Lelaki maut kereta terhumban ke gaung


PENJUAL air tebu maut apabila kereta yang dipandunya terhumban ke dalam gaung sedalam 15 meter akibat hilang kawalan. Kemalangan itu dilaporkan oleh saksi kejadian kepada unit kecemasan.

Dalam kejadian 12:45 tengah hari, mangsa Rafi Tajudin, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis, Superintendan Sharizad Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa dari arah selatan menghala ke utara.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum menjunam ke dalam gaung.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Muhammad Fakhrul Razi Benjamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12:58 tengah hari sebelum sepasukan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pihaknya mendapati sebuah kereta berada di lereng bukit dan berjaya membawa keluar mangsa dalam tempoh 15 minit sebelum dibawa naik ke atas menggunakan pengusung untuk diserahkan kepada polis.

Itulah berita yang terpapar di portal atas talian mengenai tragedi yang menimpa arwah Rafi Tajudin yang maut akibat kenderaan yang dipandunya jatuh ke dalam gaung. Namun tidak didedahkan punca sebenar penyebab kematian Rafi Tajudin kerana ia adalah tidak masuk akal.

Isterinya, Suraya, 32, menceritakan kepada Asri Alam bahawa pada hari sebelum suaminya jatuh ke dalam gaung, Rafi Tajudin sedang bercakap dengannya melalui telefon dan tiba-tiba suaminya berkata ada 'benda' melintas.

Ketika itu Suraya berfikir suaminya sekadar bergurau tetapi nada suaminya agak berlainan dan dengus nafas juga berbeza seperti berdebar-debar. 

Kemudian Rafi Tajudin berkata lagi yang benda itu besar, hitam. Laju melintas di hadapan keretanya hampir membuatkan dia terbabas. Mujurlah dapat dikawal.

Tiba-tiba sekali lagi Suraya terkejut mendengar suaminya bertakbir, Allahu`Akbar! Beberapa kali. Lalu Suraya bertanya, kenapa dan Rafi Tajudin hanya sempat menjawab, benda itu hempap atas kereta. 

Sejurus kemudian Suraya mendengar bunyi gegaran melalui telefon itu dan erangan kesakitan suara suaminya dan kemudian talian pun terputus.

Suraya tidak sedap hati, perasaannya mula tidak tenteram kemudian barulah dia mendapat tahu bahawa suaminya ditimpa musibah dan telah menemui ajal. 

Dia cuba memaklumkan bahawa ada sesuatu yang telah berlaku menyebabkan suaminya kemalangan namun tiada siapa yang percaya.

Dengan demikian, Asri Alam cuma membongkar misteri itu. Apa sebenarnya yang terjadi ke atas Rafi Tajudin? Lantas dia pergi ke kawasan tersebut. 

Ternyata kawasan tersebut di penuhi belukar. Jauh sedikit dari tempat orang. Sudah tentu ia adalah kawasan tempat tinggal sesuatu yang 'lain'.

Cuma kehadiran Asri Alam ke situ ingin bertemu dengan 'sesuatu' yang dikatakan telah menjadi penyebab akan kematian Rafi Tajudin. Pada petang yang hening itu, Asri Alam berdiri di tepi gaung itu sambil ditemani rakannya, Azam Dolah.

Mulutnya berkumat kamit membaca potongan ayat lalu membongkok turun mengambil sedikit debu di tanah. Kemudian digenggam erat sambil mulutnya masih membaca mentera. 

Sesudah itu ditiup ke arah genggaman tangan itu. Lantas di halanya ke tempat Rafi Tajudin maut. Dihembus ke situ.

Segala tingkah laku Asri Alam diperhatikan Azam Dolah yang juga merupakan anak murid kepada Awang Fateh. Maka tempat dihembus tadi berasap-asap. Kawasan tersebut terus berkabus tebal seperti berlaku sebuah kebakaran.

Lantas menjelma seorang lelaki tua terbongkok-bongkok dari bawah gaung itu. Seluruh pakaiannya compang camping. Riak wajahnya bengis. Merenung tajam ke arah Asri Alam. Maka berlakulah komunikasi antara Asri Alam dengan makhluk itu.

Asri Alam bertanya, adakah kau mengenali siapa Rafi Tajudin, lalu jawab entiti itu tidak. Apakah kau melakukan kekejaman itu? Entiti itu menjawab tidak sama sekali. Lalu kenapa kau mengganggunya? Lantas entiti itu berkata, aku tidak mengganggunya tetapi hanya sahaja berlaku pertembungan, katanya.

Usai mereka berbicara, entiti tadi pun menghilang. Asri Alam tidak dapat berbuat apa-apa kerana tempat ini adalah kawasan mereka. Lagi pun di sini terdapat perkampungan bunian yang sebenarnya tidak berapa jauh dari kampung manusia.

Maka Asri Alam mendapat jawapannya meskipun ia bukanlah sebenar-benar kepastian tetapi itulah yang dikatakan entiti berkenaan. Maka dengan itu dia perlu menerangkan kepada Suraya bahawa apa yang berlaku adalah takdir. Ia bukanlah dari dendam sesiapa mahupun sihir.

Takdir kematian Rafi Tajudin sudah sampai masanya. Hanya itu menjadi asbabnya. Jadi, Suraya perlu menerima dengan hati yang terbuka serta reda kerana setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. 

Siapa sebenarnya Asri Alam? Maka baca entri di bawah ini...


Like Facebook Pages kami: Facebook Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Lelaki maut kereta terhumban ke gaung"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK