Kisah seram dj dapat pemanggil misteri


Hai RS, hai semua, saya Haslam (bukan nama sebenar). Ini berkenaan pengalaman saya semasa bertugas sebagai dj radio atau penyampai radio. Lokasinya terpaksa saya rahsiakan. Ini merupakan kisah lama yang pernah saya alami dan ketika hari kejadian, saya bertugas seorang diri di konti.

Ia bukan mengenai keanehan tempat tersebut tetapi ia mengenai panggilan misteri. Biasalah bila dah sampai tengah malam maka diadakan segmen bersama pemanggil untuk membuat ucapan. Biasanya saya dah boleh hafal nama-nama si pemanggil sebabnya kebanyakan mereka adalah peminat setia.

Dengar suara sahaja saya dah boleh teka siapa pemanggilnya. Jarang sangat saya salah meneka. Kalau salahpun saya minta maaf. Jarang juga dapat terima pemanggil-pemanggil baru. Mungkin terpaksa bersaing untuk berebut dengan orang lama yang sentiasa gigih telefon tanpa berputus asa.

Kemudian tugas saya selesai jam 12 tengah malam. Setelah 'off-air' setelah tamat tugas, tiba-tiba ada panggilan masuk. Lampu panggilan berkelip-kelip. Pada mulanya saya nak abaikan sahaja sebab biasanya ada je yang memanggil walaupun sudah tidak bersiaran.

Saya pun buat tak tahu sahaja, saya terus kemas dan bersiap untuk pulang. Tanpa disangka-sangka, telefon bimbit saya pula yang berbunyi dan keluar 'private number' dan masa tu saya pakai telefon Nokia Butterfly.

Saya tertanya-tanya siapa pula yang call lalu saya matikan langkah sebelum sempat keluar dari bilik konti. Saya pun jawab panggilan tersebut. Masa saya duk hello, tak ada jawapan pun. Diam membisu.

Saya hello lagi, tapi ada jawapan. Saya mula fikir orang nak main-mainkan saya ni. Kalau nak bercakap atau nak berkenalan, bukan masanya tengah-tengah malam begini. Lagipun saya nak drive balik lagi. Lalu saya matikan panggilan itu.

Saya pun keluar dari bilik konti dan telefon berbunyi lagi. Saya malas nak jawab. Bukan sombong, tapi penat nak layan karenah orang macam tu. Kalau nak cakap, cakap ajelah, ni kita dah hello-hello, tapi dia diam je.

Setelah saya selesaikan kerja saya, saya pun nak balik. Dah dekat pukul satu, saya pergi ke arah kereta Perodua Kancil saya tu. Kebetulan masa tu terserempak dengan pengawal duk meronda. Dia tegur saya, lewat dj balik malam ni?

Saya pun jawablah ada kerja sikit tadi. Dia pun pergi ke pos kawalan dia. Sementara itu saya pun keluarkan kunci kereta dan mula open lock dan masuk dalam kereta. Sekali lagi telefon saya berbunyi, saya tatap dan berfikir nak jawab ke tak.

Akhirnya saya jawab, baru saya nak hello saya dengar suara perempuan berkata, "Dari tadi lagi saya tunggu dalam kereta abang, nak tumpang balik...."

Saya punyalah berderau darah terus toleh belakang. Tak ada sesiapa pun, tapi bulu roma saya meremang. Kepala rasa kecut. Pelik pun ada juga, tapi saya cuba positif. Saya langsung tak fikir bahawa ada orang mungkin nak kenakan saya.

Saya pun terus memandu tak tentu arah, bersama debaran di hati. Saya cuba tenangkan hati dan baca ayat suci al-quran. Telefon saya berbunyi lagi, saya tak berani nak jawab, tapi entah kenapa saya angkat juga.

"Abang... saya selalu dengar abang on-air, tapi malam ni saya tak sempat dengar, jadi dapat bercakap dengan abang pun jadilah," katanya bersama suaranya yang lemah lembut.

Saya pun tanyalah, awak siapa? Jangan main-main? Dia pun kata memang dia ada dalam kereta saya. Saya pelik dengan perempuan ni. Dalam kereta saya mana ada sesiapa. Dia kata dia ada dekat belakang. Memang betul-betul mengarut.

Lama-lama saya rasa memang perempuan ni sengaja nak kenakan saya. Jadi saya layankan ajelah... ketika itu barulah rasa tak takut, sebab saya rasa perempuan ni saja nak takut-takutkan saya nak kenakan saya tengah-tengah malam. Entah siapa-siapa kan, mungkin staf-staf lain berpakat.

"Boleh tak abang hantar saya dekat simpang jalan sana? Depan tu sikit je dekat traffic light tu." Bila dia kata dekat traffic light tu saya dah mula pelik dan cuak. Macam mana dia tahu kereta saya dah nak sampai dekat simpang lampu isyarat tu?

Keadaan bertambah suram kerana laluan itu kurang kenderaan yang lalu lalang. Ia menambahkan lagi rasa kurang senang di hati saya. Semakin lama saya semakin cuak. Dahi dah berpeluh-peluh. Penghawa dingin pun tak terasa. Namun perasaan seram sejuk.

Saya kian tak keruan, aerphone masih lagi terpasang di telinga saya ni, masih bercakap dengan dia. Selepas itu dia minta saya berhenti. Saya dah keliru dan serba salah. Nak berhenti ke tak nak ni? Berbelah bahagi.

"Kenapa abang tak berhenti?" Saya teruskan memandu dan terlajak. Bila dia tanya begitu, automatik saya berhenti. Memang macam betul-betul dia ada dalam kereta. Meremang habis bulu tengkuk saya dan tiba-tiba saya terhidu bau yang sangat wangi. Semerbak!

Saya berhenti dekat tanah perkuburan. Dan dia berpesan pada saya supaya jangan pandang belakang. Memang saya tak pandang langsung. Jelas saya kedengaran pintu kereta saya dikuak dan kemudian ditutup semula. Tanpa berlengah saya terus memecut kereta saya tanpa menoleh lagi.

Esoknya badan saya panas. Saya mengalami demam dan hari berikutnya pengawal keselamatan yang saya terserempak pada malam tu ingin memberitahu saya tentang sesuatu. Saya pun bertanya, apakah?

Dia memaklumkan bahawa pada malam itu ketika saya melintasi pagar keluar dia nampak seorang perempuan berada di bahagian tempat duduk belakang kereta saya. Hal itu menguatkan lagi tanggapan saya memang perempuan tu menumpang kereta saya.

Jaga cakap perempuan itu kepalanya terpusing ke belakang, maksudnya mukanya menghadap ke cermin belakang. Wajahnya pucat, matanya cengkung, rambutnya panjang mengurai. Jaga tu beritahu lagi perempuan tu pandang tempat ke arahnya sambil tekap sesuatu di telinga. Nampak jelas kuku-kukunya panjang runcing.

Saya semakin berdebar.... saya risau hal itu berlarutan, tetapi mujurlah sejak dari itu saya tidak lagi menerima panggilan misteri tersebut.... Alhamdulillah....

Walau bagaimanapun, apabila saya melalui kawasan perkuburan tersebut, selalu saya dengar nama saya dipanggil-panggil... hal itu membuatkan saya kurang selesa dan bertukar laluan. Jauh sikit pun tak mengapalah.

Bukan takut kubur tapi seram rasa macam terdengar-dengar suara perempuan itu memanggil nama saya ketika melalui kawasan itu pada waktu lewat malam dan alternatifnya saya tukar laluan. Tak lama selepas itu, saya dapat tawaran tukar ke stesen radio lain...

Sekian...Cerita asal: Haslam
Ditulis: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Kisah seram dj dapat pemanggil misteri"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK