Sudah berapa kali kami panggil tapi 'benda' lain yang tampil
Sabtu, 10 Julai 2021
2 Comments
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hi semua pembaca tersayang. Kita berjumpa lagi dalam cerita seram di blog RS. Semoga anda semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja hendaknya.
Baiklah semua, kita teruskan lagi dengan kisah seterusnya iaitu kisah seram seorang youtuber yang nak bikin cerita seram pendek. Menurut Asmadi (bukan nama sebenar) ketika itu dia baru berjinak-jinak dalam bidang video creator cerita seram pendek.
Tapi katanya, lain pula yang berlaku ketika dia pergi ke sebuah rumah kosong yang lama ditinggalkan itu sebagai lokasi penggambaran. Jom sama-sama kita menelusuri kisah beliau...
Bikin video cerita seram pendek
Ini kisah waktu mula-mula saya nak jadi Youtuber cerita-cerita seram pendek. Saya suka adaptasi ke bentuk visual setiap cerita cerpen seram daripada penulis. Bergantung jugalah cerita yang bagaimana, yang tak memerlukan banyak kostum.
Kalau yang jadi pontianak tu kena guna kesan khas, tapi begitulah saya ni bukan orang profesional pun, bikin video sekadar suka-suka untuk tontonan semata-mata. Untuk hiburan. Kalau jenis hantu raya pula, kena sunting sikit.
Tapi saya more ke storyline dia macam mana. Cerita durasinya pendek je tapi shootingnya lama. Itu tak termasuk editing lagi. Memang makan masa. Kononnya saya ni ala-ala nak jadi pengarah tapi berlakon sekali.
Star-star saya cuma kawan-kawan je la... nak upah mahal-mahal memang taklah, sekadar sukarela. Memang kayulah lakonan mereka, termasuklah saya. Tapi apa nak peduli hanya untuk suka-suka, kan? Jadi saya teruskan.
Prop-prop yang digunakan hanya yang sedia ada dan mudah didapati sahaja. Pendek kata gunakan apa yang ada. Video pertama dan kedua yang dibuat macam tak mencabar, sebab buat di kawasan rumah kami sahaja. Lagipun skrip itu kawan-kawan yang buat.
Kemudian datanglah idea cari kisah-kisah seram daripada penulis di medsos yang dikongsikan mereka. Pm diorang minta izin nak buat video. Kalau diorang setuju, kami guna jelah. Tapi tulah... minta percuma, mana ada duit nak bayar, kan?
Mujurlah mereka izinkan tapi mesti kredit untuk mereka sekali. Itu tak jadi masalah. Idea asal mereka tak boleh dipertikaikan. Jadi kena jagalah etika tu. Kami berminat dengan cerita pasal rumah kosong.
Jadi nak shooting kena cari rumah yang betul-betul kosong yang sudah lama ditinggalkan. Lepas tu seorang daripada kami berikan cadangan ada sebuah rumah dekat hujung kampung kami ni memang dah lama ditinggalkan.
Rumah tersebut dekat dengan bukit. Kami rasa elok juga buat penggambaran di situ. Cerita itu pula ia tentang mimpi, tapi orang itu berada dalam rumah kosong terbiar. Jadi boleh dapatklan feel dekat rumah tu.
Kami pergi lima orang sahaja. Pelakon perempuan memang tak ada dalam skrip ini jadi tak pening sangat nak bawa perempuan sekali masuk set. Masalah pulak kan lagipun ni waktu malam, tak pasal kena tangkap basah.
Waktu itu sekitar jam 9:00 malam kalau tak silap saya, kami siap-siapkan barang. Kamera yang kami gunakan pun bukan jenis pro punya, biasa-biasa sahaja. Bajet bukan besar. Orang baru nak merangkak.
Keadaan rumah tu memang agak suram, memang tak ada orang duduk situ dah, rumah tu rosak teruk, tingkap tak pecah, siling pun dah rosak. Bau pun boleh tahan. Saya fikir tempat ni pun jadi sarang penagih pun ya jugak.
Kami nak masuk situ terpaksa berjalan kaki tinggalkan kenderaan tepi jalan sebab situ hanya lorong sahaja tak boleh masuk kereta kerana semak samun. Kami redah jelah masuk sebab siang hari kami dah riki tempat tu.
Tengah-tengah standby dalam rumah tu, lampu yang kami pasang tu tiba-tiba terpadam. Saya minta Adli, iaitu yang jaga prob-prob tu tengok, dia kata bateri semua okey tak ada masalah. Ke masalah lampu LED tu? Adli pun cakap tak pasti.
Kemudian dia cuba lagi, selepas itu lampu tu berkelip-kelip macam susah nak menyala. Kami pun pergi dekat Adli, tengok apa yang tak kena sebab kami duduk dalam gelap. Cuma Fuad duk main telefon, dia suluh guna telefonnya.
Lampu yang berkelip-kelip tadi padam balik. Macam mana nak shooting kalau macam ni. Saya minta Adli guna lampu lain. Katanya tertinggal dalam kereta. Saya pun minta tolong pergi ambil dengan Fuad. Jadi mereka berdua pun pergi ambil.
Jadi kami tiga orang dekat situ tunggu ajelah sambil duk cari idea bagi perkemaskan lagi jalan cerita kisah seram tu. Tiba-tiba ada orang berdiri dekat pintu masuk, si Jais ni pula suluhlah dengan lampu telefon dia yang tak berapa nak terang tu.
Nampak macam Fuad. Takkan cepat dah sampai, padahal baru je pergi dengan Adli. Jais kata tu Fuad tu... jadi saya tanya, Ad! Kenapa?
Tapi Fuad diam je. Tiba-tiba bayang-bayang Fuad hilang. Terkejutlah kami. Sebab ia ghaib macam tu sahaja depan mata kami. Kami tiga orang jadi tak keruan. Ah sudah!
Jais cakap, "Di... jangan-jangan kita dah kena usik tak?" Ujarnya... saya pun dah meremang bulu roma. Belum shooting lagi dah ada benda ganggu. Kawan saya lagi sorang tiba-tiba hilang. Saya tanya Jais, mana Fitri?
Kami melilau mata dalam gelap tu cari kelibat Fitri tak ada. Ah sudah!!! Kacau ni. Saya ingat dia pun pergi ikut dengan Adli dan Fuad kut, tapi tadi ada je dengan kami. Ish!
Lepas tu saya dah bimbang, kami dua orang keluar dari rumah tu pergi ke arah kenderaan kami, bertembunglah dengan Fuad dan Adli. Kami tanya mana Fitri? Dia cadang cubalah call.
Saya pun cakaplah, nak call apa bendanya, telefon dia tinggal atas beg. Masalahnya orangnya tak ada. Kami pun panggil-panggil Fitri.
"Fitri!!!"
Tiba-tiba ada orang menyahut.
"Ya!!!"
Kami empat-empat orang dengar suara tu dalam rumah. Jadi kami pun pergi dalam rumah tu semula, kami panggil Fitri.
"Fitri!!!"
"Ya!!!" Kami dengar suara tu luar rumah pulak.
Aih penat kami macam ni. Kami rasa Fitri macam sengaja nak main-main dengan kami agaknya kut. Lalu kami pun pekiklah, Fitri, jangan main-mainlah!
"Ya!" Kami dengar sangat dekat macam duduk di sebelah kami je. Kemudian Adli pun beritahu. Di... kalau kita dengar suara yang macam jauh... benda tu dekat.... kalau dengar macam dekat, benda tu jauh.... katanya.
Bertambah seriau kami. Masalahnya sekarang ni Fitri, mana Fitri? Kalau dia hilang macam tu sahaja memang jadi masalah pada kami.
Waktu semakin berlalu. Kami ambil keputusan untuk cari Fitri di sekeliling rumah tu. Serata tempat kami cari tapi tak jumpa.
Bila kami panggil nama Fitri, memang ada orang menyahut. Kami dah tak tahan sebenarnya sebab kami rasa yang menyahut tu bukan Fitri. Terketar-ketar kami jadinya.
Kami ke rumah tu bukan nak cari hantu, tapi nak buat video cerita hantu. Lain pula jadinya. Kalau balik, takkan nak tinggalkan Fitri begitu sahaja? Serba salah kami.
Kami tak berpecah langsung sebab takut di antara kami pula yang hilang. Jadi kami berkumpul empat orang. Kami ni bukan berani sangat pun tambah lagi kalau kena macam ni.
Seterusnya kami dengar bunyi derap kaki orang berjalan. Bunyi ranting-ranting patah. Semakin seriau jadinya kerana malam semakin larut. Masa banyak terbuang gara-gara mencari Fitri sahaja.
Bila kami bergerak tinggalkan rumah pergi ke arah hutan, maka nampaklah ada orang duduk mencangkung bawah pohon ara. Aduh!!! Kami suluh tu memang Fitri. Segera kami dapatkan dia. Tapi dia mencangkung dalam keadaan mata terpejam.
Masa kami pegang dia, memang rasa lain macam. Nak bangunkan dia pun dah keras macam patung. Kami tegur pun dia tak jawab. Kami dah tak tahu nak buat apa. Kami cakaplah, janganlah main-main. Kemudian Adli cakap, Di... ni bukan main-main Di...
Selepas tu kami empat-empat orang ni nampak macam benda berjuntai cecah tanah bergerak-gerak. Nak kata akar pokok ara, ia tak bergerak. Kami suluh ia merah meleleh-leleh dengan bendalir. Kami suluh sampai ke atas, Allahu`Akbar!
Kami empat-empat orang lari lintang pukang! Tinggalkan Fitri macam tu sahaja. Memang masa tu tak tahu nak buat apa. Benda tu besar gila bertengek atas pokok ara tu. Jembalang je apa pun tak tahulah, matanya kemerahan, bertaring besar. Masa tu mulutnya ternganga luas.
Malam tu juga kami minta tolong imam masjid, kami pergi ketuk pintu rumah dia minta tolong datang jugak selamatkan Fitri. Imam masjid tu cakap dia ada kenal orang untuk rawat benda-benda tu.
Jadi malam tu kami bawa la orang yang dimaksudkan pak imam. Bila kami sampai balik kat tempat tu, Fitri dah ada atas pokok ara. Peristiwa malam itu memang menyeramkan. Ustaz berkenaan nak bawa turun Fitri pun bukan main payah.
Siap minta izin minta dilepaskan, barulah Fitri terjatuh, dia mengalami kecederaan, mujurlah tak patah tulang tengkuk. Memang menjadi pengajaran pada kami. Serius nak buat video atau cerita seram ni tak boleh sembarangan.
Kami tak tahu langsung yang tubuh Fitri tu di antara yang lemah antara kami. Dia mudah kena rasuk. Lagipun kami ni main redah tanpa izin. Pergi pun tak bawa orang bijak pandai. Kasihan Fitri masuk hospital mengalami patah kaki akibat terjatuh.
Menurutnya, pada malam itu dia kata dia pergi kencing, lepas tu dia nampak Fuad panggil dia ke pokok ara. Dia pergilah. Lepas tu dia tak tahu dah apa yang berlaku. Pada malam tu benda tu merupa jadi Fuad.
Itulah pengalaman yang kami lalui... tak sangka rumah tinggal kadang-kadang ada sahaja benda yang mengganggu. Kalau ia nak tunjuk dirinya, sekelip mata ia dapat tunjuk. Kami pula yang jadi mangsa... bersabar sahajalah...
Sekian...
Cerita asal: Asmadi
Ditulis oleh: Rashid Salim
kena kuat semangat kalu nak follow blog ni hahaha seram2 jee
BalasPadamHahaha, betul-betul...
Padam