Lombong Berpuaka
Selasa, 20 April 2021
Add Comment
Masa zaman budak-budak, aku dan rakan-rakan pernah mandi di suatu lombong dan tempat berada seperti dalam gambar (bawah).
Kiranya kami di antara budak-budak terawal ke situ. Seronok mandi di sana... tapi ada satu pengalaman saya ingin kongsikan.
Dalam keseronokan mandi manda dan berenang-renang, tiba-tiba ada sesuatu yang telah menarik kaki saya.
Saya hampir-hampir lemas dan cemas. Saya jadi kelam kabut tak tahu nak berbuat apa. Semakin lama saya semakin tenggelam. Ya Allah, selamatkan aku! Hanya itu yang saya pohon.
Di saat saya meronta-ronta, tiba-tiba pergelangan kaki saya seperti dipegang itu tiba-tiba terasa telah dilepaskan.
Akhirnya saya timbul semula lalu cepat-cepat berenang naik ke tebing. Sungguh ia detik yang amat mendebarkan. Saya berfikir bahawa saya dah mati.
Pada malam berikutnya, saya dan rakan yang lain jaga warung mak. Warung mak saya berada berdekatan dengan jalan besar di depan sana.
Kiranya saya bermalam di situ bagi mengawal keadaan kerana warung mak saya ni kerap juga dimasukki pencuri. Pada ketika itu, warung memang tiada bekalan elektrik.
Belum masuk meter pun lagi kerana lokasinya terlalu jauh dari generator TNB. Jadi kami bergelap dan hanya lilin sahaja menemani malam.
Ketika itu hutan masih tebal. Politeknik juga masih dalam pembinaan. Ia sekitar tahun 90an. Saya dan adik-adik juga turut sama jaga warung.
Kami ramai juga mengawal keadaan situ bagi memastikan keselamatan dan harta benda di warung terjamin.
Kira-kira pukul 11:30 malam macam tu, tiba-tiba kedengaran pintu warung diketuk orang. Berulang kali, kemudian kedengaran pula seperti taburan pasir di atas atap zink.
Fikir saya pada saat itu, barangkali ada orang sengaja nak takut-takutkan kami. Akhirnya kami beranikan diri membawa lampu suluh dan keluar dari arah pintu belakang.
Setelah terdengar bunyi seperti atap dihentam dengan benda berat, kami jadi terperanjat. Saya sangka buah kelapa gugur oleh kerana kedai berdekatan dengan pohon kelapa.
Bila dipantau, tidak ada apa-apa pun. Tapi kami semua mendengarnya. Bila panjat nak naik jenguk ke atas, tak ada pun pasir atau batu yang ditaburkan. Semakin aneh. Meremang bulu roma lantas kami terus masuk ke dalam semula.
Ketika masing-masing kecut perut, mulalah tarik selimut. Keadaan memang panas, mana nak ada kipas elektrik ke apa, memang tiada bekalan elektrik ke kawasan itu kecuali generator sendiri.
Dan itupun akan dipasang bila mak dah datang pada paginya untuk meneruskan rutin harian iaitu berniaga.
Ya Allah, tiba-tiba terasa ada orang bangunkan saya. Saya tak tahu siapa. Bila buka pintu, saya nampak seorang lelaki tua berjubah putih betul-betul berdiri di hadapan saya.
Kemudian dia berpesan, jangan mandi di sana, katanya. Saya dengan berani-beraninya bertanya kenapa? Jawapannya tetap sama iaitu jangan mandi. Entah bagaimana saya merasakan seperti sebuah mimpi.
Kemudian lelaki itu hilang. Saya pun cuba nak kejar tapi kaku. Tahu-tahu sahaja saya dikatakan kena sampuk. Bercakap sorang-sorang.
Teman-teman yang memberitahu saya sedemikian, saya bercakap sorang-sorang dah macam orang kena sampuk kerana bercakap sendiri sedangkan saya memang berkomunikasi dengan lelaki berjubah putih itu.
Semenjak peristiwa tersebut saya dah tak pergi mandi di situ lagi. Kawan-kawan pun tak pergi selepas saya sampaikan pesan lelaki tua itu. Mungkin mereka ambil serius agaknya.
Bila dah bertahun-tahun berlalu, makin banyak pula saya dengar kes kematian melibatkan lombong itu. Sebab ada yang pergi mandi selepas kami. Iyalah sudah masa berlalu, kami pun dah meningkat usia.
Barangkali kemeriahan mandi di situ kian tersebar. Maklumlah airnya kebiruan, dalam pulak tu. Ya Allah... Barangkali di situlah tempat 'mereka'. Kedamaian 'mereka' terganggu.
Dungun, Terengganu.
Paparan berita di dada akhbar di atas adalah pada tahun 2015. Sebelum dari berita ini sudah berlaku beberapa kejadian mati lemas di tempat itu yang saya kira berpuaka.
Kawasan ni akhirnya ditutup. Pihak PBT, melarang ada aktiviti mandi manda di kawasan itu lagi.
Baru-baru ni saya ada pergi tinjau. Bersemak samun lombong tu. Seriau saya tengok, keadaannya menyeramkan kemudian kalau duk tinjau-tinjau tu terasa macam ada mata sedang memerhati...Ish!
Terima kasih sudi baca kisah saya dan jumpa lagi untuk entri yang akan datang. Jangan lupa follow dan share... terima kasih sekali lagi.
Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Lombong Berpuaka"
Catat Ulasan