Mayat berulat terjelir lidah
Ahad, 2 Mei 2021
1 Comment
Awang Fateh menceritakan pengalamannya ketika dipanggil merawat seorang lelaki yang ketika itu dikatakan sedang nazak oleh isteri lelaki berkenaan.
Lelaki tersebut berkeadaan sangat mengaibkan. Walau bagaimanapun beliau menceritakan kisah ini adalah bertujuan untuk ia dijadikan iktibar dan tauladan kepada semua.
Niat Awang Fateh bukan untuk mengaibkan keluarga berkenaan tetapi untuk dijadikan pedoman. Beliau juga tidak mendedahkan identiti sebenar berkenaan lelaki terbabit dan ini hanya cerita semata-mata yang dikongsikan secara umum.
Menurut Awang Fateh, ketika dia hadir ke rumah Ikhbar (bukan nama sebenar) untuk memberikan khidmat rawatannya, dia sudah menduga ada sesuatu yang tidak kena.
Pada mula-mula kakinya hendak melangkah masuk, hidungnya sudah mula menangkap bau busuk yang menusuk rongga sedangkan orang lain yang berada di dalam rumah berkenaan tidak menghidunya.
Pada jam sekitar 9:00 malam itu, terdengar erangan suara Ikhbar yang kesakitan di dalam rumah. Isterinya segera mengalu-alukan kedatangan Awang Fateh untuk masuk ke dalam rumah usai memberi salam.
Pada kejadian itu Awang Fateh datang bersama dengan anak saudaranya iaitu Asri Alam iaitu anak sulung kepada adik perempuannya.
Isteri Ikhbar iaitu Hanisah memberitahu bahawa suaminya sering sudah lama terbaring sakit. Ada ketikanya akan meracau-racau jikalau lambat diberikan makanan. Ubat-ubatan hospital pula seolah-olah langsung tidak memberikan kesan dan perubahan.
Keadaan Ikhbar memburuk dan ini merupakan usaha Hanisah untuk berubat secara tradisional. Lagi pula dia dapat menghubungi Ustaz Awang Fateh pun melalui seseorang yang pernah menerima rawatan dengannya.
Lalu Awang Fateh memaklumkan bahawa dirinya bukanlah seorang ustaz, dia hanyalah orang biasa-biasa sahaja yang cuma diberikan sedikit kelebihan untuk membantu insan-insan yang memerlukan pertolongan. Namun semua itu adalah dengan Izin Allah.
Setelah mendekati Ikhbar, bau busuk semakin ketara. Asri Alam pula hampir termuntah menghidunya. Namun Hanisah pula kelihatan seperti biasa sahaja seolah-olah langsung tidak menghidu apa-apa.
Secara tidak sengaja, Asri Alam terlihat ada seekor makhluk buruk rupanya ada di sisi Ikhbar. Kemudian Awang Fateh terus mencuit Asri Alam supaya tidak merespon apa-apa.
Hanisah yang agak curiga bertanya akan kenapa lalu Awang Fateh berkata, ada perkara yang tak sepatutnya telah terjadi. Hanisah bertanya lagi apakah itu.
Namun Awang Fateh membalasnya adalah sukar untuk dijelaskan. Hal itu adalah demi menjaga hati Hanisah.
Isterinya yang sebelum ini pernah beranggapan bahawa Ikhbar terkena buatan orang, terus bertanya adakah suaminya itu terkena sihir?
Setelah Hanisah bertanya begitu maka Awang Fateh memaklumkan bahawa Ikhbar bukan terkena sihir tetapi benda belaannya memakan dirinya.
Terkejut mendengar penjelasan itu Hanisah tidak menyangka sama sekali bahawa Ikhbar ada membela saka. Tetapi kenapa hal itu membuatkan Ikhbar berkeadaan sedemikian? Hanisah ingin mengetahuinya.
Setelah itu, Asri Alam diminta oleh Awang Fateh untuk menyentuh dahi Ikhbar dengan jari telunjuk. Ikhbar yang ketika itu tidak bergerak. Hanya mata sahaja yang berkelip-kelip. Makhluk buruk tadi hilang entah ke mana, namun bau busuk tetap sahaja ada.
Manakala Awang Fateh bergerak ke arah kaki Ikhbar dan memegang kedua-dua belah ibu jari kaki kanan dan kiri. Awang Fateh tidak mencengkam ibu jari itu dan hanya memegangnya sahaja. Kemudian mulutnya berkumat kamit membaca ayat suci al-Quran.
Hal pelik telah berlaku, lidah Ikhbar tiba-tiba terjelir panjang. Hanisah terkejut melihatnya. Jari Asri Alam masih lagi di dahi Ikhbar dan diminta oleh Awang Fateh untuk membaca ayat ruqyah.
Asri Alam pun membacanya dan terus terasa dahi Ikhbar panas. Asri Alam terpaksa melarikan jarinya dari terus menyentuh dahi Ikhbar.
Awang Fateh tahu, seluruh tubuh Ikhbar mula panas kerana tindak balas jin yang berada di dalam badan Ikhbar yang tidak mahu keluar. Sejurus kemudian, kabus muncul entah dari mana datangnya menyelubungi ruang tamu rumah Hanisah.
Pelik dengan perkara itu, Hanisah bertanya kepada Awang Fateh hal tersebut dan menurut Awang Fateh ia sukar untuk dijelaskan.
Pandangan terhalang dan Awang Fateh meminta Asri Alam berjaga-jaga. Apa saja kemungkinan boleh berlaku. Mulut Awang Fateh kumat kamit dan kemudian kabus tadi perlahan-lahan hilang.
Tiba-tiba terlihat Ikhbar yang tadinya terbaring lemah sudah berdiri gagah di belakang Asri Alam bersama lidah yang terjelir panjang. Dia mendakap kemas tubuh Asri Alam seperti mahu membunuh anak saudaranya itu.
Awang Fateh tanpa berlengah terus mengenggam sesuatu dan melemparkannya ke arah Ikhbar, ia seperti debu. Keadaan itu menyebabkan Ikhbar mengeruh dan melepaskan Asri Alam. Bebola mata Ikhbar berona merah dan berlari turun ke tanah.
Ikhbar melarikan diri. Awang Fateh memberitahu bahawa itu bukan suaminya. Lantas Hanisah bertanya, mana suaminya?
Awang Fateh pun menjelaskan bahawa Ikhbar kurang lebih seminggu telah meninggal dunia. Yang tumpang jasadnya adalah saka yang tidak mahu keluar dari badannya.
Rebah melutut Hanisah mendengar khabar tersebut. Lalu Hanisah bertanya saka apakah yang suaminya bela, lantas Awang Fateh memberitahu ia adalah polong.
Nampaknya Ikhbar membela polong tanpa pengetahuan Hanisah namun begitu, Hanisah membuka mulut bahawa suaminya sebelum ini ada juga dipanggil untuk mengubat orang. Kadang tu ada juga orang datang ke rumah untuk dirawat olehnya.
Baca: Saka polong dalam botol
Cuma itulah, Hanisah tidak tahu yang suaminya bela polong. Patutlah suaminya itu digelar sebagai bomoh oleh sesetengah orang. Demikian itu Awang Fateh memaklumkan bahawa polong itu digunakan untuk mendapatkan wang.
Hanisah bertanya, bagaimana Awang Fateh boleh mengetahui berkenaan polong yang suaminya bela? Lantas Asri Alam menjawab bagi pihak Awang Fateh, ia adalah kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada pakciknya.
Diharapkan Hanisah tidak mempersoalkan tentang prihal tersebut dan lebih baik menumpukan tentang bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu.
Malam semakin larut, kelibat Ikhbar tidak muncul. Jadi mereka berdua pergi mencarinya. Awang Fateh keluar dari rumah dan berdiri di depan pagar. Dia memicing mata sambil menumpukan perhatian pada indera keenamnya.
Lantas dia merasakan aura itu berada di suatu tempat. Segera dia menoleh ke belakang. Ikhbar ada di atas bumbung rumah.
Sebaik sahaja mereka bertentang mata, Ikhbar terus melompat turun lalu menerkam ke arah Awang Fateh bersama kukunya yang tajam dan runcing.
Dalam keadaan samar-samar itu pergelutan berlaku. Awang Fateh menepis serangan dari Ikhbar yang mahu mencakar lehernya.
Kemudian Awang Fateh membaca beberapa potong ayat yang menjadi pendinding dirinya, lalu ditiup pada telapak tangan seterusnya digenggam lantas ditumbuk padu ke perut Ikhbar menyebabkan Ikhbar rebah lalu segera bergegas Asri Alam mengunci tubuh itu dengan potongan ayat.
Awang Fateh mengarahkan Asri Alam keluarkan botol berbalut dan anak saudaranya itu menurut. Asri Alam memegang botol itu sementara Awang Fateh mengalurkan telapak tangan dari hujung jari kaki Ikhbar dibawa sampai ke bahagian mulut untuk mengeluarkan polong yang ada di dalam badan Ikhbar itu untuk disumbat ke dalam botol.
Kemudian terdengar erangan suara yang mengeruh kuat, sebaik sahaja sampai ke bahagian mulut. Seterusnya cepat-cepat dihala masuk ke dalam botol, lantas Asri Alam pun menutupnya. Dengan itu tiba-tiba sahaja mayat Ikhbar memburuk dan busuk serta mengeluarkan ulat.
Hanisah datang dekat dan melihat dengan mata kepalanya sendiri bahawa itu adalah mayat suaminya yang telah buruk dan busuk serta berulat.
Apa yang mengejutkan lagi, lidahnya juga masih terjelir panjang. Suhu sekeliling pula terasa amat dingin berbanding pada awalnya yang sangat hangat. Perubahan suhu secara mendadak itu sukar untuk diramalkan.
Awang Fateh memaklumkan kepada Hanisah, kemungkinan besar Ikhbar ada melanggar pantang dan kemudian polong itu membalas sesuatu yang Ikhbar tidak jangka.
Dan kemungkinan juga, Ikhbar tewas untuk mengawal polong itu. Sesungguhnya jin dan syaitan itu penuh dengan tipu muslihat.
Apabila membela benda-benda begitu, nak mati pun susah, apabila sudah mati pun jasad terseksa. Benda itu pun susah hendak keluar. Kalau dapat keluar, begitu pula jadinya.
Ia sangat mengaibkan. Sesudah itu, orang kampung pula sibuk mengata akan keadaan mayat Ikhbar. Ia menjadi buah mulut orang.
Jadi untuk bertindak akan sesuatu perkara, berfikirlah akan baik buruknya. Berfikirlah semasak-masaknya. Terdapat banyak lagi perkara dan cara untuk mendapatkan wang ringgit. Usahakanlah dengan cara yang halal. Itulah yang sempat Awang Fateh nasihatkan.
Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
Best..jalan cerita jelas
BalasPadam