Siri Seram Hakim - Bab 8
Khamis, 29 April 2021
Add Comment
Bab 8
DIA cuba hubungi Azam tetapi tidak berjawab. Senah mula risau. Dia mahu mendapatkan pertolongan Azam. Dia mahu lelaki itu segera datang ke rumahnya. Ini berkenaan suaminya Saleh. Dia yakin ada sesuatu yang tak kena telah terjadi pada Saleh.
Ish!!! Angkatlah! Senah gelisah. Panggilan telefonnya tidak berjawab. Dia sangat-sangat khuatir. Dia memandang suaminya di atas lantai yang masih kaku.
Kalau sudah Azam tidak dapat dihubungi maka dia tiada pilihan lain lagi. Dia terpaksa menghubungi unit kecemasan.
Dalam tempoh dia menunggu, Wawa keluar dari biliknya dalam keadaan pelik, Senah tegur, “Wawa, kau kenapa tercegat kat situ? Ayah kamu pengsan ni,” beritahu Senah tapi Wawa diam sahaja.
“Kau dengar ke tak ni Wawa?” Soal Senah.
Wawa tak endah. Dia mengorak langkah dalam keadaan tangannya tidak berhayun. Dia melangkah perlahan-lahan menuju ke pintu utama.
Senah rasa pelik dengan Wawa seolah-olah sedang menuruti sesuatu. “Wawa!” Panggil Senah tetapi Wawa tak langsung memberikan respon.
Suasana di dalam rumah tiba-tiba terasa dingin, sejuk semacam seolah-olah malam mahu menjemput hujan. Benar memang benar keadaan itu. Di luar rumah hujan terus turun. Senah segera bangun dari sisi Saleh. Dia segera menuju ke arah Wawa.
“Wawa!” Senah sentap tangan Wawa yang mahu membuka pintu tumah.
“Kau ni kenapa?” Sekali lagi Senah bertanya.
Wawa diam. Dia tunduk dan rambutnya yang panjang menutupi wajah. Senah mula rasa seriau. Perasaan sesuatu mula datang.
“Wawa ke ni…?” Senah mula berundur setelah mendengar dengusan nafas Wawa yang agak kasar. Nampak jelas Wawa bernafas laju. Berjongket-jongket bahunya seolah-olah sedang menahan geram yang terbuku. Sempat Senah melihat tangan Wawa yang sedang tergenggam kemas itu.
Senah berdebar-debar. Fikirannya mula terarah yang bukan-bukan. Apakah mungkin apa yang ditakutinya bakal berlaku? Apa mungkin ikhtiar dari Azam sudah dipatahkan?
“Kau!” Wawa segera menoleh dengan matanya membulat besar. Terperanjat Senah bila Wawa bersuara kasar seperti itu memandang ke arahnya.
“Wawa! Kenapa ni Wawa?!” Senah semakin berganjak ke belakang. Dia mula berundur perlahan-lahan.
“Apa kau ingin mati?”
“Jangan Wawa! Jangan buat mak macam ni.”
“Hahaha!” Wawa gelak.
“Mengucap Wawa.” Suruh Senah.
Wawa merenung tajam tepat ke dalam mata Senah. Bagaikan satu tusukan yang kuat membuatkan Senah meligih cuak.
Dan tiba-tiba sahaja Wawa rebah pengsan. Senah kebingungan. Senah mula rasa dirinya tidak selamat. Dalam masa yang sama, ambulans tiba bagi memberikan bantuan. Ada dua orang yang perlu diberikan bantuan, Wawa dan Saleh, namun Saleh lebih diutamakan.
***
Dalam keadaan samar-samar itu Azam melihat ada makhluk berekor duduk bercangkung sambil lidahnya panjang berada di dalam mulut mayat yang sedang terbaring di tanah.
Setelah menyedari kehadiran Azam, makhluk itu menoleh ke arah Azam dengan matanya yang kemerahan. Lidahnya yang tadi sedang menyedut sisa-sisa darah dari tubuh si mangsa sudah dirapatkan masuk kembali ke dalam mulut.
Makhluk itu perlahan-lahan bangun berdiri sambil membuka kepak tangannya sambil membuai jari jemari runcingnya. Lagaknya seperti mahu menerkam ke arah Azam.
“Jadi kau lah si setan itu yang membuat onar dalam kampung ni?” Tanya Azam berdiri tidak jauh dari makhluk itu.
Makhluk itu tidak berkata apa-apa hanya senyum sumbing lantas segera ghaib. Azam hairan, kenapa benda tu tiba-tiba pergi begitu sahaja? Tidak sempat Azam bertindak apa-apa.
“Kenapa Zam?” Muncul Karim di sisi Azam bertanyakan apa yang berlaku. Azam pun berkata ada sesuatu yang pelik terjadi. Kemudian Azam menunjukkan ada orang mati dibunuh.
Setelah diamati, itu adalah Jamal anak Ismail. Dia sudah mati! Karim bertanya kepada Azam apa sebenarnya yang terjadi.
“Ada benda yang datang bunuh budak tu.”
“Benda apa pulak ni Zam?” Karim ingin tahu sebab dia tak nampak apa-apa pun tadi.
“Benda yang buat huru hara kampung ni la bang. Itu yang aku nampak tadi. Tapi bang kau tak boleh ada dekat sini.” Azam cepat-cepat bawa Karim pergi masuk dalam kereta dan meninggalkan Jamal begitu sahaja.
Azam tidak mahu ada mata lain nampak lalu menuduh mereka yang melakukan perkara itu. Maka terpaksa mereka tinggalkan secepat mungkin kawasan tersebut.
Setelah di dalam kereta, Karim tanya Azam mengenai perkara tu. Memang Karim ingin tahu tujuan sebenar Azam balik sebab dari cara Azam tadi sudah menampakan ada yang tak kena.
“Aku rasa kau balik kampung ni ada sebab lain, kan?”
“Bang, memang aku balik kampung ni sebab kau.” Azam berterus terang tanpa berselindung lagi.
“Sebab aku?” Karim bingung. Walaupun dia tahu bahawa banyak perkara yang terjadi tapi kemuculan Azam menjadi tanda tanya.
“Aku rasa kau ada musuh ni bang.” Beritahu Azam.
“Apa yang kau cuba beritahu aku ni Zam? Aku tak faham ni.”
“Kau sendiri pun tahu kan apa yang orang kampung fikirkan tentang keluarga kau? Jadi aku balik ni sebenarnya nak jernihkan keadaan.”
“Soal anak aku?”
“Ya, soal Hakim anak kau.” Balas Azam sambil memandu kereta membelah dada malam.
Tanpa diduga di tengah jalan, ada satu lembaga sedang menunggu. Bayang-bayang itu betul-betul menghalang laluan mereka.
“Allah! binatang tu ada situ bang.” Beritahu Azam memperlahankan keretanya.
“Tu ke bendanya Zam?”
“Ya bang,”
Seterusnya benda tu ghaib begitu sahaja. Azam terus memandu. Nampaknya benda itu seolah-olah sengaja hendak mempermainkan Azam.
Tidak lama selepas tu Azam tiba di rumah Karim. Di situ Azam dapat merasakan sesuatu sedang perhatikan gerak gerinya tetapi benda itu tidak keluar mendekat.
“Kenapa Zam?” Tegur Karim dekat pintu kereta. Karim nampak keadaan Azam seperti mengamati sesuatu. Azam memicing matanya seolah-olah sedang merasai aura di sekelilingnya.
“Kenapa aku rasa benda ni ada dekat rumah kau je ni bang?” Beirtahu Azam.
“Kau ni biar betul, Zam. Dia ikut balik ke?” Karim mengeluh. Badannya sakit-sakit.
“Tak apalah, aku gerak dulu.” Azam minta izin berundur.
“Yalah.”
“Pasal tadi tu kau anggap je macam tak ada apa-apa yang berlaku.” Pesan Azam.
“Tapi,”
“Anggap je memang dah ajal budak tu.” Ucap Azam lalu pergi dari situ. Karim pun segera masuk ke dalam rumahnya lalu memberikan ubat kepada isterinya.
Khatijah bertanya kenapa lambat, lalu Karim memberitahu ada masalah dalam perjalanan pulang tadi. Tapi tidak diceritakan kepada Khatijah secara terperinci kerana tidak mahu keadaan Khatijah memburuk.
Seperti apa yang Azam pesan tadi, dia cuba melupakan apa yang berlaku. Tapi begitulah, susah. Budak Jamal tu dah mati. Berapa ramai lagi orang kampung ini perlu mati dan menjadi korban benda tu? Karim sendiri tak pasti.
Disebabkan hal itu dia semakin tertekan. Tambahan pula memikirkan juga dirinya dan keluarganya mahu diusir oleh orang-orang kampung dari sini. Hati siapa yang mampu tenang apabila berhadapan dengan situasi begitu?
Kini Azam muncul katanya ingin membantu, namun apa sebabnya Azam hadir? Karim masih bingung memikirkan juga hal tersebut.
Dia duduk bersandar rapat pada kerusi sementara Khatijah pula sedang berehat di katil. Di tengah malam yang sunyi begini, titisan air paip di singki dapur pun tertangkap jelas pada halwa pendengarannya. Tap! Tap! Tap!... air menitis.
Kemudian dia terdengar ketukan pintu rumah tapi dia tak endahkan. Dia sudah lali mendengar ketukan itu. Dia tidak akan membukanya.
Cuma dia tak tahu apa lagi perlu dilakukan untuk melenyapkan semua itu. Apakah dia perlu menceritakan segala-galanya pada Azam? Atau hanya mendiamkan sahaja? Karim bingung sendiri.
***
Esok paginya, Roslan dan Sudin bercakap di kedai kopi. Tapi kali ini tanpa kehadiran Kadir.
“Aku dah kata dah, tak boleh jadi ni.” Roslan mengelus-elus janggut panjangnya.
“Ya Lan, Kadir dah lain macam dah tu.” Sudin mengiakan.
“Ya memang. Sejak kita pergi rumah si Karim tu, Kadir terus jadi macam tu.” Roslan memang rasa hairan sebab Kadir adalah orang yang sangat bersungguh-sungguh nak usir Karim tu dari kampung, tapi tengoklah apa sudah jadi sekarang. Kadir boleh berjalan sambil berundur.
“Penyakit gila tu Lan.”
“Bukan sembarangan gila tu Sudin. Tu kena buatan tu. Takkan Kadir boleh jadi sewel sekelip mata camtu. Tak ke pelik berjalan berundur sekeliling kampung?” Roslan jumpa Kadir memang berjalan berundur.
“Tu Lan tu.” Sudin tunjuk. Dan orang-orang kampung yang ada di kedai kopi tu pun nampak Kadir melintas sambil jalan kaki di depan warung sambil jalan berundur.
Masing-masing dah kasihan melihat Kadir jadi macam tu.
“Kadir!” Panggil Roslan tapi Kadir tak endah. Terus berjalan berundur.
“Tak ikhtiar berubat ke?” Sudin tanya Roslan.
“Manalah aku tahu. Aku rasalah kan, lebih baik kita jangan lagi usik keluarga Karim tu. Sebab semalam aku ada mimpi…” ujar Roslan.
“Kau mimpi apa?” Sudin cucuh rokok.
“Aku mimpi benda tu la…” Roslan rasa mimpi tu mengerikan dan sangat menakutkan.
“Apa?”
“Hantu Hakim.”
Ping!
Kedengaran gelas pecah. Roslan dan Sudin melihat seorang pelayan perempuan warung terketar-ketar lutut setelah terlepas dulang dari tangan. Matanya tertancap memerhatikan sesuatu.
Orang dalam warung tersentak mendengar gelas minuman pecah jatuh ke lantai. Apa yang berlaku? Itulah yang difikirkan Roslan dan Sudin.
“Ada apa Murni?”
Murni diam dan terus pengsan.
Masing-masing kehairanan melihat murni pengsan. Apa yang dilihat murni pun tak tahu sehingga perempuan jatuh pengsan ketika hendak menghantar air kepada pelanggan.
Selepas Murni sedar semula, barulah diceritakan bahawa tadi dia ternampak arwah Hakim melambai-lambai tangan ke arahnya. Murni tahu Hakim dah meninggal tapi kenapa ada di warung tu.
Murni beritahulah yang dia dulu ada juga marah-marah Hakim sebab Hakim cuba mengurat dia. Tapi Murni tak suka sebab Hakim tu jongang, tak kacak langsung. Tapi terkejutlah juga sebab boleh kahwin dengan Sarah yang cantik tu. Itulah penerangan Murni.
Selepas kejadian itu, maka hebohlah orang kampung ada jumpa mayat Jamal. Roslan dan Sudin pun ikut terkejut. Orang yang jumpa mayat Jamal tu beritahu dia nampak Kadir dekat mayat tu.
Maka timbul ketengangan di mana ada pertuduhan yang berlaku. Ada yang tuduh Kadir pula yang melakukan perkara itu.
“Pelik ni Lan, sangat pelik.” Ujar Sudin. Kali ini mereka ada di tempat kejadian.
“Kes ni rumit, naik bingung kepala aku ni. Tapi betul aku cakap ni Sudin. Dalam mimpi aku tu benda tu pesan jangan kacau keluarga Karim kalau tak, nahas dikerjakan.”
“Jadi kau pun dah takut dengan ancaman setan?” Balas Sudin. “Eh Lan, kampung kita ni sebelum ni aman je tau, kau tengok apa dah berlaku, Mail mati, Rahim mati, siapa lagi? Leha dan anak dia tu, Kadir dah gila, anak Senah si Wawa dah meroyan, dan malam tadi aku dengar Saleh masuk hospital kena santau. Jamal anak Mail pulak yang mati, lepas tu pagi tadi Murni pulak nampak roh arwah Hakim,” terang Sudin.
“Aku dah berkeras jugak dengan benda ni. Tapi tu la, risau juga kut giliran kita pula selepas ni.” Roslan gigit bibir. Dia sudah mula kecut perut. Mereka melihat mayat Jamal diusung naik ke dalam kereta polis.
Seperti keadaan mayat-mayat sebelumnya, Jamal juga mati kering. Semua isi darah tiada. Cengkung.
“Bagaimana dengan Imam Hadi? Dia masih buat tak tahu lagi ke dengan perkara ni?” soal Sudin.
“Kau tak payah sebut lagi la nama tu. Sekarang ni aku terfikirkan tentang Azam.” Balas Roslan.
Sudin pun teringatkan tentang Azam, mana dia? Mereka tahu yang kembalinya Azam di kampung ini katanya nak selesaikan masalah ini. Ingin juga mereka tahu akan apa khabarnya.
Bersambung...
Baca: Siri Seram Hakim - Bab 9
P/s: Terima kasih kerana membaca. Sila kongsikan entri ini kepada umum agar lebih ramai lagi dapat membacanya... butang share media sosial ada di bawah... kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih sekali lagi...
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Siri Seram Hakim - Bab 8"
Catat Ulasan