Misteri Basikal Tua Bergerak Sendiri
Ahad, 25 April 2021
Add Comment
Beberapa hari ini aku tak berhubung dengan Kamal, bersoal jawab dengannya bercerita tentang hal-hal mistik. Aku tahu dia sibuk dengan urusan sekolah dia tu. Memang bosan jugalah sebab aku tak ada idea nak menulis di dalam blog aku tu. Iyalah, maklum sahajalah, blog aku masih baru. Banyak benda yang aku nak tulis untuk kongsikan kepada pembaca.
Kalau aku biarkan, nanti bersawanglah blog aku tu. Memang minat aku suka menulis tetapi jika tiada idea, apa pun tak boleh.
Sekiranya ada yang sudi berkongsi cerita maka ada juga tambah nilai dalam penceritaan aku nanti. Sekurang-kurangnya adalah benda aku nak ketengahkan.
Tujuan aku menulis blog adalah untuk bercerita. Itu sahaja. Berkongsi sesuatu dengan pembaca. Kalau ada orang baca, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, nak buat macam mana. Aku tak boleh memaksa.
Cuma, aku mestilah kongsi sesuatu yang menarik untuk mereka baca. Supaya mereka tak boring dan moga-moga mereka suka.
Sedang aku melepaskan keluhan di luar rumah, aku cucuhlah rokok sebatang buat teman. Sambil duk godek-godek telefon di malam hari ini, teringat pulak aku kepada kawan aku seorang yang hidup diperantauan yang pernah share cerita kat aku pasal dia pernah kena ganggu di lebuhraya tu.
Aku sedut rokok dan lepaskan asap kepul-kepul keluar menerawang di udara. Aku rasa bosan sangat tak tahu nak buat apa. Jadi aku cubalah hubungi dia, saja tanya khabar. Harap-harap aku bukan pengganggu.
Lama juga aku tunggu panggilan berjawab, tapi belum diangkatnya. Aku rasa di dah tidur awal kut? Tak pun dia sibuk berkerja syif malam? Siapa tahu kan? Aku teka saja.
“Hello, siapa ni?” Akhirnya panggilan aku dijawab. Adeh… dia tak save nombor aku rupanya.
“Hello Wadi, ni aku Rashid Salim member kau yang selalu berkongsi semangkuk magi di asrama dulu…” Aku cuba ingatkan dia. Kemudian dia minta maaf sebab banyak nombor dah hilang. Dia berganti telefon baru. Patutlah… tapi itu alasan biasa. Aku tergelak. Dia pun satu, asyik lupa la tu.
“Ada apa kau call aku ni? Ni mesti kau nak bodek idea menulis ni? Kan?” Dia ni macam tahu-tahu sahaja aku tengah stuck menulis. Hahaha.
“Tu la pasal, manalah tahu kut kau ada nak share cerita kat aku ke…”
“Kan… tak pasal kau up cerita aku kat blog kau kan pasal aku kena ganggu kat lebuhraya tu,”
“Kau ada baca ke?”
“Dah link blog kau asyik gentayangan je kat Facebook, aku terjebak la bukak. Aku siap follow lagi cerita Hakim kau tu.” Ujarnya sambil gelak-gelak. Ceh!
“Kau ada dalam friendlist aku ke? Kata tak main facebook.” Ujarku sebab sebelum ini dia kata malas nak melayan Facebook. Ke saja je cipta alasan?
“Aku kongsi-kongsi FB dengan wife aku jer…” katanya. Boleh pulak macam tu. Tak ada privacy langsunglah kalau begitu. Tapi nak buat macam mana, dah itu cara mereka. “Hah sebut pasal cerita seram… ada kisah mamat Bangla kena usik.” Ujarnya. Ni yang aku suka ni, nampaknya ada story yang Wadi nak sampaikan. Aku serius tunggu apa ceritanya.
Wadi pun bercerita… dekat kilang dia kerja tu ramai pekerja asing, mereka yang kerja syif malam selalu kena usik. Hassan nama pekerja Burma tu balik dengan kawannya seorang lagi.
Mereka tunggang motosikal untuk pulang ke hostel ikut jalan pintas. Jarang orang nak lalu jalan dekat lorong tu, tapi mereka buat-buat berani kerana merasakan tak ada apa-apa yang pelik.
Bila tiba dekat satu lorong yang agak gelap dan sunyi… tiba-tiba dia ternampak ada sebuah basikal tua buruk sedang bergerak di tepi jalan itu, tapi tiada penunggang pun. Ia berkayuh sendiri.
Mereka ni berkira-kira,sama ada nak pintas atau tidak. Mereka pun brek motosikal untuk membiarkan basikal itu terus maju ke hadapan.
Tapi yang peliknya, apabila motosikalnya berhenti, basikal tu pun ikut berhenti jugak. Naik seram mereka masa tu. Meremang habis bulu roma. Nak patah balik… maka kena lalu ikut jalan yang jauh sikit. Nak tak nak, mereka pecut la pintas basikal tu.
Tiba-tiba selepas pintas, dia nampak basikal yang sama tu pun laju, tahu-tahu ada dekat sebelah. Mereka pun apa lagi, berpatah semula dan lalu ikut jalan jauh. Sejak dari tu, tak berani nak lalu jalan tu lagi.
Bukan setakat itu sahaja, malah ada di antara mereka terhidu bau busuk menyebabkan mereka merasakan jalan itu ada sesuatu yang tak beres. Pernah juga mereka terserempak kelibat perempuan tua yang terbongkok-bongkok memakai tongkat. Kemudian ghaib.
Menurut Wadi… ramai juga yang terserempak dengan basikal tua tanpa penunggang tu. Nak buat macam mana, dah nasib mereka dapat jumpa. Malah ada juga yang demam dan katanya ada juga yang sampai benda tu ikut balik sampai rumah.
Huh! Seram aku dengar. Bagaimanalah rupanya kalau tiba-tiba berjalan kaki tengah-tengah malam, tiba-tiba ada basikal ikut dari belakang, tengok-tengok tak ada yang kayuh.
Nak ikut pinjam dan tumpang basikal tu ke atau nak cabut lari? Kalau aku, heee.... confirm-confirm cabut lari. Cuma kalau basikal tua tu kejar macam mana? Adeh...
“Kau pernah terserempak ke?” Soal aku.
“Setakat ni aku tak pernah jumpa lagi…” Ucap Wadi. "Minta-minta dijauhkanlah... risau kalau kalau benda-benda pelik berlaku," ujarnya lagi.
“First time aku dengar. Biasa orang duk cerita pasal kereta tanpa pemandu seperti kisah Volkswagen kuning di Karak tu.” Kataku sambil melemparkan putung rokok. Wadi gelak di hujung talian.
Aku tamatkan perbualan dengan Wadi dan moga-moga selepas ni akan ada lagi kisah-kisah menarik dari dia. Mana la tau kut dia sudi berkongsi dengan aku lagi, kan?
Dapatlah aku isi sebagai konten di dalam blog aku ni. Insya-Allah… dan aku harap akan ada ramai lagi yang sudi berkongsi cerita dengan aku selepas ini. Saling berbagi cerita berkongsi pengalaman… sekadar ingatan dan pengajaran. Sekian, terima kasih.
Penulis: Rashid Salim
0 Komentar untuk "Misteri Basikal Tua Bergerak Sendiri"
Catat Ulasan