Jelmaan Di Tempat Kursus
Isnin, 9 Ogos 2021
Add Comment
Peristiwa ini berlaku ketika saya menyertai Kursus Asas Kemahiran Penanaman Secara Teknologi Fertigasi Peringkat Negeri Terengganu di sebuah tempat. Kursus ini berlangsung selama empat hari tiga malam.
Jadi saya bersama tiga rakan ditempatkan dalam satu bilik di kompleks ini manakala sebelah bilik kami pula mereka dari daerah lain. Sebelah kanan bilik kami pula adalah bilik mandi. Jadi kami semua akan berkongsi tandas dan bilik mandi tersebut.
Pada hari pertama ini hanya sesi pendaftaran dan serahan kunci bilik sahaja dan kami hanya akan bertemu semula pada sebelah malam selepas Isyak untuk pengenalan. Jadi adalah masa kami rehat pada petang itu relaks-relaks dalam bilik.
Saya duduk di katil tepi tingkap, kawan saya yang kurus duduk tengah, yang chubby tu pula duk tepi dinding. Nuar dan Shah nama mereka. Jadi, kami terlelap sebentar, sedar-sedar dah Mahgrib. Bila bangkit, badan rasa lemah sahaja jadi nak pergi mandi dulu.
Selepas saya kejutkan mereka, saya pun pergi ke bilik mandi. Gelap, tak ada orang buka lampu pun lagi. Maka saya pun hidupkan lampu dan melangkah masuk pergi ke bilik salah satu kamar mandi. Sebelum saya buka paip, saya terlebih dahulu dengar paip hujan di kamar sebelah luruh.
Eh? Ada orang ke? Mungkin Nuar atau Shah la tu kut, duga saya. Saya pun panggil, "Kau ke Nuar?" Diam je... mungkin orang dari bilik sebelah kut. "Ke kau Shah?" Diam... terus dengar orang mandi dan selepas itu saya dengan suara berdehem kasar sangat. Tak mungkin itu suara Nuar atau Shah. Orang bilik sebelah la tu agaknya.
Saya pun malas nak layan, saya mandi. Selepas siap, saya ambil wuduk nak solat Maghrib. Saya pun keluar dari bilik mandi, masih lagi dengar paip air mencurah-curah di kamar sebelah. Saya pun jenguk, pintu tak tertutup pun. Saya pun intai la. Memang air paip terbuka. Tapi tak ada sesiapa pun mandi.
Masa tu saya rasa orang bilik sebelah saya ni mesti lupa nak tutup. Saya pun tolong tutupkan. Memang saya tak fikir apa-apa yang bukan-bukan. Saya anggap orang lupa nak tutup. Selepas itu saya mengorak langkah nak keluar dari tandas.
Sebaik sahaja saya jejak kaki di luar, saya dengar lagi air paip mencurah-curah. Terus kepala saya kecut. Laju saya meluru masuk ke bilik. Masa tu baru saya sedar mana ada sesiapa dalam bilik air. Nuar dan Shah ada lagi dalam bilik.
Nuar tanya saya, kenapa saya nampak terkejut, saya cuba sembunyikan perasaan cuak tu. Saya cakap tak ada apa-apa. Saya diam sahaja tak beritahu mereka. Saya risau nanti mereka mesti cakap saya ni penakut. Tapi memang betul, air paip tu terbuka sendiri.
Ketika solat Maghrib pun hati menggelabah sahaja. Ya Allah, terfikir-fikir saya jadinya. hari pertama dah jadi macam tu. Saya serius tak tahu kenapa jadi macam ni. Saya duduk sorang-sorang dalam bilik di saat Nuar dan Shah pergi ke kamar mandi dekat luar tu.
Usai mereka kembali, saya tanya mereka, ada air paip terbuka tak masa mereka masuk tadi. Mereka jawab tak ada. Aik? Saya hairan betul. Saya sabarkan sahaja. Kemudian kami bersiap untuk berkumpul di dewan.
Ketika melalui di suatu kawasan, entah kenapa saya macam rasa seperti diperhatikan sahaja. Saya rasa sangat tak selesa. Kalau lalu dekat pokok besar-besar yang tertanam di situ, rasa seperti ada orang duduk di bawahnya. Seriau rasanya. Kawasan situ gelap kurang cahaya lampu.
Sebelum sampai ke dewan, kami mesti melintasi kantin. Tepi kantin tu ada pohon besar, saya tak pasti pohon apa, dekat situlah saya rasa macam ternampak-nampak kelibat seseorang di sebalik pohon. Ish!!! seriau. Semua itu saya diamkan sahaja. Memang tak cerita langsung kepada mereka berdua.
Kemudian selesai sesi pada malam itu, kami dijamu pula hidangan malam, simple-simple sahaja untuk alas perut kami. Ketika itu jam 11:45 malam jadi setelah itu kami bergerak ke bilik. Dalam perjalanan itu sempatlah kami berkenalan dengan orang bilik sebelah nama dia Joe, Rani dan Sham.
Sebelum mereka masuk ke bilik, kami menyembanglah dekat luar dulu teman mereka hisap rokok. Nuar dan Shah masuk dah dalam bilik, penat sangat nak rehat katanya. Saya jawab tak apalah, masuklah dulu, sekejap lagi saya masuk.
Sampai pukul satu saya lepak dekat luar dengan mereka sambil berborak-borak pasal hasrat masing-masing mengikuti kursus ini. Tak lama selepas itu, Rani dengan Sham masuk bilik. Tinggal saya dengan Joe. Saya ingat nak masuk bilik, tapi Joe buka mulut bertanya saya, petang tadi saya ada dengar apa-apa tak dalam kamar mandi?
Saya pun pelik, dia persoalkan tentang tu.... Joe kata petang tadi dia ada nampak ada orang lelaki lengkap pakaian sukan pegang bola takraw, tapi bila dia masuk tak ada sesiapa. Dia tak jadi guna bilik air tu. Dia tadi pergi mandi pun kat tandas kat depan satu lagi.
Saya memberitahunya, mungkin memang betul kut ada orang main takraw nak kencing ke apa ke... manalah kita tahu. Tapi Joe pun balas, "Masalahnya orang tu jalan berudur." Saya pun jadi terkejut. Macam mana tu jalan berundur?
Joe pun menjelaskan bahawa lelaki itu berjalan secara berundur masuk ke dalam kamar mandi itu. Bila dia sebut begitu, meremang bulu roma saya. Dahlah kamar mandi tu sebelah je dengan bilik kami. Kemudian Joe pun minta diri masuk bilik. Saya pun apa lagi cepat-cepat masuk bilik saya juga.
Tapi malangnya, saya rasa nak terkencing pulak. Alamak.... Nuar dan Shah pun dah tidur. Macam mana ni? Saya betul-betul tak tahan ni. Kalau Joe tak cerita tadi, tak mungkin saya rasa cuak sampai begini sekali. Atau mungkinkah Joe tu sengaja nak menakut-nakutkan saya?
Mahu atau pun tidak, terpaksalah saya minta tolong Nuar temankan, nak buat macam mana, mungkin nanti saya diperli sebagai penakut. Tengah saya kejutkan Nuar membelakangkan tingkap tu, tiba-tiba Nuar pun tersentak, "Fendi!!!" dia jerit nama saya. Dia tunjuk dekat tingkap.
Laju saya menoleh. Tingkap yang langsirnya tersingkap tu menampakkan kelibat seorang lelaki berwajah pucat merenung ke dalam. Teriakan Nuar tu mengejutkan Shah yang nampak mamai, dia pun bangun terpisat-pisat.
Saya pun nampak kelibat tu juga sekilas pandang sebelum ia menghilang. Nuar pun cuak berpeluh-peluh. Saya cepat-cepat turunkan langsir, walaupun lutut dah menggeletar. Sudahlah katil saya berada dekat tepi tingkap tu. Mereka ni masuk awal dalam bilik pun tak reti tutup langsir. Dibiarkan langsir tu tersingkap begitu.
Saya rasa ada lekit-lekit kat celah paha saya, bila perati, Allahu`Akbar... buat malu... saya terkucir rupanya. Tubuh saya ni dah lemah semacam sebab nampak kelibat tu di hari pertama kursus. Entah kelibat siapa, saya pun tak tahu.
Kalau saya sahaja yang nampak mungkin mainan mata sahaja, tetapi ini Nuar yang terlebih dulu nampak, tetapi tidak pula Shah. Dia kata tak nampak apa-apa pun. Sepanjang malam saya tak tidur. Nak pergi tandas pun ajak Nuar temankan. Sama-sama penakut rupanya. Tapi pergi tandas bilik depan.
Bila nak masuk semula dalam bilik, memang ada dengar bunyi air dari kamar bilik mandi di sebelah bilik kami tu. Saya beritahu Nuar, jangan layan. Masa tulah terhidu bau macam hanyir darah... kuat sangat baunya macam bau tu melekat kat hidung kami berdua.
Sepanjang kursus tu memang hati tak tenteram langsung, rasa cuak menghimpit jiwa kami. Jadi nak tak nak saya pun cuba risik-risik cerita tanya makcik kat kantin tu. Ada apa-apa kejadian pelik ke kat sini, makcik kantin tu tanya saya balik, pelik apa? Baru semalam benda pelik berlaku dekat mereka, ada orang intai dekat tingkap masa tengah sediakan hidangan makan malam.
Saya tanya siapa, katanya lelaki muka pucat. Bila tengok lagi sekali, dah tak ada. Saya dengan Nuar peliklah. Yang lagi pelik saya tengok Shah. Kami semua tak pergi pun mandi kat kamar tu, tapi dia relaks je. Padahal kami dah beritahu kamar tu ada hantu.
Selamba Shah beritahu kami, "Apa yang korang nampak tu adalah penjaga aku..." Dia senyum.
Masa tu baru saya tahu bahawa apa yang merupa depan mata kami tu adalah saka milik Shah. Dia kata kalau bernasib baik dapatlah tengok, sebab benda tu warisan keluarga. Dia pun mengakui, memang nak buang, tapi susah.
Sekian.Cerita asal: Afendi
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Jelmaan Di Tempat Kursus"
Catat Ulasan