3 Kisah Seram Orang Berani
Rabu, 14 April 2021
Add Comment
Kisah pertama: Diganggu Pocong!
Pada suatu malam, hujan turun dengan begitu lebat sekali, Siti dan Ain terpaksa berhenti motosikal di sebuah pondok bas. Kemudian di seberang jalan Ain ternampak ada benda terpacak tengah-tengah hujan. Lalu dalam nada menggeletar dan menggigil ketakutan, Ain pun menegur kawannya itu, “Si…si..tiii… ada po…cong…” katanya.
“Ya, ya! Aku nampak la!” Pocong tu pandang arah mereka berdua bersama sinar matanya yang kemerahan. Kemudian pocong tersebut melompat-lompat melintas jalan untuk mendekati Siti dan Ain. Belum apa-apa kedengaran pula bunyi hon! Rupa-rupanya ada sebuah lori yang tak sempat mengelak terus melanggar pocong itu.
Akibat perlanggaran yang kuat itu maka pocong itu pun tercampak jauh entah ke mana. Siti dan Ain tercari-cari juga kelibat pocong tu ke mana perginya. Naik risau pula mereka jadinya. Mana tidaknya, dalam keadaan mereka sedang berteduh dari hujan, ada pula benda yang datang usik.
Alangkah terkejutnya mereka berdua, tiba-tiba pocong tu muncul semula datang dalam keadaan tergolek-golek sehingga mendekati kaki mereka. Lantas dengan selambanya Siti dan Ain pijak-pijak si pocong malang itu. Kemudian mereka cepat-cepat naik motosikal lalu memecut laju membelah hujan.
Mereka memang dah tak pandang belakang lagi. Jantung usah cakaplah, berdebar-debar bagai nak luruh. Walau bagaimanapun, mereka dikira begitu berani kerana sempat pijak pocong itu. Heh heh heh…
Kisah kedua: Hantu langsuir lapar
Tiba-tiba sahaja Syakir merasakan pada malam itu begitu sunyi. Sunyinya sangat lain macam. Ia tidak seperti kebiasaan kerana kali ini tidak banyak orang lalu lalang di depan gerai burgernya. Pelanggan pun tak ada. Pendek kata dia merasa malang. Syakir fikir barangkali rezekinya tiada pada hari tersebut.
Tidak semena-mena, akhirnya muncul juga seorang pelanggan yang entah dari mana datangnya. Kecantikannya begitu mempersonakan. Tidak berkelip mata Syakir tatkala memandangnya. Sungguh menawan dengan rambutnya ikal mayang, kulit sesuci salju. Matanya bundar. Syakir terpaku.
Senyuman gadis itu pula membuatkan jantung Syakir berdegup kencang. Debarannya sangat terasa. Gadis tu pun berkata, “Abang Syakir... Nak burger ayam dua puluh.”
Wah! Banyaknya dia nak bungkus, rezeki aku malam ni... Syakir teruja di dalam hati. Tapi... Macam mana dia tahu nama aku? Tak pernah pulak aku lihat dia sebelum ni. Ah! Peduli la, kesah pulak aku. Syakir berkata-kata lagi dalam hatinya. Selepas tu dia pun goreng daging ayam.
“Bang, bang, boleh tak nak ayamnya saja, roti tak mahu.” Katanya tiba-tiba.
“Ohhh... Kenapa?”
“Tak ada apa, nak ratah...” Ujarnya.
Selepas siap Syakir pun hulurkan kepadanya. Dia bayarkan kepada Syakir wang kertas. Kemudian dia pusing belakang terus meratahnya dengan begitu selera sekali.
NGAP NGAP NGAP!!!!!!
Selepas tu dia pusing semula ke arah Syakir. Allahu'Akbar! Wajahnya hodoh! Kulit mukanya menggerutu. Matanya merah menyala. Terbeliak mata Syakir menatapnya.
Dia pun berkata, "Aku nak lagi!!!!" Rambut yang tadi ikal mayang, berubah putih busuk.
Melihat hantu tu seperti mahu menerkam ke arah Syakir, lalu dengan pantas Syakir capai pisau terus potong tangan hantu itu dan juga mengelar lehernya. Maka terpancut-pancut darah pekat terlihat dari pandangan matanya.
Syakir pun cepat-cepat lari langkah seribu balik rumah tanpa mempedulikan gerai burgernya. Ah! Lantaklah! Bentaknya. Begitulah kisah keberanian Syakir melawan hantu! Siotlah duk kacau aku nak berniaga. Sakit pulak hati aku, bebel Syakir sambil menggenggam rapat penumbuknya.
Kisah ketiga: Bekalan Elektrik Terputus!
Gemparlah satu Malaysia ni kes pintu rumah kena ketuk-ketuk pada waktu tengah malam. Viral baq hang siap ada yang rakam video lagi buh di media sosial bila dengar bunyi pintu kena ketuk tu.
Yang aku hairannya, depa ni selamba duk rakam sambil hantu tu gigih mengetuk. Depa tunjuk berani na? Apa depa tu tak tau ka aku lagi berani? Aku malas nak viral-viral satu Malaysia ni yang aku pernah ketuk kepala hantu!
Ada satu malam tu, aku tak tidur lagi. Dalam jam dua pagi. Aku duk layan movie cerita hantu. Aku kalau bab-bab filem hantu tak usah cakap aeh… memang nombor satu. Dalam external hardisk aku tu penuh movie. Jangan duk report aku layan ilegal movie ha.. biasa ar… layan free… hang pun sama.
Lepaih tu, elektrik padam tiba-tiba oih. PC aku pun terpadam macam tu ja. Aih? Pasaipa ni? Aku agak panik sat. Kemudian aku suluh kat main suis dengan lampu telefon aku ni, kut-kut tendang ka apa.
Aku pi check tengok, laa… tendang betui. Aku tolak naik ataih balik la suis tu. Tup tup… hah, hidup balik. Aku pun langkah nak pi peridup pc aku tu. Mak aih… buat hal lagi, putus lagi. Kali ni aku duk tolak-tolak naik tak lekat. Ada shock ka?
Masa tu la member aku duk call… “Hello Jani, rumah hang ada elektrik dak?” Tanya dia. Aku jawab la tak dak. Dia tak tidur lagi masa tu. Dia pun tau aku suka layan movie. Dalam kegelapan bersuluhkan lampu dari hp aku ni, aku berjalan la nak masuk bilik. Tiduq laaaa apa lagi. Esok aje la aku tengok apa yang shock tu.
Tiba-tiba, pintu rumah aku kena ketuk. ‘Tukkk tukkk tukkkk!’ Kuat baq hang. Aku duk pikiaq siapa yang mai rumah aku malam-malam buta ni.
“Siapa tu?” Aku tanya.
Dia tak jawab soalan aku. Diam macam tu je. Aku pun malas la nak layan. Dah tak mahu jawab siapa. Kan kalau perompak, aniaya aku nak melawan.
‘Debukkkk debukkk debukkkk!’ kali ni dah bukan ketuk dah. Ni dah macam pintu kena hempuk.
“Aku tanya hang siapa? Tak mau jawab, malaih aku nak bukak pintu!” Aku pekik aje dari dalam rumah. Maklumlah, aku mana takut sesiapa. Berani baq hang.
‘Debukkk debukkk debukkk!’ Berkeraih betul setan ni ketuk pintu aku. Aku tanya siapa tak pulak nak jawab.
Aku punya geram dah sampai limit. Aku pi ambil spanar hidup besar punya saiz atas rak tu. Aku genggam kuat-kuat. Aku dah ready nak pi bukak pintu.
Dalam kiraan satu dua dan tiga, aku teruih bukak, nah kau! Pocong berdiri betul-betul depan pintu rumah aku. Aku pun apa lagi, terus hempuk atas kepala dia.
“Hadoi!!!” Pocong tu bersuara. “Siot la Jani!!! Ni aku la!! Awat hang pi ketuk kepala aku?!”
“Laaa hang ka Rudi! Padan muka kau! Tadak siapa suruh hang usik aku. Kan dapat pekdah. Bhahahahahaah!”
Malam tu Rudi dengan Sarul berpakat nak usik aku. Kah kah kah kah. Depa la yang plan kasi shock elektrik rumah aku. Apa dia ingat aku ni penakut? Aku tak peduli, pocong ka, langsuir ka, hanturaya ka nak menyakat aku, aku seorang yang berani. Tak ada takut punya pada setan-setan ni. Silap orang ar…!
Penulis : Rashid Salim
p/s: Terima kasih kerana sudi membaca di blog saya. Follow blog ini untuk update yang akan datang. Sebarkan kepada semua… terima kasih sekali lagi…
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "3 Kisah Seram Orang Berani"
Catat Ulasan