Kelibat Misteri Di Dusun
Selasa, 3 Ogos 2021
1 Comment
Seorang kenalan saya telah berkongsi pengalaman misteri yang dilalui selepas ayahnya meninggal dunia, salam takziah saya ucapkan dan semoga roh arwah dicucuri Rahmat Ilahi, Aamin. Kisah ini berlaku di Tangkak, Johor.
Saya mendengar dengan teliti akan kisah yang disampaikan oleh Huda (bukan nama sebenar). Menurutnya, sebelum ayahnya meninggal dunia, dia ketika itu tinggal di Merlimau dan selalu pulang ke Tangkak untuk ziarah ayahnya.
Huda memaklumkan bahawa ibunya telah lama meninggal dunia. Ayahnya ketika itu tinggal bersama dengan adik lelakinya yang masih bujang di rumah tersebut.
Kesihatan ayahnya pada masa itu semakin lama semakin merosot. Jadi setiap hujung minggu dia akan pulang jenguk ayahnya sehinggalah sampai ketika ayahnya pergi juga menghadap Ilahi.
Walau bagaimanapun, sebelum ayahnya meninggal, rumah tersebut telah pun diwasiatkan kepada Huda dan adik beradik yang lain telah bersetuju. Jadi Huda dan keluarganya pun berpindah ke rumah ayahnya dan tinggal di situ.
Dipendekkan cerita, Huda ni jalankan perniagaan berasasakan makanan. Jadi dia buat satu bengkel untuk dia memasak. Bengkel tu pula di bina dekat dengan biliknya. Adik lelakinya pula dah tak tinggal situ sebab dah berkerja tempat lain.
Rumah orang tua Huda ni rumah kampung. Di belakang rumah tersebut ada dusun yang terdapat pokok durian, manggis, rambutan dan lain-lain. Dusun itu adalah kepunyaan arwah ayah Huda.
Nak masuk ke rumah Huda, sekarang dah jadi rumah Huda sebab ia sudah diwarisi kepada Huda, melalui rumah pakciknya di depan dahulu. Kiranya rumah Huda ini adalah di belakang rumah atuknya dan di depan lagi adalah rumah pakciknya. Begitulah turutannya. Rumah Huda adalah yang ketiga.
Setelah dua bulan dari hari pemergiaan ayahnya itu, pada suatu petang Huda sudah siap memasak di bengkel untuk produk makanannya. Dia pun berjalan menuju ke biliknya. Sebaik dia nak masuk, dia rasa ternampak-nampak ada kelibat dekat belakang dusun tu.
Bengkel dan bilik Huda ini ada dekat bahaian tepi, jadi nampak jelas dusun tersebut. Maka Huda tengok kelibat lelaki dan perempuan berpakaian serba putih. Hanya yang perempuan sahaja yang memandang pada Huda sambil mengulum senyum.
Manakala lelaki itu pula sedang memandang ke arah dusun. Jarak antara mereka tidak berapa jauh, dan Huda nampak wajah perempuan itu sungguh cantik seperti peranakan wanita Cina. Manis dan ayu.
Huda pun melihat mereka terus berjalan masuk ke dalam dusun. Huda berasa hairan, siapa pula yang datang ke dusunnya pada senja hampir Maghrib? Tak bertegur pula tu? Nak kata musim buah, ini bukan musimnya lagi. Fikri Huda ketika itu.
Setelah kelibat mereka hilang, Huda ni rasa tak berpuas hati. Dia kira mereka berdua tu tak pernah dilihat sebelum ini. Nak kata saudara mara memang tak pernah nampak. Jadi dia terus ke rumah pakciknya kut ada sesiapa ke yang datang.
Bila Huda ni sampai ke rumah pakciknya, dia nampaklah pakciknya ada di atas kerusi duk santai-santai di beranda. Huda ni pun tanyalah, pakcik... siapa dua orang dekat dusun tu?
Bila Huda tanya macam tu pakcik dia pun jawbalah, siapa pulak kau ni Huda? Huda balas, tu haa dua orang masuk dalam kebun duk cari apa? Tak pernah nampak pun, katanya.
"Ish kamu ni Huda, mana ada siapa-siapa? Kalau ada orang masuk ke situ, pasti dia lalu sini dulu. Pak lang dari tadi duk sini, tak ada siapa lalu pun..." Kata pak lang si Huda ni.
Huda pun pelik, sebab tak ada kereta orang lain melainkan kederaan saudara maranya sahaja. Jadi siapa yang dia nampak tu? Huda tertanya-tanya kehairanan.
"Orang yang kamu nampak tu mungkin orang yang duk di belakang rumah kamu kut Huda....?" Telah pak lang si Huda ni. Tergaru-garulah kepala Huda ni bila pak lang dia cakap begitu. Huda pun balas pak lang jangan nak mengarut.
Jadi dia pun terus balik rumah. Sampai kat rumah dah azan Maghrib. Bila dia masuk dalam rumah, dia dengar orang panggil nama dia. Huda........... sayup-sayup Huda dengar.
Sebaik sahaja dia menoleh, dia nampak satu keluarga berpakaian serba putih duk pandang dia dari dusun tu. Meremang bulu roma Huda ketika itu. Serta merta dia masuk dan terus kunci pintu rumah.
Dia baca apa sahaja ayat yang telintas dalam kepalanya. Dia bercakap dengan suaminya tentang apa yang berlaku. Dia risau sangat. Seterusnya dia tanya pak lang minta pak lang cakap hal sebetulnya.
Lantas pak langnya cakap, belakang dusun tu ada perkampungan bunian, tapi pak lang kata janganlah risau, mereka tak kacau kalau kita tak buat kacau...
Pak lang si Huda ni beritahu lagi, mereka tu dah lama duduk dekat situ... Barulah Huda tahu, maknanya bunian tu sudah mengenali siapa Huda, anak arwah ayahnya.
Walau apapun, Huda tetap seriau. Rasa terdengar-dengar sehingga ke hari ini namanya diseru-seru... apabila waktu maghrib, seolah-olah rasa diperhatikan sahaja.
Sekian.
Cerita asal: Huda
Ditulis oleh: Rashid Salim
Best..
BalasPadam