Siri Seram Hakim - Bab 9


Bab 9

SENAH menemani Saleh di wad hospital. Dia melihat keadaan suaminya yang agak lemah itu. Saleh masih belum sedarkan diri, lama juga tidurnya. Senah bertanya pada doktor, bila suaminya akan bangun, tapi balas doktor tidak dapat dipastikan.

Dia tinggalkan suaminya seketika untuk pergi melawat anaknya pula di wad lain di mana Wawa ditempatkan. Setibanya di situ, dia dengar suara Wawa meracau-racau. Dia nampak misi-misi di situ sedang berusaha tenangkan anaknya.

Tidak berapa lama kemudian, doktor memanggil Senah untuk berbincang suatu perkara. Menurut doktor, dia mahu mendapatkan persetujuan Senah untuk memindahkan Wawa ke wad psikiatri memandangkan keadaan Wawa tak stabil untuk berada di wad biasa.

“Kenapa nak pindahkan anak saya ke wad gila? Anak saya tak gila!”

“Puan, saya tak kata anak puan gila, kami cuma nak pantau keadaan anak puan sahaja. Wad itu adalah wad khas.”

“Itu wad orang gila!” Marah Senah.

“Begini puan, dari hasil pemeriksaan, kami dapati fikiran anak anak puan ada masalah. Jadi kami risau kalau dibiarkan nanti keadaannya akan bertambah buruk. Jadi kami ingin pantau dan sekaligus ingin merawatnya.” Beritahu Dr. Mawar.

“Jadi doktor nak cakap anak saya tu gila? Begitu?” Senah tetap tidak dapat menerima kenyataan itu kerana baginya Wawa tidak gila. Anaknya itu hanya terkena buatan orang sahaja. Lagipun Azam sudah mengubatinya. Cuma semalam ada hal yang dia tak jangka telah berlaku.

“Puan, kami tak bermaksud begitu.”

“Jadi apa yang patut saya lakukan?” Senah cuba bertenang. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia tak boleh jadi penghalang demi kebaikan Wawa. Dia duduk semula dan tenangkan diri.

“Kalau puan setuju kami akan uruskan.” Ucap Dr. Mawar dengan lemah lembut bicaranya. Sikitpun dia tidak membentak dan terasa hati dengan cara Senah.

Senah diam dan hanya mengangguk sahaja. Kemudian dia diminta untuk turunkan tandatangan sebagai persetujuan. Hal ini bagi mengelakkan sebarang hal yang tak diingini di belakang hari.

Setelah membaca persetujuan itu, Senah bersetuju kerana dia mahu Wawa pulih.

“Tapi ingat doktor, kalau anak saya masih tak sembuh, doktor lah yang akan saya persalahkan.” Senah memberikan amaran.

“Puan… kami hanya ikhtiar puan. Lagipun kami masih dalam proses rawatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang dihadapi anak puan. Kalau anak puan sering meracau, memang anak puan perlu dipindahkan ke wad khas.” Dr. Mawar memberikan penerangan sekali lagi agar Senah betul-betul faham dan tidak mempertikaikannya lagi.

“Saya tak peduli doktor, apa yang saya mahu adalah anak saya mesti sembuh!” Senah tetap dengan egonya. “Kalau apa-apa terjadi pada anak saya, saya tak teragak-agak akan mengambil tindakan!” Marah Senah lagi yang terlalu mengikut emosi.

Dr. Mawar hanya mengukir senyuman. Dia tidak membalas kata. Lagipun dia tidak mahu mengapi-apikan keadaan. Apa yang dilakukan adalah berusaha melakukan yang terbaik. Dia kemudiannya menyambung tugas.

Dalam pada itu Senah menelefon Azam dan kali ini panggilannya berjawab, dia benar-benar geram dengan Azam.

“Kau kat mana ha? Sudah berapa kali aku telefon kau?” Senah melepaskan geram yang terbuku.

“Kenapa? Ada apa telefon aku pagi-pagi ni?”

“Kau boleh tanya aku kenapa? Aku sekarang ada di hospital besar ni. Dari malam tadi lagi aku temankan Saleh. Bukan tu saja, anak aku sekali masuk wad ni.” Beritahu Senah.

“Saleh masuk wad?” Azam terkejut.

“Kau jangan buat-buat terkejut. Laki aku muntah darah terus tak sedarkan diri. Aku risau ni tahu tak.” Senah mengorak langkah pergi ke arah tangga di situ ada tanda keluar.

“Bila lagi?”

“Dah dua hari aku dekat sini, kau tahu.”

“Maaf Senah aku betul-betul tak tahu, sekarang ni orang kampung tengah risau, Jamal anak arwah Mail pulak dah mati.”

“Laa! Ya ke? Dah berapa kali aku cuba call kau Azam, aku dah text kau tapi kau tak respon apa-apa.”

“Sekali lagi aku minta maaf, aku memang tak usik handphone sejak-sejak ni. Kebetulan handphone ada kat tangan, kau pun call, aku jawablah.” Azam memberikan alasannya kenapa dia payah nak jawab panggilan telefon.

“Aku betul-betul risau ni.” Senah melahirkan kebimbangan.

“Aku faham. Tapi kau kena bertenang. Perkara ni bukan mudah. Lagipun aku tak dapat kesan lagi siapa pemilik benda tu.”

“Tapi masalahnya dia dah serang laki dan anak aku,” Senah khuatir.

“Aku rasa tak sesuai bercakap dalam telefon. Kalau ada kesempatan, aku pergi melawat.” Beritahu Azam yang terpaksa mematikan panggilan kerana ada urusan penting yang lain.

Senah dihambat kebuntuan. Di saat dia memerlukan bantuan Azam, lelaki itu pula sibuk. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Kini suaminya dan anaknya berada di hospital mendapatkan khidmat rawatan di sini.

Dia melepaskan keluhan namun dia rasa seperti ada degusan nafas di belakang tengkuknya. Dia tiba-tiba rasa meremang bulu roma. Cepat-cepat dia menoleh. Tapi tiada sesiapa.

Dia pun mengorak langkah menuruni anak tangga untuk turun ke tingkat bawah. Dia mahu ke tandas. Tiba-tiba dia terdengar bunyi derap kaki seperti ada yang mengekorinya. Dia berpaling ke belakang, tapi tetap tiada sesiapa. Dia lajukan langkahnya, bunyi langkah itu pun ikut laju. Dia mulai resah. Terasa seperti diekori.

Tiba-tiba sedang dia tergesa-gesa dia terlanggar seseorang, “Maaf!” Senah cuak. Dia tak sengaja terlanggar orang sebab dia dalam ketakutan.

“Tak nampak ke?” Senah dimarahi.

“Maaf, maaf!” berkali-kali Senah meminta maaf. Ekspresi wajahnya gelisah.

Seram sejuk dirasakannya. Perasaannya tidak tenteram. Sampai terbawa-bawa ke tandas. Apabila tiba di tandas pun perasaannya tetap begitu. Dia merasakan dirinya diperhatikan. Senah tidak selesa.

***

SEMENJAK Kadir sudah jadi orang sewel, pelbagai spekulasi pula yang timbul dari mulut orang kampung terutama sekali dari Roslan dan Sudin. Mereka sangat mengesyaki bahawa memang Karim punca Kadir begitu.

“Tak syak lagi Lan, sebab Kadir yang beria-ia benar nak usir Karim dari Kampung Damai ni.” Ucap Sudin. “Gerenti la Karim angin kan… lagipun kau tak pelik ke masa kita pergi rumah si Karim hari tu, siap ribut muncul tu… terus Kadir berubah sikap? Kena sihir tu!” Sudin memperkukuhkan dakwaannya.

“Memang confirm dia, tak ada orang lain lagi! Dan kematian Jamal tu mesti sebab dia jugak. Dan kau dengar cerita tak?” Roslan terus membisik pada Sudin.

“Apa?”

“Laki Senah masuk hospital, dengar khabar kena santau…” beritahu Roslan. Sudin angguk-angguk.

“Eh Lan, Saleh kena santau dengan siapa?”

“Haa… ni yang aku nak cerita ni… kau tahu kan, siapa yang pergi berubat rumah dia kan?”

“Siapa?”

“Takkan kau tak tahu kut…?” Roslan memancing Sudin supaya ingat semula siapa yang datang mencelah sewaktu mereka bercakap tentang isu hantu Hakim.

“Maksud kau Azam?”

“Haaa, pandai pun… Hari tu kan Azam ada cakap yang dia nak pergi rumah si Saleh tu… katanya ada hal… kau tak terfikir ke ada sesuatu yang pelik dekat situ?” Roslan mula bermain teka teki dengan Sudin.

Sudin bakar rokok. Roslan capai kotak rokok kepunyaan Sudin tumpang sekaki cucuh rokok yang orang lain punya. Berasap-asap rokok di warung kopi.

“Jadi apa kena mengenanya di situ?”

“Hah… ada kena mengenalah, pastilah Azam tu tahu sesuatu.”

“Yelah, lepas je pergi berubat, terus Saleh kena santau. Dahsyat gak penangan ilmu hitam ni eh, tapi angkara siapa sebenarnya ni?”

“La kau ni… tanya lagi… dah tentulah Karim.” Jawab Roslan.

Pap!

Meja ditepuk kuat.

“Kau berdua ni tak ada kerja lain ke hah?” Tiba-tiba Baharom muncul. Terkebil-kebil mata Roslan dan Sudin memerhati lelaki itu bercekak pinggang memarahi mereka.

“Errr kau Baha…” kata Roslan. Sudin pula tak berkutik. Dia tahu sesuatu tentang Baharom ni. Lelaki yang kalau sudah marah, jangan disentuh tubuhnya. Silap-silap kena panampar kilat tak terbangun nanti.

“Aku cukup pantang kalau orang buruk-burukkan si Karim tu. Kalau tak ada bukti jangan nak main tuduh-tuduh nak buat cerita yang bukan-bukan. Disebabkan mulut macam korang la fitnah semakin berleluasa dalam kampung kita ni tahu tak?” Baharom menjegilkan biji matanya.

“Aku tak bermaksud macam tu Baha.” Roslan bangun dari duduknya dan cuba tenangkan Baharom yang nampak meradang.

“Aku dengar apa yang kamu berdua cakap tadi. Konon apa yang terjadi pada Kadir tu semua perbuatan Karim. Dan apa yang menimpa pada Saleh tu pun gara-gara Karim. Pendek kata apa yang terjadi dalam kampung ni semua sebab Karim, kan?!” Baharom betul-betul marah, dia dah hilang sabar.

Orang-orang kampung yang ada di warung kopi tu terdiam. Masing-masing memerhatikan sahaja. Tauke warung pula diam tak berkata apa-apa. Menghalang pun tidak hanya tengok sahaja. Bukan apa, sebab mereka tahu Baharom ni orangnya macam mana.

“Err…”

“Kalau dengan Karim kau boleh kata macam-macam, sebab dia tak melawan, tapi dengan aku, siap! Sekali lagi kalau aku dengar kau buruk-buruk dia, memang aku ajar kamu berdua ni cukup-cukup, faham?!” Bentak Baharom, terus beredar dari situ.

Roslan dan Sudin merah muka. Panas cuping telinga mendengar amaran tersebut. Kadang rasa geram pun ada tapi di tahan-tahan sahaja.

Baharom pula sejak akhir-akhir ini menjadi seorang pemarah. Tidak tahu kenapa sikap itu semakin menjadi-jadi. Kalau sebelum ini dia banyak bersabar, kini sudah tidak terbendung lagi.

“Kenapa dengan Baha tu?” Tanya Sudin. “Marah betul dia, sebelum ni bukan ke mereka tak ngam?” Sambung Sudin lagi.

“Itu yang aku tak tahu ni.” Roslan bingung.

“Ke mereka dah berbaik-baik?” Teka Sudin. Namun itu anggapan orang kampung sahaja selama ini. Pada hakikatnya Karim dan Baharom tidak pernah bertingkah kecuali hanya isteri mereka berdua sahaja.

Roslan jongket bahu, langsung tak faham. Tapi yang dia dengar dan masuk dalam lubang telinga dia tadi adalah kata-kata berbaur amaran dari Baharom sebentar tadi.

***

“SAYA dah tak tahan lagi bang.” Khatijah pening kepala memikirkan masalah yang melanda.

“Sudahlah tu Tijah. Abang tak nak awak fikirkan yang bukan-bukan lagi.”

“Fikirkan bukan-bukan apa bang? Sudah banyak malam bang saya tak dapat tidur lena.” Khatijah meluahkan apa yang dirasakannya.

“Haih… saya dah tak tahu nak cakap apa lagi dah, Tijah.” Karim melepaskan keluhan. Dia bingkas bangun dan mahu ke halaman.

“Abang nak ke mana tu?”

“Saya nak bersihkan halaman rumah kejap. Dah tak ada apa nak buat pagi ni. Saya nak ke kebun pun rasa malas,” luah Karim.

“Abang, saya ni bukan apa, orang kampung dah tak suka kita tinggal dekat sini lagi. Mereka tetap salahkan kita apa yang dah berlaku dalam kampung ni. Kematian Jamal tu pun mereka tuju kat kita. Apa yang terjadi pada Kadir pun salah kita jugak. Saya tertekan bang.” Khatijah bangun menuruti langkah Karim sampai ke pintu.

Karim mematikan langkah. Dia merenung wajah Khatijah dalam-dalam.

“Tijah, memang apa sahaja yang berlaku mereka akan tuding jari pada kita. Satu saja saya minta pada awak, tolong lepaskan Hakim pergi dari hati awak.” Ucap Karim mahukan Khatijah merelakan pemergiaan Hakim.

“Apa lagi yang saya nak buat bang? Memang kematian Hakim tu disengajakan. Saya tak dapat terima. Mesti ada orang yang sengaja buat macam ni. Sebab tu anak kita menderita sampai sekarang.”

“Tapi Tijah, yang mengganas sekarang ni bukan anak kita, tapi benda lain,” beritahu Karim mahu Khatijah sedar bahawa kes yang berlaku sekarang bukan perkara kecil. Ia melibatkan nyawa orang ramai.

Lagi pula, kematian demi kematian yang berlaku seperti disengajakan tanpa motif yang jelas. Itulah yang Karim risaukan sangat.

“Memang bukan anak kita yang lakukan, tapi mereka menuduh anak kita!” Bentak Khatijah. Dia tahu yang mengganas di Kampung Damai ini bukan gara-gara anaknya tetapi benda lain. Khatijah tidak berpuas hati kerana anaknya dilibatkan dalam situasi ini.

“Sebab tu saya minta awak bebaskan anak kita. Reda pemergiaannya Tijah…” Karim merayu agar Khatijah tidak menyalahkan takdir.

“Memang tak ada orang lain, mesti si Limah tu kepala penghasut!” Nama itu juga yang muncul dalam kepala Khatijah.

“Itulah awak. Setiap kali saya nasihatkan awak, mesti awak nak libatkan Halimah.”

“Yang abang nak pertahankan Limah tu kenapa bang? Anak kita teraniaya bang pasti angkara dia.”

“Sudahlah Tijah. Saya dah bosan dengan semua ni. Saling tuduh menuduh. Termasuklah perangai orang kampung ni sekali, sama saja. Tak ada satu pun yang boleh pakai.” Bebel Karim lalu turun ke tanah untuk membersihkan halaman rumah. Hatinya sakit berlawan cakap dengan Khatijah. Isterinya itu asyik nak menyalahkan orang lain sahaja.

Karim kurang selesa bila Khatijah selalu menuduh Halimah yang bukan-bukan. Semua itu tak ada bukti. Sepatutnya biarlah perkara itu berlaku. Lagipun soal hidup dan mati ni kerja Tuhan. Jodoh pertemuan juga ketentuan. Sudah jodoh Sarah dengan Hakim dapat menikah, maka menikahlah mereka walaupun jodoh mereka tak panjang.

Lagi pula, itu hak Hakim nak serahkan segala harta kepada Sarah. Semua itu termentrai sewaktu hidup Hakim lagi. Cuma Khatijah tak puas hatinya, kenapa Hakim serahkan semuanya. Pasti ada yang tak beres.

Kalau mengikut perundangan, semua itu adalah sah. Harta yang dimiliki Hakim sudah ditukar milik kepada Sarah Baharom. Hakim sendiri yang serahkan. Tak timbul lagi kena pukau atau apa. Jika dipukau sekalipun, di sisi undang-undang sudah sah berpindah milik. Ia bukan harta pusaka.

Khatijah faham tentang itu, dia sangat-sangat faham. Yang dia tak puas hati kenapa anaknya menjadi mangsa keadaan dan menjadi korban sedemikian? Kalau nak merampas harta sekalipun, kenapa mesti membunuh anaknya? Khatijah sangat menyimpan dendam dengan perkara tersebut. Sukar untuk dia maafkan.

“Saya ni abang, selagi Limah tu tak terima pembalasan, selagi tu hati saya takkan tenang!” Marah Khatijah.

“Ikut suka hati awaklah Tijah. Saya dah penat nasihatkan awak. Tapi awak tak nak dengar. Saya dah tak tahu apa lagi yang nak jadi selepas ni.” Ujar Karim sambil mencapai gunting pokok yang berada di atas rak.

Tiba-tiba sahaja telinga Khatijah menangkap bunyi orang ketawa seolah-olah menyindir dirinya. Hehehe, hehehe…

“Diam!!!” Khatijah memekup telinganya.

Tersentak Karim melihat Khatijah teriak begitu.

“Tijah! Kenapa?”

“Diam! Diam!” Khatijah menyuruh suara yang didengarinya itu supaya diam.

Bersambung....

Penulis : Rashid Salim

Like Facebook Pages kami: Facebook Rashid Salim

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

3 Responses to "Siri Seram Hakim - Bab 9"

  1. Lma dh tgu..mcm panjang lg cite ni...mmg tbaik

    BalasPadam
  2. Panjang plak crita kali nei.... Sangat2 best.... Siapakah yg punya angkara??? Xsabar Nak tunggu episode sterusnyaaa.. Done share

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK