Misteri Aras 4


Selepas bersenam aku pun pergi mengkedarah pulak nasi goreng bersama ayam gorengnya sekali di kedai makan. Aduhai, macam mana aku berdiet ni? Tak seimbang langsung! 

Konon-kononnya nak kurus. Ah lantaklah! Aku lepak sekejap di situ. Kenyang menyandar aku usai makan. Alang-alang kenyang, aku pun cucuh rokok sambil pekena teh ais. Layan beb. Haha!

Pelayan kedai tu namanya Pak Deris, dia ni membantu abangnya meniaga di gerai tersebut. Aku ikut memanggil namanya Pak Deris sebabnya dia ni sudah popular dengan panggilan itu. 

Sedangkan orangnya tidaklah terlalu tua. Dia juga tahu mengenai aku yang suka menulis buku. Aku sendiri yang memberitahu kepadanya yang aku ni gemar menulis kisah-kisah seram.

Dia datang duduk dekat aku sementara tak ada pelanggan lain yang datang. Aku beritahu dia yang buku Buruk yang dia nak tu dah habis. Maksud aku dah soldout. 

Dia marah aku, apasal tak simpan satu untuk dia? Aku kata la sorry Pak Deris, kalau mahu mesti cash dulu, hahaha! Aku gelak kecil. 

Okay tak apa. Selain buku itu aku akan simpan satu lagi buku untuknya iaitu Perigi Lama Nek Mah. Dia pun bersetuju nak satu. Baik, yang ni aku simpan untuk dia la satu tu.

Kemudian Pak Deris bertanya kepada aku, sekarang tulis buku apa lalu aku pun jawablah yang aku tengah tulis cerita Mata. Dia tanya lagi, kisah apa Mata tu. Aku pun beritahu dia rahsia. Hahaha. Aku gelak kecil lagi. “Elehhhh nak rahsia konon….” katanya. (Cerita Mata pun tergendala sekarang)

“Ye la ye la… Cerita mistik tentang orang yang boleh nampak makhluk halus. Lepas tu dia tak tahu bagaimana punca dia boleh jadi nampak benda-benda pelik. 

Kemudian dia berusaha untuk merawat diri dia sendiri tapi dalam masa yang sama orang yang sakit minta dia yang mengubat pulak. Dia bingung sendiri, macam mana dia nak berubat orang sedangkan dia sendiri pun tak tahu nak ubat diri dia.” Ujarku kepada Pak Deris. Dia angguk-angguk dengar apa yang aku cakap.

“Oh, begitu ke? Tak ada bunuh-bunuh ke?”

“Rahsia la Pak Deris…. Kalau semua aku nak cerita baik aku tak payah buat buku…” balas aku sambil sengih. Dia muncungkan mulut. Ooo, jawabnya.

“Buatlah kisah macam ada perebutan harta ke, sihir-sihir begitu… lepas tu ada pembunuhan yang menjelmakan roh jahat untuk balas dendam.” Pak Deris melahirkan buah fikirannya.

“Fuh!” Aku sedut rokok. “Relaks la Pak Deris… satu-satu, mahu pecah kepala otak aku nanti nak menulis.” Ujarku lagi.

“Aku ada cerita nak share kat kau ni Shid.” Ujarnya membuatkan aku teruja.

Aku kalau bab orang nak berkongsikan cerita seram, memang seronoklah jadinya. Aku suka tadah telinga. Ibarat orang mengantuk disorong bantal… begitulah perumpamaannya. Ecewah…

“Apa lagi Pak Deris, cerita la…” Aku betulkan duduk. Putung rokok aku jentik ke luar kedai. Dah habis aku hisap. Rasa nak sambung cucuh sebatang lagi rasanya. Tapi relaks dulu la… bahaya jugak hisap banyak-banyak. Cis! Dah tahu bahaya aku hisap gak… dasar orang sombong, kan? Hehe…

“Ni kisah Mak guard, dia perempuan la… kira tomboy. Pengawal keselamatan yang baru bertugas.” Katanya memulakan cerita.

“Lepas tu?” Aku sudah tak sabar-sabar ingin tahu.

Seterusnya dia menyambung kisahnya. Security ni kerja jaga di suatu tempat, di tempat kerja tu ada bangunan tujuh tingkat. Menurutnya ada satu arah tu sudah dikosongkan kerana berpindah. Aras yang dimaksudkan adalah aras empat.

Apabila tiba syif malam, dia ditugaskan untuk meronda sambil bawa watchman clock. Alat tersebut adalah untuk kunci jam apabila meronda bagi setiap kawasan yang ditetapkan. 

Punya berani dia pergi seorang diri dan dia tidak menyimpan perasaan risau kerana lif sudah disetkan tidak akan terbuka di tingkat empat. Ia akan terus naik ke tingkat lima.

Ini menjadi suatu pengalaman yang memang security ni takkan lupa sampai bila-bila sebab ia sangat mencemaskan. Tapi masa tu dia siap siul-siul lagi nak hilangkan perasaan gementar sewaktu kunci jam dilakukan. 

Bermula dari ground floor, dia okey-okey sahaja. Dia buat kerjanya. Aras dua pun okey juga, dan lepas masuk tingkat tiga dia masih okey.

Tapi dia mula rasa tak sedap hati. Perasaannya jadi kurang enak secara tiba-tiba. Apabila lif itu mula naik, dia cuma fikir akan terus ke tingkat lima, namun tidak disangka lif itu tiba-tiba berhenti di tingkat empat. 

Dia hairan, sepatutnya mengikut setting dari technician lif tersebut tidak sepatutnya berhenti di situ. Seharusnya terus lompat ke tingkat lima. Malangnya perkara yang tidak diingini telah berlaku.

Ting !!!

Pintu lif aras empat tiba-tiba terbuka. Suasana ruang itu gelap gelita memang tiada staf atau sesiapa pun di situ. Aras tersebut kosong tidak digunakan lagi. Tanpa disangka-sangka dia terkejut, lampu lif terpadam. Dia berada dalam kegelapan. Beberapa kali dia cuba tekan punat lif untuk turun, tetapi lif tak beroperasi.

Ketakutan mula menghantuinya saat dia dengar desiran angin dan bunyi seperti derap kaki mula mendekati arahnya. Dia pun membelakangi pintu. 

Dia berharap tidak menemui apa-apa. Dia tidak mahu terserempak dengan entiti apa pun di situ. Bulu romanya merinding, kepalanya rasa kecut.

Seterusnya dia dengar suara tangisan, sayup-sayup dan semakin lama semakin menghampirinya. Dia tak henti-henti berdoa dalam hatinya, tak mahu tengok tak mahu tengok! Dia memang tak nak pandang apa-apa. Dia pekup wajahnya.

“Selepas tu apa jadi Pak Deris?” Aku tak sabar nak tahu apa yang berlaku seterusnya.

“Perempuan tu takut kalau-kalau dia akan pengsan. Sekiranya dia ternampak memang akan pengsan, sebab tu dia berharap tak nak tengok mahkluk tu depan-depan. Dia minta dijauhkan.”

“Habis tu, mak guard tu pengsan tak Pak Deris?”

Seterusnya Pak Deris menyambung kisah yang tergantung itu, katanya lampu lif yang terpadam tu hidup kembali lalu cepat-cepat dia tekan punat ground floor turun semula. 

Lekas-lekas dia lari pergi dekat pos utama dan dia kena marah sebab tak sempat selesai buat kerja, tapi dia beritahu bosnya dan menceritakan apa yang berlaku di tingkat empat. Lalu dia meminta ditukarkan ke tempat lain. Tak berani lagi mengawal di situ.

“Hurmmm… ada apa yang misteri di tingkat empat tu ya…” Aku usap-usap dagu.

“Barangkali disebabkan tu kut aras tu kosong, ada gangguan.”

“Mesti ada sesuatu yang berlaku kan Pak Deris….?”

“Ia kekal menjadi misteri…” Pak Deris senyum.

Aku pun tak tahu apalah yang pernah berlaku di aras empat itu sehingga berhantu macam tu. Ia dirahsiakan dari pengetahuan sesiapa. Seram pulak aku dengar. 

Kalau terjadi pada aku, mahu terkencing aku dalam seluar. Iyalah, aku ni sebenanrya bukan berani sangat. Menulis bolehlah... tapi tulah... kadang tu terbawa-bawa masuk ke dalam mimpi. Uih... seram.... 

TAMAT.

Ditulis oleh: Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Misteri Aras 4"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK