Seriau! Tiba-tiba je 'benda' tu jatuh tergolek kat kaki saya


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Semoga pembaca cerita seram di blog RS berada dalam keadaan baik-baik sahaja hendaknya.

Jutaan terima kasih kerana anda masih lagi setia bertandang ke sini dan tidak jemu-jemu membaca setiap kisah yang disajikan. Semoga anda terhibur.

Baiklah, kali ini kita layan pula kisah daripada Rina (bukan nama sebenar) berkongsi pengalaman beliau sewaktu muda remaja mengikuti keluarganya pergi bercamping.

Menurutnya, ada pengalaman aneh yang berlaku ke atas dirinya ketika berada di sana. Apakah itu? Ayuh marilah sama-sama kita menelusuri kisah seram camping oleh Rina.

Perkhemahan


Sebut mengenai perkhemahan, saya teringat suatu peristiwa seram yang berlaku pada tahun 1994 dahulu di Teluk Batik, Perak. Ketika itu kami sekeluarga pergi ke sana.

Keadaan pada waktu itu bukanlah seperti yang sekarang yang banyak kemudahan. Tetapi panoramanya tetap indah dan menjadi tumpuan orang camping di situ.

Saya termasuk mak dan ayah (sekarang dah arwah) serta dua orang adik saya pergi ke sana. Kami pasang khemah di tempat paling hujung.

Mak teringin sangat nak rasa suasana berkhemah kat situ, jadi saya ikut sahaja. Cuma saya nak maklumkan yang saya ni sebenarnya kalau ada benda-benda pelik, cepat terasa.

Jadi, ketika tiba di situ, dengan tiak semena-mena bulu roma saya tegak tak turun. Saya beritahu ayah bahawa saya rasa tak sedap hati. Lalu ayah minta saya bertenang.

Adik-adik saya nampak biasa sahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Barang yang dibawa turun tadi telah kami siapkan. Khemah telah pun siap dipasang.

Cuma... saya ni rasa tak selesa. Sekali lagi saya beritahu ayah, saya cakap rasa macam ada orang perhatikan kita. Ayah pun jawab, memanglah, depan sana kan ada orang camping jugak.

Memang ada orang, tapi mereka jauh dari kami. Ini kami dekat sungai hujung dan jauh dari orang lain. Pada sebelah petang pula kami siap-siap memasak. Saya dari awal sampai waktu itu sangat-sangat tak selesa.


Alarm berbunyi!


Kemudian, penggera ayah berbunyi tiba-tiba. Ayah pun ambil alat penggera tu dan tutup. Ayah cakap, sepatutnya tak bunyi waktu macam ni. Selepas ayah letak semula, tiba-tiba bunyi lagi.

Adik-adik saya macam biasa, buat tak tahu seolah-olah tiada apa yang pelik. Mereka sibuk tolong mak memasak dekat khemah. Selang seketika, saya terdengar orang panggil nama saya, Rina....

Aih.... sayup-sayup nama saya diseru. Saya tanya ayah, ayah dengar tak orang panggil nama saya. Lantas ayah pun berpesan, jangan layan. Serta merta penggera pun berbunyi buat kali ketika. Ayah pun matikan alat tu.

Naik seriau saya jadinya. Suasana hening, kami pun menjamu selera. Tengah-tengah makan tu, sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi radio dalam khemah. Senja-senja begini kami mendapat gangguan.

Kawasan yang kami camping ni dekat dengan laluan jungle tracking, jadi saya ni terdengar-dengar macam ada orang berjalan-jalan dekat belakang kami. Derap kaki dan bunyi ranting patah dipijak-pijak.

Takkan saya seorang sahaja yang dengar? Mak dan adik-adik saya tak dengar ke? Saya tanya ayah, ayah tetap pesan jangan layan. Memang saya tak layan, tapi saya cuma takut.

Keitka radio terpasang sendiri dalam khemah tu memang kami terkejut. Ayah pergi matikan. Baru sahaja beberapa langkah nak kembali semula ke arah kami, tiba-tiba radio berbunyi lagi dengan begitu kuat.

Bari saya perhati wajah mak dan adik-adik saya cuak. Ayah tunjuk pada kami, bateri yang ditanggalkan, tapi radio berbunyi. Memang meremang habis bulu roma kami.

Masa tu kami pun cepat-cepat masuk dalam pondok. Radio tu makin kuat kedengaran. Ayah minta kami diam-diam sahaja. Saya pula dah tak keruan. Tidak berapa lama, bunyi radio terhenti sendiri.

Mungkin kami tak layan kut, sebab ayah pesan jangan pedulikan. Biar dia nak bunyi pun bunyilah. Hakikatnya saya dah cuak. Adik-adik pun nampak tak berani dah nak keluar.

Bila waktu malam, pondok yang kami duduk tu macam bergegar. Terbuka serentak keempat-empat sudut pintu. Terperanjat kami sebab radio pun berbunyi lagi. Kami tutup semula pintu cepat-cepat.

Tanpa saya sangka ada orang datang tanya apa yang berlaku sebab dengan bunyi kecoh-kecoh. Memanglah kecoh sebab adik-adik termasuk mak saya dah jerit-jerit.

Katanya mereka ada ternampak benda putih terbang naik atas bumbung pondok. Ayah pun cakap tak ada apa-apa, cuma ada benda datang kacau. Ayah tak nak menyusahkan orang lain.

Orang tu sarankan pindah je pergi duduk dekat mereka, tapi ayah cakap tak apalah, selepas tu ayah pun masuk semula. Bunyi radio pun menyepi.

Keadaan sekali lagi kembali hening. Saya yang terbaring tak dapat nak tidur sampai ke lewat pagi, sebab terbayang-bayang benda putih yang mak dan adik-adik cakap. Kami ni kalau ikutkan tak tahan nak stay lagi.

Saya layan perasaan takut, sampai pukul dua pagi, kemudian terdengarlah lagi orang bercakap-cakap dekat luar. Saya rasa dekat khemah. Saya ingatkan mak dan ayah saya, saya pun nak pergi intai.

Saya pun nampak susuk tubuh orang berdekatan khemah. Laa... mak dan ayah saya rupanya. Saya pun menghampiri mereka, saya tanya mak dan ayah tak tidur lagi kenapa?

Tapi mereka diam tak berkutik pulak. Duduk atas batu saling menghadap antara mereka. Sekali lagi saya tanya, mak dan ayah buat apa ni? Mereka diam. Ketika itulah suhu sekeliling rasa dingin sangat.

Sampai saya rasa naik gigil. Mak dengan ayah tak sejuk ke? Saya tanya lagi. Aihhh.... tiba-tiba mereka berdua menoleh serentak ke arah saya. Kemudian....

Debukkkk!!!!

Saya pun jerit sekuat hati berlari masuk dalam pondok! Mak ayah!!! Saya panggil kedua-dua orang tua saya. Mereka sebenarnya ada dalam pondok. Bila dengar saya terpekik terlolong begitu, mereka pun terjaga.


Allahu`Akbar! Mak dan ayah tanya kenapa, saya pun beritahu, ada jembalang dekat luar, tertanggal kepala! Nak luruh jantung saya. Mana tidaknya, masa benda tu menoleh, tiba-tiba kepala mereka jatuh serentak.

Gangguan demi gangguan kami terima waktu bercamping. Kami bertahan sampai pagi, kemudian berkemas dan bertolak balik pagi tu jugak. Tak dapatlah nak stay dua tiga hari dekat situ.


Begitulah pengalaman saya diganggu makhluk halus dan yang pastinya, ia suatu pengalaman yang mendebarkan saya sehingga ke hari ini.

Mana tidaknya, kepala mereka tertanggal macam tu aje lalu jatuh tergolek-golek ke kaki saya. huuu! Memang tak boleh nak lupa...Sekian...

Cerita asal: Rina
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

3 Responses to "Seriau! Tiba-tiba je 'benda' tu jatuh tergolek kat kaki saya"

  1. Tahniah. Kisah ni agak seram bagi mereka yang mengalami nya, tapi masih boleh lah diolah lagi supaya tahap seram mempelawa pembaca kedalam situasi penceritaan. Teruskan berkarya.

    BalasPadam
  2. bapaknya punn.....

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK