Kisah seram jadi pengawal keselamatan di hotel
Sabtu, 24 Julai 2021
Add Comment
Hi, saya Fuad (bukan nama sebenar). Saya ni orang kampung, ikut kawan pergi Kuala Lumpur, katanya ada kerja kosong di sana. Saya tanya dia kerja apa, jawabnya ikut sahajalah, janji ada kerja katanya. Saya pun iyalah nak kerja, follow ajelah...
Jadi pada tahun 2004 tu saya nak cuba cari kerja dekat ibu kota. Maklumlah orang sekolah tak tinggi ni kerja apa ajelah yang diharapkan? Tapi harap-harap kerja yang baik.
Bila dah sampai Kuala Lumpur, kawan ni dah jumpa orang yang sepatutnya, dia pun maklum pada saya kerja yang bakal dilakukan adalah jadi jaga atau pengawal keselamatan.
Mula-mula saya beranglah juga asal kawan saya ni tak beritahu awal-awal kerja jadi jaga? Tak adalah saya tertanya-tanya, tapi dia kata kalau cakap nanti bimbang saya tak nak ikut.
Tak apalah, janji kerja halal. Jadi jaga pun jagalah. Dan kerja ni memang saya tak pernah buat selama hidup ni. Pertama kalilah kalau nak diikutkan.
Kawan saya ni namanya Zaidi. Jadi Zaidi minta maaflah sebab tak cakap awal-awal kan, saya kata okey je boleh timba pengalaman.
Si Zaidi ni sebenarnya pernah kerja dah dekat Kuala Lumpur ni, jadi bila dia balik kampung, dia offer pula nak kerja di KL sebab dah boring duk kampung lama-lama agaknya.
Dia pun dah pernah kerja jadi jaga ni. Katanya kerja jadi jaga ni mudah dapat. Oh... lagipun katanya tak memerlukan kelulusan yang tinggi. Okey, saya faham, saya pun setakat SPM aje pun. Kira boleh kerja ni. Alhamdulillah....
Nak dipendekkan cerita, kami ni tinggal di sebuah hostel yang tak berapa jauh dari hotel tu. Senanglah nak pergi kerja. Hotel tu hotel besarlah. Saya sebut secara umum aje ye... hotel tu memang dekat bandar besar.
Kalau berada di atas hotel tu memang nampaklah KLCC dan KL Tower, saujana mata memandang. Cantik dan indah. Itu adalah hari pertama saya pergi naik ke atas. Diperkenalkan kawasan.
Jadi saya ditugaskan mengawal di hotel tersebut. Baiklah, hotel ni hotel mewah, serius hotel ini ramai orang luar yang masuk. Saya ditugaskan jaga tempat orang nak masuk parking, bila ada orang speaking, memang mati la jawabnya.
Orang tanya arah jalan, saya main bantai ajelah, you go to staright dont belok-belok la... memang saya failed. Maklumlah dulu sekolah suka memonteng. Tapi kalau mereka tanya in Inglish saya bolehlah faham sikit-sikit cuma nak reply tu rumit.
Saya ni dibekalkan dengan walkie talkie, jadi pada petang tu Zaidi panggil minta pergi ke loading bay. Saya pun pergilah ke situ. Kawasan situ hangat sikit, kalau lama-lama boleh berpeluh.
Masa tu dah dekat maghrib, saya panggil Zaidi, mana dia? Saya cuma nampak ada sebuah lori di situ. Saya pun berjalan pergi dekat lori.
Tiba-tiba suara Zaidi kedengaran di walkie talkie cari saya panggil-panggil saya, saya jawablah yang tadi kau cari aku kenapa? Aku dah ada di loading bay ni? Dia pun balas la, bila masa aku cari kau, Fuad? Aku ada ada dalam bilik pemantauan ni, tengah tengok CCTV.
Dia beritahu nampak saya pergi di loading bay duk buat apa? Saya tanyalah, bukan kau ke yang panggil? Dia jawab balik, memang dia tak panggil. Dia pun minta saya patah balik.
Aik? Dah tu suara dia dalam walkie talkie tadi tu siapa? Saya pun pusing baliklah nak tinggalkan lori tu. Tiba-tiba lori tu menderu. Laa... ada orang rupanya. Saya ingatkan tak ada sesiapa tadi sebab enjin senyap je.
Saya pun undur balik pergi dekat kepala lori tu tengok driver. Eh??? Tak ada orang! Saya pun intai-intai belakang tak ada. Kawasan loading bay pun tak gelap pun, memang terang, banyak lampu.
Saya garu-garu kepala. Orang tak ada tapi enjin lori tiba-tiba hidup. Dahlah enjin hidup tapi menderu macam orang main tekan-tekan minyak. Tu yang buat saya meremang. Saya tak puas hati, mungkin sengaja nak takut-takutkan saya la tu.
Mana la tahu kut-kut ada orang sembunyi, mana saya nampak terhadang pintu, kan? Lori tu kan tinggi, besar pulak. Saya pun panjat sikit untuk jenguk betul-betul ke dalam.
Masa tu memang terbeliak biji mata saya. Elok je gula-gula (pocong) tu baring atas kerusi tu muka dia tempat tenung ke arah saya. Muka dia pucat, berbunjut,mata lebam tapi nampak sebiji matanya macam terkeluar dari sangkar. Kecut kepala saya jadinya terus tak tunggu lama. Saya pun terus langkah seribu sambil terkucir.
Pertama kali saya jumpa benda tu dalam hidup saya. Sama ada saya kena usik dengan hantu atau dengan geng-geng jaga tu Wallahu a’lam sebab masa dalam CCTV tu memang tak nampak langsung pocong tu dalam lori. terlindung.
Dalam kepala otak saya memang saya menafikan itu adalah hantu dan saya cakap itu memang kerja Zaidi nak kenakan saya pada hari pertama saya kerja di situ. Saya marah dia tapi dia pula menidakkan. Dia kata tak ada masa nak kenakan orang.
Jaga lama dekat situ kata, benda tu biasa. Saya tak percayalah. Mana boleh biasa. Lepas tu otai situ kata pernah ada la benda pelik-pelik berlaku di hotel tu... saya tanya apa yang pelik, dia malas nak cerita.
Saya agak cuaklah sebab terbayang-bayang wajah hantu tu. Saya punya takut sampai terkencing dalam seluar. Memalukan. Waktu tu maghrib pulak. Sabar ajelah...
Saya sabar lagi. Saya tanam dalam kepala saya itu memang disengajakan oleh puak-puak ni nak melahirkan rasa takut dalam diri saya. Jadi saya kena beranikan diri sendiri dan beranggapan benda tu sebenarnya tak wujud.
Jadi, minggu pertana tak ada apa-apa, masuk minggu ketiga, kena jaga syif malam. Cepat betul kena tukar syif. Jadi malam tu saya diminta naik lif pergi ke bahagian swiming pool dekat atas tu. Hotel mewah kan, Kolam renang mestilah ada.
Tapi masa tu dah pukul 12 tengah malam, mereka dah selesai program, ketika itu ada majlis apa entah, saya pun dah tak ingat. Jadi pelayan lelaki dan perempuan sibuk mengemas.
Saya dua orang masa tu dengan seorang lagi, orang lama situ. Kena pantau keadaan. Selepas mereka siap yang seorang tu nak ke tandas, jadi saya kena tunggu dia sekejap.
Saya bersandarlah dekat dinding sambil pegang cota. Walkie talkie saya sangkut je dekat seluar. Tengah duk pusing-pusing cota saya terpandanglah ada benda putih di sebalik pokok perhiasan dekat swiming pool. Pokok tu pulak dekat tepi bangunan.
Saya perhati betul-betul, sebab situ gelap sikit, saya tenung lama-lama kain putih tu yang sipi-sipi terlindung sebalik pohon tu. Tiba-tiba dia keluarkan kepala dia, aucak kat saya! Terkejut betuk saya jadinya.
Saya rasa tu seperti pocong yang serupa dalam lori masa hari mula-mula saya kerja. Saya ni dah rasa memang dikenakan. Saya terus cepat-cepat pergi kat pohon tu konon nak kantoikan orang yang sengaja nak takut-takutkan saya.
Ketika saya melangkah pergi ke arah dia...tiba-tiba pocong tu terus lompat terjun dari hotel. Langkah saya terus terjeda! Erk! Hotel ni tinggi! Kalau orang, takkan nak terjun pulak? Masa tu baru saya percaya bahawa memang ia adalah benda tu.
Saya terus beredar dari situ. Esoknya saya demam sebab baru yakin itu adalah benda tu. Saya tanya pada chip, cerita sebenar. Baru dia cakap, pernah ada kejadian bunuh diri... tu cuma penampakkan sahaja. Bukan semua orang nampak pun, ujarnya.
Chip minta janganlah terlalu ikutkan perasaan, jangan terlalu takut, ujian akan lebih besar lagi. Cuma tengok situasi juga. Zaidi pun cakap begitu juga, dia pun pernah jumpa benda-benda pelik, tapi tak nak ambil port.
Dia kata jadi jaga ni kena berani, benda-benda tu suka mengusik. Yang penting kita jangan mudah terpengaruh, itulah yang Zaidi pesan.
Pengaruh ke tak, aku pun tak lama kerja di situ, sebab kerap kena kacau sebenarnya. Walaupun itu hotel mewah, tapi jadi jaga tengah-tengah malam amat menyeramkan.
Bukan setakat nampak pocong sahaja, malah pernah juga terdengar-dengar orang menangis tetapi orangnya tak ada, cuma suara sahaja yang kedengaran sayup-sayup...
Kadang-kadang pula dengar suara orang berasmarada bermesra-mesra, tapi kelibatnya tak ada. Serik betul rasanya. Memang cuba kuat semangat. Habis tu kalau lama-lama pun tak sedap juga. Jadi saya tamatkan sahaja kerja di situ dan cari kerja lain...
Sekian, terima kasih kerana sudi membaca kisah seram saya jadi jaga di hotel...
Cerita asal: Fuad
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Kisah seram jadi pengawal keselamatan di hotel"
Catat Ulasan