Siri Seram Hakim - Bab 5
Ahad, 18 April 2021
Add Comment
Bab 5
“Pergi! Pergi! Jangan kacau aku!” Kedengaran suara Heliza terpekik terlolong tak tentu arah di ruang tamu.
Dia menggelupur setelah cuba dirawat oleh seorang perawat perubatan Islam. Ustaz Farhan hadir ke rumah Leha setelah dijemput oleh wanita itu.
Heliza menarik-narik rambutnya sendiri. Kakinya yang terlunjur tidak senang duduk diam sentiasa bergerak-gerak.
Mata Heliza membulat besar memandang ke arah Ustaz Farhan. Pergelangan tangan Heliza terpaksa dipegang kemas oleh pembantu Ustaz Farhan kerana dikhuatiri Heliza mengamuk.
“Ini bukan anak puan,” beritahu Ustaz Farhan kepada Leha yang berada tidak jauh dari Heliza. Seram sejuk Leha rasa. Seluruh tubuhnya meremang melihat riak wajah si anak yang aneh.
“Macam mana ni ustaz? Dah puas dah saya ikhtiar harap kali ni dapat sembuh.” Leha sangat berharap.
“Susah saya nak cakap, kalau buang pun ia akan datang lagi. Tubuh anak puan ni lemah sangat.” Ujar Ustaz Farhan.
“Habis tu apa yang perlu dilakukan?”
“Macam ni lah, saya buatkan air, bagi dia minum. Dan mandi dengan air limau ni...” Beritahu Ustaz Farhan sambil menghulurkan barangan tersebut setelah dibacakan ayat suci Al-Quran.
“Hahaha!” Sejurus kemudian Heliza ketawa kuat.
Terkejut Leha. Ustaz Farhan turut menoleh lalu berinteraksi dengannya.
“Kenapa kamu ketawa?” Soal Ustaz Farhan.
“Hahaha, bodoh! Kamu memang bodoh? Kau ingat aku akan mati dengan benda-benda bodoh macam ni? Sebaliknya kamu akan mati wahai bangsa munafik!!!” Bentak Heliza bersuara kasar.
Heliza menggelupur mahu dilepaskan. Semakin lama kekuatan Heliza semakin kuat, sehinggakan pembantu Ustaz Farhan hampir terlepas pegangan tangan.
Mulut Ustaz Farhan kumat kamit membaca sesuatu pada genggaman tangannya. Selepas itu dia menepuk atas ubun-ubun kepala Heliza membuatkan Heliza bertempik kuat.
Gara-gara itu, Leha tersentak. Dia segera bangun dan berganjak ke belakang.
Heliza secara tiba-tiba sahaja memiliki kekuatan yang sangat luar biasa. Pegangan tangan dari dua orang pembantu Ustaz Farhan pun terlepas.
Heliza mendengus kuat. Mereka sukar nak dekat, seolah-olah ada aura yang menghalang. Ustaz Farhan tiba-tiba terapung. Kakinya tidak berginjak lagi di lantai rumah.
Mereka terbeliak melihat keanehan itu. Leha turut terperanjat. Dan, ada sesuatu telah menjalar keluar dari mulut Heliza, ia seperti tiub lidah yang panjang. Dengan perlahan-lahan, lidah tersebut menghala pula ke arah mulut Ustaz Farhan.
Tubuh Ustaz Farhan kaku tidak dapat bergerak. Masing-masing yang ada di situ juga seolah-olah dipukau tidak dapat bertindak apa-apa, hanya menyaksikan sahaja dengan penuh debaran.
Akhirnya darah disedut sampai kering. Ustaz Farhan cuba meronta tetapi tidak berjaya. Betapa seksanya dia berhadapan dengan kematian sedemikian rupa.
Setelah kering disedut, segalanya nampak kempis dan cengkung. Lalu jasad itu tersungkur jatuh ke lantai. Usai itu Heliza pengsan. Dia langsung tak sedar apa yang telah berlaku.
Dek panik, pembantu Ustaz Farhan terus membuat laporan polis berhubung dengan insiden pada malam tersebut.
Maka gemparlah sekali lagi kematian yang seterusnya dalam masa terdekat dan kali ini Heliza disoal siasat.
Leha terpaksa menafikan itu bukan tindakan anaknya. Manakala pembantu Ustaz Farhan menjadi saksi bahawa Heliza adalah pelakunya.
Maka kes ini dalam siasatan.
***
Kelihatan Kadir begitu memendam rasa yang amat dalam. Dia kehilangan kawan iaitu Ismail. Kematian Ismail menimbulkan tanda tanya buat dirinya. Begitu juga kejadian yang menimpa Ustaz Farhan yang dikatakan datang ke rumah Leha untuk mengubati Heliza turut menjadi korban.
Kematian-kematian ini membuatkan sesiapa sahaja berasa curiga. Pasti ada dalang di sebalik semua ini terjadi. Dia sudah meluahkan kepada Imam Hadi supaya jangan dibiarkan masalah ini berterusan. Harus disiasat keluarga Karim itu. Boleh jadi semua itu adalah berpunca dari hantu Hakim.
Dia berkumpul dengan rakan sekampung di kedai kopi bercakap tentang masalah ini. Rata-rata mereka sangat terkejut dengan berita kematian terbaru itu.
“Bala, bala, lepas satu-satu masalah dalam kampung kita ni. Baru je minggu lepas Rahim mati, ni Ustaz Farhan pulak,” Kadir mengomel di kedai kopi.
“Macam mana pulak dengan anak Leha tu Kadir?” Tanya Roslan orang kampung.
“Hah Kadir, anak si Leha tu ke bela hantu?” Sudin pula mencelah.
“Tak mungkin tak mungkin. Yang bunuh Ustaz Farhan tu pasti bukan Liza. Kalau Liza yang bunuh kenapa pihak polis tak dapat buktikan? Tak ada kesan.” Balas Kadir.
“Jadi sama macam sebelum ni ke? Kematian mengejut?” Roslan angkat kening.
“Ya.” Balas Kadir.
“Habis tu bagaimana dengan saksi bagi pihak Ustaz Farhan pulak?” Soal Sudin pulak. "Bukan ke kes ni masih dalam siasatan?" Sambungnya.
“Eh Sudin... Kau ingat pihak polis nak panjangkan ke kes pelik macam ni? Lagi pun bukan kena bunuh dengan orang, tapi dengan hantu. Kau nak buktikan dengan apa?” Bahas Kadir.
Semasa mereka sedang berbicara, ada sepadang telinga sedang mendengar tidak jauh dari mereka.
“Korang kalau nak bercakap jangan pakai kepala lutut, lain kali pakai otak, pihak polis tetap akan siasat perkara ni. Mereka takkan tinggal diam walaupun kes ni melibatkan syaitan sekalipun. Ini soal nyawa. Lagipun kes ni berulang.” Tiba-tiba Azam muncul membuatkan mereka tersentak.
“Eh Azam! Bila kau balik?” Terkejut Kadir melihat orang sekampungnya pulang.
“Aku baru je sampai tadi. Aku dengar berat betul kes yang melanda kampung kita ni. Jadi aku balik ni saja nak berkenalan dengan setan tu.” Ucap Azam bersahaja membuatkan mereka tersentak.
“Eh kau Zam, jangan cakap sembarangan...” Kadir ingatkan sahaja.
“Eh betul la.” Katanya sambil duduk.
Sudin dan Roslan berpandangan sesama sendiri. Mereka merasakan bahawa Azam terlalu berani atau mungkin sekadar cakap besar sahaja.
“Sejak kematian Hakim Jongang, bermacam-macam bala yang timbul dalam kampung kita ni Zam. Mula-mula Si Mail yang mati, lepas tu Rahim dan yang terbaru Ustaz Farhan. Kau bayangkan ustaz yang pandai bab agama pun boleh mati kerana hantu kau tau tak?” Jelas Kadir kepada Azam. Roslan dan Sudin angguk mengiakan sahaja ucapan Kadir tu.
“Itu kau tak payah cerita, aku dah tahu cuma yang aku nak tahu sekarang ni, bagaimana keadaan Sarah.”
“Sarah… hurm….” Kadir pun tak tahu nak cakap apa. Sebab Sarah tak keluar rumah lagi sejak bertengkar dengan Khatijah. Lagipun Halimah dah menghalang Sarah dari menemui Khatijah. Itu yang Kadir tahu daripada mulut Heliza sendiri sebelum ni.
“Kenapa?” Soal Azam.
“Aku rasa lebih baik kau pergi berjumpa dengan Baharom tu. Sebenarnya hubungan keluarga Baharom dengan keluarga Karim tak berapa baik. Aku sebenarnya syak merekalah punca terjadinya hantu Hakim dalam kampung kita ni…” beritahu Kadir.
“Aku pun rasa macam tu juga la Zam. Aku pernah nampak Tijah dengan Limah berkelahi. Memang sering la. Tak kira kat mana, pantang berjumpa.” Ucap Sudin pulak.
“Mereka gaduh pasal harta Hakim.” Ujar Kadir.
“Jadi maksud kau Hakim yang lakukan semua ni?” Azam memandang Kadir.
Kadir melepaskan keluhan. Dia pun tak tahu nak berkata apa lagi. Apa yang jelas sejak kematian Hakim memang terlalu banyak hal misteri yang timbul. Orang kampung sering berjumpa kelibatnya merayau.
“Orang yang dah mati tetap dia dah mati. Yang ada bukannya Hakim lagi, tapi iblis!” beritahu Azam membuatkan mereka agak tegang melihat raut wajah Azam yang serius.
Nampaknya Azam kembali ke kampung bukan semata-mata pulang kerinduan, tetapi pulang kerana ada hajat. Kadir nampak Azam pulang sebagai seorang yang mahu mengembalikan keamanan kampung ni. Tapi mampu ke Azam melakukan semua ni? Kadir sangsi.
“Yang kau tiba-tiba tanya pasal Sarah ni kenapa Zam?”
“Tak ada apa-apa. Saja.” Balasnya lalu bangun dari duduknya. Belum panas punggung lagi Azam sudah mahu beredar.
“Kau nak ke mana pulak ni?” Soal Kadir kehairanan.
“Aku nak pergi rumah Saleh.” Balas Azam lalu pergi meninggalkan mereka.
Sudin pun bercakap dengan Kadir, “Rumah Senah lah? Saleh tu kan laki Senah, kan?” Sudin saja nak kepastian.
“Ya la tu Sudin,” Roslan menjawabnya.
“Tapi nak buat apa Si Azam pergi ke sana?”
“Kan Wawa anak si Saleh tu pun sakit macam anak Leha tu…” beritahu Roslan sambil gulung rokok daun.
“Hurm… dia ni balik kampung tiba-tiba ni pun buat aku rasa pelik jugak…” Desis Kadir. Roslan dan Sudin berpandangan lagi sesama sendiri setelah mendengar Kadir mengomel sorang-sorang.
***
Karim sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah. Dia dari kedai runcit membeli beberapa barang kiriman isterinya. Semasa dalam perjalanan, dia ternampak sebuah kereta dari arah bertentangan.
Dia mengenali orang di dalam kenderaan berkenaan. Kereta tersebut dipandu oleh Baharom lalu dia pun melambai tangan menahannya. Karim berhenti di pinggir jalan manakala Baharom memberikan isyarat untuk berhenti.
Kemudian Baharom keluar dari perut kereta sebaik sahaja memakir kenderaan di bahu jalan. Karim pun mendekati Baharom. Mereka berjumpa di situ.
“Kau dari mana ni Baha?” Tanya Karim.
“Aku dari pekan ada urusan sikit. Kau sihat ke?”
“Aku Alhamdulillah… macam ni Baha… kebetulan aku jumpa kau ni aku nak minta maaflah bagi pihak isteri aku pasal dia serang Limah hari tu…”
“Karim… kita kawan sejak kecik lagi. Aku tak ambil hati. Aku pun tak suka tengok mereka bercakar, tapi nak buat macam mana, aku dah puas nasihatkan mereka ni…”
“Sebab tu aku minta maaf kat kau. Aku kenal sangat perangai isteri aku ni Baha… jadi aku harap kau tak berdendam.”
“Karim… aku tau kau sedang bersedih. Aku faham perasaan kau tapi kau tak perlulah minta maaf sampai macam ni.”
“Aku bukan apa Baha. Bini aku yang buat tuduhan melulu macam tu.”
Baharom tepuk-tepuk bahu Karim.
“Karim, orang kampung sekarang sibuk nak laga-lagakan kita. Mereka nak tengok kita terus bergaduh. Sebelum ni hubungan kita baik. Kau tak rasa ke banyak yang dah berubah?” Tegur Baharom.
“Aku dapat rasa. Sejak kematian anak aku, banyak hal yang pelik berlaku. Malah ramai yang tuding jari mengatakan anak aku jadi hantu sebab amalkan ilmu salah. Aku diamkan je Baha…” Karim rasa terkilan.
“Bukan setakat kau je… malah aku pun terpalit sekali Karim… mereka tuduh kami yang perdajal keluarga kau. Kau percayakan aku, kan?”
“Ya Baha. Aku percayakan kau… aku yakin dengan kau.” Balas Karim. Mereka berdua saling mempercayai. Cuma isteri mereka berdua saling syak wasangka.
Karim menerima hakikat kematian Hakim namun tidak bagi Khatijah yang masih tidak reda dengan pemergian si anak.
Tidak lama selepas itu Imam Hadi melintas di kawasan itu dengan menunggang motosikal, lalu ternampak mereka berdua.
“Assalamualaikum…” Imam Hadi memberhentikan motosikalnya sambil menghulurkan salam.
“Wa`alaikumussalam.” Balas mereka berdua serentak.
“Alhamdulillah… kan elok kamu berdua berbaik-baik…” Ucap Imam Hadi.
“Kami berdua tak ada masalah imam…” Balas Baharom senyum.
“Allah suka pada hamba-hamba-Nya yang tidak memutuskan silaturahim. Kita jangan bermusuhan. Apa yang berlaku adalah takdir. Jadi kena terima dengan hati yang reda.” Sempat lagi Imam Hadi memberikan tazkirahnya.
“Ya imam, itu kami faham.” Balas Karim pula.
“Oh ya Karim, jarang dah nampak kamu kat surau. Kamu ada apa-apa masalah ke? Boleh cerita kat saya?” Imam Hadi ingin tahu apa punca Karim sudah jarang nampak muka. Alang-alang dah jumpa, lebih baik bertanya.
“Insya-Allah imam. Bila keadaan dah pulih, saya akan kembali mengimarahkan surau kita tu…”
“Pulih dari apa Karim?” Sengaja Imam Hadi ingin tahu.
“Sekarang ni imam, masyarakat kampung tak selesa dengan saya. Apa yang berlaku mereka kata hantu anak saya yang melakukan semua benda tu.”
“Ish kamu ni Karim. Mengarutlah semua tu…”
“Ya Karim. Kau tak payah dengar apa kata orang kampung.”
“Erm…”
Tiba-tiba ada sebuah motosikal datang dengan laju dan menghempasnya begitu sahaja. Baharom melihatnya dan begitu juga dengan Imam Hadi, manakala Karim baru nak menoleh tiba-tiba orang tu terus meluru dari arah belakang Karim dan memukul kepalanya sampai rebah.
“Setan kau orang tua!”
“Eh Jamal! Kau ni dah kenapa?!” Baharom terus menghalang selepas Jamal menghempuk kepala Karim dengan topi keledar.
Baharom terus peluk Jamal budak muda itu ketat-ketat yang sedang memberontak marah bagi menghalangnya daripada bertindak lebih agresif.
Imam Hadi cepat-cepat turun dari motosikal dan pergi ke arah Karim. “Bangun Karim.” Imam Hadi membantu Karim bangun. Karim menggosok kepalanya yang kesakitan gara-gara hempukan kuat itu tadi.
Pang! Baharom menampar pipi Jamal. “Kau dah kenapa?” Baharom kemudiannya menolak tubuh budak tu.
“Ooo! Kau bela orang tua ni ya. Sebab orang tua ni la ayah aku mati! Tau!!! Pasal anak dia tu hantu!!! Hantu !!!” Bentak Jamal yang nampak seperti lalok. Terhuyung hayang tubuhnya.
“Kau lalok ni!” Marah Baharom. “Kau pergi balik! Balik aku kata!” Arah Baharom.
“Kau dengar sini! Aku akan tuntut bela di atas kematian ayah aku! Faham!” Jamal berdendam setelah kematian Ismail.
“Aku kata balik!” Sekali lagi Baharom membentak. Jamal pula angkat tangan tanda amaran.
Jamal mengangkat semula motosikalnya dan beredar dari situ. Setelah itu Baharom dan Imam Hadi membantu Karim.
Tanpa mereka sedar, ada sepasang mata sedang memerhati apa yang sedang berlaku sebentar tadi…
Bersambung...
Penulis: Rashid Salim
Baca: Siri Seram Hakim - Bab 6
p/s: Terima kasih kerana mengikuti cerita ini. Jangan lupa untuk follow blog ini untuk update yang akan datang... share untuk semua... jutaan terima kasih sekali lagi...
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Siri Seram Hakim - Bab 5"
Catat Ulasan