Sungguh tak sangka 'benda' tu suka kat saya


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Bertemu lagi kita dalam kisah-kisah seram di blog rashidsalim.com ya. Pada kali ini kita layan pula satu kisah yang datangnya dari abang rider, Masdi (bukan nama sebenar).

Beliau berkongsi pengalamannya sewaktu mula-mula terjebak dalam bidang ini sebagai rider food delivery. Jom sama-sama kita hayati kisah seram penghantar makanan...

Bekerja sendiri


Saya menjadi penghantar makanan atau food delivery ni dah lama sejak awal-awal lagi di tempat saya ni sebelum kemasukan kompeni besar seperti Foodpanda atau Grabfood.

Pada awalnya memang saya sendiri sahaja jadi rider. Saya menyediakan perkhidmatan ini untuk pelanggan-pelanggan saya. Kini Alhamdulillah, saya sudah punya rider dan bisnes berkembang.

Meskipun tidaklah sehebat kompeni ternama yang lain, namun saya masih dapat menjalankan perniagaan saya ini dan saya fokus pada pelanggan-pelanggan yang ada.

Di sini saya nak mengambil peluang berkongsi pengalaman misteri yang saya lalui pada seawal saya menjalankan bisnes ini.

Pada waktu itu saya begitu ghairah dan suka bila mendapatkan pelangan-pelanggan baru. Saya juga sering membuat promosi di media sosial.

Saya mengenakan caj yang berpatutan kepada pelanggan saya. Ada yang kata murah dan berbaloi. Kalau nasib baik, ada yang bagi lebih, bergantung pada rezeki.

Saya tak kisah sebenarnya tapi bila dah orang nak kasi, saya terima sahajalah. rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Itulah prinsip hidup saya.

Pada suatu malam, saya menerima telefon dari 'private number'. Ketika itu saya sedang duduk minum-minum kopi di gerai kawan saya.

Lantas saya menjawab panggilan itu yang saya kira mungkin dari pelanggan yang ingin memesan makanan. Pada waktu itu saya hanya mengambil pesanan melalui panggilan dan Whatsapp.

Ternyata benar, ia dari pelanggan saya. Merdu suaranya memesan burger daging 30 biji tapi dagingnya jangan dimasak. Terkejut juga dengan pesanan pelanggan saya ni.

Saya rasa macam orang nak game saya sahaja. Mana ada orang beli burger tapi daging burgernya mentah. Saya cakaplah jangan main-main, sebab saya tak mengenalinya. Kalau nak diikutkan saya memang tak ambil pesanan dari orang yang saya tak kenal. Bimbang kena tipu.

Saya rasa pesanan dia ni agak banyak, jadi saya minta dia transfer dulu bayaran. Tapi dia pula berkata, risau saya yang tipu dia pula. Saya beritahulah saya berbisnes ni cara elok, tak nak cari makan cara salah.

Sepanjang saya berbisnes memang saya tak tipu orang. Kalau saya kata bayar dulu dan saya akan hantar, memang saya hantar. Situasi menang-menang la.

Lagipun burger yang dia tempah tu banyak, bukan sedikit. Saya pun nak kena berikan jaminan pada owner penjual burger. Jika tidak saya yang terpaksa tanggung kerugian.

Entah macam mana saya pun mengalah selepas dia janji dia akan bayar bila saya hantar nanti. Jadi, saya pun berpegang pada janjinya meskipun saya harus curiga.

Kemudian dia berikan saya lokasinya saya pun catat. Cuma saya bertanya sikit kepadanya, saya cakap, Cik... nanti kalau saya tak jumpa rumah cik, macam mana nak hubungi cik? saya tanya begitu.

Lantas dia beritahu lepas ni akan Whatsapp nombor telefonnya. Saya pun jawab okey. Selepas tu dia matikan panggilan.

Saya ni jadi blur sekejap. Lupa nak tanya burger yang dia nak tu beli di gerai mana. Saya membebel sendiri, adui... dia ni nak burger gerai mana? Tak cakap pun... kalau gerai sini, senang je saya order terus.

Tiba-tiba pesanan Whatsapp masuk, saya pun baca;-

Saya nak burger di kedai yang awak sedang duduk minum sekarang ni."

Menggelabah saya masa tu macam sah-sah je kena game. Saya jenguklah dalam kedai kawan saya ni kut-kut mereka ni sengaja nak kenakan saya. Manalah tahukan.

Mereka ni bukan boleh percaya sangat. Saya bangun nak pergi tanya Rizal, tauke gerai. Tapi dia sedikit pun tak mengaku. Saya intai-intai juga sekeliling. Tak ada apa-apa.

Rasa macam tertipu pulak. Nasib baik saya tak pesan burger 30 biji tu. Tapi... kalau betul bagaimana? Tapi memang saya tak beli dan pergi hantar burger tu. Cuma perkara itu bermain dalam fikiran saya.

Esoknya saya nak juga pergi ke lokasi yang disebutkan itu. Jauh juga tempatnya, masuk ke kawasan pendalaman sedikit melalui jalan yang tidak berturap. Rumah jauh-jauh di antara rumah yang lain.

Kalau nak diikutkan malam itu saya tak nak pergi sebab rasa jauh. Curiga memang dah satu hal. Esok itu saya nekad nak cari tempatnya sebab perasan ingin tahu membuak-buak kes pesanan Whastapp itu.

Bila sampai, maka saya nampaklah sebuah rumah, tepi rumah tu banyak pohon pisang. Saya parkir motosikal saya tepi pagar. Saya terjengul-jengul melihat halaman rumah tersebut. Rumah kayu beratap zink agak usang keadaannya.

Saya lihat tingkapnya terbuka tetapi pintu rumahnya tertutup. Langsir tingkap tu pula melambai-lambai seperti ditiup angin dari dalam. Saya fikir itu angin kipas. Sebab pagi begini saya tak rasa pun ada tiupan angin. Biasa je.

Ketika saya sedang terkulat-kulat sendiri di depan rumah tu, tiba-tiba lubang hidung saya ni terhidu bau kenanga. Wangi sangat. Saya tercari-cari juga kut ada pohon kenanga dekat situ. Tak ada. Kemudian bau itu lenyap.

Saya pun memberi salam. Tidak lama kemudian keluar perempuan yang memakai anak tudung dengan berbaju kurung biru muda dan berkain batik terpacak depan muka pintu. Dia melihat saya seperti orang yang tak berapa jelas penglihatannya.

Dia tanya saya siapa, saya jawablah saya ni rider, tapi makcik tu cakap tak tahu apa benda rider tu. Tak apalah, saya beritahu yang saya cari Nur Hanim (bukan nama sebenar). Makcik tu yang datang dekat dengan saya tiba-tiba berubah riak wajah.

Dia ingat saya ni kawan Nur Hanim. Dia pun beritahulah yang Nur Hanim dah meninggal dua minggu yang lepas. Saya terkejut. Saya pun beritahulah yang saya ada menerima pesanan darinya. Kemudian keluar seorang lelaki yang mengakui itu adik kepada Nur Hanim.

Saya pun tunjuklah pesanan tu dekat budak lelaki tu. Dia pun terkejut juga, katanya itu memang nombor telefon kakaknya, tapi waktu kemalangan tu berlaku, telefon bimbit kakaknya itu hilang. Jika dihubungi pun akan masuk 'voice mail' menandakan ia tidak aktif.

Makcik tu pula beritahu anaknya meninggal akibat kemalangan jalan raya ketika keluar nak pergi beli burger. Saya memang tumpang sedih bercampur seriau di atas apa yang berlaku. Namun mereka lagi sedih kehilangan orang tersayang.

Saya pun pulang dengan penuh tanda tanya. Nur Hanim mesej saya semata-mata nak beli burger mentah. Saya memang terkejut besar. Meremang rasanya selepas dapat tahu yang dia sebenarnya sudah meninggal dunia.

Rasa seperti dihantui. Memang tak sanggup rasanya berhadapan dengan perkara itu. Saya dihambat keresahan. Nak tidur malam pun tak lena. Saya dah bimbang serta risau. Saya terus delete pesanan itu. Saya tak nak ia menjadi igauan ngeri.

Tapi malam berikutnya, saya tak boleh nak tidur. Ke kiri dan ke kanan berdebar semacam. Saya mengiring serba tak kena. Suhu dalam bilik rasa sangat panas walaupun kipas dah pasang paling kuat.

Saya terpaksa buka tingkap supaya wap panas tu keluar dan aliran udara lancar. Ketika saya membuka tingkap, tiba-tiba sahaja saya terhidu bau kenanga. Bau itu serupa seperti yang saya terhidu sebelum ini.


Saya memandang ke luar tingkap, Allah!!! sekilas pandang saya nampak sosok perempuan berdiri tidak jauh dari tingkap saya itu. Rambutnya panjang mengerbang. Sosok yang disinari balam-balam lampu jalan itu terus terbang ke arah saya!

Cepat-cepat saya tutup tingkap serapat-rapatnya! Allahu`Akbar. Saya tanya kuat, kau ke tu?! Kau nak apa?! Saya memberanikan diri berkata begitu. Jantung saya sebenarnya dah berdetak kencang. Bukan nak tunjuk berani tapi ianya adalah tindakan spontan.


Kemudian ayah saya datang sebab dengar bunyi saya kecoh-kecoh. Saya pun beritahulah bahawa ada 'benda' duk ganggu saya. Ayah saya ni sebenarnya dapat merasakan sesuatu. Ayah pun kata memang ada benda yang ikut saya.

Tiba-tiba je ayah saya pergi buka tingkap dan mulut kumat-kamit membaca sesuatu. Lepas ayah berkata lagi, benda tu berkenan dekat saya. Ayah dah halau, katanya.


Mujurlah ayah tolong, kalau tidak saya pun tak tahu apa yang berlaku pada saya. Cuma saya ni tidak mewarisi kebolehan ayah yang boleh merawat orang. Saya cuma berminat di dalam bidang yang saya suka sahaja.

Inilah pengalaman misteri dan seram seorang rider macam saya yang ada kalanya terpaksa berhadapan dengan benda-benda mistik dan kejadian pelik.

Sekian.

Cerita asal: Masdi
Ditulis oleh: Rashid Salim

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Sungguh tak sangka 'benda' tu suka kat saya"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK