Kami tak sangka terbawa balik 'hantu jerangkung' ke rumah


Jerangkung merujuk dari wikipedia, dalam kepercayaan masyarakat Melayu ia adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara dan diwarisi sebagai saka. Tujuan pemeliharaannya juga adalah untuk menganiaya orang lain dan juga untuk melindungi diri.

Berkenaan dengan benda ini, Norbayah (bukan nama sebenar) berkongsi sekali lagi dengan kita semua tentang pengalaman beliau berhadapan dengan situasi ini.

Jika sebelum ini Norbayah pernah berkongsi dengan kita semua tentang 'Hantu Bungkus' kali ini beliau berkongsi pula sebuah kisah entiti bernama Jerangkung.


Jerangkung!


Kisah ini bermula ketika saya sedang menunggu anak saya di depan sekolah. Ketika saya duk menunggu dalam kereta, tiba-tiba saya tersentak apabila cermin kereta saya diketuk.

Saya terus menoleh dan mendapati ada seorang perempuan berambut panjang dalam keadaan tergesa-gesa. Saya turunkan tingkap dan bertanya kenapa, lalu jawabnya dia mahukan pertolongan. Katanya lari dari majikan berbangsa Cina.

Wanita dari negera seberang itu sangat berharap saya membantunya. Oleh kerana kasihan maka saya meminta dia masuk ke dalam kereta saya tanpa berfikir hal yang bukan-bukan. Niat saya cuma ingin membantu sahaja.

Selepas tu saya bawa dia ke rumah saya. Ketika dalam kereta saya tanya dia kenapa lari, lalu dia memberitahu dia sudah tidak tahan kerana sering didera oleh majikannya itu. Dia pun tunjuk ada kesan lebam.

Di hati saya timbul rasa kasihan, seorang amah didera sampai begitu sekali oleh majikan, tetapi saya pun tak boleh nak buat spekulasi kerana saya sendiri pun tak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Jadi, saya pun bawa dia ke rumah saya. Saya fikir dengan adanya dia bolehlah jaga mak saya buat sementara waktunya. Lagipun mak saya uzur perlu pembantu. Maka eloklah saya gajikan dia dulu.

Kebetulan pula di rumah saya tu ada pokok pisang patah dahannya. Suami saya terpaksalah tebang buah pisang tanduk tu walaupun masih mentah. Suami saya letak atas meja dekat depan rumah.

Hal yang paling saya tak duga ada perempuan ini pergi ke arah pisang tanduk tu lepas tu makan pisang tersebut. Saya ingat dia kelaparan agaknya sampai pisang tanduk yang mentah tu pun dia makan.

Saya sedikit pun tak syak apa-apa. Kemudian saya bawa masuk dalam rumah dan berikan dia tempat tinggal. Saya minta dia jaga mak saya dan dia bersetuju.

Apabila tiba waktu makan, saya lihat dia makan menambah. Memang banyak betul dia makan tak padan dengan saiz badan dia tu. Lapar agaknya.

Selepas tu sisa-sisa yang tak habis itu dia tak buang, dia simpan dalam saji, katanya sayang jikalau dibuang. Saya pun cakap tak apalah.

Saya rasa ada sesuatu yang tak beres ni... saya rasa perempuan ni memang jenis kuat makan agaknya. Mungkin masa kerja sebelum ni didera tak dapat makan kut, fikir sayalah.

Kemudian, tiba-tiba sahaja saya diserang sakit gigi yang amat teruk. Sakit amat-amat. Sehinggalah malamnya saya susah nak tidur. Saya tak boleh nak duduk dalam bilik, jadi saya baring kat ruang tamu.

Pukul 12 tengah malam saya dikejutkan dengan bunyi geser pada almari dekat ruang tamu tu. Sretttt.... sretttt.... Saya pun menoleh, lihat ada perempuan rambut panjang mengurai. Saya dapati pembantu saya tu berada di almari perhiasan saya.

Saya tanya buat apa, dia jawab bersihkan almarai. Tengah-tengah malam sibuk nak lap almari buat apa, orang dah nak tidur. Almari tu dekat dengan tempat saya berbaring.

Saya marah sebab saya sedang sakit gigi. Saya minta dia pergi masuk bilik. Dia tidur dengan mak saya sekali, sebab memang saya tugaskan dia untuk jaga mak saya.

Pada malam kedua, saya masuk dalam bilik mak, saya dapati badan mak panas sangat. Saya pun perhatikan dia duk berbaring sambil bercakap seorang diri. Rambutnya dilepaskan panjang mengurai.

Lantas saya pun bertanya dia bercakap dengan siapa? Lalu jawabnya dia bercakap dengan seseorang. Saya dah pelik. Cara dia bercakap tu macam ada orang, padahal tak ada sesiapa pun dekat dia tu.

Mak saya memberitahu saya yang pembantu ni macam tak betul. Maknanya perempuan ni memang cakap sorang-sorang agaknya sebelum saya masuk bilik.

Saya diamkan sahaja sebab malas nak fikir sebab saya pun sakit gigi tambah pula nak uruskan pertunangan anak lelaki saya lagi. Memang bertambah pening kalau fikir hal dia seorang.

Tiga hari sebelum kami bertolak ke Kemaman... malam itu sekali lagi saya dikejutkan dengan gelak ketawa dia. Suara dia ketawa depan pintu bilik mak saya tu. Mak saya dalam bilik tengah mengerang kesakitan, tapi dia boleh ketawa.

Saya pun marah dia, kenapa ketawa sampai macam tu? Bila tengok keadaan dia pun dah rasa seram sejuk dengan rambut panjang mengurai wajah pun nampak pucat lesi duk tenung saya. Saya minta dia masuk dalam bilik.

Dia patuh dan masuk. Saya dah berasa dia ni sudah semakin pelik dan aneh. Waktu itu bulu roma saya dah naik. Fikiran saya dah bukan-bukan. Kalau dia apa-apa, kan mak saya bagaimana?

Dua hari sebelum kami bertolak, malam tu lagi saya tersentak. Dia buat hal pulak, kali ini saya ke dapur. Bila saya hidupkan suis lampu, alangkah terkejutnya saya bila tengok dia mencangkung dekat singki. Berderau darah saya setelah dia tenung saya dengan rambutnya hampir menutupi wajah.

Saya beristigfar panjang. Dia ni memang buat saya hampir nak gugur jantung. Saya betul-betul geram, memang dia ni tak betul. Saya marah dia saya suruh dia turun. Saya syak dia memang ada masalah gangguan mental. Kasihan.

Ketika itu saya fikir itu sahaja, sebab tak adalah fikir ada mahkluk halus ke apa, kan. Sebab benda-benda ni tak nampak sangat melainkan tindakan dia tu pelik. Lagipun sakit gigi saya tetap terasa lagi ni.

Bila tiba minggu pertunangan anak lelaki saya, maka kami bertolak ke Kemaman, Terengganu. Jadi kami sekluarga pergi ke Pantai Timur. Bawa dia sekali sebab harapkan dia untuk jaga mak.

Bila sampai sana romnbongan kami menyewa homestay, mulanya tak ada apalah yang pelik kecuali si minah ni yang memang kuat makan. Saya perasan memang dia kuat makan.

Sebelum hari khamis malam jumaat sebelum pertunangan tu, saya dah tak tahan sangat. Saya ke hospital juga untuk dapatkan rawatan kecemasan. Sakit gigi saya ni sangat-sangat keterlaluan.

Saya rasa tak sedap hati, memang perasaan saya tak tenteram tak tahu kenapa. Selepas tu saya balik dari hospital dan pulang ke homestay. Masa tu saya perhati ada sesuatu di depan tangga, saya tanya suami nampak tak apa yang saya nampak?

Suami saya cakap tadi dia juga ternampak ada 'benda' mencangkung di situ, lepas tu hilang. Sesuatu yang berambut panjang, tapi badan tulang belulang sahaja. Benda itu ada beberapa saat selepas itu ghaib.

Tanpa banyak fikir, kami masuk dalam rumah. Sebab esok hari pertunangan anak saya akan berlangsung. Jadi harapan saya besar semoga tiada masalah yang timbul.

Malangnya, ada insiden yang timbul. Waktu majlis sedang berlangsung tu, ada pergaduhan kecil yang berlaku di antara pembantu dan mak saya. Jadi saya ni tak redakan keadaan saya ambil tangan pembantu tu, saya tepuk sikit isyarat jangan gaduh.

Tiba-tiba... dia menjerit macam orang histeria. Dia jerit-jerit cakap saya ni telah memukulnya. Kecoh keadaan majlis tersebut. Kami terpaksa tenteramkan dia. Dia menggelupur tak tentu arah. Majlis pertunangan itu terpaksa dipercepatkan.

Saya betul-betul terperanjat dengan kelakuan dia tu. Orang sibuk tenangkan dia pun masih lagi dia menggelupur. Saya dah bingung tak tahu nak buat apa. Siap ada yang renjis-renjiskan air agar dia sedar semula.

Cuma hal yang saya tak dapat lupa adalah dia bertempik sambil menyebut, "Aku bau kuburan! Aku bau kuburan!" Saya pun berasa pelik, kenapa? Bau apa?

Rupa-rupanya suami saya merahsiakan hal kematian bapanya. Pada malam saya ke hospital, suami saya telah menerima berita kematian ayahnya iaitu mentua saya.

Oleh kerana ini adalah pertunangan anak lelaki kami, dan perjalanan pun jauh, maka suami rahsiakan dari pengetahuan saya sehingga majlis selesai.

Saya ni naik takut sebenarnya. Jadi terpaksa tinggalkan dia di rumah kawan saya. Waktu kami pulang dan ziarah, kami bercerita pasal hal ini. Mereka berpendapat perempuan yang saya tolong tepi jalan tu ada menyimpan sesuatu, iaitu jerangkung.


Bila dengar mereka berkata begitu, saya pun balik tengok dalam beg dia dan menjumpai batu hitam bulat bersama kain berwarna kuning berlilit. Kami buang semuanya ke dalam sungai yang mengalir.

Selepas itu saya dengar khabar dari kawan saya tu, katanya perempuan itu bekerja dengannya di gerai... saya harap kawan saya itu baik-baik sahaja...

Sekian.

Cerita asal: Norbayah
Ditulis oleh: Rashid Salim

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Kami tak sangka terbawa balik 'hantu jerangkung' ke rumah"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK