Saya cemas sakan tiba-tiba 'dia' duduk belakang


Assalamualaikum dan selamat sejahtera teman-teman dan pembaca blog Rashidsalim.com ya.... semoga anda semua baik-baik sahaja. Terima kasih diucapkan kerana masih terus setia membaca kisah-kisah seram yang ada di sini.

Baiklah, kita akan bercerita seram lagi dan ini pula datangnya dari Ramlee Rahman atau lebih mesra dipanggil Abi. Beliau berkongsi dengan kita semua tentang pengalaman seram ketika menjadi JAGA.

Ayuh, sama-sama kita ikuti kisah yang disampaikan ini. Semoga menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita semua. Insya-Allah...

Tawaran Jadi Jaga


Kisah ini berlaku pada tahun 2004, salah satu pengalaman saya yang tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini apabila dikaitkan dengan kisah-kisah seram.

Pada siang hari saya bekerja sebagai pemandu van bawa barang namun saya telah mendapat tawaran untuk jadi jaga di jirat Cina di Jalan Klang Lama pada waktu malam.

Saya terima tawaran itu sebab bayarannya agak lumayan juga ketika itu, RM50 satu malam. Nilai yang cukup besar bagi saya. Jadinya saya bersama dengan seorang lagi kawan pun bersetuju. Jamal namanya.

Jadi saya dengan Jamal pun jadilah jaga di situ. Tempat saya mengawal adalah di sebuah kontena. Kami jaga beberapa jirat sahaja iaitu adalah dalam 5 atau 6 jirat milik taikun atau jutawan Cina.

Bukan apa, mereka tanam barang berharga dalam jirat itu, bimbang kalau-kalau ada yang mencuri pula. Maka pengawal diperlukan bagi memastikan keadaan baik-baik sahaja.

Kami pula tak kisahlah jadi jaga jirat Cina pun asalkan upahnya lumanya. Alah, jadi jaga saja pun bukan buat apa. Malam pertama di situ kami bawa radio pasang ayat-ayat quran.

Bosan-bosan tengok tv, lepas tu baca majalah. Semakin lama tu semakin bosanlah pulak kan. Kami tidur dalam kontena tu. Bila tengah malam, terasa susah pula hendak tidur. Saya pun cucuh rokok sebatang buat teman selepas buka tingkap.

Jamal masa tu dah berdengkur enak dibuai mimpi. Ketika tu dah pukul 1:30 pagi. Saya susah hendak lelapkan mata. Di hadapan saya ada jirat-jirat Cina, maka saya pun perhatikan keadaan. Kena pantau sebab dah tugas jadi jaga. Tak boleh leka.

Kemudian terdengarlah suara sahutan anjing mendayu-dayu memecah kesunyian malam. Surah mengaji tadi saya dah tutup dah, cuma layan perasaan sahaja sambil hisap rokok.

Tentang perasaan ketika itu, saya rasa agak relaks bercampur seram sejuk dan juga rasa bosan. Kemudian usai merokok, saya pun jentik putung rokok tu ke luar tingkap. Barulah mata ni rasa layu. Badan pun letih. Saya pun tertidur.

Sesudah beberapa jadi jaga di situ, dapat merasa duit. Perasaan seronok bertandang. Iyalah dapat duit kan, siapa tak suka. Kami pun dah mula jadi alpa, main seronok-seronok.

Daripada biasa dengar radio mengaji sekarang beralih dengar lagu-lagu sambil main daun terup. Kami main berdua sahaja. Malam-mana bosan tak ada buat apa, jadi bertaruhlah duit.

Apalah sangat kalah RM15, RM30 tu... duit banyak. Esok boleh main lagi. Main berdua sahaja. Keesokannya pula, Jamal datang lambat. Saya adalah kirim nasi goreng.

Dia dahlah datang lambat sampai pukul 9 malam, terlupa pula kiriman saya. Tapi mujurlah petang tu saya dah pekena mi goreng. Tak adalah lapar sangat. Katanya dia tak sihat.

Jadi malam tu saya tak dapatlah nak main pear dengan dia kerana dia asyik baring sahaja. tak apalah, nak buat macam mana. Namun Jamal sempatlah menyakat katanya ajaklah 'mereka' main sambil memuncungkan mulut ke arah jirat.

Saya ketawa sahaja dan berkata seronoklah kalau mereka dapat join, balas saya dengan perasaan riak. Tak terjentik perasaan takut ketika itu di atas kata-kata saya tersebut.

Selepas malam makin larut, Jamal pula terbuai mimpi. Hujan renyai-renyai suasana kedinginan. Saya pun baru nak lelapkan mata tiba-tiba terdengar derap kaki sayup-sayup. Kedua-dua tingkap saya buka seluas-luasnya.

Selepas itu bunyi langkap kaki terhenti. Kemudian disusuli pula dengan suara memanggil saya, "Abi........ bangun Abi......." Kedengarannya sayup-sayup jauh.

Saya mengonyoh biji mata saya dengan siku jari. Siapa pulak yang datang? Saya tertanya-tanya. Iyalah saya fikir ada orang panggil inginkan sesuatu. Tapi saya rasa seperti perasaan saya sahaja. Saya cuba abaikan.

Kemudian saya pun ingin tidur semula. Suara Jamal berdengkur bukan main kuat lagi. Letih betul rasanya dia tu. Selepas tu saya ubah posisi mengiring.

Bunyi derap kaki kembali kedengaran. Saya pun menyangkakan itu mungkin budak-budak kontraktor Indonesia yang ada kat bawah nak minta rokok. Sebabnya pernah berlaku macam tu sebelum ni elok-elok kami main daun terup diorang pun datang minta rokok.

Saya pun menyergahlah, "Hai Wak! Tengah malam pun nak cari rokok?" kata saya tanpa melihat akan siapa pun yang datang. Keadaan hening seketika kecuali dengkuran Jamal tetap dengar. Krohhh krohhh!

"Mana pulak perginya Wak ni? kalau nak rokok, cepatlah! Aku nak tidur ni," saya mula geram dan tertanya-tanya mana pula perginnya dia.

Tidak semena-mena kontena kena tabur dengan pasir. Aik? Wak punya kerja ke? Kacau betul ni. Saya nak tidur pun tak boleh.

"Eh Wak! Jangan main-main lah! Kalau hantu Yap Ah Loy datang pun aku tampar je!" Saya dah geram sangat. Sebab saya merasakan bahawa budak-budak ni memang sengaja.

Jamal pun terkejut dari tidur, mungkin dengar suara saya bising-bising agaknya dan sempat dia bertanya saya kenapa saya terpekik. Saya cakaplah yang budak-budak bawah tu datang.

Jamal pun iyakan saja dan sambung tidur. Saya pun buat tak tahu sahajalah, dan terus nak lelapkan mata tanpa menghiraukan mereka.

Tidak semena-mena saya terdengar lagi bunyi derap kaki langkah demi langkah seperti menghampiri kami yang berada dalam kontena itu. Dan tiba-tiba saya terdengar bunyi kriuk engsel pintu, krekkkk....... pintu terbuka.

Saya pun buka mata. Allahu`Akbar!!! Saya nampak ada kelibat berdiri di situ dengan memakai topi tiga segi. Tinggi! Gayanya seperti seorang pelombong bijih timah dahulu kala. Meremang seluruh tubuh saya.

Saya menggelabah. Benda tu tercegat di situ. Laju saya kejutkan Jamal! Benda tu tetap tercegat di situ merenung ke arah kami. Jamal pun terperanjat. Dia pun nampak.

Tanpa berlengah kami melompat keluar dari tingkap, terus start enjin motor. Kelam kabut. Jamal dah lari depan terlupa saya dekat belakang. Saya masih hidupkan enjin motosikal. Tak boleh jadi ni!

Tiba-tiba tengah-tengah start tu, rasa seperti ada sesuatu di tempat duduk belakang. Saya pun menoleh dengan laju, Ya Allah!!! Terkocoh-kocoh saya terjun dari motosikal dan berlari mengikuti jejak Jamal.

Cuak juga saya ketika itu, berlari-lari terus ke rumah kongsi yang berada di bawah bukit sambil baca sahaja ayat yang terlintas dalam kepala. Sampai situ tengok-tengok Jamal dah termengah-mengah. Saya pun sama, lelah!

Kami pun panggil orang dalam rumah kongsi tu. "Wak!!! Wak!!!" Sambil ketuk-ketuk pintu. Selepas pintu dibuka kami masuk macam tu sahaja dalam ketakutan.

Mujurlah mentua Wak kebetulan ada di dalam rumah tu. Dialah yang menenteramkan kami dengan ayat-ayat Al-Quran. Ayah mentua si Wak tu cakap tadi benda tu ada dekat belakang kami, tapi ayah mentua Wak dah tolong.


Sejak hari tu, kami tidak mahu lagi menjadi jaga jirat tu lagi walaupun ditawarkan RM100 semalaman. Perit rasanya nampak benda tu di situ. Itu baru kena kacau sikit tapi dah mengalah. Memang tak kuat semangat betul.

Bila fikir-fikir balik, mungkin mulut saya yang cabul sangat, ajak main daun terup sekali dengan orang yang dah mati siap buat gurauan lagi, itu sebab la kut benda tu merupa nak lepak sekali. Ish! Seriau pulak.


Tapi itulah, ia menjadi pengajaran pada kami. Awal-awal jadi jaga bukan main elok kami dengar ngaji surah-surah Al-Quran. Selepas tu semakin laro jadi tahi judi pulak. Tak cukup dengan itu, mulut pun main cakap lepas.

Nasib kamilah...

Sekian.

Cerita Asal: Ramlee Rahman
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Saya cemas sakan tiba-tiba 'dia' duduk belakang"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK