ada sebab pembunuh tu tinggalkan benda tu. Kalau tak ia takkan tinggalkan jejak sebegitu.

Tiba-tiba mereka terhidu bau busuk yang datang mungkin dari belakang rumah Anita. Zarul yang sangsi dengan bau tersebut terus pergi jenguk. “Busuknya Nita… bau apa ni?” Anita dan Anisah pun turut ikut.

Bila mereka buka pintu belakang, terlihat anjing liar yang terkejut melihat mereka terus melarikan diri. Zarul perasan anjing-anjing itu sedang menggali sesuatu dekat kawasan pohon pisang.

Curiga dengan keadaan itu, Zarul pun menggalinya dan alangkah terkejutnya melihat ada dua kepala manusia tertimbus di dalam tanah tersebut. Busuk dan berulat. Zarul memandang Anita dengan pandangan sangat curiga.

“Bukan aku bang!” Anita menggeleng-geleng kepalanya kerana dia memahami akan maksud pandangan Zarul tersebut.

Anisah pun rasa bingung, apa semua ini? Ada kepala mayat dalam tanah tu? Anisah tak tahan bau, dia tutup hidung dan mulut. Hampir termuntah.

“Aku tak tuduh kau Nita. Mesti pembunuh tu dengan sengaja dah tanam kepala tu di sini.” Zarul membuat telahan. Dan mereka pun menghubungi polis memaklumkan hal tersebut.

***

Pembunuh tidak dapat dikesan, namun Anita hidup dalam ketakutan kerana ugutan. Sebenarnya dia tahu sesuatu tetapi dia tidak maklumkan hakikat sebenarnya. Dia tahu tentang left itu, tetapi dia tak berani menyuarakannya.

Dua minggu lepas, dia join sebuah group whatsapp seorang penulis kisah-kisah misteri. Penulis tersebut sedang mengumpul pengikut dan pembaca setia. Tetapi penulis tersebut selalu diperbodohkan oleh pembaca-pembacanya.

Anita salah seorang yang selalu memberikan semangat dan motivasi kepada penulis tersebut di saat seorang demi seorang left dari group whatsappnya yang pada mulanya menyokong tetapi rupa-rupanya hanya pura-pura menyokong. Dan sebenarnya hanya nak menjatuhkan semangat penulis sahaja.

Penulis itu kesurupan, sepatutnya diberikan dorongan tetapi sering dituduh seperti ‘attention seeker’ walhal penulis tersebut memerlukan sokongan moral dan juga membantunya untuk kelangsungan kehidupan.

Dek dia pun mula bengang dengan ahli-ahli dalam tu, dia pun dah bosan, akhirnya dia pun turut left. Tidak semena-mena dia menerima mesej, ‘Tolong LEFT sekali dari group FB penulis’ dari seseorang tetapi bukan dari penulis tersebut.

Lantas Anita dengan selumber memberikan emoji OK dengan bermaksud untuk menganjing. Memang itu niatnya, kononnya ada dia kisah ke? Begitulah niatnya.

Anita kesal, sepatutunya dia tak terus left dengan cara tak beradap begitu. Sewaktu dia masuk ke dalam group tersebut pun dirinya disambut dengan baik, tetapi dia left pun macam tu sahaja. Seharusnya dia perlu sedar bahawa manusia dikurniakan perasaan, bukannya binatang.

Sekali bila manusia menjadi syaitan, dia terpaksa tanggung akibatnya. Kerana dia tak tahu seseorang manusia itu sanggup berbuat apa sahaja demi memuaskan hatinya. Orang kalau dah sakit hati, sanggup buat apa sahaja.

Semenjak dari itu, dia dapat tahu beberapa lagi kes kematian, dan orang tersebut adalah mereka yang pernah menyertai group tersebut. Setelah itu, ada yang tampil bahawa ia berkaitan dengan penulis itu.

Di saat penulis itu direman, pembunuhan masih berlaku. Ternyata bukan penulis tersebut yang melakukannya. Ada orang lain yang buat untuknya. Tapi siapa?

Beberapa bulan kemudian…

Anita pergi ke pasar, sekembalinya dia ke kenderaannya, ada kertas terselit di wiper kereta di sebelah kiri. Dia pun membuka lipatan kertas itu yang jelas tertulis…

LEFT

Tiba-tiba dia menerima mesej melalui telefon bimbitnya entah dari siapa-siapa mengatakan, 

Left itu tempatnya kiri, kiri itu kau akan ke Neraka!

TAMAT

Karya: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Misteri Nota 'Left'"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK