Cara Kembangkan Plot Cerita Dalam Karya
Ahad, 9 Mei 2021
Add Comment
Saya ingin berkongsi beberapa cara atau tips tentang cara bagaimana untuk kembangkan sesuatu plot cerita yang kita karang. Ini merujuk persoalan yang saya lihat di dalam sebuah group bertanyakan tentang bagaimana caranya. Jadi saya cuba bantu mengikut tahap pengetahuan dari pembacaan saya dan juga dari pengalaman saya.
Sepertinya, sebelum juga pernah mengalami situasi yang sama iaitu ledakan idea di mana terlalu banyak idea sehingga merencatkan perjalanan untuk menyudahkan sesebuah cerita. Apabila hal ini berlaku, otak mula beralih arah untuk membuat cerita yang lain. Cerita yang sebelum ini jadi terbengkalai.
1. Fahami Teknik Plot
Dengan memahami teknik plot maka anda tidak lagi akan tersasar dari menulis. Maksudnya anda merangka perjalanan cerita itu terlebih dahulu berpandukan sinopsisnya. Elemen-elemen ini akan membantu perkembangan cerita.
i. Imbas kembali
Imbas kembali (Flashback) suatu teknik penulis untuk mengenang kembali sejarah peristiwa yang telah berlaku itu kepada pembaca anda. Ia boleh disampaikan melalui penceritaan berbentuk naratif, monolog, atau dialog.
ii. Imbas muka
Imbas muka ini pula adalah gambaran awal sesuatu yang belum terjadi atau yang akan terjadi. Teknik penceritaan ini digunakan oleh penulis untuk menggamarkan kepada pembaca suatu keadaan yang mungkin berlaku sebagai contoh, Kemungkinan besar Baharom akan belasah Roslan jika dia mendapat tahu perkara sebenarnya.
iii. Suspens
Teknik ini dapat mengikat pembaca untuk terus membaca bab selanjutnya. Ia akan membuatkan pembaca tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya.
Elemen ini sangat penting untuk memastikan pembaca akan mengikuti cerita ini hingga ke akhirnya. Sebagai contoh, persoalan yang ditimbulkan, Kematian Hakim penuh misteri tetapi ada sesuatu yang menyebabkan ia bangkit kembali dan memburu.
Jadi, pembaca ingin tahu apakah sesuatu yang telah menyebabkan Hakim bangkit dan membunuh. Unsur-unsur suspens sangat diperlukan.
iv. Konflik
Konflik ini adalah perselisihan atau pertentangan antara individu. Ciptakan konflik supaya ia lebih menarik untuk dibaca. Sama ada konflik antara dua pihak atau dua kekuatan dalam urutan plot itu.
Contoh konflik perebutan cinta, kuasa dan harta. Tercetus berbalahan pertentangan idea, pendapat, sikap atau pemikiran. Ia boleh juga ditimbulkan melalui konflik di dalam jiwa watak itu sendiri atau jiwa watak-watak yang lain ataupun keadaan.
v. Kejutan
Elemen kejutan ini lazimnya ditimbulkan adalah tidak sama seperti yang diduga oleh pembaca. Sebagai contoh pembaca jangka, Kadir mati dibunuh oleh Hakim tetapi lain yang terjadi, rupa-rupanya Ismail yang mati terbunuh.
Pembaca akan bertambah seronok kala membaca sesuatu cerita yang seringkali tekaannya tidak kena. Mereka akan bertambah ingin tahu.
vi. Dialog
Dialog adalah perbualan atau pertuturan yang berlaku di antara dua watak atau pun lebih. Biasanya yang menjadi topik perbualan adalah yang berkaitan dengan tema. Sekiranya cerita anda adalah tema tentang cinta biasanya topik perbualan adalah tentang cinta.
Jika seram, ia banyak membincangkan tentang tema seram itu. Ia tidak boleh lari dari tema, jika tidak genre yang diketengahkan tidak kesampaian.
2. Draf
Elemen-elemen di atas sangat penting untuk difahami. Seterusnya anda akan dapat fokus untuk tahu bagaimana hendak kembangkan plot cerita. Kalau novel ia ada bab-bab kecil atau subplot. Di sini dapat dirangka apa yang perlu ditulis dan apa yang seterusnya akan berlaku.
Jadi, draf juga memainkan peranan yang sangat penting. Apabila anda dapat menyusun plot dengan baik, maka perjalanan cerita anda tidak akan lari sehingga ke penamatnya. Cuma, jika terdapat percambahan idea, maka pilihlah idea yang terbaik yang tidak akan mencacatkan perjalanan isi cerita.
3. Ledakan idea
Apabila berlaku ledakan idea lebih baik dicatat sahaja idea tersebut dan jangan fokus untuk menulis cerita yang baru lagi tetapi cari tahu bagaimana untuk menyelesaikan cerita yang sedang ditulis.
Sekiranya masih lagi beku, maka cuba tulis cerita yang lain. Cerita yang belum disudahkan, disimpan dahulu. Jika berlaku lagi, berbalik pada yang asal kemudian tukar idea yang baru itu untuk dimasukkan ke dalam cerita yang terbengkalai.
Apabila hal itu berlaku lagi. Nah, lebih baik berehat dahulu dari menulis. Kemudian cari tahu apa masalah sebenarnya atau kita banyakkan membaca dan mencari tahu tentang selok belok ilmu penulisan untuk mendapatkan semangatnya kembali. Maka, bersabar dan tenang kerana menulis sememangnya memerlukan masa. - Rashid Salim.
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Cara Kembangkan Plot Cerita Dalam Karya"
Catat Ulasan