Siri Seram Hakim - Bab 6


Bab 6

Pada sebelah petang, Baharom pulang ke rumah. Dia masih risau akan keselamatan Karim, dia berharap Karim tak apa-apa. Dia bercadang agar Karim buat sahaja laporan polis kalau mahu, tapi Karim kata tak apa, tak perlu. Nanti dia akan selesaikan dengan budak Jamal tu. Itulah yang Karim katakan.

Bila itu yang Karim beritahu, maka Baharom pun okey sahajalah. Imam Hadi pula minta Karim banyakkan bersabar dan berdoa agar dibukakan pintu hati budak Jamal tu. Biasalah si Jamal tengah berserabut kepala otak setelah kehilangan ayah.

“Abang ke mana tadi?” Tiba-tiba Halimah bertanyakan kepada Baharom sebaik sahaja suaminya melangkah masuk ke dalam rumah.

“Saya dari pekan la… ke mana lagi.”

“Ya saya tahu abang ke pekan, tapi abang melencong ke mana selepas tu?”

“Tak ke mana-mana.”

“Jangan tipu saya bang, saya tahu abang pergi jumpa dengan Karim tu kan?”

“Aih… cepatnya berita sampai kat awak…”

“Mestilah…” Halimah memuncung mulutnya.

“Ni mesti awak mintak si Manap anak jiran sebelah ni intip saya kan?” Duga Baharom yang sudah masak dengan sikap isterinya tu.

“Ya la, memang saya minta dia beritahu saya setiap pergerakan abang. Sebab saya tak nak abang pergi jumpa dengan keluarga Tijah tu lagi.” Halimah seolah-olah mahu menyekat pergerakan suaminya.

“Amboi, awak ni macam nak mengongkong saya…”

“Taklah, saya cuma tak nak orang kampung akan mengata yang lebih teruk lagi. Lebih baik kita berjaga-jaga.” Balas Halimah sambil melangkah duduk ke sofa. Baharom pun duduk berdekatan Halimah.

“Apa lagi yang si Manap tu beritahu awak?”

“Karim kena serang dengan anak Mail tu, kan?”

“Ya, dan selepas ni abang tak nak awak suruh budak Manap tu ikut ke mana saya pergi lagi. Awak ni macam tak percaya saya.”

“Saya bukan tak percaya. Tapi saya cuma takut kalau ada sesuatu yang buruk berlaku kat abang, jadi bolehlah Manap tu beritahu saya.”

“Apa maksud awak?”

“Manalah tahu kut-kut Karim tu nak buat sesuatu yang tak baik kat abang ke…”

“Ish awak ni, tak habis-habis nak buruk sangka. Tak adanya Karim nak buat macam tu. Saya percayakan dia. Jadi tolonglah Limah… awak kena percaya yang Karim tak pernah buat sesuatu yang buruk pada keluarga kita. Apa yang sampai ke telinga kita ni cuma fitnah semata-mata.” Ujar Baharom yang tidak mahu isterinya mudah mempercayai kata-kata sesiapa waima bomoh sekalipun.

“Kita tak tahu niat orang bang... rambut sama hitam, hati lain-lain…” balas Halimah cuba meningatkan suaminya agar berwaspada supaya tidak terpedaya.

“Limah… Karim tu sampai sanggup minta maaf bagi pihak isteri dia. Awak tahu dia malu kat kita mengenangkan sikap isteri dia tu. Dan saya harap awak pun maafkan mereka… kita lupakan semua ni.”

“Tak semudah tu bang. Abang ingat senang-senang ke saya nak maafkan mereka selepas apa mereka dah buat?”

“Dia sekarang ditimpa susah, berhadapan dengan masalah… kita pun sama-sama terkena tempiasnya. Jamal anak arwah Ismail tu berdendam dengannya dan menganggap bahawa kematian ayahnya berpunca daripada Hakim.” Ucap Baharom.

“Memang patut pun dia tanggung semua ni bang.” Halimah bangun. “Biar dia rasa di atas setiap perbuatannya.” Halimah mendakap tubuhnya sendiri.

“Tak baik awak cakap macam ni. Kita jangan berdendam.” Baharom bangun dan memegang bahu isterinya.

“Abang ingat fitnah tu dosa kecil ke bang? Fitnah tu berdosa besar tau bang? Mana saya nak letak maruah saya ni selepas dihina orang-orang kampung kononnya anak kita ni gilakan harta anak dia.” Halimah masih terkilan. “Lepas tu tuduh pulak kita yang bunuh anaknya. Sakit hati ni bang, sakit.” Terketar-ketar suara Halimah menahan sebak.

“Limah… abang faham perasaan awak. Abang faham sangat… sedangkan nabi ampunkan umat…”

“Tapi saya bukan nabi bang! Saya manusia biasa yang tak sekuat tu.” Balas Halimah bergenang air mata.

“Limah…” Baharom meletakkan kepala Halimah ke dadanya.

“Sini la Abang Hakim…. Mari la sini…” Tiba-tiba kedengaran suara Sarah keluar dari bilik sedang memimpin tangan sesuatu.

Baharom dan Halimah menoleh dan alangkah terkejutnya mereka apabila melihat Sarah sedang memimpin tangan seekor makhluk jelek yang sungguh buruk.

Terpaku Baharom dan Halimah menatapnya. Terbeliak biji mata mereka. Meremang seluruh tubuh. Bergetar seluruh lutut. Halimah tidak berdaya terus pengsan serta merta.

“Limah!” Baharom segera memangku Halimah.

Makhluk buruk dan penuh tanduk-tanduk kecil pada badan dan bahu itu ghaib begitu sahaja.

Sarah pula terpisat-pisat sendiri tercari-cari Hakim yang sudah hilang. “Abang Hakim!” Sarah gelisah.

“Sarah!” Baharom memanggil anaknya. Dia masih terkejut. Nak percaya dan tidak adalah sama banyak.

***

Setelah selesai urusannya di rumah Saleh, dia pun dipelawa duduk seketika.

“Terima kasih banyaklah Zam kau tolong tengok-tengokkan Wawa ni…”

“Aku okey je Saleh… Kau tu janganlah selalu tak ada kat rumah.”

“Aku sibuk kerja Zam, malam baru balik.”

“Ya la, kerja-kerja jugak. Tapi kesihatan kena jaga. Tapi yang aku peliknya, benda tu lari sebaik sahaja aku datang. Macam tahu-tahu sahaja aku nak datang rumah kau…” Ucap Azam di beranda rumah Saleh. Senah sedang temankan Wawa di dalam rumah.

“Kau tahu ke siapa punya angkara Zam?”

“Ni yang aku duk cari punca ni… benda tu tak datang kat anak kau.” Azam ketap bibir sejurus dia usap-usap dagunya seolah-olah sedang berfikir dan mencari tahu siapa dalang di sebalik semua ni.

“Jemputlah minum dulu Zam…” Pelawa Saleh.

Azam hanya memandang sahaja secawan kopi yang dihidangkan tetapi jangan harap dia akan minum. Dia kalau pergi bertandang ke rumah orang kalau sedang ikthiar berubat memang tak minum sembarangan. Bimbang singgah sesuatu yang buruk. Itu petua yang diamalkannya.

Tapi tak apa, dia ada cara. Sesuatu lafaz dibacakan, lalu tangannya memegang cuping cawan, pang! Cawan itu tiba-tiba pecah. Air pun tumpah.

“Eh Zam, kenapa?”

“Tak ada apa-apa. Mungkin cawan ni dah retak agaknya.” Beritahu Azam.

“Eh tak apa tak apa. Nanti aku suruh bini aku bawakan cawan yang lain.” Ujar Saleh.

“Tak payah Saleh... tak apa.” Azam menghalang sambil betulkan silaannya. Saleh pula cucuh rokok.

“Kau nak minum macam mana?”

“Tak apa, aku tak haus…” Azam senyum.

“Okey.” Saleh akur.

Ada sesuatu yang tak beres ni… bisik hati Azam. Dia menoleh ke kiri terasa bergetar lengannya. Ada seusatu yang tak baik bakal berlaku. Cuma dia tak pasti apakah ia.

“Kenapa Zam? Macam ada yang tak kena je?”

“Berpaling Saleh.” Arah Azam. Lalu Saleh menurut dan berpaling seperti yang Azam katakan.

Sejurus kemudian ada angin yang melanggar tubuh mereka tetapi tidak terkena betul-betul wajah mereka.

“Allahu`Akbar!”

“Kenapa Azam?” Saleh bangun. Dia berasa cemas dan tertanya-tanya.

“Ada orang cuba hantar benda.”

“Maksud kau?” Saleh terpinga-pinga.

“Santau.” Beritahu Azam. Saleh terkejut. Dia tak pernah tahu bagaimana cara santau dihantar atau bertindak. Cuma dia pun tak tahu siapa punya angkara.

***

Suasana di dalam rumah Karim begitu sunyi. Dia hanya mendiamkan diri di sofa termenung jauh. Kepalanya masih rasa sakit tetapi ditahan-tahan sahaja.

Dia tak mahu memanjangkan cerita berkenaan insiden tersebut, sebaliknya dia mahu ia diselesaikan secepat mungkin. Tetapi sekarang keadaan masih tegang.

Hari semakin gelap, dia masih di situ tidak berganjak. Jelas terpancar di wajahnya garis-garis kerisauan mengenangkan apa yang telah berlaku. Hati siapakah yang dapat tenang setelah tuduhan demi tuduhan dilemparkan terhadap dirinya dan keluarganya? Hatinya sebenarnya pedih kecewa.

Meskipun dia telah berhadapan dengan Baharom pada hari ini demi memohon maaf bagi pihak isterinya, namun itu tidak cukup meredakan keadaan yang sedia terluka.

Jika sebelum ini dia akan cepat bersiap-siap dan bertolak pergi ke surau untuk solat berjemaah, kini dia hanya terperap di rumah sahaja. Dia solat di rumah buat seketika ini.

Sesungguhnya mereka tidak pernah tahu apa yang ditanggungnya kini. Hanya dia yang merasainya. Orang lain hanya tahu mengata sahaja begitu dan begini. Itulah kehidupan.

Dia melepaskan keluhan, bangkit dari sofa dan ingin mandi. Dia memikirkan keadaan isterinya, mana Khatijah? Dari tadi senyap je? Fikirnya.

Dia mula risau. Dia pergi ke bilik, diintainya tiada. Dia pergi ke dapur, juga tiada.

“Tijah!” Panggilnya. “Dari tadi lagi abang balik, awak kat mana?” Ucapnya.

Langsung tiada jawapan. Karim mula rasa tidak sedap hati. Dia pergi ke bahagian dapur. Dia pergi ke belakang. Alangkah terkejutnya dia dapati ada sosok tubuh terbaring di tanah dekat ampaian.

“Ya Allah! Tijah!” Laju Karim meluru mendapatkan isterinya. Dia merasakan denyut nadi dan nafas di hidung isterinya, masih ada.

Khatijah pengsan. Karim terus mengangkat isterinya lalu dibawa masuk ke dalam rumah seraya azan Maghrib berkumandang.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dapur, tercegat isterinya di situ, “Abang… abang angkat apa tu?” Soal Khatijah yang nampak terkejut.

Perlahan-lahan benda tu menoleh ke arah Khatijah menyebabkan Khatijah terbeliak biji mata tatkala menatapnya. Makhluk pelik berwajah buruk. Seriau Khatijah di situ menyebabkan isteri Si Karim pengsan.

Karim pula terpaku tatkala mengangkat makhluk tersebut. Dia seperti tidak dapat bergerak sahaja. Barulah dia merasakan permukaan kulit terasa menggerutu.

Dia masih tidak melihat makhluk itu. Namun dengan perlahan-lahan dia mahu menatapnya semula. Debaran semakin ketara. Apa benda pulak yang aku bawak masuk ni….? Bisik hatinya yang kian resah dan takut.

Semakin lama terasa semakin berat. Karim tak dapat menahan lagi. Lalu terlepas dari pegangan. Dia mahu melihatnya tetapi makhluk itu segera ghaib entah ke mana. Bulu romanya masih lagi tegak berdiri. Darahnya masih laju mengalir.

Segera dia mendapatkan isterinya yang rebah dekat tangga dapur. “Tijah, bangun Tijah!” Karim kejutkan isterinya. Dia pun segera ambilkan air dan renjiskan ke muka Khatijah dan barulah isterinya itu sedar semula.

“Abang!” Laju Khatijah memeluk Karim. Teresak-esak dia menangis ketakutan.

“Abang ada, jangan risau,” ucap Karim.

Karim tidak ingin mengingatkan lagi tentang dia memanggil-manggil Khatijah yang tak menyahut itu tadi. Barangkali mungkin Khatijah ada buat kerja kat mana-mana, sampai tak perasan dia panggil. Tak apalah, Karim lupakan.

***

Pihak polis telah membebaskan Heliza dengan jaminan biarpun kes masih dalam siasatan. Pihak mereka tidak dapat mengumpul bukti untuk sabitkan Heliza sebagai pelakunya meskipun menurut saksi mengatakan bahawa Heliza merupakan individu yang melakukan perkara itu namun ia sangat luar biasa.

Mana mungkin Heliza adalah orang yang menyedut darah mangsa sampai kering sebegitu? Ia tak masuk akal dan tak dapat dibuktikan dengan logik akal. Jadi, dia tak dapat disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Unit forensik juga mendapati punca kematian adalah dari kehilangan darah secara total. Kematian itu adalah kematian mengejut. Namun, ia tetap menjadi suatu yang misteri kerana tiada kesan darah ditemui di tempat kejadian.

Walau bagaimanapun, saksi-saksi itu tetap mempercayai bahawa Heliza adalah orang yang bertanggungjawab meskipun Leha mengatakan bahawa semua itu bukan angkara anaknya.

Sepanjang disoal siasat, memang Leha orang yang tidak tenang. Dia gelisah dan sangat takut gara-gara terbayangkan insiden berkenaan.

Mana tidaknya, perkara itu berlaku di hadapan matanya. Sukar untuk dia melupakannya. meskipun mereka dibebaskan buat sementara, namun perkara ini tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Ketika ini Leha sedang menyiapkan bubur untuk Heliza. Seharian anaknya itu tak makan. Dari siang sampai malam langsung tak menjamah makanan. Dia harap Heliza dapat makan sedikit.

Sedang dia masukkan bubur ke dalam mangkuk… tiba-tiba pintu dapur diketuk. Terperanjat Leha mendengarnya. Ketukan itu kedengaran sangat kuat.

‘Debukkk debukkk debukkk!’

Leha menggosok-gosok dadanya.

“Siapa tu?” Tanya Leha tetapi tiada jawapan.

Dia meletakkan mangkuk di atas rak. Bersama debaran di hatinya, dia pun mengorak langkah mendekati pintu itu.

Perlahan-lahan dia melangkah sambil tertanya-tanya di hati siapakah yang datang ikut pintu belakang di ketika ini? Seharusnya datanglah ke pintu hadapan, itu lebih baik.

“Siapa tu?” Sekali lagi Leha bertanya.

‘Debukkk debukkk debukkk!’

“Sekejap!” Beritahu Leha supaya bersabar. Langsung tak terjentik di hati Leha perasaan curiga bahawa yang datang itu barangkali mungkin bukan orang. Boleh jadi sesuatu yang akan menyusahkannya.

Atau… dia masih terawang-awang di antara realiti dan fantasi di atas apa yang melanda dirinya dan keluarganya. Di sebabkan hal tersebut dia jadi seperti kebingungan.

Srehhhhhh! Tidak semena-mena air paip di singki terbuka sendiri. Dia segera menoleh. Eh? Ketika itu dia berasa sesuatu yang pelik sedang berlaku. Aku lupa tutup air ke? desisnya. Sekarang baru dia perasan ada benda tak kena.

Ketika itu barulah dirasakan perasaan tidak selesa. Jantungnya mula berdebar-debar. Dia cepat-cepat pergi tutup paip tu dan segera berganjak ke belakang.

Matanya melilau ke kiri dan ke kanan, atas dan ke bawah seolah-olah tercari-cari sesuatu. Dia turut marasa seperti sedang diperhatikan sahaja. Bulu romanya merinding. Bunyi ketukan pintu tadi sudah pun sepi.

Tatkala itu, dia rasa redup terasa seperti ada sesuatu di belakangnya kerana terdapat bayang-bayang terpancar dari lampu dapurnya itu.

Segera dia menoleh…

“Argh!!!” Leha terperanjat!

Bersambung...

Penulis: Rashid Salim


p/s: Terima kasih kerana membaca siri ini. Sila follow blog ini agar anda tidak terlepas untuk update yang akan datang. Terima kasih sekali lagi...
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

2 Responses to "Siri Seram Hakim - Bab 6"

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK