Gangguan Jin Asyik Punca Lambat Jodoh
Isnin, 10 Mei 2021
1 Comment
Azam Dolah pernah bertanyakan kepada Awang Fateh berkenaan Jin Asyik seawal dia menuntut dahulu. Soalannya, apakah "Tanda-tanda didampingi Jin Asyik" ? Lalu Awang Fateh menerangkan kepada anak muridnya berkenaan perkara itu.
Maksud Jin Asyik
Sebelum itu Awang Fateh memberitahu akan maksud Jin Asyik itu adalah jin yang telah jatuh cinta kepada manusia. Lazimnya jin tersebut jatuh cinta kepada perempuan. Ada juga kaum lelaki yang turut dicintai oleh jin itu.
Baca: Misteri Mak Teja
Apabila jin ini sudah berdampingan dengan manusia maka akan wujudlah bermacam-macam masalah sosial pada diri seseorang akibat campur tangan pihak ketiga ini. Pihak ketiga yang dimaksudkan adalah jin inilah yang selalu memanipulasikan pemikiran manusia.
Ramai sahaja yang berangapan pihak ketiga itu adalah dari perbuatan sihir tetapi pada hakikatnya adalah berpunca daripada diri sendiri. Ramai yang tidak perasan perkara ini. Permainan Jin Asyik ni sangat halus dan licik.
Awang Fateh berkata lagi, apabila seseorang itu sudah terbiasa maka diri sendiri pun tidak menyedari akan kewujudan Jin Asyik ini yang sudah sedia berdampingan dengannya. Tetapi semua itu boleh dikesan dengan kesedaran ilmu mengenainya.
Bagi yang diganggu Jin Asyik ini, kalau yang belum berkahwin, susah untuk bertemu jodoh atau lambat sampai jodohnya. Pasti ada sahaja halangan. Serba tidak kena dan bagi yang sudah berumahtangga pula pelbagai masalah yang timbul akibat kekacauan dari jin ini.
Lalu Azam Dolah bertanya lagi, bagaimana cara untuk mengetahui akan kehadiran Jin Asyik ini? Maka Awang Fateh pun menjawabnya dengan menyenaraikan tanda-tanda gangguan Jin Asyik:
Tanda-tanda gangguan Jin Asyik
- Terlalu kerap mimpikan seseorang yang tidak dikenali
- Keinginan untuk melakukan hubungan seks menjadi begitu tinggi
- Sering bermimpi melakukan persetubuhan dan badan sering letih setelah bangkit dari tidur
- Selalu bertengkar dengan pasangan hanya disebabkan hal-hal yang remeh. Kadang-kadang tanpa sebab yang jelas.
- Bagi mereka yang belum berkahwin, sering bertukar-tukar pasangan kekasih tanpa sebab yang jelas dan mudah rasa tidak serasi serta selalu bertengkar.
- Selalu ditindih ketika tidur sehingga terasa sesak nafas.
- Kerap mimpi melahirkan anak
- Apabila tiba waktu Asar sahaja mesti mengatur dan lena sehingga Maghrib.
- Celah peha selalu lebam tanpa sebab.
- Haid yang tidak teratur (Kemungkinan mengalami masalah fibroid dan cyst)
Sekiranya berlaku banyak tanda-tanda itu, maka sangatlah jelas bahawa seseorang itu sedang diganggu oleh jin berkenaan. Kemudian Azam Dolah pun berkata, bukankah tanda-tanda itu hampir serupa dengan sihir pemisah? Lantas Awang Fateh membalas, ya tandanya hampir sama kerana ia adalah dari perkara yang jahat.
Jadi apa bezanya, ustaz? Soal Azam Dolah. Kemudian Awang Dolah menjawab, perbezaan adalah ia adalah berpunca dari diri seseorang itu sendiri yang dikatakan sedang mengalami masalah berat jodoh. Dia telah didampingi oleh 'Jin Asyik' iaitu jin yang telah jatuh cinta kepadanya.
Jin tersebut sentiasa berusaha memisahkannya dengan orang lain. Sama juga dengan manusia, kalau insan yang dicintai cuba dirampas oleh orang lain, maka pasti jiwa seseorang itu akan memberontak.
Begitu juga dengan jin ini. Apabila ia sudah mencintai seseorang manusia, maka ia akan berusaha untuk menjauhkan manusia ini dari orang lain.
Awang Fateh menegaskan bahawa kebanyakan Jin Asyik ini mudah jatuh cinta kepada wanita yang tidak menjaga auratnya. Sebagai contoh, seseorang wanita yang suka mandi telanjang.
Jin Asyik juga bernafsu melihat aurat wanita berkenaan. Kemudian Awang Fateh menyenaraikan orang yang berisiko terkena gangguan jin asyik ini.
Orang yang berisiko terkena gangguan Jin Asyik
- Perempuan yang memiliki raut wajah yang cantik
- Perempuan yang berkulit putik melepak
- Perempuan suka mandi telanjang
- Perempuan yang suka tidur selepas waktu Asar sehingga Maghrib
- Perempuan yang tidur dalam keadaan yang tidak menjaga auratnya. Tidur seksi
- Perempuan yang keluar rumah dengan tidak menutup auratnya
Jadi, Awang Fateh berpesan untuk mencegahnya adalah lebih baik menjaga aurat. Sebagai seorang Muslim / Muslimah, aurat adalah hal yang perlu dijaga dengan baik. Tidak hanya dari pandangan manusia bahkan juga dari pandangan jin kerana mereka juga mempunyai nafsu.
Firman Allah:
إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”
(Surah Al-‘Araf : 27)
Kemudian Awang Fateh menyampaikan lagi riwayat daripada Anas bin Malik RA bahawa,
Rasulullah SAW bersabda :سِتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ، وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا وَضَعُوا ثِيَابَهُمْ أَنْ يَقُولُوا : بِسْمِ اللَّهِ
Maksudnya : "Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam ketika membuka pakaian ialah membaca bismillah (dengan nama Allah)" [HR al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat (2504)]
Jadi, bacalah 'bismillah' ketika hendak membuka pakaian supaya pandangan 'mereka' terhalang, pesan Awang Fateh berpandukan hadis tersebut. Azam Dolah dapat memahami akan apa yang disampaikan oleh gurunya.
Paling tidak dia dapat belajar berkenaan hal-hal seperti ini yang jarang orang ingin ambil peduli atau kurang pengetahuan mengenainya. Apabila dia melibatkan diri di dalam dunia perubatan Islam maka banyak perkara yang dia kena belajar. Banyak perkara yang mesti dia dalami.
Apa yang penting, apabila terdapat keraguan, dia akan terus bertanya pada Awang Fateh supaya dia tidak tersimpang dari landasan. Semoga ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan di masa-masa yang akan datang.
Ditulis oleh: Rashid Salim.
Antara salah satu gangguan yang menyebabkan manusia hidup porak peranda, sukar mencapai ketenangan hati, personaliti tidak tetap dan berubah secara total dan pelbagai masalah hidup kebanyakkan disebabkan gangguan jin asyik.
BalasPadamIa boleh hadir disebabkan saka dan sihir.
Pengalaman sendiri merawat pesakit terkena gangguan jin asyik lebih banyak dari sihir dan saka. Tetapi kebanyakkan mereka yang terkena gangguan jin asyik tidak sedar dan berasa ia perkara biasa. Semoga mereka yang berikhtiar untuk jodoh terbuka hati dan faham tentang isu ini.