Tiba-tiba wang yang diterima bertukar menjadi daun kering
Ahad, 20 Jun 2021
Add Comment
Seorang peniaga, Rohaya (bukan nama sebenar) yang menjual makanan pagi seperti nasi lemak dan kuih muih di gerai miliknya pernah dilanda misteri.
Menurutnya, dia ada menerima wang yang sudah bertukar menjadi daun kering. Daun-daun itu dia menyimpannya sampai sekarang.
Katanya, mungkin bagi orang lain ia adalah daun biasa tetapi tidak bagi Rohaya yang menganggapnya sebagai suatu pemberian dari alam lain.
"Walaupun daun-daun itu dah semakin mereput tapi saya simpan ia di dalam sebuah bekas agar ia kekal ada di situ," ujarnya.
Dari cerita Rohaya, selepas Subuh, dia sedang bersiap-siap untuk membuka gerainya. Ketika itu keadaan masih gelap lagi. Sedang dia mengatur barang-barang, tiba-tiba dia tercium bau harum.
"Masa itu saya sendiri, anak saya belum turun dari rumah. Bau harum tu semerbak. Saya pandang sekeliling tercari-cari siapa yang pakai wangian tu. Saya fikir ada pelanggan yang dah datang tapi tak ada."
Biasanya, pelanggan yang datang awal adalah orang-orang jemaah dari Surau berdekatan. Mereka belum tiba, mungkin ada kuliah Subuh ketika itu, anggap Rohaya.
Bau itu semakin kuat sehingga memuatkan Rohaya terjeda seketika dan dia terus memerhati di hadapannya. Dia nampak seperti ada orang yang sedang melintas jalan untuk ke gerainya.
Kemudian dalam masa yang sama, ada orang lain juga datang untuk membeli. Rohaya belum siap sepenuhnya kerana dia agak telat sedikit.
Selepas itu ada beberapa orang datang hantar kuih muih mereka untuk dijual kerana Rohaya juga mengambil upah menjual kuih kepunyaan orang lain.
"Orang tiba-tiba ramai datang nak membeli. Tapi ada juga yang saya tak kenal dan tak biasa tengok turut berada di situ," Rohaya berasa hairan kerana orang datang serentak dan bau itu tiba-tiba hilang.
Ternampak kelibat bercahaya
Setelah anak Rohaya, Sarah turun dari rumah dia memaklumkan bahawa ternampak ada kelibat bercahaya sedang berada di gerai.
"Jarak gerai dengan rumah, lebih kurang 15 meter sahaja, masa turun dari rumah, saya nampak macam orang bersinar sedang berada dalam gerai mak saya tu," beritahu Sarah anak ketiga Rohaya.
Apabila Sarah tiba dekat cahaya itu malap dan tiada. Pada mula Sarah fikir itu cuma mainan matanya sahaja. Lalu dia pun memberitahu kepada ibunya tentang apa yang dilihatnya.
Dua beranak itu mula dihambat keharinan tetapi masih cuba mengawal keadaan dan menganggap ia cuma hal biasa walaupun perasaan curiga bertandang.
Itu merupakan kejadian pertama, dan duit yang diterimanya telah bertukar jadi daun kering. Sebulan kemudian kejadian yang sama berulang,
"Duit yang orang beli akan saya letak dalam satu bekas, memang terkejutlah sebab ada daun kering di dalamnya. Bila masa pulak orang letak dalam ni?"
Rohaya tidak membuangnya tetapi dia simpan. Tapi kejadian itu berulang lagi dan kali ini daun keringnya lebih banyak dari sebelum ini. Kalau sebelum itu hanya tiga helai tapi kali ini lebih dari itu.
"Daun kali ini lebih dua puluh helai. Dan orang yang datang membeli memang orang yang saya tak kenal, dan saya fikir orang luar dari kampung ini." Rohaya pelik.
Dakwaan itu turut disokong oleh Sarah yang berkata selepas waktu Subuh itu ramai yang datang membeli tetapi kebanyakan orang yang tak dikenali.
"Kita boleh tahu kalau orang kampung datang, sebab biasa berseloroh dan beramah mesra, tapi yang ni datang beli diam je hanya tunjuk-tunjuk dan hulur duit selepas tu pergi." kata Sarah.
Kemudian Rohaya menambah, orang berniaga kenalah mesra jadi dia ada juga bertanya pelanggan yang tak dikenali, dari mana tetapi tidak dijawab melainkan dengan senyuman sahaja. Adalah beberapa orang pelanggan yang Rohaya tanya, mereka cuma membisu.
"Tapi yang peliknya, saya perhati mereka masuk dalam satu lorong tepi semak. Masa tu saya terfikirlah, lorong tu untuk ke paya, ada rumah ke dalam tu?" Sarah mula tertanya-tanya.
Setahu Sarah memang tak ada rumah, yang ada cumalah tanah perkuburan yang berada dekat paya tu sahaja. Disebabkan itu, dia pun berteki-teki dengan ibunya, lantas menyimpulkan bahawa mereka itu bukanlah manusia.
Kemungkinan besar itu adalah bunian
Cerita Ahmad pula (bukan nama sebenar) pelanggan tetap gerai nasi lemak Rohaya, pada hari itu dia ada ke gerai tersebut selepas Subuh. Katanya, masa sedang membeli, pelanggan lain yang berada di sebelahnya sangat berbau harum. Bau-bauan bunga. Bau macam-macam bunga ada, sukar untuk dijelasnya.
"Kak Ya ada beritahu yang dia terima daun kering, selepas itu saya pun maklumkan kepadanya yang datang membeli tu mungkin bunian, sebabnya saya meremang semacam bila pelanggan tu ada di sebelah saya." ujarnya yang dapat merasakan kehadiran makhluk halus.
Setelah menyedari hakikat itu, pelanggan-pelanggan misteri Rohaya tidak kunjung tiba lagi. Bau harum bau-bauan bunga tidak lagi terhidu selepas Subuh itu.
Dia juga tidak lagi menerima daun-daun kering seperti sebelumnya. Hal itu sebenarnya menimbulkan tanda tanya dan misteri sehingga ke hari ini, kenapa mereka datang, kenapa mereka menghilang begitu sahaja?Cerita asal: Cikgu Ayu
Ditulis oleh: Rashid Salim
Sertai Group fb penulis : Seram Rashid Salim untuk update terkini.
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Tiba-tiba wang yang diterima bertukar menjadi daun kering "
Catat Ulasan