Sekolah Ada Hantu


Setiap orang mungkin ada pengalaman seram masing-masing ketika kanak-kanak. Begitu juga aku sehingga membuatkan aku dihambat rasa takut. Seharusnya ia membuatkan aku lebih berani namun tak semestinya aku cukup kuat berhadapan dengan semua itu.

Ada sesetengah orang dikurniakan jiwa yang tidak langsung gerun menatap sesuatu yang mengerikan bahkan tidak punya perasaan takut sama sekali. Maksud aku, pemberani. 

Tetapi tidak bagi aku yang bukanlah seorang pemberani tetapi ada kalanya ditemukan dengan perkara-perkara sebegitu. Mengapalah? Dah nasib aku agaknya.

Tidak aku ketahui kerana semua itu sudah ketentuan Ilahi. Semua yang berlaku mengikut kehendak-Nya. Aku hanya manusia yang hidup di alam ini cuma sementara sahaja. Sampai masanya akan dijemput oleh-Nya.

Baiklah, aku nak kongsikan pengalaman aku ni masa kecil-kecil la, darjah enam, nak kata seram tu terpulang pada anda menilainya, tapi bagi aku ketika itu memang menyeramkan kerana aku yang rasa. Ceritanya begini…

Kelas tambahan waktu malam di sekolah mula diwujudkan. Aku ni bukannya budak pandai sangat, belajar pun di kelas tercorot. Tapi masa tu bukan semua murid diwajibkan ambil tuisyen ni, ia bergantung pada kehendak murid atau dengan keizinan ibu bapa itu sendiri. 

Jadi, rakan-rakan kelas tercorot aku ni rata-rata tak nak sertai. Maka aku yang nak masuk ni kena la tumpang kelas depan. Aku adalah seorang yang lemah subjek Matematik.

Tapi aku syukurlah, dengan tuisyen ni jugak aku berjaya baiki kelemahan walaupun tak capai target A UPSR. Dapat skor B je. Tak apa la, kira syukur dah untuk orang yang tak terpelajar macam aku ni. 

Berbalik pada cerita kelas malam, pernah satu hari, ketika aku leka menyelesaikan masalah soalan yang diberikan, tiba-tiba seorang kawan kelas ni minta tolong aku temani dia ke tandas.

Selepas meminta izin dengan cikgu, kami pun gerak. Dia cepat-cepat masuk ke tandas untuk melepaskan hajat. Aku tunggu kat pintu masuk. Tandas tu dekat dengan tangga. 

Tiba-tiba muncul sosok sorang budak perempuan kecil berambut cecah bahu berlari tarun sambil gelak-gelak seolah-olah sedang main kejar-kejar pulak. Mukanya aku tak nampaklah, terhalang dek rambut. Suaranya juga jelas kedengaran riang.

Aku fikir mungkin adik-adik kawan kelas yang lain kut, tapi rasanya belum waktu mereka untuk datang menjemput. Ketika itu awal sangat, baru sahaja pukul 9:30 malam aku kira. 

Aku masih dekat pintu tu tunggu rakan keluar. Lama pulak dia ni, kata nak kencing je kut, ni berak batu ke apa? Aku tetap setia menanti di koridor depan pintu tandas tu.

"Lambat lagi ke?" Tanyaku dari situ.

"Mana ada orang." Jawab suara dalam tandas, garau semacam. Mengada nak main-main. Aku pun beritahu nak masuk kelas, tak pula dia menyahut. Kalau dia dah keluar pastilah aku perasan. Dah memang aku tunggu depan-depan kut.

Kalau tak ada orang? Siapa yang jawab dalam tandas tu? Nak main-main. Agak-agaklah kalau nak bergurau pun. Ingat ni lawak ke?

Akhirnya aku ambil keputusan masuk ke kelas. Meninggalkan dia macam tu sahaja. Lantaklah. Lagipun dah lama sangat aku tunggu, cuma tu la aku dah mula rasa tak sedap sebenarnya.

Dan, alangkah terkejutnya aku, rupa-rupanya dia ada dalam kelas. Bila ditanya bila masa kau keluar tandas? Boleh pulak dia tanya aku balik, bila masa aku ke tandas? Soalannya itu telah membuatkan aku hampir pengsan.


Dia tak ke tandas pun, dah yang ajak aku ke tandas tu siapa? Itulah peristiwa yang menghairankan aku. Ketika itu aku sangat pelik, apakah imaginasi aku begitu membingungkan aku atau sesuatu yang lain telah mengganggu fikiranku. Kerap juga aku dihadapkan situasi begitu, cuma aku cuba buat tak tahu.

Seriau aku rasa. Aku beritahu kawan aku tu, tapi dia tak percaya. Katanya aku ni berkhayal. Itulah masalahnya, kuat sangat ke khayalan aku ni? 

Tapi aku nampak semua itu sungguh nyata. Kadang ia membuatkan bulu roma aku merinding. Kecut kepala jadinya. Sekian.

Penulis: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Sekolah Ada Hantu"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK