Tumpang Jasad Ayah Mentua
Selasa, 1 Jun 2021
Add Comment
Assalamualaikum, nama saya Ieyra. Saya nak cerita berkenaan satu kisah saka. Saka dari ayah mentua saya. Yang sebenarnya ayah mentua saya ni dia sendiri tak pernah sedar bahawa dia ada saka.
Saka keturunan yang diwarisi. Oleh kerana ayah mentua saya ni anak sulung, maka secara mudah saka itu turun kepadanya tanpa apa-apa syarat.
Walau bagaimanapun dia tak pernah bela dan jaga pun saka ini kerana dia tak pernah tahu akan kewujudan saka ini dalam diri dia sehinggalah suatu hari ayah mentua saya ni koma.
Saya yang ketika itu mengandung anak keempat pun pergi melawat ayah mentua saya di hospital. Di situ Kak biras saya pun ada sekali.
Masa di dalam wad itu, saya berdiri la dekat hujung kaki kanan ayah. Tiba-tiba saya terhidu bau yang teramat busuk, ya busuk sangat.
Saya pun beritahu suami yang saya ada bau busuk macam bangkai, lalu suami saya jawab dia tak bau apa-apa pun. Biasa je. Ya lah mungkin dia tak rasa bagaimana yang saya rasa.
Tiba-tiba kak biras saya tu pun tarik saya ke tepi dan berkata, kau tu dah la mengandung, jangan tegur yang bukan-bukan. Tersentak la saya bila dengar kak biras saya cakap macam tu.
Rupa-rupanya kak biras saya pun perasan perkara yang sama. Selepas tu anak buah saya pergi check, tak ada pun ayah mentua saya berak dalam pampers atau apa. Semuanya elok sahaja.
Hanya saya dan kak biras saya yang terhidu bau tu. Ujar kak biras saya lagi, yang kau bau tu bukan ayah, tapi benda tu. Benda tu ada dalam badan ayah, dia tak mahu keluar.
Seriau saya jadinya. Saya mula rasa tidak sedap hati tatkala melihat keadaan ayah sedemikian. Kami berdua dapat rasa aura benda tu cuma tak dapat lihat.
Ketika itu bulu roma saya merinding tiba-tiba. Memang terasa aura yang kurang selesa ketika berada di dalam wad. Saya dapat merasakan keberadaan benda tu di situ.
Selepas waktu melawat, saya balik ke rumah ayah mentua. Mak mentua pula ada di hospital teman ayah di sana. Suami pula keluar ngeteh dengan kawan-kawan.
Kemudian di dalam bilik kakak ipar saya tu ada sebuah beg. Saya terhidu bau kapur barus. Semakin lama semakin menusuk rongga. Saya pun tak berani nak geledah beg itu. Saya rasa seram.
Bukan apa, saya risau kut dituduh yang bukan-bukan sekiranya saya memandai-mandai usik barang orang. Kalau dituduh mencuri ke, teruk juga jadinya nanti. Jadi saya tunggu suami saya pulang.
Selepas suami saya balik jam 3 pagi, saya pun terus memaklumkan kepadanya yang saya ada bau sesuatu dalam beg kakak ipar. Saya meminta suami cium bau beg tu.
Saya pun tanya la ada bau apa-apa tak, suami jawab bau wangi je… dia tanya saya kenapa? Saya beritahulah yang saya ada bau kapur barus.
Saya beritahu lagi memang la wangi, bau kapur barus kan wangi, suami cakap taklah… ni memang bau minyak wangi, jawabnya.
Ya ke? Saya hairan. Saya pun cuba hidu lagi sebab suami ada jadi saya beranilah sikit nak hidu. Kemudian saya memang bau kapur barus tu yang semakin lama bau itu semakin hilang dan menjauh.
Selepas itu barulah saya bau minyak wangi. Entah kenapa lidah ni pun berpesan pada suami saya supaya bersabar banyak-banyak. Lantas suami bertanya kenapa?
Saya pun berpesan kepada suami kerana saya dapat rasakan yang hidup ayah dah tak lama berdasarkan bau kapur barus itu.
Pada keesokannya iaitu pada hari khamis, doktor memaklumkan bahawa hari Jumaat alat bantuan penafasan ayah mentua saya akan ditanggalkan.
Maka masing-masing telah bersedia untuk pergi melawat ayah di hospital. Setibanya di sana, alat bantuan penafasan pun ditanggalkan. Kelihatan keadaan ayah mentua semakin tenat.
Usai itu bacaan mesin nadi pun turun makin rendah. Tiba-tiba tidak sampai sepuluh minit, nadi naik balik macam biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Hal itu berterusan selama satu jam. Ayah tercungap-cungap tetapi nadi tetap biasa sahaja macam orang normal. Keadaan ini amat mencurigakan.
Mata ayah terbeliak kiri dan kanan seolah-olah mencari-cari sesuatu. Ayah yang selama ini terpejam mata kerana koma, tiba-tiba terbuka mata terbelalak begitu.
Saya ketika itu dah rasa seram melihat ekspresi wajah yang seolah-olah sedang terseksa menanggung azab dan pedih. Saya rasa ayah sangat susah nak mati.
Masa tu la suami saya dah tak tahan sangat melihat keadaan ayah mentua, dia pun mengugut hendak mendapatkan garam. Dia berkata dengan kasar sekali.
Serta merta ayah yang terbelalak biji mata bersama mulut yang tergangga tu koma semula. Mungkin benda tu takut bila dengar suami saya berkata begitu.
Ketika suami saya pergi ambil garam, dan tak sampai sepuluh minit ayah mentua saya pun pergi menghadap Ilahi.
Setelah berita kematian ayah mentua dimaklumkan, maka ramailah saudara mara datang ziarah dan berkumpul di rumah. Mana yang jauh tu maka bermalam di situ.
Pada sekitar jam 3 pagi, saya rasa nak buang air kecil. Saya bangun dan nak turun dari katil. Suami saya tidur bawah dengan anak pertama dan kedua. Saya tidur di katil dengan anak nombor tiga.
Di ruang tamu pula penuh saudara mara tidur bergelimpangan. Waktu nak turun tu, tiba-tiba saya pun terdengar suara orang berdehem sambil mandi kat tandas belakang.
Suara itu saling tak tumpah sebiji suara arwah ayah mentua saya. Saya pun tak jadi nak pergi buang air sebab dah rasa semacam. Seriau rasanya sebab suara itu masih kedengaran.
Pintu bilik saya pula tu tak tertutup rapat jadi kalau ada sesiapa melintas keluar dari tandas, saya dapat tengok bayang melintas. Tapi memang tak ada sesiapa pun yang melintas. Saya batalkan niat nak ke tandas.
Hendak saya kejutkan suami, kasihan pula sebab sebab siangnya dia sudah kepenatan ke sana ke sini uruskan jenazah. Maka saya pun tak bangunkan suami saya.
Keesokannya saya tanyalah saudara mara kut ada yang pergi tandas dan mandi pukul 3 pagi tu. Seorang pun tak mengaku. Jadi siapa yang mandi waktu macam tu?
Dek terdapat beberapa gangguan, maka kami putuskan untuk panggil ustaz, bagi memagar rumah. Ustaz tersebut memaklumkan memang ada benda, satu batalion katanya.
Sekian.
Cerita asal : Nazeerah
Disunting oleh : Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Tumpang Jasad Ayah Mentua"
Catat Ulasan