Menakutkan! Dia intai saya sedang buat kerja, saya pun jadi tak tentu hala


Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pembaca cerita seram. Semoga semua baik-baik belaka. Hari ini kita nak teruskan lagi dengan kisah seterusnya datangnya dari saudara Faiz (bukan nama sebenar) seorang youtuber cerita seram.

Beliau berkongsi pengalaman beliau ketika sedang mengaudiokan sebuah cerita seram daripada seorang penulis, pada waktu tengah malam. Kejadian ni berlaku di rumahnya. Masa tu beliau sendirian di dalam bilik kerjanya.

Tanpa membuang-buang waktu lagi, jom kita sama-sama baca perkongsian ini, semoga terhibur dan jangan tension-tension ya...

Tengah malam 'dia' tenung di tingkap

Kisah ini berlaku pada tahun 2019, baru lagi. Saya ada satu hobi iaitu suka audiokan karya penulisan penulis khususnya cerita-cerita seram lalu dimuatnaik ke saluran Youtube channel saya.

Tujuan saya buat begitu adalah untuk hiburan dan juga sebagai pemangkin semangat buat penulis-penulis baru untuk terus berkarya. 

Iyalah... saya ni bukan pakar dalam bidang penulisan, saya tak ada bakat, jadi saya gunakanlah kelebihan yang ada ini untuk audiokan cerita-cerita mereka.

Seperti biasa, saya akan audiokan karya mereka ni pada tengah malam. Waktu-wakutu begini orang kata mudah dapat feel. Supaya jalan cerita itu hidup. Jam ketika itu menunjukkan pukul 1:15 minit pagi.

Sudah namanya cerita seram, jadi elemen-elemen seperti musik latar akan saya masukkan ketika proses suntingan dilakukan.

Proses pertama adalah rakaman. Saya ada bilik khas untuk kerja-kerja ini. Bilik saya tu menghadap ke halaman rumah. Jadi, seperti biasa saya akan buka tingkap. Bilik saya mana ada penghawa dingin, agak panas.

Yang ada pun cuma kipas siling. Dari segi lighting pula saya tak pasang lampung siling. Saya cuma pasang lampu meja sahaja untuk rasa lebih feel tu. Saya duduk dalam keadaan samar-samar sahaja disamping pencahayaan lampu skrin komputer.

Meja komputer saya ni rapat ke dinding, dan sisi saya adalah tingkap. Tingkap rumah saya ada tirai besi. Langsir saya ikat sikit supaya ada angin dapat menerobos masuk. Agar pengudaraan stabil dan baik. 

Saya cucuh rokok sebatang buat teman, sambil-sambil tu adjust micropohone. Saya pun baca karya penulis di skrin perlahan-lahan, traning sikit. Cerita yang akan saya audiokan ini adalah sebuah kisah berkenaan hantu tengelong atau hantu penanggal.

Manakala di Sabah pula ia dikenali sebagai balan-balan. Ia mengenai ilmu hitam yang diamalkan oleh seseorang. Maka saya difahamkan tentang itu. Cuma saya perlu sampaikan kisah seterusnya mengenai jalan ceritanya.

Masa saya tengah baca perlahan-lahan, ketika itu belum saya rekod, saya rasa macam ada sesuatu yang memerhati dekat tingkap saya tu. Saya pun terus menoleh laju untuk pastikan kut ada apa-apa. Malangnya tiada sesiapa pun di situ.

Mungkin perasaan saya aje kut sebab cuba menghayati cerita yang disampaikan oleh penulis tersebut berkenaan dengan kisah perempuan mengandung kena rasuk. Saya kembali semula menoleh pada skirn komputer saya.

Ketika itu saya duduk sorang-sorang dalam bilik. Isteri saya dah tidur di dalam bilik utama, tinggal saya sahaja yang buat kerja tengah malam. Ini memang hobi kesukaan saya. Saya tak tinggal hobi ni. Pendek kata setiap malam saya rekod.

Cuma pada malam itu ia agak lain sedikit berbanding malam-malam sebelum ini. Suatu perasaan yang aneh saya kira. Mungkinkah saya benar-benar menghayati cerita penulis tersebut? Kalau begitu saya akan audiokan ia sebaik mungkin.

Seterusnya, tibalah saat saya nak rekod. Saya tenyehlah putung rokok kat tray, saya hembus asap ke luar tingkap tu. Asap rokok yang last sebelum saya mula nak audio. Selepas itu, saya betulkan kedudukan microphone.

Tiba-tiba... entah macam mana frame gambar yang tersangkut di dinding terjatuh ke lantai. Prapppp!!!! berderai pecah cermin. Tersenak gila saya masa tu.  Mau tak terperanjat kan, tiba-tiba je.

Bayangkanlah, dalam keadaan hening, terdengar bunyi ada benda jatuh. Masa tu saya tak sempat nak buat apa-apa. Saya pun bangun dan bersihkan frame yang berderai tu.

Kaca bersepah-sepah. Saya sapu dengan berhati-hati risau terpijak nanti luka. Usai semua beres, saya duduk semula. Saya terfikir kenapa rasa macam terganggu nak merekod cerita ni? Saya tertanya-tanya sendiri.

Tanpa berlengah lagi, saya pun mula baca setelah tekan butang mula. Tengah-tengah baca tu, tidak semena-mena telinga saya ni menangkap bunyi yang sangat aneh dari luar jendela.

Tik tik tik tik!!! Tik tik tik tik!!!

Beberapa kali bunyi itu kedengaran. Saya jadi penasaran dan kebingungan, bunyi apa tu? Tertanya-tanya sendiri. Jadi saya terjeda seketika lalu menyelak langsir untuk memerhatikan dari mana datangnya bunyi itu.

Bunyi tersebut sangat jelas. Ekor mata saya ni meliar memerhatikan ke kiri dan ke kanan mencari sesuatu yang telah menghasilkan bunyil tersebut. Saya lihat atas dan bawah, tak ada apa-apa. Tapi perasaan seram sejuk dah terasa.

Saya tak tak tahu nak sambung ke tak lagi cerita ni yang belum siap. Jadi saya fikir, elok saya sudahkan. Saya pun cucuh lagi sebatang rokok. Sekali ini saya terlupa nak kuis abu rokok ke dalam tray, saya sentap sikit ke luar tingkap secara tak sengaja.

Waktu itu saya tak menoleh pun ke tingkap, hanya tangan saja yang saya hulurkan. Tanpa disangka-sangka putung rokok saya kena tarik oleh sesuatu. Masa tu saya pegang rokok manalah kemas, kepit biasa-biasa jelah.

Terlepas keluar jendela. Itulah yang saya rasa pelik. Saya tengoklah rokok tu jauh perginya saya nampak bara tu ada dekat pasu bunga. Kalau terlepas jatuh, mesti ada dekat bawah sahaja. Ini sampai dekat pasu bunga melepasi longkang.

Saya dah tak sedap hati. Kerja saya terbengkalai. Ini agak pelik saya rasa. Bunyi yang aneh tak kedengaran lagi, tapi aura seram pula yang terasa. Suhu bilik saya masa tu berubah mendadak. Seram sejuk saya rasa.

Yang membuat saya rasa nak terpelanting, tiba-tiba langsir saya tu mengerbang seperti ditiup angin. Terkejut saya. Saya berganjak ke belakang. Saya memerhati ke luar tingkap tu. Saya tenung situ sambil baca apa sahaja ayat yang terlintas dalam kepala.

Bunyi yang sama tiba-tiba kedengaran lagi...

Tik tik tik tik!!! Tik tik tik tik!!!
 
Allahu`Akbar!!! Alangkah terperanjatnya saya, benda tu memunculkan dirinya. Saya lihat ada kepala orang terapung-apung tapi rambut menutupi wajah terbang naik berenjut-renjut menuju ke atas bumbung. Saya nampak juntaian perut berkilau-kilau. Saya terus beristigfar dan cepat-cepat keluar dari bilik kerja saya tu.

Pertama kali saya kena ganggu dengan tengelong pada malam tersebut. Saya rasa benda tu mesti ada di sekitar taman yang saya tinggal, maklumlah kawasan saya ni kawasan luar bandar, dengar khabarnya benda-benda tu wujud di situ...

Wallahu a’lam...

Sekian...

Cerita asal: Faiz
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

2 Responses to "Menakutkan! Dia intai saya sedang buat kerja, saya pun jadi tak tentu hala"

  1. Masuk blog ni pun dah seram rasa. Datang singgah kunjung balas. eh dah ada adsense tu, baca dalam komen blog sy ingatkan belum dapat lagi. Tahniah ye.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi singgah... blog saya baru lagi dengan GA...

      Padam

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK