Seram! Saya pemandu teksi sepatutnya bawa orang bukan jembalang


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Semoga anda semua baik-baik sahaja. Salam kenal juga buat pembaca-pembaca baru di blog cerita seram Rashid Salim. Terima kasih kepada anda terus setia membaca cerita yang tersiar di sini.

Baiklah semua, kali ini kita nak layan pula kisah abang teksi iaitu Hisham (bukan nama sebenar) berkongsi pengalamannya menjadi pemandu teksi di sebuah tempat. Sama-sama kita baca kisah seram pemandu teksi...

Zaman gawat

Mengimbau kembali kegawatan ekonomi 1997/98 dahulu banyak memberi kesan tentang kejatuhan nilai mata wang tanah air. Begitu jugalah wang dalam poket saya ketika itu. Hidup kena belajar berjimat cermat.

Mengikut seruan kerajaan membeli barangan buatan Malaysia menjadi satu slogan yang perlu dipatuhi bagi memastikan masalah ini dapat dibendung. Kempen Inflasi Sifar giat dijalankan bagi membendung masalah ini.

Isu ini berat dan menjadi topik perbualan tak kira ketika memandu membawa penumpang atau lepak dengan kawan-kawan di kedai kopi. Saya sembang pasal benda ini tentang susutnya nilai duit kita ni.

Hidup jadi pemandu teksi ni bukan banyak duit pun, kalau ada penumpang maka adalah duitnya, kalau tak ada, nak buat macam mana. Lagipun pemandu teksi dalam bandar ni bukan saya seorang sahaja.

Tapi tak apalah, rezeki masing-masing, kan. Bila sudah gawat ni, orang macam nak naik teksi pun berkira. Lebih memilih pengangkutan awam yang lain lebih jimat. Tapi tak semestinya mereka tak naik teksi langsung.

Hairan tiada penumpang

Masa tengah tunggu penumpang, lepas seorang-seorang kawan lain beredar hantar penumpang masing-masing ke destinasi. Saya pulak masa tu tak ada yang nak naik. Saya pun jadi hairan, bila orang datang dekat teksi saya je mesti tak jadi naik.

Hurm... saya jadi tertekan. Pendapatan saya pun terjejas. Sehari dua tu tak apa lagi. Ini dah masuk empat hari tak ada orang nak naik. Apa badi ni? Bila saya ajak orang naik, orang geleng tak nak. Lebih memilih teksi lain yang ada di hadapan saya.

Saya tetap bersabar sehinggalah suatu malam, saya memandu seorang nak balik selepas agak kecewa pada hari itu tak ada seorang penumpang pun yang nak naik teksi saya. Memang agak pelik tak seperti sebelum ini.

Haih... takkan krisis ekonomi sebegitu teruk sekali? Kawan yang lain relaks je dapat penumpang, aku tak ada langsung ni macam mana? Omel saya sendiri ketika memandu.

Pada hari itu saya layan perasaan saya sendiri. Sampai saya pun tak perasan dah masuk jalan melawati kawasan perumahan. Gelap sikit di situ sebab lampu jalan tak ada. Saya fikir rosak agaknya.

Aih.... Secara tak sengaja saya dah melalui jalan tersebut. Saya fikir tak apalah, cepat sikit sampai ke rumah. Saya pun sebenarnya jarang lalu situ pada waktu malam. Biasa siang-siang hari sahaja kerana kalau malam begini, iyalah gelap.

Bukan takut ke apa, tapi jalan sini tak berapa elok, berlubang-lubang. Secara tak sengaja saya pun masuk situ pada malam tersebut. Entahlah, mungkin terbawa-bawa perasaan tak puas hati akibat tak ada penumpang.

Kereta saya pun terhangguk-hangguk la jadinya langgar lubang, tapi saya bawa perlahanlah. Saya kata apalah tak tampal jalan ni. Dibiarkan begitu kenapa sampai lama-lama. Saya membebel sorang-sorang. 

Kemudian saya pun matikan penghawa dingin lalu saya pun turunkan cermin tingkap kereta supaya mendapat udara yang lebih segar. Saya dah rimas duduk dalam air cond lama-lama tambah lagi dalam keadaan kusut macam ni.

Saya pun teringat VCD mengaji yang baru saya beli. Saya nak pasang, tapi tiba-tipa player tak berfungsi. Terbantut hasrat saya nak dengar lantunan ayat-ayat suci, agar fikiran yang kusut dapat tenang.

Selepas melintas di hadapan perumahan itu, saya pun melalui pula kawasan yang kiri dan kanan ada pokok-pokok besar. Tidak semena-mena saya lihat ada kelibat perempuan berpakaian sari berjalan kaki berada di hadapan. Dia berjalan bukan melawan arus.

Dia berjalan laju seperti melarikan diri dari sesuatu. Dari keadaannya saya nampak tergesa-gesa. Lepas itu saya dengar dengar jelas akan sesuatu...

Cing! Cing! Cing!

Dia nampak tak keruan dan takut-takut. Bunyi gelang kaki yang dipakainya jelas tertangkap di halwa pendengaran saya ketika itu yang menuruti langkah kakinya yang bergegas itu. Dia tidak mengenakan sepatu apa pun.

Saya fikir, perempuan ni nak ke mana tengah-tengah malam ni? Ketika itu jam sudah 12:30 malam. Saya pun sebenarnya risau kut ada apa-apa yang buruk mengejar perempuan itu. Manalah tahu, kan?

Itulah yang saya anggarkan waktu itu. Lantas saya pun panggil dia dari dalam kereta, dik.... selepas tu perempuan tu pun berhenti. Dia berada betul-betul di sebelah teksi saya, tercegat.

Dia kaku, nampak bahagian badannya sahaja sebab dia berdiri dekat pintu depan. Saya pun berkata lagi, "Dik nak ke mana malam-malam ni?" Masa tu saya tak sangka apa-apa pun.

Kemudian perempuan tu pun membongkokkan tubuh jenguk saya, Allahu`Akbar!!! Terkejut saya. Mukanya buruk, ada ulat, matanya pula berona merah tenung saya. Jantung saya macam nak luruh. Terus saya masuk gear dan pecut!

Radio terpasang sendiri

Waktu itulah radio kereta saya terpasang sendiri dengan lagu-lagu tamil disusuli dengan bunyi gelang kaki. Saya kecut kepala. Dah tak peduli dah lubang ke apa, langgar je.

Lepas tu hidung saya hidu benda busuk. Nak muntah rasanya. Baunya lebih busuk dari bangkai kucing. Bulu roma saya merinding. Rasa macam ada sesuatu di tempat duduk belakang.

Saya cuba matikan lagu tamil tu, tapi bunyi lagi. Saya tak cemas. Saya baca sahaja apa ayat yang terlintas dalam kepala. Bila sampai di tempat yang terang, saya rasa tengok cermin pandang belakang.

Alangkah terkejutnya saya, saya nampak tempat duduk belakang penuh dengan orang yang wajah mereka bertutup dengan kain sari. Meremang habis bulu roma saya, rasa seperti tidak berpijak di bumi yang nyata.

Saya baca ayat qursi kuat-kuat. Semakin kuat pulak bau busuk tu. Saya hampir lemas dibuatnya. Tingkap dah buka luas pun bau sangat kuat. Saya terus baca dan baca. Tiba-tiba kereta jadi berat nak bergerak.

Saya pun turun dari teksi, tinggalkan dekat situ dan berlari tahan teksi orang lain yang kebetulan lalu di situ. Kebetulan pula masa tu memang kawan saya yang melewat hujung jalan tu. Dia tanya kenapa, lalu saya pun cerita apa yang berlaku.


Pesan dia pergi berubat sebelum keadaan melarat. Saya pun dengar saranan tu, cari orang yang boleh tengokkan. Bila ikhtiar, akhirnya dapat tahu, bawah kusyen tempat duduk belakang teksi saya tu ada benda berupa gelang kaki yang dibalut kain sari yang ada kesan tompok-tompok darah. Di dalamnya pula ada tanah dan abu.

Saya tak tahu apa tujuan benda tu ada dalam teksi saya sehingga penumpang tak mahu naik. Kalau perkara tu tak berlaku pada malam itu, sampai sekarang saya tak tahu apa puncanya.


Walau bagaimanapun sehingga hari ini saya masih tak tahu angkara siapa yang letak benda tu dalam teksi saya. Tak apalah, sejak kejadian itupun saya dah tak bawa teksi, saya cari kerja lain. Rezeki saya di tempat lain.

Saya pun tak ada berdendam dengan sesiapa, kalau ia adalah perbuatan individu tertentu maka saya maafkan sahaja perbuatan orang tersebut. Mungkin dia tak sengaja letak benda tu dalam teksi saya. Semoga Allah memaafkan kita semua... Insya-Allah, Aamiin...

Sekian...

Cerita asal: Hisham
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

4 Responses to "Seram! Saya pemandu teksi sepatutnya bawa orang bukan jembalang"

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK