Siri Seram Hakim - Bab 2

 

Bab 2
 
Pada pagi itu Sarah tiba di rumah Khatijah sambil membawa sesuatu. Dia menghulurkan kepada mentuanya. Namun hanya kerlingan dibalas membuatkan Sarah merasakan sesuatu yang tak kena bakal berlaku.

Sarah rasa tak sedap hati melihat ekspresi wajah Khatijah yang berubah seratus peratus itu. Langsung tiada senyum di muka pintu rumah.

Dia berdiri betul-betul di hadapan mentuanya sambil meletakkan kiriman di atas meja bersebelahannya gara-gara pemberiannya itu tidak disambut baik.

“Ilmu apa yang kau pakai hah Sarah? Kau ni memang perempuan tak guna tau tak!” Khatijah tinggikan suara.

“Apa yang ibu cakap ni?”

“Kau jangan panggil aku ibu!” Khatijah membuntang biji matanya sambil bercekak pingang. Dia benar-benar meradang.

Sarah terpisat-pisat saat dimarahi sedemikian. Dia benar-benar bingung.

“Apa salah Sarah bu?”

“Kau jangan tanya aku salah kau apa. Sebab kau lah anak aku mati! Kalau kau tak kahwin dengan anak aku, sial kau takkan melekat pada dia tau tak?”

“Apa ibu merepek ni? Sarah tak buat apa-apa pun. Selama ni Sarah ikhlas sayang kat Abang Hakim. Saya kahwin dengan Abang Hakim kerana Sarah yakin dialah jodoh terbaik buat Sarah. Lagipun Abang Hakim pun mencintai Sarah.” Ujar Sarah bergenang air mata.

“Sudah! Sebab dia banyak duit kan? Kau jangan ingat aku tak tahu Sarah. Kau memang mandremkan anak aku tu dan kau jugak yang buat dia lemas kat tasik tu!”

“Ibu!” Bentak Sarah.

“Apa? Sekarang kau nak bunuh aku pulak?” Khatijah menjegilkan biji matanya.

Sarah bawa langkah pergi dari rumah mentuanya.

“Kau ingat Sarah! Aku takkan maafkan kau sampai bila-bila!!!” Pekik Khatijah sambil melemparkan makanan mangkuk tingkat kiriman Sarah. “Kau ambik barang kau ni!”

Sarah buat tak dengar. Dia terus masuk dalam kereta dan terus meninggalkan perkarangan rumah Khatijah. Air matanya masih berjuraian tatkala menerima tuduhan melulu tersebut.

Entah apa yang merasuki ibu mentuanya itu sehingga melontarkan kata-kata sedemikian. Jiran Khatijah yang mendengar pertengkaran itu terus menghebahkan cerita kepada Heliza.

Setelah Heliza dapat tahu, Heliza pun apa lagi... bergosip sakanlah dengan si Wawa tu.

***

Sewaktu Karim turun dari surau usai solat Isyak berjemaah, ada ahli kariah datang menyapanya. Karim menyambut sapaan itu dengan senyuman.

“Karim, aku ada benda nak cakap sikit dengan kau ni...”

“Apa dia?”

“Tapi kau jangan terasa hati la ye.”

“Eh taklah, cakaplah apa dia?”

“Ni berkenaan dengan arwah anak kau... Ada orang kampung duk cakap-cakap yang mereka sering ternampak arwah anak kau dekat simpang jalan sana. Dekat jalan masuk ke tanah perkuburan tu. Duk kacau orang kampung. Semasa hayatnya dia ada amal apa-apa ke Karim?” Tanpa berselindung apa-apa, Ismail langsung bertanyakan hal tersebut.

“Ish kamu ni Mail, ada pulak tanya macam tu...” Imam Hadi yang kebetulan terdengar pertanyaan yang terpacul dari mulut Ismail terus menyampuk.

“Eh tak apa imam. Saya okey je...” Karim menyembunyikan rasa hatinya. Sebenarnya dia agak terkilan dengan soalan tersebut kerana ia melibatkan orang yang sudah tiada.

“Maafkan aku Karim, aku cuma nak kepastian sahaja sebab bukan je orang kampung, tapi anak aku pun pernah jumpa arwah dekat tempat yang sama.” Ismail memperkukuhkan dakwaan tersebut walaupun bukan dirinya yang berhadapan dengan insiden berkenaan.

“Tak apalah... Aku minta diri dulu ya.” Karim tidak mahu menjawab pertanyaan tersebut, sebaliknya dia mahu beredar. Kecil hatinya.

Imam Hadi menggeleng mengenangkan cara Ismail sebentar tadi. “Kamu ni Mail, jaga la sikit hati dia tu. Kau pun tahu yang arwah Hakim merupakan satu-satunya anak mereka.” Ucap Imam Hadi setelah Karim berlalu pergi. Ismail ketap bibir.

“Masalahnya imam, anak dia dah jadi hantu, duk kacau orang kampung ni.”

“Mana kau tau Mail?”

“Semua orang la duk cakap-cakap benda ni... Imam tu saja nak menafikan. Selepas kematian Hakim, huru-hara jadinya. Tu anak Leha si Heliza tu katanya kena usik hantu si Hakim tu. Anak Senah si Wawa tu pun kena. Anak saya sendiri pun kena jugak imam. Katanya nak tumpang balik ke kubur. Tengok muka, sebijik muka Hakim. Berdesup la anak saya pecut motornya imam.” Cerita Ismail berkenaan apa yang berlaku.

Imam Hadi hanya menggeleng sahaja. “Sebab tu la saya nak tahu kut ada apa-apa amalan pelik semasa hayat Hakim tu duk amalkan. Jadi saya tanya sendiri kat ayah dia. Nampaknya si Karim tu macam nak mengelak je...” Tambah Ismail lagi menaruh curiga.

“Kamu ni tak baik syak wasangka macam tu. Dah la Mail, aku nak balik dulu.”

“Ye la Imam. Hati-hati ya. Kalau imam sendiri yang jumpa rasanya baru imam akan percaya apa yang saya cakap ni betul.” Ismail ingatkan sahaja.

“Ikut suka hati kau la Mail. Aku gerak dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Imam Hadi pun beredar. Sedar tak sedar rupanya tinggal dia seorang sahaja dekat surau tu. Orang lain semua dah balik.

Tiba-tiba tidak jauh dari tempat Ismail berdiri, ada susuk tubuh sedang duduk di kerusi batu sambil disinari balam-balam cahaya lampu jalan.

Ismail mengamati siapakah orang itu yang kelihatan samar-samar itu. Tidak semena-mena kelibat itu ghaib.

Eh?! Ismail terkejut. Lalu muncul aroma yang tidak selesa menusuk rongga. Ia sungguh busuk sekali. Sewaktu dia menoleh ke belakang, satu wajah buruk dan hodoh betul-betul terpampang depan matanya. Dia kaku dengan bola mata terbeliak.

Dia melihat bebola mata makhluk itu kemerahan. Taring yang panjang terlihat jelas bersama mulut ternganga luas. Air liur meleleh-leleh dan berbau sungguh hanyir.

Dan tidak semena-mena Ismail merasakan seperti ada sesuatu objek yang runcing telah menusuk ke dadanya. Dia merasakan juga jantungnya ditarik-tarik keluar. Nafasnya mula tidak teratur. Sakitnya bukan kepalang.

Akhirnya tubuhnya tidak dapat lagi menahan azab yang menyeksakan lalu terkulai rebah di perkarangan surau.

***

Orang jumpa mayat Ismail mati kering dekat perkarangan surau. Seluruh tubuh dah tak ada darah. Mata terbeliak macam nampak sesuatu. Lidah pula terjelir. Kalau dilihat keadaan mayatnya macam darahnya disedut sampai habis.

Kulit rapat sampai ke tengkorak. Kempis. Kadir merupakan orang yang mula-mula jumpa mayat si Ismail ni. Waktu tu nak pergi laungkan azan Subuh di surau berkenaan.

Maka gemparlah seluruh Kampung Damai, yang akhirnya jadi tak damai gara-gara berita tersebut. Sudahlah kes ganguan kelibat Hakim belum reda, kini ditambah pula dengan kematian yang mengerikan ini.

Gara-gara itu, ada yang membuat spekulasi bahawa kes kematian ini ada kaitan dengan arwah Hakim. Maka ada la yang bercakap-cakap bahawa ia bukanlah kes kematian biasa.

Ini kematian sangat luar biasa. Walau bagaimanapun kes telah diklafikasikan sebagai kes mati mengejut. Pihak polis pun tak dapat membuktikan bahawa itu adalah kes pembunuhan.

Imam Hadi turut berasa hairan kerana pada malam tersebut, dia turut berada bersama ketika Ismail bertanya soalan kepada Karim. Ketika malam itu juga Ismail mati. Cuma Imam Hadi tidak tahu apa yang telah datang kepada Ismail sehingga keadaan Ismail sedemikian rupa. Orang kampung menyegerakan pengebumian jenazah Ismail.

Setelah segalanya selesai, Kadir datang menemui Imam Hadi lalu berkata, “Imam… masa saya jumpa mayat Ismail, ada seekor kucing hitam berdekatan mayatnya.”

“Lepas tu?” Tanya Imam Hadi.

“Selepas tu saya halau, tapi ia tak lari. Malah merenung saya. Saya syak tu bukan kucing biasa imam.” Ujar Kadir bersama raut wajah cemas.

“Jangan fikir yang bukan-bukan Kadir… semua ni ketentuan Allah…”

“Betul imam, mata kucing tu merah. Saya sendiri yang tengok. Beberapa saat lepas tu hilang entah ke mana.” Beritahu Kadir. “Cuma, saya risau kut kampung kita ni dilanda sesuatu yang tak baik.” Sambung Kadir lagi.

“Lebih baik kita berbaik sangka. Apa yang berlaku ni semua ujian dari Allah untuk kita. Ada hikmah di sebalik kejadian ni yang kita sendiri tak tahu.”

“Tapi imam…”

“Kadir… kita ni hidup adalah untuk mati. Sementara hidup ni, kita perbanyakkanlah amalam-amalan yang baik untuk bekalan di akhirat kelak. Apa yang buruk kita tinggalkan.”

“Betul tu imam, apa yang imam cakap semua tu betul, tapi imam, kalau yang buruk tu berlaku pada diri kita, takkan kita nak tinggal diam?” ucap Kadir bukan nak membantah tetapi dia agak kurang bersetuju dengan cara Imam Hadi.

“Kita kena redha.” Balas Imam Hadi.

Kadir malas nak berdebat, dia tahu memang kena redha tapi takkan kena menyerah kalah. Maksudnya takkanlah kena pasrah sebelum berusaha. Seharusnya berusahalah melawan kejahatan kemudian tawakal lah kepada Allah. Namun dia tak berniat nak melawan cakap Imam Hadi. Dia diamkan sahaja.

Mereka segera meninggalkan tanah perkuburan. Maka terdengarlah suara tangisan, beberapa orang yang agak berada di belakang, terdengar-dengar suara tangisan itu seketika. Meremang bulu roma dan menyegerakan langkah. Maka bertambah kecoh seluruh kampung dengan cerita dengar pula suara orang menangis di kubur, itu pun berlaku di siang hari selepas Zohor.

***

Sebelah petang di rumah Wawa, Heliza seperti biasa akan melenggang datang ke rumah Wawa. Walaupun cemas, dia tetap bersahaja membawa khabar berita.

“Seram Wawa, seram!” Heliza cemas. Dia mencerita kes itu kepada Wawa. Wawa pun pucat mendengarnya. Sudahlah mereka turut diganggu kini mendengar pula kisah-kisah menyeramkan yang berlaku di kampung mereka ni. Semua ni berlaku selepas kematian arwah Hakim.

“Aku ni tak sedap hati la Liza…” Wawa pun dah tak ada semangat nak gulung popia cheese. “Pak Cik Mail mati macam tu je… mengerikan. Aku rasa, mesti ada orang yang membela hantu dalam kampung kita ni…” Wawa menaruh syak.

“Aku pun rasa macam tu jugak la. Sebab semakin menjadi-jadi ni. Eh Wawa… kau tau tak, Mak Cik Tijah tu tuduh Sarah mandramkan Hakim, lepas tu mak si Sarah tu pulak tuduh arwah si Hakim tu yang mandramkan Sarah supaya jatuh hati kat Hakim tu.”

“Laaa… iya ke? Jadi masing-masing main tuduh-tuduh ke?” Soal Wawa.

“Iya Wawa… jadi masing-masing tak puas hati la… mereka kahwin tu atas dasar main sihir. Main ubat pengasih.” Balas Heliza.

“Aku pun pelik la… macam mana mereka boleh setuju mula-mula tu? Lepas tu sekarang bangkit membangkit pulak?” Wawa menggeleng.

“Tu yang aku tak faham tu. Sepatutnya kalau dah tak suka, halanglah habis-habisan, ni tidak bila dah jadi macam ni, masing-masing saling nak salah menyalahkan. Pelik benar aku dengan perangai diorang ni la.” Heliza menambah sambil tuang air masak dalam gelas. Haus pulak tekaknya.

Wawa perhatikan air tuangan itu... dia berasa pelik, kenapa air masak yang sepatutnya jernih tetapi berwarna merah pekat seperti darah?

“Liza!”

“Apa?”

“Jangan minum!”

“Kenapa?” Heliza bingung. Dia baru je nak minum.

Tiba-tiba Heliza terhidu bau hanyir darah. Dia tercium dari gelas itu. Memang betul itu adalah darah. Terkejut jadinya. Dia pandang Wawa. “Kau simpan darah ke Wawa?” Ingat sirap tadi.

“Tak Liza. Aku sendiri pun tak tahu. Macam mana bertukar jadi darah.” Wawa kecut perut. Sekali lagi mereka dihambat ketakutan dan bau musuk menusuk rongga.

“Wawa, aku rasa kita ni memang betul-betul dah kena kacau dengan setan ni. Elok kita jumpa pak ustaz. Tak boleh dibiarkan ni.” Heliza berasa takut.

“Betul kata kau tu.” Balas Wawa. Dan minuman yang berada di dalam gelas dan bekas tadi kembali normal. Tiada apa-apa yang berubah. Bau busuk tadi pun hilang macam tu sahaja.

“Eh Wawa, bau busuk dah hilanglah…” ucap Heliza.

Tapi Wawa kaku. Dia tak bergerak-gerak. Bibirnya cuba nak berkata-kata tapi tak berdaya. Matanya tertancap pada belakang Heliza. “Han…han…” Tupppp…. Wawa pengsan.

Heliza tersentak melihat Wawa pengsan kat meja tu. Dia cepat-cepat bangun dan cuba kejutkan Wawa semula tapi Wawa tak sedarkan diri.

“Wawa bangun wawa!” Heliza cuba sedarkan Wawa. Heliza berasa pelik, takkanlah petang macam ni pun Wawa nampak hantu? Tapi tak tentu, kalau hantu nak menjelma, tak kira siang atau malam. Boleh sahaja wujud di mata.

Tiba-tiba Heliza merasakan belakangnya seperti disentuh sesuatu, dia pun menoleh. Alangkah terkejutnya dia. Dia terlihat sesuatu yang sungguh buruk dan wajah yang menggerutu serta bertaring panjang terpampang depan matanya. Bebola mata makhluk itu kemerahan dan mengerang seperti kelaparan.

Arghhhh!!!! Heliza menjerit lalu pengsan.
Bersambung...

Penulis : Rashid Salim

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

4 Responses to "Siri Seram Hakim - Bab 2"

  1. Very nice to read..kita tggu next episode.. kagum dgn kebolehan awk menulis.. may success always be with you..

    BalasPadam

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK