Misteri Bermimpi Nenek Tua
Rabu, 14 April 2021
Add Comment
Kisah ini berlaku sekitar tahun 90an, ia terjadi kepada orang kampung aku yang dikenali sebagai Kak Ngah Ani (bukan nama sebenar). Menurutnya, dia pernah mimpi berjumpa dengan seorang nenek beruban putih dengan kulit wajah yang menggerutu.
Menurutnya lagi, kalau dilihat dari rupa paras, nenek tu dikira hampir seabad usianya. Namun tidak diketahui berapakah usia sebenarnya.
Kak Ngah Ani berkata, nenek itu muncul beberapa kali di dalam mimpinya tetapi tidak cakap apa-apa, hanya tersenyum sahaja. Perkahwinan Kak Ngah Ani ni pula telah masuk lima tahun tetapi belum dikurniakan cahaya mata lagi.
Sedih jugalah sebab orang lain dah timang anak, dia sahaja belum. Jiran tetangga dan saudara mara sibuk bertanya bila nak dapat anak. Perkara tersebut bagaikan satu tamparan hebat baginya.
Biasalah, bila belum berkahwin... orang akan sibuk bertanya bila nak kahwin. Selepas sudah berkahwin, soalan lain pulak yang ditanya. Dah jadi resam.
Bukan dia tak ikhtiar, sudah bermacam-macam usaha dilakukan termasuklah pergi berubat. Begitulah yang Kak Ngah Ani rasa. Dia tetap bersabar. Cuma dia rasa tak sedap hati, apakah maksud mimpinya tu?
Pada suatu malam, dia bermimpi lagi didatangi orang yang sama. Nenek itu akhirnya berkata, dia mahukan anak Kak Ngah Ani. Dia pun menyatakan kepada nenek tersebut yang dia tak ada anak.
Tapi nenek tu tetap mahukan anaknya. Katanya nanti dia akan datang lagi. Selepas dari mimpi itu, nenek tersebut tidak menjelma lagi, cuma beberapa minggu kemudian dia rasa tak sedap badan, loya dan muntah-muntah. Akhirnya dia disahkan hamil.
Kak Ngah Ani berasa sungguh seronok. Suaminya pun gembira dan terasa bahagia bakal menyambut ahli baru. Hari demi hari, Minggu berganti minggu, dari minggu berganti bulan, perutnya semakin sarat.
Dia dijangka akan melahirkan anak tidak lama lagi. Tiba-tiba pada satu malam tu, dia bermimpi nenek itu datang lagi dan menyambut kelahiran anaknya. Dia nampak nenek tu bawa pergi anaknya. Dia tak dapat berbuat apa-apa. Tubuhnya melemah dan lesu.
Bayi dalam kandungan hilang
Apabila terjaga dari tidur, dia merasakan bahawa perutnya sudah kosong. Setelah pergi ke hospital, doktor pun scan lalu mengatakan tiada bayi di dalam perutnya.
Dia rasa terkejut dan sangat berdukacita di atas berita tersebut. Memang tak jangka sama sekali bahawa bayi di dalam kandungannya benar-benar hilang, walaupun dia merasakan itu bagaikan sebuah mimpi sahaja.
Betapa sedih dan deritanya hidup Kak Ngah Ani setelah itu. Anaknya ghaib begitu sahaja. Amat sukar untuk mempercayainya. Dia pasrah dengan ketentuan Ilahi. Namun dia tetap berasa pelik terhadap apa yang dialaminya.
Selang dua tahun berada di dalam kekecewaan, barulah dia diberikan zuriat oleh Allah... Kali ini anaknya tidak dibawa pergi. Kak Ngah Ani yakin pasti ada hikmahnya.
Aku pun tak tahu, yang pernah datang ambil anaknya tu semasa di dalam kandungan ada kena mengena dengan saka atau pun bunian. Entahlah, ia kekal menjadi misteri sehingga ke hari ini.
Sekian.
Penulis: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Misteri Bermimpi Nenek Tua"
Catat Ulasan