Saya rasa tak sedap hati bila ketukan sudip dan kuali tiba-tiba berbunyi


Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat rakan-rakan dan pembaca semua. Semoga berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Sama-samalah kita jaga SOP ya, dan berdoa agar virus Covid-19 segera pergi.

Baiklah semua, kali ini kita nak bercerita seram lagi dengan kisah seram seterusnya dari Sari (bukan nama sebenar) tentang misteri rumah tumpang.

Khabarnya ada sesuatu yang telah berlaku ketika Sari menghantar anaknya ke negeri Pantai Timur untuk pendaftaran bagi kemasukan ke sebuah universiti di sana.

Apa yang telah terjadi sebenar? Ayuh sama-sama kita menelusuri kisah misteri ini yang dikatakan telah menghantuinya... jom....

Misteri rumah tumpang berpenunggu

Peristiwa ini berlaku ketika saya hantar anak sulung mendaftar ke sebuah universiti di Terengganu. Saya dan suami serta along. Jadi masa tu along dapat menyambung pelajaran. Syukur Alhamdulillah. Dua orang anak saya lagi saya tinggalkan di rumah mak saya.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu memakan masa agak lama juga. Pada waktu itu, LPT 2 belum ada. Kami melalui laluan biasa yang kebanyakan orang lalu.

Bila saya dengar orang bercerita tentang pengalaman tentang Bukit Bauk tu, tak pula kami menemui apa-apa ketika perjalanan kami sampai di situ.

Dahulu laluan Bukit Bauk itu memang agak scary juga berbanding sekarang. Kini laluan itu boleh dikatakan nampak macam biasa. Cuma ada juga sesetengah orang berhadapan dengan pengalaman misteri.

Baiklah saya sambung kisah saya ni. Bila kami dah masuk sebuah kampung, kami tiba pun dah petang hari. Jadi kami mestilah bermalam dahulu di sebuah rumah tumpang. Kalau sekarang orang panggil homestay.

Apabila badan semua dah penat, letih, maka kami pun berehat di rumah tersebut. Rumah itu tiangnya tinggi. Tangga pun guna tangga kayu. Itu sahaja rumah yang ada telah dijanjikan kepada kami.

Tak apalah, lagipun hanya bermalam satu malam sahaja, esoknya selepas pendaftaran along, kami akan bertolak balik ke KL. Itulah perancangan kami mengikut aturannya.

Rumah tu taklah besar mana, cuma ada tiga bilik. Bahagian dapurnya berada di bawah dan di situ ada bilik mandi, cuma…

Cuma tandas berada di luar rumah. Kalau nak guna tandas maknanya kena keluar dari dapur tu. Sebelah rumah ni pula merupakan pemilik rumah tumpang ni.

Saya fikir ini rumah orang lama tapi tak diubahsuai letak tandas dalam rumah. Saya pun tak tahu kenapa pemilik dia tak renovate.

Suami saya pun satu hal, pilih rumah sini kenapa? Suami saya kata tak adalah jauh sangat dengan universiti tu. Katanya lagi betul la memang inilah rumahnya. Pemiliknya pun tak cakap banyak terus bagi kami tinggal.

Along tidur dalam bilik satu lagi, saya dan suami tidur dalam bilik besar sikit. Katil pun taklah besar mana. Masa kami sampai semua peralatan dalam rumah diselimut dengan kain putih. Agak berhabuk jugalah.

Cuma yang menarik perhatian saya ada rak perhiasan lama. Nampak antik serta jam antik. Dua tu je saya nampak barang yang agak punya sentimental value. Ia berada di ruang tamu. Rak perhiasan tu ada dekat bilik yang saya duduk ni.

Kemudian, tengah malam tu saya dengar macam ada orang tengah memasak di dapur. Saya raba-raba tepi, rasa tubuh suami. Ada. Sebab saya ingat suami saya ke apa. Mana la tau kut dia lapar tengah-tengah malam.

Jelas saya dengar sudip dan senduk berlaga dengan kuali. Aih? Busy benar memasaknya. Takkan along pulak kan? Saya pun bangun.

Suasana malam itu samar-samar sahaja. Suis lampu pun jenis lama yang warna coklat tu. Memang rumah lama bumbung pun pakai atap singgora dan bahagian atas rumah tu ada kekisi, yangs aya fikir untuk pengudaraan.

Tapi memang betul, rumah ini sangat sejuk tak perlu pakai air cond pun. Lagipun tepi rumah ini ada pokok ketapang dan kekabu. Kawasan pun banyak semak. Laluan masuk pun agak sempit. Tapi mujurlah mudah jumpa.

Selepas itu saya pun buka pintu bilik sebaik sahaja saya membuka lampu. Bunyi orang memasak tadi tiba-tiba senyap. Saya terus berjalan pergi ke bilik along. Pintunya tak berkunci. Saya pun tolak perlahan-lahan pintunya…

Tiba-tiba….

Saya nampak jendela bilik along terbuka. Saya pandang anak saya tu, saya tengok sedang lena. Saya pandang lagi jendela yang terbuka, langsir mengerbang ditiup angin malam yang menerobos masuk. Jelas saya ternampak pohon kekabu di luar tu.

Saya fikir mungkin along sengaja buka jendela agaknya. Tapi entah kenapa bulu roma saya naik tiba-tiba. Saya pun melangkah masuk ke biliknya dan menuju ke jendela. Saya ingin menutupnya semula. Jendela tersebut ada kekisi.

Saya pun hulur tangan nak gapai jendela untuk dipaut tutup. Tiba-tiba saya rasa ada orang cuit lengan saya. Tersentak saya sampai tertarik semula ke dalam. Siapa pulak yang cuit? Saya dah takut-takut nak hulur keluar.

Lepas tu saya nampak samar-samar ada kepala orang dari belakang pokok kekabu tu duk intai saya. Rambutnya mengerbang wajahnya saya tak berapa jelas. Macam main cak-cak dengan saya. Saya nampak kelibat pakaiannya putih.

Kepalanya keluar masuk di sebalik pohon kekabu itu. Jantung saya dah berdetak kencang. Saya nak tutup tingkap pun dah takut sebab tadi terasa lengan dicuit. Saya pun cepat-cepat kejutkan along. Masa tengah kejut along…

Tidak semena-mena saya dengar along menjerit. Saya pun menoleh ke arah pintu bilik, saya nampak along tengah berkemban. Dia seperti histeria. Saya terperanjat! Saya dah terpinga-pinga. Kalau di pintu itu anak saya, habis yang saya duk goncang-goncang pulak siapa?

Sedar-sedar saya dua beranak dah ada di hospital. Suami beritahu katanya kami pengsan. Serius malam tu saya tak tahu apa yang berlaku. Yang saya tahu saya duk goncang along kerana ketakutan selepas tu terus rasa kepala pening dan berpusing-pusing.

Menurut along, malam tu dia rasa tak selesa dan badan rasa melekit-lekit. Jadi dia pergi mandi. Bila dia masuk dalam bilik, dia dapati saya tengah goncang-goncang mayat seorang perempuan tua rambut putih, muka cengkung. Bebola mata pun tak ada dalam sangkarnya.

Hal yang paling tragis, berkenaan rumah itu. Penduduk sekitar situ beritahu, rumah tersebut sekian lama tak ada orang tinggal. Kosong. Saya dengan suami memaklumkan, pemilik rumah sebelah yang izinkan kami tumpang siap berikan kunci lagi…

Mereka berkata lagi yang dua-dua rumah tu dah lama kosong. Lantas suami saya pun marahkan kawan dia sebab berikan lokasi yang tak sepatutnya. Kawannya bertegas bahawa dia dah kasi alamat yang betul, bila dilihat balik, rupa-rupanya suami saya yang tersalah catat alamat.

Sekian…

Cerita asal: Sari
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Saya rasa tak sedap hati bila ketukan sudip dan kuali tiba-tiba berbunyi"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK