Diajak Ke Tandas Asrama Pada Waktu Tengah Malam


Kisah ini berlaku sekitar tahun 2002 ketika kem kecemerlangan SPM berlangsung di salah sebuah sekolah berasrama. Saya pula dari sekolah harian biasa terpilih untuk menyertai kem tersebut bersama beberapa orang pelajar lain.

Jadi kami mewakili sekolah dan berkumpul di sekolah berasrama berkenaan. Banyak juga sekolah yang terlibat di sekitar daerah kami. Sekolah asrama itu sebenarnya merupakan sekolah yang baru sahaja dibuka berdekatan dengan bukit.

Kem tersebut dijadualkan berlangsung selama lima hari. Maka lima hari kami berada di asrama. Saya serta lapan pelajar sekolah saya berada dalam satu dorm. Dipendekkan cerita, pada malam pertama kawan saya bernama Rahim kejutkan saya.

Dia ni penakut sikit, dia minta teman nak ke tandas. Masa tu pukul satu pagi. Jadi saya pun temankan dia. Tandas tu bukan jauh sangat pun hujung sikit je. Lepas tu ada budak sekolah lain, pun ada keluar dari dorm dia masuk ke tandas.

Tapi yang peliknya, ada member dia dekat belakangnya jalan tunduk je tengok lantai. Tangan pula tak berayun pun ketika melangkah. Tangan kaku sahaja tapi kaki mengorak. Saya ni tunggu dekat pintu tandas je sebab tak rasa nak kencing.

Saya cuma tunggu kawan yang penakut tu. Entah apa yang ditakutkan sangat pun tak tahulah. Tak lama selepas tu kawan saya pun keluar. Kami pun nak balik masuk dorm. Tiba-tiba Rahim ni tegur, "Eh Man, bau apa yang busuk sangat dalam jamban tu?"

Saya pun jawablah, "Manalah aku tahu, kau yang ada dalam jamban. Mungkin tahi kut, adalah tu yang tak flush." Tapi kawan saya ni kata bukan bau tu, tapi lebih busuk dari tu. Macam bangkai. Saya pun buat tak tahu ajelah. Mungkin perasaan si Rahim ni kut.

Kemudian kami biarkan hal itu berlalu. Esoknya kem berlangsung seperti yang dijadualkan. Pada malam kedua pula, ada insiden pergaduhan berlaku di antara budak sekolah lain dengan peserta tuan rumah. Kami ni dengar kecoh-kecoh dari dorm atas.

Lepas budak-budak kami pun sibuk ambil tahu juga pergi tengok keadaan yang kecoh tu. Bila dah sampai, kami tengok keadaan agak kacau sikitlah sebab ada budak sekolah lain duk tenangkan mereka dari keadaan bertambah buruk.

Saya ni jadi tukang sibuk dan bertanya akan seorang yang berbadan besar turut berada di situ. Apa sebenarnya yang berlaku? Dia pun cakap ada budak sekolah ni masuk dorm diorang nak mencuri. Saya pun balas, ye ke mencuri?

Saya pun pergi jumpa budak sekolah ni tanya dia apa yang berlaku selepas keadaan agak terkawal sedikit. Muka dia lebam kena tumbuk. Memang jadi kes beratlah sebab dah tumbuk orang sampai lebam,

Dia kata kena tuduh mencuri. Masa budak-budak datang kat dia, dia tak tahu apa-apa pun tiba-tiba kata masuk dorm mencuri. Kena bantai macam tu je. Saya pun rasa pelik sangat, takkan main bantai tanpa bukti. Saya pun pergi jumpa dengan budak yang tumbuk ni.

Dia kata memang dia nampak. Waktu balik dari dewan, dia dan seorang lagi nampak memang muka budak tu yang ada dalam dorm mereka keluar dari dorm sebaik sahaja mereka sampai. Saya jadi pelik mendengarnya.

Tanpa lengah, katanya mereka terus pergi cari budak tu dan pukul. Saya ragu-ragu lagi. Macam mana nampak dia mencuri pula? Lantas budak ni pun jawab nampak budak tu keluar pintu. Tiba-tiba yang seorang lagi nampak tercengang di situ.

Eh? Member dia kata, "Tadi kita buka pintu ada mangga, kan?" Baru mereka berpaling antara satu sama lain. Waktu mereka tiba dekat dorm, mereka terus cari budak tu tanpa tengok pintu tu ada mangga ke tak ada. Bila dah kata bermangga, habis macam mana budak tu keluar?

Tercengang mereka bila merasakan sebenarnya yang mereka nampak pada malam tu bukan orang sebab benda tu tembus pintu dorm mereka yang mereka sangka pencuri. Muka pula sama macam budak yang ditumbuk tu.

Tapi ada yang tak percaya, kononnya mereka sengaja nak buat cerita sebab sengaja nak cari kes dan cari pasal dengan tuan rumah. Jadi bercakap-cakaplah mereka dan jadi buah mulut pada esoknya.

Pada malam ketiga, kami pun tertanya-tanyalah hal tersebut. Kami berkumpul dan bercerita tentang hal misteri yang terjadi dekat budak sekolah lain tu. Rahim pun terketar-ketar, cakap dia kata benda tu betul. Sebab tulah badan dia panas je hari ini.

Kami pergi duduk di katil Rahim. Rahim kata semalam dia nampak ada benda bertengek di bumbung masa tengah keadaan kelam kabut kes gaduh tu. Dia cuba cakap dekat saya, tapi dia tak berani. Tak lama selepas tu benda tu ghaib tiba-tiba.

Saya tanyalah benda apa yang Rahim nampak? Rahim pun beritahu yang benda tu bersayap besar, kepala macam beruk bermata merah menyala tapi kaki pula nampak macam kaki manusia. Separuh badan macam beruk.

Dia kata lagi, selepas benda tu ghaib dia nampak ada orang berjalan tak ada kepala masuk tandas. Dia terketar-letar masa tu tak dapat nak buat apa. Terpaku jadinya. Walaupun keadaan terang benderang, tapi dia nampak benda tu.

Kami ni macam nak tak nak je percaya cerita Rahim tu sebab Rahim ni dasar penakut. Tuan rumah tak cakap apa-apa pun pasal asrama sekolah mereka ni tetapi Rahim pula nak reka cerita lebih-lebih pula.

Pada malam itu saya tidur dengan persoalan berlegar dalam kepala. Kemudian masuk malam keempat, pukul dua pagi saya rasa panas sangat, tak tahu kenapa. Angin kipas macam tak terasa, saya ni pula duduk tepi tingkap naco, jadi saya buka luas-luas.

Katil jenis bertingkat. Saya di atas, Rahim dekat bawah. Jadi buka tingkap luas-luas lepas tu selak langsir supaya angin menerobos masuk. Baru rasa sejuk sikit. Tingkap kat katil saya ni terus menghadap hutan.

Tiba-tiba... krekkkkkk...... saya dengar engsel berbunyi. Saya rasa pintu dorm dibuka, saya pun menoleh, maka cahaya dari luar tembus masuk nampak bayang-bayang orang. Orang tu keluar dari dorm saya, lepas tu saya pun intai bawah katil, tengok Rahim tak ada.

Yang saya nampak tadi tu mungkin kelibat Rahim agaknya. Tetapi saya rasa agak pelik, ya pelik sangat kenapa Rahim keluar dorm pukul dua pagi ni? Biasa kalau dia nak ke tandas, pasti dia akan kejutkan saya. Dia bukan berani pun. Dasar penakut.

Selepas itu saya pun bangun dan pergi jenguk dia, saya jengul kepala perhatikannya. Masa dia hendak melangkah masuk ke dalam tandas, saya nampak ada orang lain di belakangnya jalan tunduk je kepala tengok ke lantai. Tangan tak berayun langsung.

Lepas tu mereka masuk tandas. Saya memang rasa macam tak beres. Saya pun kembali ke katil. Tak lama selepas tu Rahim pun masuk semula tak cakap banyak terus sambul tidur lantas esoknya Rahim tegur saya cakap saya pun penakut jugak.

Saya tanyalah Rahim, "Apasal pulak?" Lantas Rahim pun jawab, "Malam tadi kau nak pergi tandas pun ajak aku temankan," ......

Selepas dia cakap macam tu, saya dah tak tanya dah siapa yang ikut dia kat belakang pada malam tadi sebab pada hari pertama tinggal di asrama tu saya dah pernah nampak benda tu ikut belakang budak lain.

Sekian...Cerita asal: Rahman
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

3 Responses to "Diajak Ke Tandas Asrama Pada Waktu Tengah Malam"

  1. wuwuu seramnya nasib baik mama baca time siang

    BalasPadam
  2. Kt asrama PASTI ada makhluk pelik2. Makcik duduk asrama dr form 1 - asrama lama pulak tu 😁

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK