Misteri Sawan Tua
Khamis, 15 April 2021
Add Comment
Semalam ada seorang pakcik datang singgah di gerai cendol saya. Dia datang bersama anak perempuannya. Kasihan saya tengok akan anaknya itu yang terketar-ketar seluruh badan ketika keluar dari kenderaan. Gadis itu dipimpin keluar oleh si ayah.
Kemudian dia duduk dan memesan dua mangkuk cendol, saya pun sediakan. Selepas dihidangkan, pakcik tu pun menyantapnya dan saya pula bertanya, tak nak makan apa-apa ke, lalu jawabnya tak sebab anaknya tak nak makan apa-apa cuma nak makan cendol saja.
Katanya lagi anaknya ingin sangat makan cendol, disebabkan itulah dia berhenti tetapi sebelum berhenti tu dia tengok keadaan jugak, kalau-kalau ramai orang sangat, dia pun jadi payah nak singgah. Dalam kepala otak saya ni pun fikir, mungkin faktor PKPP ni kut. (Waktu cerita ini ditulis, pandemik Covid-19).
Malangnya sangkaan saya meleset dek satu insiden yang buat saya amat terkejut sama sekali. Anak perempuannya seperti tersentak sehingga tercampak mangkuk cendol.
Isteri saya pula cepat-cepat ambil kain lalu lapkan meja dan hulurkan tisu kepada adik itu. Basah bajunya tertumpah segala air cendol.
Pakcik tu minta maaf, saya cakap tak ada apa. Nasib baik mangkuk plastik katanya, kalau kaca pakcik akan ganti balik, ucapnya. Saya pun serba salah, buat apa nak minta maaf, benda tak sengaja.
Selepas tu dia minta kira harganya sambil bawa anaknya masuk dalam kenderaan. Kemudian dia kembali semula dan meminta maaf sekali lagi tentang insiden melibatkan anak bongsunya.
Lalu saya pun bertanya kepadanya, dah lama ke dia berkeadaan macam tu? Lantas pakcik tu mernjawab, ada sejarahnya si anak jadi begitu.
Saya menunjukkan minat ingin tahu. Pakcik tu duduk, saya pun ikut duduk juga. "Tak tahu sama ada buatan orang atau tak tapi masa di sekolah dulu, dia ni merupakan murid yang pintar." Katanya.
Saya pun tanya di mana anaknya bersekolah, lalu disebutlah akan nama sekolah tu. Oh, memang sekolah tu merupakan sekolah elit.
Dek minat nak tahu, saya ajukan beberapa soalan, apa tanda-tanda awal, dan dijawab anaknya sering tersentak seperti terkena serangan saraf. Ada kalanya merentap sesuatu tanpa sedar.
Dia khuatir lalu bawa pergi jumpa doktor. Doktor hanya bilang anaknya alami penyakit saraf dan sarankan juga ikhtiar berubat kampung.
Kawannya ada beritahu bahawa anaknya lain macam. Bermula dari situ pantang dengar ada tempat perubatan tradisional, dia akan membawa anaknya pergi berubat di situ, tetapi keadaan anaknya semakin lama semakin memburuk, sehingga susah nak berjalan dengan sempurna.
Beritahunya lagi, anaknya dikatakan terkena 'Sawan Tua' sebab gaya gerak badan seperti orang tua yang keuzuran.
Saya rasa pelik, mesti ada sebab jadi macam tu. Saya cuba korek lagi. "Masa sekolah dulu ada pergi mana-mana tak?" Lalu dia jawab, ada, pergi kem perkhemahan masuk hutan.
Anaknya beritahu ada orang yang tak dikenali telah memberikan cincin kepadanya dan memang cincin tu ada dipakai di jarinya. Dek kerana risau, si ayah pun membuangnya begitu sahaja.
Semenjak itu kelakuan anaknya mula aneh, tak mahu solat dan mengaji. Namun si ayah tetap ikhtiar. Dia juga mengadu, sejak kematian isteri, dia agak sukar menguruskan anaknya tetapi tetap dia tunaikan tanggungjawab meskipun di usia yang entah berbaki berapa lama lagi.
Saya mendengar suara anaknya bercakap bila ditanya pakcik tu, "Kem tu ada main kayak, kan?"
"Ya, main kayak, sungai. Khemah dalam hutan. Dapat cincin." Tuturnya yang tidak berapa jelas sebutannya.
Dari usia 16 tahun sehingga membawa ke usia 25 tahun, bayangkanlah sudah berapa lama penyakit misteri tu bersarang dalam sarafnya. 9 tahun lamanya.
Menurut ayahnya, anaknya selalu bangunkan dia di tengah-tengah malam. "Ayah, dah Subuh." Setiap dua jam sekali dikejutkan ayahnya untuk bangun, sampai jenuh ayahnya melayan.
Baca: Misteri hantu tinggi
Nampaknya si anak sukar tidur, apakah yang selalu datang mengganggu fikiran si anak agaknya? Siapalah yang bagi cincin tu kepadanya?
Saya sendiri tak punya jawapan. Namun, hutan sememangnya banyak menyimpan misterinya tersendiri. Sama-samalah kita doakan ya...semoga anaknya sembuh, Aamiin.
Penulis: Rashid Salim
p/s: Kisah yang saya ceritakan di atas adalah kisah yang pernah saya siarkan di Facebook. Saya siarkan semula di blog ini untuk santapan pembaca sekalian. Jangan lupa follow blog saya ini dan share cerita ini, terima kasih ya...
UPDATE: Saya mendapat khabar bahawa gadis yang saya kongsikan kisahnya di atas telah kembali ke Rahmatullah.... Al-Fatihah (Dibaca) Semoga rohnya dicucuri Rahmat Ilahi dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan solehah.... Aamiin...
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Misteri Sawan Tua"
Catat Ulasan