Siri Seram Hakim - Bab 7
Jumaat, 23 April 2021
5 Comments
Nampaknya ramai yang berkumpul di hadapan rumah Imam Hadi pada pagi itu. Mereka mahukan pertolongan imam untuk menyelesaikan masalah besar yang melanda kampung ini yang sudah kritikal dan tak boleh dibiarkan lagi.
“Sabar…” pinta Imam Hadi
“Mana boleh sabar lagi imam. Lebih baik kita halau je Karim dari kampung kita ni.” Kadir bersuara lantang.
Orang kampung sudah tak dapat tahan lagi dengan hantu Hakim yang mengamuk dalam Kampung Damai ni. Apa yang tak kena lagi sampai kini giliran Leha dan Liza pula serentak mati kering dalam rumah tu?
Ini kes mengejut. Mula-mula mereka disiasat oleh pihak polis gara-gara kematian Ustaz Farhan yang mati. Kini mereka dua beranak tu pulak yang mati. Kasihan.
“Leha dua beranak tu dah mati kering imam. Takkan kita nak biarkan lagi perkara ni berlarutan. Mana boleh jadi. Kes ni dah makin menjadi-jadi.” Ujar Kadir.
“Betul tu imam. Perkara ni kita jangan biarkan lagi.” Roslan mencelah.
“Apa tunggu lagi pak imam. Kita kena pergi rumah si Karim tu.” Balas Si Sudin pulak.
Beberapa orang kampung yang lain pula kelihatan bersetuju dengan cadangan mereka. Imam Hadi pula tidak dapat tidak menghalang. Mereka semua sudah seperti tidak boleh disekat lagi.
“Bertenang, kita bawa bincang dengan ketua kampung dulu.”
“Nak bawak bincang apa lagi? Ketua kampung mana ada dalam kampung sekarang ni, sibuk dengan urusan luar sampai kampung pun terbiar. Sebab tu kami datang terus jumpa imam.” Ujar Roslan pula yang sudah bosan dengan perangai ketua kampung ini yang macam tak ambil entah dengan masalah yang melanda.
“Apa-apa pun kita tak boleh buat keputusan sendiri Roslan…”
“Itu memang imam, tapi mereka dah melampau!” Bentak Roslan.
“Ya imam, saya dah tak nak tunduk lagi. Saya betul-betul yakin yang punya angkara ni memang tak lain dan tak bukan memang Karim tu! Anak dia bela saka!” Kadir sudah tidak berbasa basi lagi.
Mereka sudah tidak dapat menerima kematian demi kematian sedemikian rupa. Masing-masing sudah diburu kebimbangan jika ia dibiarkan.
“Habis, kalau kamu halau dia dari kampung ni apa kamu yakin perkara ni akan selesai begitu sahaja? Mana kamu tahu Karim tu punca semua ni?” Imam Hadi tidak mahu mereka menuduh yang bukan-bukan.
“Yang imam nak bela sangat si Karim tu kenapa? Berapa banyak dia sogok imam? Ke arwah anak dia pernah sogok imam?” Kadir sudah keterlaluan.
“Astarghfirullah al`adzim Kadir….” Imam Hadi Istighfar. “Kenapa kamu cakap sampai macam tu sekali kepada saya?”
“Ya la sebab cara imam tu seolah-olah menindakkan kenyataan. Seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah.” Bidas Kadir.
“Saya tak bermaksud macam tu.”
“Sudahlah imam. Cakap banyak pun sekarang ni tak guna. Kita kena bertindak.” Roslan mencelah.
“Nanti dulu…” Imam Hadi cuba menghalang.
“Nak nanti apa lagi? Nak tunggu ada kematian lagi selepas ni? Atau giliran imam pulak selepas ni?” Ucap Kadir membuatkan raut wajah Imam Hadi berubah.
“Kalau itu takdir kematian saya, apa boleh saya buat.” Pasrah Imam Hadi. Biji tasbih masih setia di tangan.
“Senangnya imam cakap. Imam kalau dah berkata-kata macam orang yang dah tak waras tahu tak?” Kadir seperti hilang rasa hormat pada Iman Hadi memandangkan sikap sedemikian yang ditonjolkan.
“Saya ni malas nak bertengkar dengan kamu Kadir. Saya tak nak ikut campur urusan kamu. Apa yang saya nak beritahu kamu sekarang ni, tindakan kamu semua ni melampau batas.” Ujar Imam Hadi.
“Habis tu, apa yang telah terjadi tak terlampau batas lagi ke imam?”
“Ah sudahlah Kadir! Kau jangan dengar lagi cakap imam ni. Jangan-jangan dia dah termakan pujukan Karim supaya percayakannya.” Roslan tarik tangan Kadir mengajak mereka semua ke rumah Karim.
Lantas mereka semua bergegas ke rumah Karim dengan kenderaan masing-masing. Mereka membawa perasaan geram yang terbuku.
Setibanya di sana, rupa-rupanya sudah ramai yang berkumpul. Berita itu sudah tersebar dengan cepat bahawa Kadir mahu menyerang rumah Karim. Masing-masing mahu menumpang geram.
“Karim! Keluar kau karim!” Panggil Kadir melaungkan nama lelaki itu.
Pintu rumah Karim masih tertutup manakala pintu tingkap terbuka.
“Aku tahu kau ada kat dalam. Kau ni dasar pengecutlah Karim!” Pekik Kadir di luar rumah. Ramai sungguh mereka berkumpul di dalam pagar kawasan rumah Karim.
Tidak ketinggalan juga kanak-kanak ikut tumpang melihat keadaan tersebut dari kejauhan.
Tidak semena-mena, langit yang cerah bertukar mendung hitam. Awan tiba-tiba gelap. Langit yang tadi kebiruan sudah kekeruhan.
Entah dari mana datangnya angin, ia bertiup kencang. Kelihatan dedaunan kering terbang melayang. Pepohonan yang ada di sekitar situ turut bergoyang. Desiran daun-daun ditiup angin jelas kedengaran. Siulannya kuat.
Sesekali kilat memancar membuatkan mata mereka terpejam gara-gara kilauan itu. Mereka tidak menyangka cuaca berubah sekelip mata. Hairan sungguh mereka.
“Karim!!! Kalau kau tak nak keluar! Kami akan pecah masuk!” Ugut Kadir. Namun tiada jawapan daripada Karim.
Tum!!! Guruh berdentum.
Terperanjat mereka semua. Sejurus kemudian hujan terus turun, maka mereka beredar mencari teduhan. Mereka berkumpul di bawah pondok. Karim pula masih setia menanti Karim keluar.
Hujan turun dengan begitu lebat sekali. Kadir tiba-tiba ternampak sosok tubuh seseorang berada di tangga rumah Karim itu dalam keadaan samar-samar. Dia rasa pandangannya sangat kabur. Kabus muncul entah dari mana.
Dia rasa itu mungkin Karim. Dia terus melangkah mendekatinya. Sebaik sahaja dia tiba ke situ. Tatkala dia berdiri betul-betul di hadapan sosok itu… alangkah terkejutnya, itu bukan Karim.
“Kau?”
Makhluk itu menampakkan gigi taringnya. Hanya beberapa saat sahaja dan terus ghaib.
Meligih seluruh tubuh Kadir, mujurlah dia tidak diapa-apakan. Tapi kenapa makhluk itu tidak terus membunuhnya?
“Kau dan orang-orang kampung nak usir aku dari kampung ni ke Kadir?” Karim bersuara. Terkejut Kadir, orang yang ada di hadapannya sekarang adalah Karim yang keluar dari rumah.
“Errr….” Kadir tak tahu nak cakap apa. Dia seperti diugut oleh makhluk yang muncul sebentar tadi. Cuaca buruk sebentar tadi kembali sediakala. Orang-orang kampung keluar dari teduhan dan pergi mengerumuni Kadir dan Karim.
Kadir hanya diam tidak berkata apa-apa sebaliknya berundur dari situ. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Apa yang berlaku? Roslan dan Sudin mengejar langkah Kadir dan bertanyakan kenapa Kadir tidak berbuat apa-apa? Kadir tetap membisu sahaja.
Hal ini menjadi semakin aneh. Khatijah pula hanya memerhati apa yang terjadi dari jendela rumah. Tidak berani ikut campur kerana orang kampung terlalu ramai. Bimbang kalau perkara buruk berlaku.
***
Jenazah Leha dan Heliza telah selesai disemadikan. Senah pula gelisah mengenang siapa pula yang bakal menerima nasib seperti itu selepas ini. Dia sungguh tak tahu.
“Abang, saya takut ni bang.”
“Awak nak takut apa? Saya kan ada. Lagipun Azam dah cakap akan tolong kita.”
“Tolong tu memang tapi belum tentu berjaya,”
“Sebut kata ikhtiar, berjaya atau tak berjaya tu belakang kira. Sekarang ni kita nak cari punca, siapa punya angkara yang buat onar. Adakah betul hantu Hakim tu memang Hakim sendiri ke atau rencana orang lain,” ujar Saleh yang sedang bersandar di tiang seri sambil gulung rokok daun.
“Alaa bang, memang tak ada orang lain lagi dah bang, betul la apa yang orang kampung duk cakap, memang sah si Karim tu…” balas Senah duduk bersimpuh sambil sorong secawan kopi buat suaminya.
“Kalau ikut mulut orang kampung ni memang la, semua pakat percaya, tu pasal diorang pergi serang rumah Karim pagi tadi… Kadir yang duk bawak mereka tu semua.” Saleh bakar rokok. Berasap.
Wawa pula masih sedih mengenangkan kematian Heliza. Dia masih berkurung dalam bilik. Keadaan semakin pulih selepas dirawat oleh Azam namun tidak tahu berapa lama dapat bertahan.
Menurut Azam, memang ada seseorang yang sedang berusaha menghancurkan mereka. Tapi mujurlah kedatangannya pada hari tersebut dapat menyelamatkan keadaan, cuma tidak dapat dipastikan berapa lama keadaan itu dapat dikekalkan.
“Sedih bang kawan saya mati macam tu je bang… tapi kenapa Azam tak pergi tolong mereka cepat-cepat?”
“Dia pun tak tahu perkara tu akan menimpa mereka, Senah oih… macam ajal la, kita tak tahu bila kita akan mati.” Beritahu Saleh.
“Hebat juga Azam ni ye, mana dia belajar semua ni ye?”
“Entahlah Senah, dulu dia ni mana tahu benda-benda ni semua, kaki pancing je pun… lepas tu berhijrah kerja dekat kota. Tahu-tahu balik kampung kata setan ganggu keluarga kita. Mulanya abang tak percaya gak la… ye ke tidak dia ni, ke bomoh cari makan? Fikir abang lah… ye la, zaman gawat ni macam-macam boleh jadi, kan? Jadi apa yang dia buktikan tu sahlah dia ni boleh rawat orang…” kata Saleh dengan panjang lebarnya.
“Kiranya dia ni lebih handal dari Jusoh la ye…”
“Jusoh tu apa, bomoh temberang je lebih tu… cakap dah pagar rumah kita… apa punya pagar, sampai hantu setan pun boleh masuk lagi. Maknanya tak handal lagi la dia tu…” bebel Saleh.
“Abang jugak yang rekemen saya pergi jumpa dengan dia hari tu…”
“Rekemen je pun, itu dari mulut orang juga. Manalah abang nak tahu…” balas Saleh sambil sambung hisap rokok.
“Minumlah kopi tu, kan sejuk pulak…” pelawa Senah.
Saleh menyisip kopi itu. Kemudian dia pun meletakkannya ke atas piring semula. Setelah itu dia memandang Senah.
“Ni Senah… macam mana dengan keluarga Baharom tu? Maksud abang… keadaan si Sarah?”
“Saya pun tak pasti bang… dengar khabarnya Sarah makin teruk. Saya tanya Manap… anak jiran sebelah rumah dia tu… tapi tak tahulah teruk tahap mana.”
“Kasihan, tu mesti terkena sihir Hakim sampai teruk macam tu…”
“Ye la bang, Hakim mahukan Sarah sampai sanggup buat ubat pengasih. Kalau nak dikira tak ada siapa yang nak kahwin dengan Hakim Jongang tu.” Balas Senah lalu menghela nafasnya dan dilepaskan.
Dan tiba-tiba Saleh terbatuk. Semakin lama semakin kuat batuknya. Senah fikir tersedak asap rokok, rupanya benda lain. Senah pun terkejut melihat Saleh menjeluak darah.
“Abang!”
Saleh seperti tidak bermaya jadinya. Matanya layu, tubuhnya melemah. Badannya yang bersandar pada tiang seri tiba-tiba tumbang. Segala urat dan sendi seolah-olah berhenti bekerja. Hanya nadi sahaja masih berdenyut.
***
Karim pulang dari kedai membeli paracetamol untuk isterinya. Khatijah mengadu sakit kepala. Bekalan ubat di rumah kebetulan pula habis, jadinya dia terpaksa keluar pergi mendapatkannya. Kasihan juga dibiarkan isterinya mengadu sakit begitu.
Sewaktu dalam perjalanan, di pertengahan jalan, motosikal yang ditungangnya tiba-tiba ditendang oleh sebuah motosikal lain yang tidak semena-mena berada bersebelahannya menyebabkan dia terjatuh ke dalam longkang.
“Allahu`Akbar!” Ucap Karim kesakitan. Kakinya mengalami luka mujurlah tidak patah. Dia menilik dirinya sendiri dan Alhamdulillah kecederaan yang dialami tidak terlalu serius. Mujurlah dia tidak menunggang laju pada malam begini.
Sewaktu dia cuba untuk naik semula ke tepi jalan itu, tiba-tiba dirinya dibantu oleh seseorang. Ada orang menghulurkan tangan memberikan bantuan.
“Abang tak apa-apa ke?”
“Insya-Allah, okey…” balas Karim.
Ada seorang lelaki memakir kereta di bahu jalan lalu cepat-cepat turun membantu setelah dilihat kemalangan tersebut.
“Abang tak kenal aku ke?”
“Erm…” Karim mengamati wajah lelaki itu dalam samar-samar.
“Aku Azam la bang.”
“Azam Dolah ke ni?”
“Ye la, aku la ni bang…”
“La, lama tak tengok kau, bila kau balik?”
“Baru beberapa hari ni je… kebetulan aku lalu sini bang, aku nampak ada orang tendang motor kau bang, tapi aku tak kejar dia la bang, lebih baik aku tengok kau dulu.” Ujar Azam. “Betul ni kau okey bang tak nak pergi hospital?”
“Okey je, sikit je ni.” Balas Karim yang sebenarnya agak sakit tetapi dia tahan-tahan sahaja. Dia malas nak pergi hospital untuk menerima rawatan. Dia sebenarnya kurang gemar ke hospital. Fobia.
“Marilah aku hantar kau balik bang. Motor ni tinggal je kat sini, esok aku mintak orang datang ambik.”
“Tapi…”
“Jangan risaulah, tak hilangnya motosikal kau ni…” Azam sedapkan hati Karim supaya tidak terlalu memikirkan keadaan motosikal itu.
“Yelah…” Karim bersetuju untuk dihantar pulang.
Maka Karim pun menumpang kereta Azam untuk balik ke rumah. Sempat Azam bertanya berkenaan kejadian itu.
“Macam mana benda ni boleh berlaku bang? Abang kenal ke siapa orang tu?” Tanya Azam.
“Aku tak tahu la Zam,”
“Abang ada musuh ke?” Azam ingin tahu kut ada sesiapa yang berdendam.
“Tak tahulah Zam….” Jawab Karim cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya.
Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba ada sebuah motosikal terbalik di tengah jalan. Rasanya itu baru sahaja berlaku.
“Bang, rasanya macam motor yang tadi je…” beritahu Azam.
“Orang yang tendang aku tu ke?”
“Mungkinlah kut.” Balas Azam lalu pergi mendekatinya. Setibanya di situ, Azam parkir kenderaannya. Manakala Karim masih di dalam kereta. Kiri dan kanan kawasan tersebut gelap, semak samun.
Azam pergi ke arah motosikal tersebut, meninjau keadaan. Dia rasa ada sesuatu yang tak kena ni. Tiba-tiba dia melihat semak di tepi jalan tu bergerak-gerak seperti ada sesuatu di sebaliknya.
Bersambung....
Menurut anda, apa sebenarnya yang terjadi? Jeng jeng jeng.... tinggalkan komen ada di bawah.
Baca: Siri Seram Hakim - Bab 8
P/s: Terima kasih kerana membaca. Sila kongsikan entri ini kepada umum agar lebih ramai lagi dapat membacanya... butang share media sosial ada di bawah... kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih sekali lagi...
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOKP/s: Terima kasih kerana membaca. Sila kongsikan entri ini kepada umum agar lebih ramai lagi dapat membacanya... butang share media sosial ada di bawah... kerjasama anda amat dihargai. Terima kasih sekali lagi...
Suspen betul penulisan penulis ni.. Buat pembca yg baca bersemangat nk thu apa yg jafi lepas ini
BalasPadamTq sudi baca... Jangan lupa follow.... hehehe
PadamπππΌππΌ
BalasPadamtq sudi baca ...
PadamAzamm mcm sesuatu je
BalasPadam