Kaki kena pegang tiba-tiba salah seorang daripada kami tenggelam


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Berjumpa lagi kita di dalam cerita seram. Semoga kalian semua pembaca yang disayangi berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Baiklah, kali ini kita akan teruskan dengan kisah seram yang datangnya daripada Naim. Beliau telah menceritakan pengalaman zaman remajanya pada suatu ketika dahulu sewaktu mandi sungai.

Terima kasih kerana sudi berkongsi kepada RS untuk santapan pembaca di sini. Kepada anda semua, jom sama-sama kita menelusuri kisah ini...

Mandi-manda di sungai


Pengalaman seram yang tidak dapat saya lupakan adalah kejadian mati lemas melibatkan seorang kawan. Peristiwa ini berlaku berbelas tahun dahulu. Ketika itu, Jasni (arwah) mengajak saya dan kawan-kawan yang lain mandi sungai.

Selepas main bola pada petang itu, dia pun mengajak pergi mandi sungai. Saya kata hari dah senja. Dia kata mandi sekejap sahaja. Jadi kami lima orang pergi ke sungai tersebut. (Tempatnya kami terpaksa rahsiakan)

Kami ke kampung tersebut kerana ada perlawanan bola sepak. Selepas itu tiba-tiba Jasni nak mandi sungai pulak. Kalau nak diikutkan kami memang nak pulang sahaja.

Sungai tu tenang sahaja airnya. Saya mandi sambil bergurau senda. Kemudian salah seorang daripada kami naik ke darat. Wajah dia nampak macam cuak sedikit. Saya pun tanya kenapa, dia kata tak sedap hati.

Jasni pula makin ke tengah mandinya. Saya pandang dia dan panggil, "Jas! Sini la! Buat apa kau mandi sampai tengah tu?"

Lantas dia menjawab airnya tak dalam pun. Cetek je. Jadi saya tengok air tu separas dada dia sahaja. Kawan saya yang seorang lagi yang nampak cuak tu panggil saya. Saya pun naik ke darat tanya dia kenapa.

Dia pun beritahu, katanya masa dia tengah mandi tadi dia kata kakinya kena pegang. Mula-mula dia ingatkan di antara kami ni ada yang menyelam dan saja-saja pegang pergelangan kaki, rupanya dia tengok tak ada siapa pun yang menyelam.

Disebabkan hal itu dia cepat-cepat naik. Jadi tinggal tiga orang berada dalam sungai tu. Tiba-tiba dua orang lagi pun naik ke tebing, mereka pun beritahu hal yang sama. Saya terkejut. Maka cepat-cepat panggil Jasni.

"Jas! Jom la balik." Ajak saya sebab saya pun dah mula rasa tak sedap hati. Kawan-kawan saya yang lain dah sibuk lap-lap kepala keringkan badan.

Masa itulah saya nampak ada tangan gapai tubuh dia terus tenggelamkan dia. Saya terperanjat lantas beritahu kawan-kawna yang lain bahawa Jasni lemas!

Kami jadi panik melihat Jasni terkapai-kapai. Tapi tak ada seorang pun dari kami yang berani terjun menyelamatkan Jasni. Akhirnya Jasni tenggelam.

Dek perasaan gelabah, sakah seorang dari kami terus telefon pihak kecemasan, memberitahu tentang hal itu. Saya hubungi keluarga Jasni memaklumkan akan hal tersebut. Keluarganya memang terkejut.

Saya beritahu Jasni tenggelam dalam sungai. Kami cemas dan tunggu pihak penyelamat datang. Orang kampung yang nampak kami di situ bertanya apa yang sedang berlaku. Lantas kami beritahu bahawa kawan kami lemas.

Tidak lama kemudian, pihak penyelamat datang menjadi Jasni. Keluarga Jasni pun. Saya beritahu memang salah kami pergi mandi sungai. Keluarganya beritahu bahawa Jasni tak tahu berenang.

Saya pun terkejutlah sebab Jasni tak pula memaklumkan yang dia tak reti berenang. Tapi dia yang beria-ia nak mandi sungai. Kalau saya tahu dia tak reti berenang, saya pun tak setuju dia mandi.

Lagipun hari tu sudah senja. Dan juga waktu tiba di kawasan itu pun saya ada terhidu bau busuk, ingatkan ada bangkai lembu ke apa yang mati, tapi tak ada. Saya tanya kawan-kawna yang lain, mereka tak ada bau apa-apa.

Tapi saya tak syak apa-apa sebab bau tu hilang begitu sahaja. Mungkin ia datang sepintas lalu. Lagipun saya tak tahu menahu tentang hal-hal pelik berkenaan bau atau apa-apa tanda.

Sampai malam ornag cari jasad Jasni tak jumpa. Disambung sampai esoknya pun tak juga jumpa. Jadi kami peliklah kenapa tak jumpa jasad Jasni? Pihak bomba dah cari sekitar situ. Dah menyelam di situ. Malah di lain tempat pun mereka dah cari. Tak jumpa.

Boleh jadi ia dah hanyut. Macam-macam cerita pelik saya dengar dari orang kampung. Mereka kata sungai tersebut agak keras. Mana kami tahu, tak ada orang mandi di tempat kami mandi.

Menurut mereka, sudah beberapa kali berlaku kejadian lemas di sini. Sungguh kami tak tahu. Kalau kami tahu gerenti kami berhati-hati dan tentu tak turun mandi.

Tapi memang tempat tersebut memang cantik, airnya pun jernih. Tidak nampak berbahaya langsung. Cuma itulah, setelah apa yang kami lalui, ada benarnya juga seperti yang mereka katakan.

Mereka cadangkan ikhtiar laungkan azan, masa tu ketua unit penyelamat pun berdoa dan laungkan azan di atas bot penyelamat. Tiba-tiba timbul jasad Jasni. Ya Allah....

Sayu rasa hati melihat keadaan Jasni yang sudah tidak bernyawa. Arwah baik orangnya, cuma hari itu dia sangat beria-ia sangat nak mandi sungai, Al-Fatihah.

Terbayang-bayang di mata saya bagaimana ketika Jasni lemas, saya nampak dengan jelas tangan buruk menggerutu dan berkuku runcing terpacul dari permukaan sungai itu terus merentap tubuh Jasni. Jasni kelemasan.

Apa yang bertambah pelik, pihak bomba memaklumkan, kawasan yang mereka menyelam mencari Jasni tu kedalamannya lebih kurang 4 meter. Tapi, kenapa kami nampak Jasni seperti berjalan mengharungi sungai dan airnya cuma berada di paras dadanya sahaja?

Itulah yang menghairankan kami sehingga ke hari ini. Kami berempat tak dapat lupa hal tersebut. Ia misteri kerana menurut keluarga Jasni sendiri, anaknya itu tidak tahu berenang.

Saya khuatir apa yang saya lihat pada hari kejadian adalah merupakan hantu air namun tidak dapat dipastikan dengan jelas akan kelibatnya kecuali hanya tangan sahaja yang saya nampak menarik tubuh arwah Jasni.

Namun, sudah ajal sahabat kami. Semoga rohnya dicucuri Rahmat Ilahi dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, Aamiin.

Semenjak insiden tersebut, sehingga ke hari ini saya sendiri jadi trauma hendak mandi sungai. Entah kenapa sering terimbas peristiwa itu. Puaka air...

Sekian.

Cerita asal: Naim
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Kaki kena pegang tiba-tiba salah seorang daripada kami tenggelam"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK