Seram! Misteri rumah sewa, mula-mula paku dinding tapi lama-lama semakin merinding


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca cerita seram RS yang disayangi. Apa khabar? Semoga berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Bertemu lagi kita dalam kisah seram dan kali ini kita layan pula cerita daripada Nora (bukan nama sebenar) yang berpindah ke rumah sewa baru.

Menurutnya kisah ini dah berlaku sekian lama, tetapi beliau ingin berkongsi kepada teman-teman tentang pengalaman beliau berpindah di sebuah rumah yang dikatakan agak menyeramkan.

Sama-sama kita menelusuri cerita ini....

Rumah sewa baru


Kisah ini berlaku ketika kami berpindah ke rumah sewa baru kerana suami sudah berpindah tempat kerja. Untuk lebih dekat sikit, jadi kami cari rumah sewa lain.

Cari punya cari, dapatlah rumah sewa di sebuah perumahan lama. Ketika itu saya belum ada cahaya mata lagi. Hari pertama pindah tu agak penat sebabnya kami kena berkemas.

Banyak lagi barang-barang lain yang tak disusun atur dengan begitu baik. Jadi ambil masa sedikit untuk saya dan suami mengemas. Rumah tersebut ada tiga bilik. Kami pun guna satu bilik sahaja, dua bilik lagi kosong.

Pemilik rumah tu orang Cina, dia memang buat sewa rumah tersebut. Kami bersetuju tinggal di situ sebab sewa yang dikenakan pun berpatutan. Iyalah mungkin ia jauh sikit dari bandar agaknya.

Di hadapan rumah kami pula ada playground yang sudah rosak teruk tak dibaiki. Kalau dilihat ianya tidak digunakan lagi memandangkan sudah naik semak tak dijaga.

Di kawasan tersebut ada juga beberapa rumah yang dibiarkan kosong. Penghuni perumahan tersebut pun tak ramai orang. Mungkin mereka dah pindah.

Saya tanya Uncle Lim, kawasan sini memang tak ramai orang tinggal ke? Haiya... biasalah kalau ada rumah baru, rumah lama kasi tinggal, itu jawabnya. Senang balas orang yang banyak harta ya... kami juga yang menyewa sana sini.

Kami ni tak sempat nak bertegur sapa dengan jiran-jiran. Baru pindah. Belum kenal orang di situ. Jadi sementara ini kami siap-siap apa yang patut. Bila waktu malam, biasa sahajalah, badan dah letih.

Ingin tidur awal rasanya. Suami pula lepas solat Isyak dia dah berbaring. Masa saya nak masuk dalam bilik, saya terlupa nak buang pad yang tertinggal dalam tandas.

Saya kembali semula nak ambil dan buang, tapi tiba-tiba bulu roma saya naik. Saya tak tahu kenapa. Bulu tengkuk saya meremang sahaja. Masa saya nak masuk dalam tandas, tiba-tiba....

Macam ada benda sekilas pandang tembus dinding terus ghaib. Saya tak tahu benda apa. Saya tersentak benda tu sekelip mata je hilang. Saya jadi takut sampai terlupa nak cuci pad tu.

Saya ambil dan terus pam masuk dalam mangkuk tandas. Biasanya saya tak buat macam tu. Saya akan cuci dulu kesan-kesan darah. Tapi kerana takut punya pasal. Saya bertindak sedemikian.

Kemudian saya pun bergegas masuk ke bilik. Suami tanya kenapa, saya cuma cakap tak sedap hati sahaja. Suami cakap jangan fikir bukan-bukan. Saya pun tarik nafas dalam-dalam.

Tak lama selepas tu, ketika nak tidur, saya kira masa tu dalam sekitar 11:00 malam, saya dengar seperti dinding bilik ini kena ketuk. Saya pun fikir, jiran saya memaku dinding apa malam-malam ni?

Bising, saya tak boleh nak tidur. Suami saya pun terjaga sebab bunyi bising tu. Suami pesan pada saya supaya bersabar, nanti diorang senyaplah tu. Jadi kami pun sabar. Selepas itu bunyi ketukan itu senyap.

Hari pertama di rumah itu saya rasa sangat tidak selesa. Walaupun letih, tapi susah hendak lelapkan mata. Suami saya dah berdengkur. Kira-kira pukul 3:00 pagi, saya dengar pula orang bergaduh.

Bahasa dia memang saya tak faham, bila dengar betul-betul saya pun tahu yang jiran kami ni orang India, bertengkar bahasa Tamil. Patutlah saya tak faham sepatah apa pun.

Saya tak tahulah kenapa mereka pagi-pagi buta berperang laki bini ni. Saya susah nak tidur. Sekali lagi suami saya terjaga. Apahal bising-bising ni? Tanya suami saya. Saya pun cakaplah... jiran bergaduh bang...

Kemudian senyap. Saya pun tak tersedar bila saya pun terlelap sampai pagi dan keesokannya saya dan suami keluar pergi cari sarapan pagi. Ada warung tidak jauh dari taman situ. Kami singgah makan pagi.

Selepas selesai kami pun balik, sebab nak sambung lagi kerja-kerja mengemas rumah yang belum beres. Bila tiba kami masuk ke halaman, nak tutup pagar sempat lah tengok rumah sebelah. Tak ada orang. Kosong.

Kami tengok rumah sebelah kanan pula. Kosong. Kiri dan kanan rumah kami ni macam tak ada orang je... saya pun hairan juga. Selang beberapa rumah baru ada orang yang duduk.

Terdetik di hati saya nak pergi rumah jiran yang berpenghuni itu. Saya dengan suami pergi menyapa. Keluar seorang lelaki tidak berkaki sebelah. Kakinya telah dipotong akibat kencing manis.

Dia mempelawa kami masuk, tetapi kami hanya datang sekejap sahaja sekadar menyepa dan memperkenalkan diri kami. Kami beritahu bahawa kami adalah orang yang baru pindah.

Saya pun bertanyalah berkenaan orang sebelah rumah kami, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Din tu cakap rumah tu memang kosong. Selalu sangat bertukar penyewa.

Menurut Abang Din lagi, rumah yang saya duduk tu pun baru je penyewa pindah. Tak lama selepas tu saya pulak yang masuk. Oh... saya pun tak beritahulah yang malam tadi saya ada dengar bunyi orang ketuk-ketuk dinding.

Bila dia beritahu rumah tu kosong, perasaan seram sejuk pun bertandang. Abang Din beritahu lagi yang rumah sebelah tu ada orang India mati bunuh diri. Sepasang suami isteri.

Telan air liur saya dengar. Suami saya pun cepat-cepat ajak balik. Abang Din macam nak menakut-takutkan kami sahaja. Padahal kami baru sahaja pindah sini.

Terbayang-bayang pula apa yang Abang Din katakan tu. Jadi pergaduhan yang kami dengar malam tadi tu siapa? Rumah tu dahlah kosong. Seram pulak rasanya.

Terbawa-bawa perasaan takut tu sampai saya sendiri pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Masa nak masuk dalam rumah tu. Tengok buaian dekat taman tu berayun sendiri. Bertambah meremang jadinya.

Saya tegur suami, bang... tu buaian tu berayun bang, suami pun cakap angin la tu... saja nak sedapkan hati saya agaknya. Bila masuk dalam rumah, rasa hati dah tak sedap. Dengar bunyi macam bunyi barang-barang jatuh.

Suami saya sendiri pun dengar juga dekat dapur. Siang-siang hari pun dengar bunyi pelik-pelik. Kami pergi dekat dapur, tapi tak ada apa-apa. Saya rasa betul la kawasan sini ada gangguan.

Saya tak puas hati, pergi lagi jumpa dengan Abang Din, tanya dia tentang rumah kami pulak. Abang Din pun beritahu. Rumah yang kami duduk tu sebelum ini orang yang merawat orang yang sewa. Kira bomoh la.

Abang Din beritahu ada je orang luar datang ke situ berubat dengan bomoh tersebut. Selepas tu bomoh tu pindah. Menurut Abang Din, mungkin benda-benda milik bomoh tu ada tertinggal lagi di rumah yang saya duduk tu.

Alahai... kami baru je pindah, takkan nak kena cari rumah lain lagi? Duit deposit semua dah bayar tinggal sini baru je lagi. Tapi suami saya kata, mungkin Abang Din tu sengaja nak menambahkan ketakutan kita kut...

Nak buat macam mana, kami cuba juga tinggal di situ. Memang selalu sangat dengar bunyi ketukan di dinding rumah sebelah tu dan kadang dengar juga benda-benda jatuh dalam rumah ini.

Hakikatnya, bila suami pergi kerja, saya tinggal seorang di rumah, bertambah seram saya rasa. Saya pasang ayat ngaji kuat-kuat, sampai satu masa tu letrik terpadam sendiri.

Saya pula jadi tak tahan dengan gangguan-gangguan yang dialami termasuklah bunyi orang mandi dalam tandas. Saya dah cuba buat biasa tapi memang lama-lama menjadi tak keruan.

Kadang-kadang tu barang yang saya susun beralih sendiri. Sungguh mengundang rasa yang tidak aman dalam diri saya. Saya mengadu pada suami saya, saya tak mahu tinggal di situ lagi.

Suami berkata sabar, dia cuba ikhtiar ustaz. Saya pun beritahu, buat apa nak cari ustaz lagipun ini bukan rumah kita, hanya rumah sewa sahaja. Saya minta suami cari rumah lain.

Tetapi dalam keadaan ketika itu, memang susah nak cari rumah lain, suami minta saya bersabar dulu. Dan selepas itu ustaz yang dikatakan tu tiba ke rumah kami.

Bila sampai sahaja ustaz tu beritahu ramai sangat ni... saya pun tak faham apakah yang ramai sangat? Ustaz tu beritahu, jin!

Aduhai! Saya dah beritahu suami, bomoh tu memang tinggalkan jin dia dalam rumah ni. Duk kacau jiran tetangga sampai susah orang nak tinggal sini.

Bila ustaz tu buat rawatan, ustaz tu beritahu, jin pun dah bersarang dalam tubuh saya sebab tu saya pun kadang kuat melenting. Saya sendiri pun tak perasan yang saya selalu meradang dengan suami.

Sepanjang tinggal dalam rumah ni memang pandangan antara kami nampak semakin dingin. Ketara bila ustaz tu cakap baru saya perasan. Selalu juga bertengkar hal-hal remeh.

Padahal kami baru je tinggal di sini. Panas je rasa. Mujurlah suami ada perasaan nak bawa ustaz sedangkan saya pula menghalang. Itu tanda-tanda yang tak baik.

Selepas dirawat, rasa sedikit lega. Bunyi orang mandi dan barang-barang beralih sendiri sudah tidak ada. Kadang-kadang dengar bunyi derap kaki pun sudah hilang. Cuma...

Bunyi ketukan dan jiran memaki tengah malam dan suara orang India bertengkar itu kami tak dapat nak elak. Kadang-kadang masih juga kedengaran suara tersebut dari rumah sebelah.

Lama kelamaan jadi terbiasa. Sehinggala ada penyewa yang masuk ke rumah itu, sering kedengaran anak mereka menangis tengah-tengah malam. Kami pun sarankan untuk dipertemukan dengan ustaz yang datang rawat rumah kami.

Alhamdulillah, keadaan baik. Ustaz tu pesan, rumah kalau dibiarkan lama akan dihuni oleh jin. Begitu juga rumah yang dijadikan tempat perubatan bomoh-bomoh yang menggunakan khidmat jin. Mungkin ada yang ditinggalkan.

Sekian.

Cerita asal: Nora
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Seram! Misteri rumah sewa, mula-mula paku dinding tapi lama-lama semakin merinding"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK