Misteri penunggu banglo tepi bukit
Khamis, 29 Julai 2021
Add Comment
Saya Abdul (bukan nama sebenar) dan saya membesar di rumah anak-anak yatim. Rumah tersebut diwakafkan kepada sebuah badan NGO untuk menempatkan anak-anak yatim seperti saya. Saya pun tak tahu sangat pasal latar belakang pengurusannya bagaimana.
Rumah itu jauh dipinggir bandar, berdekatan dengan bukit. Rumah tersebut merupakan sebuah rumah banglo, besar. Pada awalnya kami hanya seramai 11 orang sahaja semuanya lelaki. Ketika itu saya berusia 10 tahun.
Rumah anak yatim itu juga dikenal juga sebagai pusat tahfiz untuk kami belajar ilmu agama. Alhamdulillah semuanya baik. Cuma apa yang saya nak sampai di sini adalah pengalaman seram saya ketika berada di situ...
Pada malam pertama saya di situ, saya ada terdengar suara orang menangis. Suara perempuan, teresak-esak. Saya yang berada di dalam bilik dengan katil dua tingkat. Dalam bilik saya tu ada empat orang.
Saya bangunkan kawan sebelah, saya beritahu bahawa saya dengar ada orang menangis. Masa tu pukul 2 pagi. Bayangkanlah hari pertama bermalam di situ saya dah dengar suara tersebut. Saya tanya kawan tu dia ada dengar ke tak. Dia kata ada.
Jadi kami dua orang ni bangun. Kami tinggal di bilik atas, jadi kami pun turun di bahagian bawah ikut arah mana datangnya suara itu. Suara tangisan itu sangat jelas. Kami pasang telinga, ia datang dari arah dapur.
Kami berdua ni jalan dalam keadaan samar-samar. Sebab di bahagian luar rumah tu ada lampu jalan, cahaya tu menerobos masuk melalui tingkap walaupun berlangsir. Tak adalah ia gelap gelita.
Ketika saya on suis lampu di ruang tamu, ia tak menyala. Saya pun pelik, kawan saya pun bisik mungkin tak ada karan. Saya pun jawab balik, kalau tak ada karan, kenapa kipas dalam bilik tadi okey je...
Suara tangisan itu pun berhenti. Kami yang berada dekat tangga tu pun nekad nak pergi jenguk juga di ruang dapur tu sebab nak tengok ada apa sebenarnya. Masa nak langkah tu, kawan cakap tak perlulah kut. Dia minta naik semula masuk bilik.
Saya cakap, jom la, mesti ada orang kat dapur tu... tapi kawan saya tetap tak nak pergi. Dia kata ada rasa aura lain macam. Memang betul... masa tu kami berdua tiba-tiba ada terbau macam bau bunga. Tak pasti bunga apa, tapi wangi.
Semerbak bau memenuhi ruang rumah tu. Selepas tu kami terperanjat, tiba-tiba lampu menyala. Rupa-rupanya suis lampu yang saya cuba on tadi memang berada pada butang on. Arus elektrik tiba-tiba ada. Bau wangi tu pula dah hilang serta merta.
Masa tu jugalah kami terkejut ditegur ustaz, dia tanya kenapa kami tak tidur lagi. Kami jawablah kami ada dengar suara orang menangis. Ustaz pun pesan, jangan dilayan, syaitan je semua tu, ustaz pun minta kami berdua pergi masuk tidur.
Jadi kami pun masuk bilik dan keesokannya, hal tersebut jadi bualan sebab anak-anak yang lain pun sebenarnya terdengar juga suara tu tapi mereka takut terus selimut rapat-rapat.
Selepas tu kami tanya seorang ustaz kami, namanya Ustaz Hasrul, saya tanya mana seorang lagi ustaz yang jambangnya lebat janggut panjang?
Ustaz Hasrul pun menjawab, mana ada ustaz berjambang yang dimaksud tu dekat sini? Jadi kami berdua hairan. Yang tegur kami siapa? Kami berdua bingung, memang ustaz tu tak wujud pun dalam banglo tu.
Selepas peristiwa itu, keadaan kembali tenang, cuma beberapa minggu kemudian, saya nampak lagi kawan saya bermain dekat bukit seorang diri. Bila saya pergi, dia hilang. Tapi rupa-rupanya bukan dia.
Bukan saya sahaja yang kena macam tu, malah ada lagi anak-anak lain kena begitu. Jadi secara tak langsung saya jadi cuak dan dalam masa yang sama saya ingin tahu.
Kemudian pada suatu malam saya terjaga sebab rasa nak buang air, selepas selesai saya pun melangkah keluar dari tanads dan ketika itu saya terdengar suara tangisan. Meremang seluruh bulu roma.
Walau bagaimanapun, saya nekad nak pergi juga tengok. Jadi saya pergi turun ke bawah dan pergi jenguk dekat dapur tu, siapa dan apa sebenarnya. Kali ini saya pergi sendirian. Masa tu lebih kurang jam dua pagi juga.
Setibanya dekat muka puntu dapur, alangkah terkejutnya saya, saya nampak ada sosok rambut panjang sampai lantai, ia membelakangi saya, dia sedang memasak sambil menangis teresak-esak. Tangannya memegang sudip sedang mengacau sesuatu di dalam periuk.
Periuknya agak besar, selepas itu saya perhatikan lagi di dalam kesamaran itu. Dia celup tangannya dalam periuk dan dia angkat ada kepala orang. Saya tak nampak jelas akan kulit wajah tersebut tapi dari samar-samar ada jambang ia seperti ustaz berkenaan.
Saya punya terbeliak biji mata, saya tak tunggu lama, saya terus menjerit-jerit kuat tapi suara saya tak terkeluar pulak. Saya terus lari dari situ, saya cuba jerit lagi tapi tak keluar suara. Rasanya dah puas saya bertempik, namun peti suara seolah-olah terkunci.
Termengah-mengah saya lari naik ke atas, tiba-tiba kaki saya macam kena paut mengakibatkan saya tergelincir. Ketika itu seluruh alam dirasakan gelap.
Sedar-sedar saya dah berada di katil hospital. Saya pengsan pada malam kejadian jatuh dari tangga dan mujurlah tidak mengalami kecederaan yang begitu serius.
Ketika di hospital, saya pun memberitahu ustaz bahawa saya ternampak hantu sedang rebus kepala orang di ruang dapur. Ustaz pun berpesan supaya jangan difikirkan sangat. Semua tu cuma gangguan sahaja.
Ustaz Hasrul dan pihak pengurusan melakukan solat hajat bagi mengusir benda-benda tak sepatutnya. Sebelum ini sudah dilakukan ikhtiar tapi tak sangka ada juga gangguan tersebut.
Selepas dari itu, tiada lagi kajadian pelik berlaku, cuma saya nak tahu apa sebenarnya yang pernah berlaku kepada banglo tersebut sehingga ia diwakafkan?
Bila dah dewasa ni, persoalan saya itu tidak lagi begitu penting. Saya fikirkan mereka yang mewakafkan rumah tersebut adalah untuk mengumpul saham akhirat. Tiada apa yang dibawakan di sana melainkan amalan, sedekah dan jalan ke mana harta dibelanjakan.
Semua itu akan dipersoalkan di hadapan Allah...
Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.
Muslim, Sahih Muslim bi sharh al-Imam Muhyiddin al-Nawawi, Kitab wasiyyah, jilid. 11, halaman 87.
Sekian. Wallahu A'lam
Cerita asal: Abdul
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Misteri penunggu banglo tepi bukit"
Catat Ulasan